Sahabat Sejati

Tuesday, 3 July 2012

Mesir, bantulah Palestin dengan anugerah kemenangan ini

Segenap pujian buat Allah SWT yang telah memilih Islam sebagai agama yang diredhai-Nya. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, yang telah bermandi keringat dan memercikkan darah sehingga alam ini dicoretkan dengan keindahan Islam, dan buat kaum keluarga, para sahabat serta orang-orang yang mengikuti jalannya sehingga hari akhirat.

Firman Allah SWT:

 الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ 
“(yaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi niscaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma'ruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah-lah kembali segala urusan."(al-Hajj: 41) 

Kita telah pun menghampiri pertengahan bulan sya`ban, sesungguhnya Allah SWT dengan rahmatnya yang luas telah memilih bulan ini untuk menganugerahkan kegembiraan kepada seluruh umat Islam khususnya di Mesir dan umat Islam diseluruh dunia amnya. Berita gembira itu tidak lain ialah era baru yang terukir dalam sejarah politik dan pemerintahan Mesir.


 Buat pertama kalinya terlakar dalam sejarah, rakyat Mesir telah berjaya memilih seorang presiden yang dipilih terus oleh rakyat setelah berpuluh-puluh tahun di bawah pemerintahan diktator dan kuku besi. Calon yang terpilih adalah Dr Muhammad Morsi dari Freedom and Justice Party (FJP) parti politik tajaan Ikhwanul Muslimin Mesir.

Sejak penubuhan Republik Arab Mesir pada tahun 1953, Dr Muhammad Morsi adalah satu-satunya presiden yang dipilih melalui pilihanraya dan datang daripada kalangan rakyat awam. Sedangkan kesemua presiden republik sebelumnya daripada latar belakang pemerintah tentera dan bukan dipilih melalui pilihanraya yang telus.

Generasi Mesir hari ini telah dapat merasai manis buah yang telah disemai benihnya oleh pejuang-pejuang terdahulu. Betapa peritnya perjuangan mereka yang terdahulu seperti as-Syahid Imam Hasan al-Banna, as-Syahid Syed Qutb, as-Syahid Abdul Qader Awdah dan ramai lagi. Mereka telah digiring ke penjara pengap, diseksa dengan keras dan ada yang terbunuh syahid di tali gantung.

Marilah kita menzahirkan kegembiraan dengan bersujud syukur atas kurniaan ini. Sesungguhnya kemenangan ini bukan hanya kemenangan rakyat Mesir, bahkan kemenangan milik umat Islam di seluruh dunia. Walaupun kita berjauhan dipisahkan dengan sempadan negara, berbeza warna kulit, bahasa dan budaya, hakikatnya umat Islam adalah bersaudara. Mereka bersatu hati di bawah satu lafaz kalimah tauhid Asyhadu alla Ilaha illallah, wa asyhadu anna Muhammadar Rasulullah.

Firman Allah SWT:

 إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ 
"Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat." (al-Hujurat: 10) 

Mesir yang dungu (dahulu)

Mesir adalah negeri yang masyhur sejak zaman berzaman. Bumi ini pernah menjadi saksi pertembungan iman dan kufur, pertarungan di antara Nabi Musa dan Firaun yang mengaku sebagai tuhan. Ardul kinanah ini juga sekaligus menjadi jelapang makanan bagi benua Arab dengan Nil sebagai anugerah Tuhan. Benar, betapa sinonimnya Nil dengan Mesir sehingga disebut ungkapan ‘bagai Nil dengan Mesir’.

Mesir yang berpotensi dengan sumbangan kepada Islam sememangnya sentiasa diintai oleh penjajah Barat. Tidak pelik kerana Mesir amat diperlukan supaya regim Israel dapat bernafas dengan aman.

Presiden-presiden Mesir terdahulu seperti Jamal Abdel Nasser, Anwar Sadat dan Hosni Mubarak mengambil pendekatan keras kepada gerakan Islam. Mereka rela diperalat oleh musuh Islam dan kuasa besar dunia. Bahkan sanggup berbaik dengan Israel serta menekan gerakan Islam.

Hosni Mubarak dikatakan bertindak zalim dengan membina tembok pemisah bagi menghalang sepanjang perjalanan antara Rafah dan Gaza. Para penunjuk perasaan dari kalangan ulama menyatakan pendirian mereka bahawa pembinaan tembok tersebut adalah haram di sisi agama, undang-undang manusia seolah-olah dengan sekatan itu membenarkan penceroboh Yahudi membantai warga Palestin.

Demikianlah kebobrokan pemerintah Mesir yang amat meledakkan rasa marah dan kebencian orang ramai. Sebab itulah saya menyebut MESIR YANG DUNGU kerana kedunguan pemerintahnya. Mujurlah ada Universiti al-Azhar yang menjadi kemuncak mercu tanda kehebatan ilmu, jika tidak entahlah apa atau bagaimana mahu dikatakan keburukan rupa Mesir itu.

Semoga kemenangan ini akan dapat merubah lanskap kehidupan rakyat Mesir yang telah sekian lama tertindas di bawah cengkaman diktator kuku besi yang berkiblatkan sekularisme. Namun, lebih dari itu saya amat mengharapkan satu lagi perubahan yang lebih besar dari kemenangan ini.

Tentunya pembebasan dan pengiktirafan negara umat Islam Palestin yang berdaulat...

Palestin, derita yang telah lama

Isu Palestin tidak pernah selesai. Namun, ia seakan-akan tertutup dari perhatian dunia, bahkan ia dilihat sebagai isu yang amat kecil. Ia terus terabai dan tercicir. Hanya orang beriman dan bertaqwa sahaja yang sentiasa memikirkan nasib dan pembebasannya.

Palestin seakan dilupakan. Bukan hanya pemimpin Mesir, malah pemimpin Arab yang lain seperti Syria, Arab Saudi, Libya, Kuwait tidak bertegas dalam isu Palestin kerana bimbangkan ancaman Amerika bahkan sebahagiaannya pula menjadi ‘barua atau boneka’ kepada negara yang didakwa sebagai polis dunia itu. Sedangkan Palestin saban hari diserang dan dibantai tanpa belas kasihan.

Palestin adalah sebahagian ujian Allah SWT ke atas umat nabi Muhammad saw. Dari tiga bumi suci-Nya itu, Allah memberi keamanan kepada Makkah dan Madinah tetapi tidak untuk Palestin. Demikianlah hikmah Ilahi yang mentaqdirkannya. Ia sentiasa berdarah, pergolakan yang berlaku seumpama tiada ruang kedamaian. Malahan disekelilingnya penuh dengan komplot dan konspirasi jahat yang mahu merampasnya.

Ia menjadi rebutan sepanjang zaman untuk umat tiga agama langit yang memiliki kita samawi masing-masing yang mendakwa sejarah pendudukan dan pemerintahan disitu.

Kata Salahuddin al-Ayubi: “Sesiapa yang menguasai Palestin, maka dia akan menguasai dunia.”

Amat benar sekali kata-kata ini. Roda zaman yang berpusing menentukan bahawa bangsa Yahudi telah berjaya merampas dan mendudukinya kini selepas perjuangan lama mereka untuk menguasainya semenjak ribuan tahun dahulu. Kerana itu bangsa Yahudi telah mengusai hampir keseluruhan aspek keperluan kehidupan manusia. Mereka menguasai kedudukan ekonomi, sukan, hiburan, ketenteraan, budaya pemikiran dan sebagainya.

Palestin ceritanya panjang dan akan memanjang sehingga hari kiamat. Bermula keamanan dunia adalah dengan amannya Palestin dan bermula kecelakaan dunia dengan celakanya keadaan dibumi Palestin. Begitulah Allah SWT menetapkan sunnah-Nya bahawa Palestin adalah ujian kehidupan manusiawi.

Mudah-mudahan kemenangan ini memberi sinar baru buat umat Islam di Palestin, saya harapkan!

0 comments:

Post a Comment