Sahabat Sejati

Sunday, 3 June 2012

Siapakah 'mereka' itu?


Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, ad-Darimi, al-Baqawardi dan Ibnu Qarni di dalam Majma`ush Sahabah, juga diriwayatkan oleh Imam Bukhari di dalam Tarikhnya, dan at-Thabarani dan al-Hakim, mereka meriwayatkan daripada Abi Jum`ah al-Anshari: “Berkata dia (Abu Jum`ah al-Anshari): “Aku bertanya; ya Rasulullah! Adakah suatu kaum yang lebih besar pahalanya daripada kami, padahal kami beriman kepada engkau dan kami mengikut akan engkau? Berkata baginda: “Apakah akan halangannya bagi kamu (buat beriman kepadaku), sedang Rasulullah ada di hadapan kamu, dan datang kepada kamu wahyu (langsung) dari langit. Tetapi akan ada lagi suatu kaum yang akan datang sesudah kamu, datang kepada mereka Kitab Allah yang ditulis di antara dua Louh, maka mereka pun beriman kepadaku dan mereka amalkan apa yang tersebut di dalamnya. Mereka itu adalah lebih besar pahalanya daripada kamu.”

Dikeluarkan oleh at-Thayalisi, Imam Ahmad dan Bukhari di dalam Tarikhnya, at-Thabarani dan al-Hakim, mereka meriwayatkan dari Abu Umamah al-Bahili: “Berkata dia (Abu Umamah al-Bahili), sabda Rasulullah saw: “Bahagialah bagi siapa yang melihat aku dan beriman kepadaku; dan bahagia (pulalah) bagi siapa yang beriman kepada, sedangkan dia tidak melihat aku (tujuh kali).”

Diriwayatkan pula oleh Imam Ahmad, Ibnu Hibban, dari Abu Sa`id al-Khudri: “Bahawasanya seorang lelaki berkata kepada Rasulullah saw; Bahagialah bagi siapa yang melihat engkau dan beriman kepada engkau.” Baginda pula menjawab: “Bahagialah siapa yang melihat aku dan beriman kepadaku, dan berbahagialah bagi siapa yang beriman kepadaku, padahal dia tidak melihatku.”

Mereka itu adalah KITA, duhai sahabat-sahabat sekelian!

Kita tidak pernah bertemu dengan baginda, tidak pernah melihat wajah baginda. Kita hanya mendengar berita dan kisah baginda hanya melalui sirah-sirah baginda yang dikarang oleh para ulama. Kita hanya dapat melihat bekas-bekas sejarah di tempat tinggal baginda di Haramain. Sesungguhnya baginda telahpun meninggalkan kita lebih 14 abad yang lalu.

Namun, kita disebut sebagai sang bahagia semata-mata kerana cintanya kepada kita. Oleh itu, marilah kita buktikan pula rasa cinta kepada baginda. Rasailah dalam diri seolah-olah baginda masih ada dan kita adalah ‘mereka’ yang akan mempertahankan baginda.

Gugurkanlah titisan airmata tatkala mengenang cintanya. Tetapkanlah janji untuk melaksanakan sunnahnya dan menjadi umatnya yang terbaik.

Semoga kita dapat bertemu dengannya di hari akhirat nanti... I-Allah.

0 comments:

Post a Comment