Sahabat Sejati

Wednesday, 30 November 2011

Disebalik hijrah itu...


Melangkah kaki ke tahun baru umpama membuka buku catatan baru. Manakala buku catatan lama yang sarat terisi dengan aktiviti kehidupan selama setahun telah pun ditutup. Sebanyak mana amal yang dilakukan baik atau buruk, kita sendiri yang menilainya.

Berbahagialah mereka yang banyak melakukan kebajikan dan kerugian yang besar bagi mereka yang amal keburukannya melebihi kebajikan. Sedangkan semuanya akan dibuka kembali di hadapan Allah SWT untuk dihitung, apakah ganjaran yang selayaknya. Syurga atau neraka.

Tentunya di tahun baru ini pelbagai perancangan dan azam telah dibuat. Berjaya atau tidak azam itu bergantung kepada iktiar dan kesungguhan berserta dengan taqdir Allah SWT. Justeru berusaha dan berdoa agar setiap perancangan dikurniakan kejayaan.

Sambutan tahun baru hijrah ini amat besar maknanya. Pastinya ia sangat berbeza dengan tahun baru masihi. Tahun baru hijrah mengambil semangat roh penghijrahan junjungan mulia Rasulullah saw. Penghijrahan dari bumi kelahiran baginda, Makkah yang ketika itu pekat dengan kekufuran dan kemungkaran kepada satu kehidupan yang lebih bermakna, dibawah roh keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.

Kata Syeikh Dr Mustafa as-Siba’ei bahawa hijrah adalah antara peristiwa besar yang merubah perjalanan hidup manusia dan tamadun kehidupan. Jika idea hijrah ini tidak tercetus, berkemungkinan cahaya Islam tidak dapat menerangi dunia hingga ke hari ini.

Sesungguhnya hijrah bukan sesuatu yang biasa-biasa, ia juga bukan peristiwa yang berlaku secara semberono. Ianya adalah perancangan rapi Allah SWT yang sarat dengan peristiwa-peristiwa penting, agar umat terkemudian dapat mengambil pengajaran yang terkandung di dalamnya.

Kita boleh berfikir, Allah Maha Berkuasa menghijrahkan Rasulullah saw dengan mudah, tanpa perlu menghadapi 1000 kesusahan. Sebagaimana mudahnya Allah SWT memperjalankan Rasulullah saw dalam peristiwa Isra` dan Mikraj. Tetapi Allah SWT tidak menghendaki demikian, kerana perancangan Allah itu ada hikmah dan sebab-sebab yang memberikan pengajaran untuk dikaji oleh umat hari ini.

Tidak dinafikan, sememang Rasulullah mendapat perlindungan Allah, tetapi Rasulullah juga mendapat ancaman dari pemuka-pemuka Quraisy dan terpaksa menempuhnya dengan segala kepayahan. Begitu rapi perancangan para musuh untuk menghapuskan baginda seterusnya melenyapkan cahaya Islam yang bertapak, namun perancangan hijrah baginda yang diilhamkan oleh Allah SWT lebih tersusun dan terancang. Benar, mereka merancang, Allah jua merancang tetapi perancangan Allah adalah yang Maha Terbaik.

Mengapa Abu Bakar tidak Umar

Ketika Umar al-Khattab berkata kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah, izinkan aku berhijrah.”

Jawab Rasulullah: “Silakan wahai Umar.”

Namun, tatkala Abu Bakar as-Siddiq memohon keizinan untuk berhijrah, Rasulullah menyatakan: “Wahai Abu Bakar, sesungguhnya Allah belum memberikan keizinan untuk kita berhijrah.”

Umar al-Khattab setelah Rasulullah memberi keizinan kepadanya untuk berhijrah, beliau masuk ke Masjidil Haram lalu melakukan tawaf tujuh kali mengelilingi Kaabah. Selesai bertawaf Umar al-Khattab bersembahyang sunat dua rakaat di belakang Makam Ibrahim. Kemudian beliau berdiri di pintu Kaabah dan berteriak:

“Wahai orang-orang Quraisy! Hari ni aku ingin berhijrah. Sesiapa yang mahu menyatimkan anaknya dan menjandakan isterinya, silalah tunggu aku di hujung kota!”

Jika difikirkan logik akal, alangkah baiknya jika Rasulullah berhijrah bersama Umar al-Khattab, tentu tiada siapa yang berani mengganggu Rasulullah.

Taqdir Ilahi, Abu Bakar yang menjadi teman hijrah Rasulullah.

Inilah pertanyaan yang dilontar oleh Syeikh Said Ramadan al-Buti di dalam tulisannya, mengapa Abu Bakar as-Siddiq yang dipilih untuk berhijrah bersama Rasulullah, dan bukannya Umar al-Khattab yang terkenal dengan kebengisannya.

Katanya, sesungguhnya Allah SWT mahu menyempurnakan ketauhidan Rasulullah iaitu dengan meletakkan segenap pergantungan dan harapan serta penyerahan hanyalah kepada-Nya semata-mata. Supaya nanti tidak ada orang akan berkata, Muhammad selamat berhijrah ke Madinah kerana ada Umar al-Khattab.

Ketika itu pergantungan bukan lagi kepada Allah tetapi kepada Umar al-Khattab.

Islam adalah wahyu

Sebenarnya proses penyempurnaan ketauhidan Rasulullah saw ini tidak bermula dengan peristiwa hijrah. Bapanya meninggal ketika baginda masih di dalam kandungan, supaya tidak ada orang akan berkata baginda belajar Islam dari bapanya. Selepas itu ketika berusia 6 tahun ibunya pula meninggal, supaya tidak ada orang akan berkata Muhammad belajar Islam dari ibunya. Kemudian baginda dijaga pula oleh datuknya, tetapi juga tidak lama ekoran kematian datuknya. Supaya tidak ada orang akan berkata baginda belajar Islam dari datuknya.

Selepas itu baginda dijaga pula oleh bapa saudaranya, Abu Thalib. Lama baginda dijaga oleh bapa saudaranya, tetapi Abu Thalib tidak memeluk Islam sehingga penghujung hayatnya. Hikmah Ilahi, supaya tidak ada orang yang akan berkata Muhammad belajar Islam dengan bapa saudaranya. Mana mungkin ada orang belajar Islam dengan orang yang tidak memeluk Islam.

Demikianlah sebaik-baik perancangan Allah SWT.

Sempena tahun baru Hijrah ini marilah kita semua mengambil sebanyak mungkin pengajaran darinya untuk dijadikan panduan dalam kehidupan hari ini. Mudah-mudahan kita semua menjadi umat yang berjaya di dunia, serta di akhirat kelak.

Tuesday, 29 November 2011

Bicara Santai: Laa...ada lagi surat berantai

“Cuba tengok ni,” unjuk sahabat saya di sebelah pada skrin telefon bimbitnya.

Hari masih awal lagi, tidak ramai pelanggan yang minum di warung bawah pokok ceri yang rendang itu. Sekali-sekala saya singgah minum pagi bersama rakan sebelum ke pejabat.

“Ada apa?” Tanya saya sambil melihatnya.

Tertera ayat satu hingga tujuh dari surah Yaasin dalam tulisan rumi. Di akhir pesanan ringkas itu terdapat arahan agar si penerima mengirim pula kepada tujuh orang lain, nanti orang yang menghantarnya akan mendapat sesuatu yang tidak disangka-sangka. Entahlah, dapat apa tidak pula dinyatakan.

“Siapa yang hantar?” Saya memulangkan kembali telefon bimbitnya.

“Entahlah, tak pernah tengok nombor ni,” jawabnya bersahaja sambil menghabiskan baki air di dalam cawan.

“Senanglah macam tu ya, anta kirimlah pada orang lain pula,” saya mengusiknya.

Macam-macam.

Kisah yang sama

Saya mengimbau kembali kisah yang hampir sama.

Suatu petang, sedang saya berbual-bual kosong dengan jiran di hadapan pintu pagar rumah saya. Tiba-tiba berhenti sebuah motosikal memecah suasana petang yang hening dan damai. Penunggang dan pembonceng yang saya kenali, mereka adalah penduduk taman saya juga, suami isteri. Tetapi saya jarang berbual dengannya, sesekali jika berselisih.

Lalu si suami menghulurkan sampul surat kepada saya dan rakan di sebelah sambil tersenyum. Saya melihat di dalam raga motosikalnya masih banyak lagi sampul surat yang sama.

“Baca ya,” katanya dan terus berlalu, mungkin mahu menghantar kepada orang lain pula.

“Surat jemputan kahwin ke?” Tanya sahabat saya. Kami sama-sama membuka sampul untuk mengetahui isi kandungannya

“Laa... surat berantai rupanya, ada lagi ingatkan dah pupus,” saya bersuara dengan nada agak terkejut, begitu juga dengan rakan di sebelah.

Kandungan surat berantai tersebut kononnya dari Sheikh Ahmed, penjaga makam Rasulullah. Beliau mendakwa bermimpi bertemu dengan Rasulullah dan menyampaikan pesan kepadanya.

Rasulullah kononnya memberi satu statistik bahawa seramai 60,000 orang Islam akan mati tanpa iman pada akhir zaman. Setelah itu diselitkan nasihat supaya pembaca yakin bahawa surat ini berniat baik. Kemudian datang ugutan, sekiranya surat ini tidak diedarkan sebanyak 20 salinan, akan mendapat bala. Untuk menguatkan lagi, penulis rela kufur sekiranya isi surat ini palsu. Di datangkan pula contoh-contoh yang menjurus kepada perkara di atas.

Manakala bagi yang mengedarkannya sebanyak 20 salinan, akan mendapat laba dan keuntungan. Maka di datangkan pula beberapa contoh untuk meyakinkan pembaca.

“Ada juga yang percaya benda-benda begini,” saya menggeleng-gelengkan kepala.

Entahlah.

Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan 1978
SURAT SHEIKH AHHMED PALSU, KHURAFAT DAN DAN BOLEH MENJATUHKAN MURTAD

Majlis Fatwa Kebangsaan 1978 mengesahkan surat ini ditulis oleh paderi-paderi biara Blessings of St. Antonio, Texas, USA pada tahun 1974/75 untuk mengelirukan umat Islam. Penulis asal surat ini ialah mendiang Father Francis Jose de Villa, seorang paderi Katolik dari Argentina berketurunan Arab-Syria (bekas penganut Islam, nama asalnya Mohamed Elias Skanbeg).

Dia pernah bertugas di Instituto Sacristo Convocione Reliogioso di Brindisi, Itali sebagai mubaligh Katolik antara tahun 1966-1968 di bawah Cardinal Agostino Casaroli. Father de Villa meninggal dunia pada tahun 1980 di Texas dalam usia 54 tahun. Menurut Allahyarham Sayyed Mohamed Raisuddin Al-Hashimi Al-Quraisy, penjaga makam Rasulullah SAW di Madinah antara tahun 1967 hingga 1979, tidak ada penjaga makam bernama Sheikh Ahmad antara tahun 1881 hingga 1979.

Penjaga makam di Madinah ialah: Sayyed Turki Abu Mohamed Abdul Razaque Al-Hashimi Al-Quraisy (1881-meninggal dunia 1932), anaknya Sayyed Hashim Abu Faisal Abdul Jalil Al-Hashimi Al-Quraisy (1932-meninggal dunia 1934), adiknya Sayyed Abdul Karim Mutawwi Al-Hashimi Al-Quraisy (1934-bersara 1966) dan anak saudaranya Sayyed Mohamed Raisuddin bin Mohamed bin Abdul Razaque Al-Hashimi Al-Quraisyi (1967-meninggal dunia 1979).

Bekas menteri besar Perak Allahyarham Tan Sri Mohamed Ghazali Jawi bertaubat dan mengucap kalimah syahadat sekali lagi di hadapan Kadi Daerah Kinta pada tahun 1976 setelah beliau mengaku pernah menerima dan mengirim surat ini kepada dua puluh orang kawannya.

Peristiwa ini berlaku tidak lama sebelum beliau meninggal dunia. Bekas Kadi Daerah Kinta meminta beliau mengucap semula kerana bimbang beliau telah gugur syahadah (murtad).

Allahyarham Datuk Shafawi Mufti Selangor mengisytiharkan bagi pihak Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa barang siapa dengan sengaja menyebarkan risalah ini adalah “melakukan syirik dan tidak mustahil jatuh murtad melainkan dia bertaubat dan menarik balik perbuatannya itu terhadap sesiapa yang telah pun dikirimkan risalah ini”.

(Surat Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia Bil. 7/78/I).

Keputusan ini diiktiraf oleh Majlis Raja-raja Melayu dalam mesyuaratnya di Pekan pada 16 Oktober 1978, dipengerusikan oleh Almarhum Sultan Idris Shah, Perak. Menurut Majlis Fatwa Kebangsaan 1978, menyebar surat ini “termasuk dalam menyekutukan Allah S.W.T. dengan syirik yang amat besar (shirk-i-kubra) serta mempermainkan Rasulullah S.A.W. serta menyebar dengan niat tidak baik kekeliruan dan muslihat di kalangan umat Islam."

Lagipun, “surat ini menggambarkan pembohongan yang amat besar terhadap junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. serta ajaran baginda kerana menggambarkan SHEIKH AHMAD sebagai perawi hadith sesudah kewafatan baginda."

Allahyarham Datuk Sheik-ul-Islam Mufti Kedah dalam Risalat Al-Aman 1983/Bil 8, surat ini “paling kurang menimbulkan syirik kecil dan murtad secara tidak sengaja terkeluar dari Islam, serta syirik yang besar jika sengaja maka taubatnya tidak sah melainkan dibuat dengan sesungguhnya. Adapun jika seseorang itu menyalin surat ini kepada umat Islam lain, jatuhlah hukum ke atasnya mentablighkan perkara syirik dan khurafat.

Sesungguhnya ulama’ sependapat perbuatan itu sungguh besar syiriknya dan boleh mengakibatkan murtad walaupun tanpa sedar si pengirim.”

HENTIKAN MENGHANTAR EMAIL YANG BOLEH MENJADIKAN KITA SESAT TANPA KITA SEDARI. INSAFLAH, SEMOGA ALLAH MENGAMPUNKAN DOSA KITA

Aku ni matahari...

Ada dua orang pakcik sedang berbual di sebuah rumah. Seorang bernama Pak Sudin dan rakannya bernama Pak Mail. Mereka telah lama berkawan.

Pak Sudin : (Sambil naik atas meja) Engkau tahu tak?

Pak Mail : Tau apa?

Pak Sudin : Aku ni sebenarnya matahari (sambil mengangkat tangannya tinggi-tinggi). Engkau tengok dunia terang sebab akulah.

Pak Mail : (Dalam hati) Jangan-jangan dia ni dah gila. Isyy bahaya ni...baik aku laporkan pada doktor. Biar diperiksanya.

Sambil berlari, Pak Mail pergi ke klinik dan menceritakan apa yang berlaku kepada doktor.

Pak Mail : Doktor, kawan saya tu mungkin dah gila!

Doktor : Kenapa pakcik cakap macam tu?

Pak Mail : Betul doktor. Tadi dia naik atas meja, lepas tu angkat tangan dan cakap dia sebenarnya matahari. Dunia ni terang sebab dia yang buat.

Doktor : Kalau macam tu, suruh kawan kamu tu turun!

Pak Mail : Jangan doktor, nanti kalau dia turun gelap dunia ni pulak!

Doktor : (Dalam hati) 'Sama' je nampaknya...

Monday, 28 November 2011

Taubat orang hina hukum Allah

Soalan:

Saya ragu dengan orang yang tidak henti-henti menghina dan mempertikaikan hukum Allah. Mereka terus-menerus melakukan dengan berulang kali dengan memberikan pelbagai alasan. Soalan saya, jika mereka bertaubat, adakah Allah SWT menerima taubat mereka, sedangkan dalan surah an-Nisa` ayat 17, Allah berfirman (mafhumnya): “Hanya diterima oleh Allah, daripada orang yang melakukan dosa kerana jahil dan segera bertaubat kerana mengetahui kesalahan mereka.” Sedangkan yang menghina hukum Allah melakukan dengan penuh angkuh dan degil. Adakah Allah boleh menerima taubat orang yang sebegini?

Jawapan:

BERTITIK tolak daripada menghina dan mempersenda-sendakan hukum Allah, itu adalah kesalahan yang besar, menyamai kesalahan syirik dan kufur kepada Allah.

Ini kerana hukuman kedua-duanya sama sahaja iaitu ke neraka jahanam akhirnya.

Maka wajarlah orang yang melakukan kesalahan itu, segera rujuk untuk kembali kepada Allah dan memohon keampunan Allah dengan hati yang ikhlas untuk mendapat redha-Nya dan kembali kepada-Nya.

Ayat yang anda sebut dalam soalan di atas, jika dirujuk semula, makna sebenarnya seperti berikut:

“Sesungguhnya penerimaan taubat itu disanggup oleh Allah hanya bagi orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan kemudian mereka segera bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

Sambungan ayat itu bermaksud begini:
“Dan tidak ada gunanya taubat itu kepad orang-orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang daripada mereka hampir mati, berkatalah ia: “Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini” (sedang taubatnya itu sudah terlambat), dan (demikian juga halnya) orang-orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang-orang yang demikian, Kami telah sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (an-Nisa`: 18)

Mafhum dari kedua-dua ayat di atas, kita boleh perincikan ada tiga kategori azab dan tiga kategori taubat.

Pertama, taubat pada zahirnya diterima Allah dan yakinlah bahawa Allah akan menerima taubat tersebut. Iaitu taubat orang yang melakukan dosa, yang tidak disengajakan akibat kejahilan, tidak menyedarinya suatu kesalahan, lalu apabila ia sedar, ia terus bertaubat nasuha kepada Allah dan itulah yang Allah sebutkan dalam ayat 17 surah an-Nisa` di atas, Allah menerima taubatnya.

Kategori kedua, taubat yang diserahkan kepada Allah sama ada Dia menerima atau menolaknya. Kita cuma mengharapkan Allah menerimanya. Inilah yang disebut dalam firman Allah (mafhumnya): “Dan (sebahagian) yang lain mengakui dosa-dosa mereka. Mereka telah mencampuradukkan amal yang baik dengan amal yang lain, yang buruk. Mudah-mudahan Allah akan menerima taubat mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (at-Taubah: 102)

Ini bererti bahawa dalam kategori ini, harapan untuk diterima taubat masih ada dan ia terserah kepada Allah untuk menerimanya.

Kategori yang ketiga adalah taubat yang tidak diterima Allah (taubat yang sia-sia). Inilah yang disebut dalam surah an-Nisa` ayat 18 di atas.

Ayat ini Allah tujukan kepada golongan yang taubat mereka tidak diterima. Walau apa pun hendaklah kita bersangka baik kepada Allah kerana Allah Maha Pengampun Maha Penyayang.

Pohonlah keampunan kepda Allah seperti dalam firman-Nya (mafhumnya): “Khabarkanlah kepada hamba-hamba-Ku (wahai Muhammad), bahawa Akulah Yana Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh).” (al-Hijr: 49)

Dalam hadis yang diriwayatkan Imam Bukhari mafhumnya: “Rasulullah saw menceritakan, perihal seorang insan daripada kalangan Bani Israil yang pernah berdosa dengan membunuh 99 nyawa, lalu hendak bertaubat kepada Allah SWT dengan bertanya cerdik pandai pada zamannya, bagaimana caranya beliau boleh bertaubat untuk diterima Allah SWT.

“Dia dianjurkan untuk menemui seorang rahib. Lalu rahib itu berkata kepadanya, “Sudah tertutup jalan (pintu) taubat buat kamu, kamu tidak perlu lagi bertaubat kerana Allah tidak mahu menerima taubat kamu.”

“Lalu dengan perasaan yang amat marah, lelaki itu terus membunuh rahib tersebut, dengan menggenapkan orang ke-100 yang dibunuhnya.”

“Dia mencari lagi orang yang boleh menunjukkan jalan untuk dia bertaubat. Lalu dia menemui seorang alim lagi abid. Orang itu menunjuk jalan kepadanya dengan mengatakan, “Tinggalkanlah daerah ini dan pergilah ke suatu tempat yang dihalalkannya. Di sana kamu akan menemui insan-insan yang soleh, di bumi soleh yang akan memandu kamu ke arah taubat dan Allah akan menerima taubat.

“Pembunuh itu terus menuju ke arah yang ditunjukkan orang alim tersebut, lalu di pertengahan jalan, dia menemui ajalnya. Bagaimana pun berlaku pertelagahan antara malaikat azab dan malaikat rahmah. Hendak dibawa ke manakah roh si pembunuh ini.

“Malaikat rahmah mahu membawa ke rahmah Allah kerana dia nyata hendak bertaubat, sedangkan malaikat azab hendak membawanya ke azab Allah kerana dia tidak pernah melakukan apa-apa kebaikan, malah sudah membunuh 100 orang.

“Dalam keadaan demikian, datanglah penyelesaian, maka datanglah malaikat ketiga yang menganjurkan kepada kedua-dua malaikat yang bertelagah dengan mengukur jalan, dari tempat asal yang penuh kesesatan, ke arah jalan yang benar-benar dia hendak bertaubat. Mana yang lebih hampir.
“Apabila diukur maka didapati dia sudah benar-benar hampir ke tempat untuk dia bertaubat bersungguh-sungguh, maka dia dihukum sudah bertaubat, lalu rohnya dibawa ke rahmat Allah SWT.”

Maka renung-renunglah wahai saudaraku. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Sunday, 27 November 2011

Salam Ma'al Hijrah 1433



Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1433 kepada semua khususnya pengunjung pondok kecil abuikhwan. Semoga kedatangan tahun baru ini memberikan seribu kebaikan serta meningkatkan lagi amalan kepada-Nya.

Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:
"Barang siapa yang amalannya hari ini lebih baik dari semalam, dia adalah orang yang beruntung. Barangsiapa yang amalannya hari ini sama dengan yang semalam, dia adalah orang yang rugi. Dan barangsiapa yang amalannya hari ini lebih buruk dari hari semalam, dia tergolong orang yang dilaknat Allah SWT."

Sesungguhnya peringatan ini sepatutnya menjadi satu 'azam' kepada orang-orang yang mahu mengambil pengajaran.

Friday, 25 November 2011

Aduhai sahabat baikku...


Rasulullah saw bersabda: “Seseorang itu menurut agama sahabatnya. Maka hendaklah diperhatikan seseorang yang hendak kamu jadikan sebagai teman.” (Riwayat al-Bukhari)

Benar-benar sulit untuk mencari sahabat yang baik, sebagaimana benar-benar sulit untuk menjadi sahabat yang baik.

Bagaimanakah seorang sahabat yang baik?

Tentunya sahabat yang baik tidak cemburu dengan kejayaan sahabatnya. Sebaliknya sahabat baiklah yang paling banyak membantu untuk mencapai kejayaan.

Sahabat yang baik tidak pernah mempengaruhi sahabatnya untuk melakukan perkara-perkara yang buruk dan sia-sia, tetapi sahabat yang baik adalah orang yang sentiasa menasihati sahabatnya untuk berbuat kebaikan.

Sahabat yang baik adalah orang yang dicari ketika sedih dan gembira. Sahabat yang baik menjadi tempat meluahkan perasaan yang tidak dapat diluahkan kepada sahabat biasa.

Adakah sahabat yang sebegini di zaman manusia berlumba-lumba mengejar kemewahan dan kepentingan diri? Entahlah, mungkin ada. Tetapi terlalu payahdan sukar, satu dalam seribu, mungkin. Beruntunglah mereka yang telah menemuinya.

Bagi seseorang yang hendak mengetahui serta memperbaiki kecacatan dan keaiban dirinya ialah melalui sahabat yang jujur dan bersikap benar dalam segala-galanya. Sahabat yang sebegini akan menegur kesilapan dan keaiban sahabatnya dengan dengan penuh kejujuran dan kasih sayang.

Diriwayatkan bahawa Umar al-Khattab bertanya kepada Salman al-Farisi tentang sesuatu keaiban yang terdapat pada dirinya. Tetapi pertanyaan tersebut enggan dijawab oleh Salman kerana khuatir akan menyinggung hati dan perasaan Umar. Umar sebaliknya semakin menggesanya untuk menerangkan akan hal yang sebenarnya. Lantas Salman pun berkata, “Adalah aku mendengar bahawa engkau ada menghimpunkan dua lauk dalam satu hidangan dan pada engkau ada dua pakaian yang engkau pakai, satu siang dan satu pada malamnya.”

Umar terus bertanya lagi, “Adakah lain-lain lagi yang engkau dengar selain kedua-dua perkara itu tadi?”

“Tiada lagi selain itu,” jawab Salman.

Umar berkata, “Adapun dua perkara yang engkau sebutkan itu, maka sesungguhnya aku akan berusaha mengubahnya.”

Diriwayatkan Rasulullah saw pernah bersabda: “Barangsiapa yang Allah kehendaki kebaikan baginya, nescaya Allah akan mengurniakannya sahabat yang soleh, jika ia lupa akan diingatkannya dan jika diingatkannya akan menolongnya.”

Anda telah menemui sahabat yang baik?

Hati dilukai?


Hati dilukai?

Siapa yang tidak pernah terluka hatinya. Memang memedihkan, bagai dihiris sembilu, dicucuk selumbar.

Sehingga mengundang kekecewaan, terasa putus asa dalam kehidupan.

Seiap insan memang menginginkan diri dihargai, dicintai dan mahu rasa bahagia. Itu adalah fitrah yang lahir dari lubuk hati.

Tetapi tidak semudah itu untuk memperolehinya. Liku-liku yang dilalui, tidak sedikit yang kecundang di sepanjang jalan.

Penuhilah keyakinan di segenap jiwa bahawa di sana ada hikmah tersembunyi walau pun hati sering dilukai. Sesungguhnya di sebalik kelukaan itu ada janji Allah buat mereka yang bersabar. Anggaplah kelukaan itu satu ujian dan dugaan, bahawa ia adalah hidayah Allah untuk menarik kita agar mendekatkan diri kepada-Nya.

Kelukaan dan kekecewaan itu terlalu manis dan indah andai kita menilainya dengan pandangan mata hati. Jauhi prasangka buruk kepada Allah, bimbang ianya akan menjerumuskan kita kepada kufur nikmat lantas menafikan segala yang ditaqdirkan adalah yang terbaik buat hamba-Nya.

Tanamkan rasa syukur dan sabar.

Syukur, kerana kita percaya masih ada sinar kebahagiaan disebalik kelukaan. Bukankah Dia telah berjanji disebalik kesusahan ada kesenangan? Maka yakinlah sepenuhnya.


فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا , إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا
"Kerana sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan."

Sabar, kerana Dia akan bersama dengan orang-orang yang memiliki kesabaran. Yakinlah...

Bukankah kita masih ada Dia?

Tuesday, 22 November 2011

Hukum dakwa hudud 'out of date'

Soalan:

Sering kita lihat dalam penulisan terutamanya dalam blog-blog di internet dan juga kita dengar dalam ceramah-ceramah politik, ada umat Islam menyebut secara langsung atau tidak langsung bahawa hukuman hudud sudah tidak relevan lagi dengan zaman tanpa sempadan ini. Ada yang kata hudud 'out of date' (ketinggalan zaman). Bagaimanakah pendapat mereka ini dan apakah hukum Islam terhadap mereka?

Jawapan:

INILAH masalah ummah, terutamanya kita di Malaysia yang sering kali tenggelam timbul dalam permasalahan besar ini, yang kadang-kadang diremehkan segelintir daripada kita, tanpa memikir kesannya terhadap keimanan kita kepada Allah SWT.

Ya, benar saya juga pernah berhadapan dengan mereka yang mengungkapkan kata-kata sedemikian. Pada saya hal ini amat menyayat hati dan meremang bulu roma saya, akibat ketakutan kemurkaan Allah kerana tergamak manusia yang daif dan serba kekurangan dalam segala hal, sanggup meremehkan, mencela serta merendah-rendahkan hukum-hukum Allah yang Maha Agung. Allah yang Maha Mengetahui segala-galanya.

Hukuman hudud, adalah hukum dari Allah yang telah ditetapkan dengan jelas, terang serta nyata dalam al-Quranulkarim, menerusi ayat-ayat dalam surah-surah, antaranya berikut:
i : Surah al-Maidah, ayat 44, 45, 47, 48, 49 dan 50.
ii : Surah al-Baqarah, ayat 187 dan 229.
iii : Surah an-Nisa`, ayat 14.
iv : Surah at-Taubah, ayat 63.

Banyak lagi dalam surah-surah lain, yang semuanya, atau keseluruhannya menyebut dengan terang. Mengenai hukuman-hukuman hudud yang wajib dilaksanakan.

Ulama-ulama yang muktabar telah berijma`, wajib melaksanakannya. Mengingkari atau menghinanya, rosaklah aqidahnya.

Hukum-hukum Allah selama-lamanya relevan, kerana Allah mencipta hukum-hukum itu dengan ilmu-Nya yang Maha Luas. Mengetahui yang dahulu, sekarang dan akan datang, malah mengetahui zahir dan batin manusia.

Allah mengetahui keperluan yang segera dan akan datang, mengetahui keperluan dunia dan kebaikan akhirat.

Oleh kerana itu, hukum Allah mengambil kira semuanya. Maka ia tetap relevan sehingga ke akhir zaman.

Firman Allah (mafhumnya): "Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang tetap hidup, yang kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekelian makhluk-Nya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisi-Nya melainkan dengan izin-Nya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun daripada (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmu-Nya dan kekuasaan-Nya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dialah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaan-Nya), lagi Maha Besar (kekuasaan-Nya)." (al-Baqarah: 255)

Itulah ayat Kursi yang kita baca setiap hari. Cumanya kebanyakan kita tidak merenungi mesej yang Allah sampaikan dalam ayat itu. Ia patut sangat direnungi.

Siapalah kita yang sanggup meremeh dan merendah-rendahkan hukum Allah? Allah SWT mengingatkan kita bahawa Dia yang mencipta manusia dalam keadaan lemah longlai.

Firman Allah (mafhumnya): "Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah." (an-Nisa`: 28)

Firman Allah (mafhumnya): "Tidakkah manusia itu melihat dan mengetahui, bahawa Kami telah menciptakan dia daripada (setitis) air benih? Dalam pada itu (setelah Kami sempurnakan kejadiannya dan tenaga kekuatannya) maka dengan tidak semena-mena menjadilah ia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya (mengenai kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang mati)." (Yaasin: 77)

Gaya bahasa yang sering digunakan golongan penentang ini antaranya, `undang-undang Islam sudah tidak relevan, 'out of date' atau ketinggalan zaman, adalah dengan nyata menghina hukum Allah.

Pada waktu yang sama golongan ini menjulang tinggi undang-undang ciptaan manusia yang disifatkan mereka 'up to date', kononnya lebih maju dan berdaya saing.

Golongan ini ditempelak Allah menerusi firman-Nya (mafhumnya): "Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliah (ciptaan manusia)? Padahal, kepada orang-orang yang penuh keyakinan, tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah." (al-Maidah: 50)

Golongan yang pernah terlanjur kata atau masih termasuk dalam golongan ini, saya menyeru agar anda kembali kapada Allah. Bertaubat nasuha kepada-Nya, seperti yang Allah sarankan menerusi firman-Nya (mafhumnya):

"Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepada-Nya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan." (az-Zumar: 54)

Insaflah wahai saudara yang seagama denganku. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Tahniah Malaysia!!!

Walaupun terlewat tetapi saya tidak malu untuk mengucapkan...Tahniah, tahniah dan tahniah kepada skuad Harimau Muda Malaysia kerana memenangi pingat emas bolasepak Sukan Sea ke-26. Anda semua adalah kebanggaan kami...

Tahniah juga kepada rakyat Malaysia yang setia memberikan sokongan, terutama mereka yang berada di Stadium Gelora Bung Karno. Anda juga menjadi kebanggaan kami...


*Ingatkan dapat cuti ke...he3

Sunday, 20 November 2011

Hati...sukar dimengertikan


Hati ini terlalu unik, hati ini amat sukar untuk dimengertikan. Ada ketika tenang dan tenteram. Kadang-kadang ia resah dan gelisah. Ada masanya ia bagaikan kosong tidak terisi.

Ada waktunya ia gagah dan perkasa, walaupun datang ujian bersilih ganti, walaupun ada kata-kata yang menggigitnya, namun ia tetap teguh tak terusik bak batu karang di tengah samudera.

Namun diwaktu ia lemah dan longlai, walaupun kata-kata yang sama diucapkan, ianya bagai dihiris sembilu. Bisanya menusuk hingga lubuk yang paling dalam.

Benarlah, hati itu berbolak-balik sifatnya bagaikan masakan di atas dapur yang mendidih dan menggelegak.

Itulah uniknya hati...benar-benar sulit dimengertikan.

يا مقلب القلوب ثبت قلوبنا على دينك
"Ya Allah, Tuhan yang membalik-balikkan hati maka tetapkanlah hati kami pada agamamu."

Saturday, 19 November 2011

Perubahan itu pasti...


Allah SWT menganugerahkan kekuatan dan akal budi kepada manusia, sehingga manusia dapat bertindak sendiri dan mengendalikannya dirinya sendiri di bawah naungan-Nya.

Dalam erti kata, manusia berkuasa ke atas dirinya dalam batas-batas yang ditentukan oleh Allah SWT. Oleh itu, manusia wajib berusaha menentukan garis hidupnya, jangan hanya menyerah kepada taqdir semata-mata.

Sebagai seorang Muslim, kita tidak boleh menyerah semata-mata kepada taqdir, tetapi kita yakin dan percaya adanya taqdir. Kita juga tahu Allah SWT tidak akan merubah nasib kita, sekiranya kita sendiri tidak berusaha merubahnya. Kita juga percaya bahawa dalam perjalanan hidup yang dilalui, tidak mustahil akan menemui kegagalan dan kecelakaan yang tidak disangka-sangka, walaupun telah dibuat persiapan yang rapi. 

Sebab itulah, dalam setiap kegiatan atau pekerjaan yang dilakukan kita tidak boleh sesekali melepaskan ingatan kepada-Nya. Maka, jika kita ditimpa musibah atau dugaan, jiwa kita telah bersedia menghadapinya dan sentiasa ingat bahawa pelindung kita hanyalah Allah SWT. Nah! Disinilah letaknya kekuatan, sehingga jiwa sesekali tidak merasa sepi, bimbang, goyah dan putus asa.

Berubahlah wahai diri!

Firman Allah SWT:

“...Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolaknya; dan sesekali tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia.” (ar-Ra`du: 11)

Di dalam ayat di atas dapatlah kita fahami bahawa Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, jika mereka sendiri tidak mengubah sikap dan akhlaq yang ada pada mereka. Contohnya satu kaum atau bangsa yang suka berpecah-belah dan bermusuh-musuhan sesamanya, mereka pasti akan lemah dan mundur dalam segenap hal, baik dalam ekonomi, pemerintahan, pendidikan dan sebagainya.

Ingatlah! Hal keadaannya itu tidak akan diubah oleh Allah SWT, jika mereka sendiri tidak mengubah sikap dan akahlaq mereka yang suka berpecah-belah dan bermusuhan. Seumpama orang yang malas, nasibnya akan menjadi miskin dan sentiasa hidup dalam kesusahan. Nasibnya tidak akan diubah oleh Allah SWT, selagi dia sendiri tidak membuang sifat pemalas itu terlebih dahulu.

Kata seorang ahli hikmah: “Janganlah meminta kepada Allah, “kayakanlah aku” sedangkan dia sendiri tidak suka berusaha kerana langit tidak akan menurunkan hujan emas dan perak.”

Usahakanlah untuk berubah...

Jangan ditangguh perubahan itu andai ianya menjurus ke arah kebaikan. Bimbang ia adalah peluang datang yang hanya sekali.

Berubahlah wahai diri!

(Rujukan: Tafsir al-Azhar)

AURA IMAN: Membongkar Ibrah di Sebalik Sunnatullah


Adakah kita ambil peduli dengan apa yang berlaku di sekeliling kita?

"Maka insaflah dan ambillah ibrah (pelajaran dari peristiwa itu) wahai orang yang berakal serta celik mata hatinya." (al-Hasyar: 2)

Aura Iman mengajak kita berfikir dan bermuhasabah untuk mencari pengajaran dan hikmah disebalik pelbagai kejadian yang melingkari kehidupan. Ada yang kita terlepas pandang, walhal itu amaran Allah untuk kembalikan iman kita agar tidak tersasar jauh dari jalan menuju redhaNya.

"Marilah kita lakukan 'post mortem' dengan ikhlas bagi mencapai matlamat menyahkan segala toksid, virus dan bakteria yang bersarang di hati kita. Kita sebagai umat terbaik yang diciptakan Allah mampu mempersembahkan adegan hati terunggul dengan sikap 'towering personality'. Kita sebagai umat pilihan mesti bangun dan jangan lalai lagi. Bangunlah membina landskap hati yang indah lagi mempesonakan dunia. Biar dunia tertawan dan tergoda dengan keindahan hati budi kita yang murni lagi luhur terpuji bersama percikan iman yang membara di sanubari!"

Tajuk : AURA IMAN: Membongkar Ibrah di Sebalik Sunnatullah
Penulis : Wan Ruzlan Wan Omar
Penerbit : Galeri Ilmu Sdn Bhd
Harga : SM 22.00 / SS 24.00
Muka Surat : 230

Aku dah tanda dah!

Suatu hari, Kassim, Ah Keat dan Ramasamy pergi memancing di laut Hmm...dahsyat sungguh, hari itu dalam masa yang tidak sampai lima jam saja, mereka memperolehi 40 kilogram ikan! Sebelum balik, Kassim pun memberitahu Ramasamy, "Banyak betul ikan kat sini. Baik engkau tanda tempat ni, esok kita boleh datang lagi."

Esoknya mereka menyewa sebuah bot dan pergi ke lokasi semalam. Sejurus tiba di tengah laut, mereka jadi pening sebab tidak dapat mengesan tempat yang dicari-cari. "Rama... engkau dah tanda tak tempat tu semalam?" tanya Kassim sambil memandang muka kawan baiknya itu.

"Dah! Aku dah buat tanda pangkah besar kat lantai bot!" jawab Ramasamy.

Mendengar jawapan Ramasamy tadi, Ah Keat terus berdiri dan bercekak pinggang, "Cit aparaa....! Tak ada akal ka lu, Rama! Itu macam aa..., apa pasal hari ini lu sewa lain bot?"

(Cerita hanya rekaan semata. Diceritakan oleh sahabat saya sewaktu dalam perjalanan menuju ke Temerloh tempohari)

Thursday, 17 November 2011

Di mana pemuda kami hari ini...


ALLAH SWT berfirman (mafhum):
“(Ingatkanlah) tatkala pemuda-pemuda mencari tempat perlindungan ke dalam gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu, dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami (ini).” (al-Kahfi: 10)

“Kami ceritakan kisah mereka kepadamu (Muhammad) dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk.” (al-Kahfi: 13)

“Dan Kami telah meneguhkan hati mereka di waktu berdiri, lalu mereka berkata: “Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi, kami sekali-kali tidak menyeru tuhan selain Dia. Sungguh, kalau kami berbuat demikian, tentu kami telah mengucapkan perkataan yang sangat jauh daripada kebenaran.” (al-Kahfi: 14)

Kisah 7 orang pemuda.

Mereka tidak bersama dengan pemerintah yang zalim.

Mereka mendapat ilham daripada Allah kepada jalan yang benar, maka terisilah jiwa mereka dengan iman dan taqwa.

Allah SWT meneguhkan hati mereka, menyatupadukan mereka di dalam satu pendirian yang sangat bertentangan dengan pemikiran kaum mereka.

7 pemuda ini meninggalkan kampung halaman mereka.

7 pemuda ini meninggalkan kehidupan yang senang dan mewah.

Benarlah kata junjungan mulia – “Sesungguhnya pemuda yang bertaqwa kepada Allah lebih disayangi Allah dari si tua yang bertaqwa.”

Kerana payahnya orang muda mahu bertaqwa, lebih-lebih lagi di zaman ini...

Di mana pula pemuda kita?

Di jalanraya!
Di pasaraya!
Di pesta ria!
Akhirnya tiada apa yang ada!

Semoga Allah menyelamatkan pemuda-pemuda di zaman kami ini..........Ameen.

Tuesday, 15 November 2011

Cintanya pada umat...


Tanpa sedar, lebih 1430 tahun Rasulullah saw telah meninggalkan kita. Masa yang beredar menjarakkan kita dengan ungkapan kasihnya...ummati, ummati, ummati...

Kalimah yang menggambarkan betapa sayangnya baginda kepada kita semua.

Daripada Abdullah bin Amru bin al-Ash ra.; Sesungguhnya Rasulullah saw membacakan ayat Allah mengenai Nabi Ibrahim as:

“Wahai Tuhanku, berhala-berhala itu telah menyesatkan banyak umat manusia. Oleh itu, sesiapa yang menurutku maka ia adalah dari golonganku dan barangsiapa yang menderhakai aku, maka sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang” (Ibrahim: 36)

Kemudian membaca kata-kata Nabi Isa as:

“Jika Engkau menyeksa mereka, maka sesungguhnya mereka adalah hamba-Mu; dan jika Engkau mengampunkan mereka; maka sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (al-Maidah: 118)

Maka Rasulullah mengangkat tangannya dan berdoa: “Ya Allah, ummatku...ummatku” dan Rasulullah menangis. Allah berfirman: “Wahai Jibril, pergilah kepada Muhammad dan Tuhanmu Maha Mengetahui, tanyakan kepadanya apakah yang menyebabkan dia menangis.”
Jibril mendatangi Rasulullah dan bertanya. Rasulullah memberitahu bahawa Allah Maha Mengetahui (tentang apa yang ditangisi)

Allah berfirman: “Wahai Jibril, pergilah kepada Muhammad dan katakan sesungguhnya Kami meredhaimu pada umatmu dan Kami tidak menganiayaimu.” (Muslim)

Nah! Betapa besarnya kecintaan baginda, apakah kita mengerti dan merasai hakikatnya.

Namun, di manakah Rasulullah di sudut hati kita, adakah di tempat yang paling tinggi di dalam hati?

Sedalam manakah perasaan cinta kita kepada Rasulullah,adakah sama dengan cinta kita kepada isi dunia?

Bagaimanakah gejolak rindu kita kepada Rasulullah, mungkin secalit sahaja berbanding rindu kepada kekasih hati?

Rasakanlah persoalan ini di dalam hati.

Ada yang tidak ambil kisah tentang Rasulullah saw. Ada yang menganggap soal Rasulullah saw hanyalah pada ajarannya bukan kepada peribadinya. Tidak kurang yang menganggap ia bukan perkara pokok, tidak perlu diperbesar-besarkan. Sedangkan baginda diutus sebagai penunjuk jalan, sumber kebenaran dan penyelamat bagi kehidupan manusia di dunia dan akhirat.

Renungkanlah sabdanya ini...

Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alayhi wa Sallam telah pergi ke kawasan perkuburan dan berkata, “sejahtera ke atas kamu (penghuni) negeri orang-orang yang beriman. Sesungguhnya kami Insya Allah akan menyusuli kamu. Amat ingin di hatiku seandainya dapat kita melihat saudara-saudara kita”. Sahabat bertanya: Apakah kami ini bukan saudara-saudaramu ya Rasulullah? Baginda menjawab: “Kamu semua adalah sahabat-sahabatku. Sedangkan saudara-saudara kita adalah (orang-orang mukmin) yang belum muncul (i.e mukmin di masa hadapan) – [Riwayat Muslim]

Apakah yang kita fikirkan jika seorang lelaki rindukan seorang calon isteri, sedangkan calonnya belum ada!!?

Mungkin kita akan berkata lelaki itu tidak waras, mana mungkin seseorang merindui kepada seseorang yang tidak wujud.

Namun Baginda telah merindui kita sebelum kita ada.

Baginda melihat perkuburan, menginsafi bahawa dirinya tidak kekal dan akan kembali kepada Dia. Pastinya baginda tiada peluang untuk bertemu dengan saudara-saudaranya.

Siapakah saudara-saudaranya itu? Tidak lain dan tidak bukan, KITALAH WAHAI SAUDARA DAN SAUDARI…

Renungkanlah, andai masih ada lagi sedikit perasaan halus di sudut hatimu...

Duhai Rasulullah
Tiada lukisan yang dapat melukis akhlaqmu
Tiada kata yang seindah dan selembut bicaramu
Engkaulah tauladan dan ikutan
Engkaulah keistimewaan di mata sahabatmu
Demikian keistimewaan di hati kami
Meskipun dikau insan biasa...
Selawat dan salam ke atasmu ya Rasulallah, syafaatkan kami di hari pertemuan kita.
Dengan ikhtiar perjuangan yang tidak seberapa ini, ibarat tenggelam timbul di lautan kefasiqan.
Moga terenjis jua belas ehsanmu duhai Rasulullah, agar mengakui kami ini umatmu.

Ameen ya Rabbal ‘Aalameen.

Monday, 14 November 2011

Kenapa ulama tidak sekata isu hudud?

Soalan:

Kenapa umat Islam, hatta di kalangan ulama-ulama terbilang di Malaysia, tidak bersependapat dalam hal pelaksanaan hudud? Malah mereka dilihat bertentangan antara satu sama lain. Seolah-olah hukum hudud itu ada pilihan untuk melaksanakannya atau tidak melaksanakannya. Mohon pandangan dalam perkara ini. Terima kasih.

Jawapan:

BERLAINAN pendapat dalam Islam adalah perkara lumrah dari dahulu hingga sekarang.

Bagaimanapun perlulah diketahui bahawa berlainan pendapat itu, ada yang diharuskan syarak dan ada yang dilarang. Malah ada yang amat-amat dilarang.

Yang diharuskan adalah pada perkara-perkara furuu`iyyat (masalah-masalah cabang) yang tidak ada nas syarak yang memastikannya.

Adapun yang diharuskan berkhilaf, adalah pada ruang ijtihad pada perkara yang tiada nas syarak, tiada ayat yang menetapkan hukumnya. Lebih-lebih lagi pada perkara yang baru timbul, di mana tidak pernah berlaku sebelum ini.

Contoh jelas yang diharuskan berkhilaf. Seperti bila mana sahabat-sahabat Rasulullah saw tidak bersependapat, sama ada hendak menghimpun dan menulis semula al-Quran.

Abu Bakar as-Siddiq berpendapat tidak boleh dibuat kerana Rasulullah saw tidak melakukannya dan tidak pernah ada suruhan melakukannya.

Umar al-Khattab ra. berpendapat, perlu dilaksanakan usaha pengumpulan dan penulisan al-Quran kerana dibimbangi akan hilang daripada hafalan ummah. Sebabnya pernah berlaku, ramai penghafal al-Quran yang terkorban syahid. Generasi kemudian akan kehilangan al-Quran.

Apabila mereka bertelagah, akhirnya mereka bersetuju perlu dihimpun dan ditulis semula al-Quran.

Demikian juga mereka bertelagah dalam memilih seorang ketua negara untuk menggantikan Rasulullah saw, bagi meneruskan pemerintahan Islam. Mereka bertelagah pada memilih orang, yang akhirnya mereka bersetuju memilih Abu Bakar as-Siddiq.

Dalam permasalahan hudud, perlu atau tidak melaksanakannya, telah dijawab oleh amalan Rasulullah saw, para sahabat dan juga as-salafussoleh. Perlu melaksanakannya.

Mereka tidak pernah bertelingkah kerana wujud nas-nas syarak yang amat jelas, menyuruh kita, khasnya pihak berkuasa agama, pada setiap generasi, pada setiap negara, wajib melaksanakannya.

Sepatutnya tidak berlaku pertentangan pendapat di kalangan ulama-ulama muktabar, khasnya ulama `amilin (yang beramal dengan ilmunya), jika kesemua mereka benar-benar takutkan Allah dan melaksanakan perintah Allah.

Bagaimanapun jika ada di kalangan mereka, yang takut akan kehilangan maslahat keduniaan, daripada kemurkaan Allah SWT dan azabnya, maka akan berlakulah apa yang anda ajukan pada persoalan di atas, bahawa ada ulama bertelingkah.

Setiap satu dalam kesalahan hudud (mencuri, merompak, berzina, menuduh zina, meminum arak, murtad) semuanya telah ditetapkan Allah hukumannya di dalam al-Quran.

Menerusi ayat-ayat yang muhkamat (jelas dan terang hukumnya) dan juga hadis-hadis sahih, maka pelaksanaannya adalah wajib.

Seperti Allah SWT memerintahkan kita melaksanakannya dalam perintah-Nya menerusi ayat (mafhumnya): “Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu daripada sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah daripada dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan daripada umat manusia itu adalah orang-orang yang fasiq.” (al-Maidah: 49)

Di kalangan ulama-ulama muktabar tidak berlaku khilaf dalam kewajipan melaksanakannya. Ini kerana mempertikaikan kewajipannya, adalah bererti melawan dan mempertikaikan hukum Allah yang tsabit wajibnya.

Jika berlaku demikian, maka bererti mereka melawan hukum Allah. Mengendalakan hukum Allah, mempertikaikan hukum Allah adalah menentang Allah. Firman Allah (mafhumnya): “Tidakkah mereka mengetahui bahawa sesiapa yang menentang (perintah-perintah) Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya adalah baginya neraka Jahannam serta ia kekal di dalamnya? Balasan yang demikian adalah kehinaan yang besar.” (at-Taubah: 63)

Ayat-ayat yang sedemikian maksudnya, banyak berulang di dalam al-Quran. Antaranya firman Allah (mafhumnya): “Sesungguhnya orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, mereka tetap ditimpa kehinaan sebagaimana orang-orang yang terdahulu daripada mereka ditimpa kehinaan; kerana sesungguhnya Kami telah menurunkan keterangan-keterangan yang jelas nyata. Dan bagi orang-orang yang kafir disediakan azab seksa yang menghina.
“Sesungguhnya orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, mereka termasuk dalam golongan yang amat hina.” (al-Mujadalah: ayat 5 dan ayat 20)

Ulama muktabar dan terbilang, tidak mungkin bertelingkah kerana mereka tahu akibat penentangan itu akan menghadapi seksa Allah yang amat keras menunggu mereka.

Ada kalangan ulama yang menjadi ahli politik, menggunakan akal pendek mereka dan menilai kepentingan dan pulangan-pulangan duniawi, atau membela dan mempertahankan kedudukan, atau kepentingan-kepentingan khususnya, yang mereka berselindung di sebalik kalimah (bahasa) yang seolah-olah mereka bukan menentang, tetapi sebenarnya menentang.

Ini kerana dalam hati mereka, mereka tidak mahu melaksanakan hukuman hudud. Sebenarnya hukum-hukum hudud tidak pilihan bagi kita, melainkan mencari jalan yang terbaik untuk melaksanakannya, dan sama-sama menggalas amanah untuk memahamkan masyarakat tentang kebaikan hukuman itu, bagi dilaksanakan sebaik-baiknya tanpa sebarang kecelaruan. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Saturday, 12 November 2011

Alhamdulillah...


Satu kisah...

Seorang lelaki berangkat berjihad di jalan Allah, sementara dia meninggalkan isteri dan anak-anaknya. Beberapa wanita tetangganya yang lemah iman berkata kepada isteri lelaki tersebut: "Wahai ibu yang malang, apabila Allah mentakdirkan maut untuk suamimu dan menjadi syahid, maka siapakah yang akan menghidupi dan menjaga anak-anakmu?"

Wanita mukminah ini hanya menjawab perkataan mereka dengan keras, sepenuh iman dan keyakinan: "Aku hanya mengenal suamiku sebagai seorang yang hanya dapat makan. Aku tidak pernah mengenalnya sebagai yang menurunkan rezeki. Apabila orang yang hanya dapat makan itu telah mati, maka Yang Maha Pemberi rezeki akan tetap hidup."

Ya, Pemberi rezeki tetap hidup dan tidak akan berkurang khazanah-Nya, walaupun diberi kepada seisi bumi. Allah, Tuhan kita yang amat pemurah.


“Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan menyempitkan (siapa yang dikehendaki-Nya)”. Dan barang apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dialah Pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.” (Saba’: 39)

Alhamdulillah.

Tuesday, 8 November 2011

Fikiran boleh kena `culik`?

Soalan:

Jiran saya hilang segala ingatannya kerana terbabit dalam suatu kemalangan jalan raya, tetaoi anehnya dia masih boleh balik ke rumah. Setelah pulih beliau merasakan kemungkinan fikiran beliau telah diculik. Ada sahabat bercerita tentang saudaranya sakit, mengadu fikirannya kosong, dia diculik dan kemudian meninggal dunia selepas itu. Saya sendiri mengalami keadaan sedemikian, pada suatu pagi, sedang saya berjalan-jalan, tiba-tiba pandangan dan fikiran saya jadi kosong. Soalan saya, bolehkah fikiran kita diculik, bagaimana ia boleh menjadi kosong dan bagaimana hendak menghindarkannya. Terima kasih.

Jawapan:

PERKARA yang anda kemukakan, adalah permasalahan yang biasa berlaku dalam mana-mana masyarakat manusia. Masalah hilang fikiran (ingatan), sama ada seluruhnya, separuhnya, seperempat daripadanya atau sebahagian kecil daripadanya, adalah perkara biasa, yang banyak aspek boleh dianalisis natijahnya.

Semuanya tidak ada kena mengena dengan culik menculik akal fikiran manusia.

Fikiran bukan macam manusia. Manusia boleh diculik, tetapi fikiran tidak boleh diculik. Yang bolehnya, fikiran itu sendiri hilang. Ini dipanggil hilang fikiran.

Perihal mengenai fikiran seseorang itu, selalu diungkapkan dalam masyarakat kita dengan istilah, ‘hilang fikiran’, ‘serabut fikiran’, ‘kusut fikiran’, ‘fikiran buntu dan terganggu’, ‘lupa’, ‘sewel’, ‘nyanyuk’ dan sebagainya.

Ini menunjukkan permasalahan yang berkaitan fikiran adalah masalah lazim yang dihadapi manusia, dalam berbagai-bagai peringkat umur.

Fikiran boleh hilang semua sekali dengan berlakunya kemalangan, seperti yang anda nyatakan dalam soalan di atas. Mungkin kerana hentakan kuat di kepala sehingga bergegar otak yang boleh mengubah mekanisme yang menyimpan maklumat, serta berlaku kerosakan kepada struktur fikiran dan simpanan maklumat terganggu.

Contoh senang yang boleh berkongsi fakta. Dalam telefon mudah alih, kita ada alat kecil penyimpan maklumat yang dipanggil chip atau gadget. Di dalamnya disimpan pelbagai maklumat, khususnya pelbagai nombor, SMS dan sebagainya.

Jika telefon kita termasuk air, terhempas atau terhentak dengan agak kuat, maka maklumat didalamnya akan hilang.

Akal manusia juga seumpama itu. Kadang-kadang kita terlupa. Ada maklumat yang disimpan dalam ingatan, tetapi kita lupa.

Untuk mengingatkan kembali maklumat seperti ini, biasanya kita beristighfar ke hadrat Allah SWT atau berselawat ke atas Nabi Muhammad saw beberapa kali, insya-Allah maklumat itu akan datang semula.

Malah ada kalangan kita yang menghafal al-Quran dan hadis-hadis Nabi, tetapi lupa. Malah ada yang lupa seluruhnya.
Inilah yang disabdakan oleh Rasulullah saw dalam hadisnya (mafhumnya): “Manusia tidak sunyi daripada melakukan kesalahan dan lupa.”

Bukan sahaja kita orang biasa yang lupa. Hatta di kalangan Rasul-Rasul Allah, ada yang lupa. Seperti yang disebutkan dalam al-Quran, mengenai kisah Nabi Musa as. dengan pembantunya, dalam perjalanan mencari insan yang istimewa.

Kedua-duanya terlupa kisah ikan yang mereka bawa, sebagaimana firman Allah dalam al-Quran (madhumnya): “Maka apabila mereka berdua (Musa dan pembantunya) sampai ke tempat pertemuan dua laut itu, lupalah mereka akan hal ikan mereka, lalu ikan itu menggelungsur menempuh jalannya di laut, yang merupakan lorong di bawah tanah.” (al-Kahfi: 61)

Ertinya, Nabi Musa juga terlupa atau terhilang daripada ingatannya akan perkara tersebut.

Nabi Adam as. pernah terlupa, seperti kisahnya dalam al-Quran (mafhumnya): “Dan demi sesungguhnya, Kami telah berpesan kepada Adam pada masa yang lalu, tetapi ia lupa; dan Kami tidak mendapatinya mempunyai keazaman yang teguh.” (Thaha: 115)

Itulah sifatnya manusia, ia ada fikiran, ada ingatan, tetapi kadang-kala ia terlupa.

Merujuk kepada persoalan yang anda timbulkan, itulah sifat manusia. Dalam banyak perkara sering terlupa, lupa biasa, lupa yang agak serius dan ada kalangan lupa yang sangat serius.

Kita sering terlupa kecil-kecilan, lupa maklumat-maklumat mudah, lupa pesanan orang, itu adalah lupa biasa. Tetapi lupa hingga hilang seluruh ingatan, ia adalah penyakit.

Maka hendaklah kita sering beristighfar ke hadrat Allah SWT, kita banyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad saw dan mohonlah ke hadrat Allah supaya dihindari kita termasuk dalam golongan yang lupa, khasnya lupa ke hadrat Allah SWT.

Ingatlah bahawasanya, kita milik Allah dan kepada Allah jua kita akan kembali. Sekian, wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Monday, 7 November 2011

Seteguh hati milik Ibrahim


Firman Allah SWT:
“Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berqurbanlah.” (al-Kauthar: 2)

Qurban menurut bahasa memberi maksud hampir atau dekat. Manakala dari sudut istilah pula ialah menyembelih haiwan tertentu pada hari Nahar, 10 Zulhijjah, dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zuhijjah) dengan niat.

Asal mula qurban berpangkal dari peristiwa yang berlaku di antara Nabi Ibrahim as. dan Nabi Ismail as. Baginda tergolong di kalangan orang yang berada. Nabi Ibrahim as. telah berqurban 1000 ekor kambing, 300 ekor lembu dan 100 ekor unta. Malaikat dan orang biasa merasa kagum dan takjub dalam hal tersebut.

Kata Nabi Ibrahim as.: “Semua yang menjadi qurbanku itu belum menjadi apa-apa bagiku (tiada ertinya bagiku). Demi Allah, jika aku dianugerahi seorang anak lelaki, tentu aku persembahkan pula di jalan Allah dan aku korbankan dia untuk Allah Ta`ala.”

Masa berlalu, maka beliau telah pun terlupa akan kata-katanya. Sesampainya di Tanah Suci, beliau memohon kepada Allah SWT agar mengurniakan seorang anak, lalu Allah mengabulkan permohonannya.

Ketika anaknya meningkat usia boleh berusaha bersamanya (ada yang mengatakan berusia 7 tahun, manakala ada pendapat mengatakan 13 tahun), maka dikatakan kepada Nabi Ibrahim, di dalam mimpi: “Tunaikanlah nazarmu!”

Kata Ibnu Abbas ra.: “Ketika pada malam Tarwiyah dia tidur, bermimpi ada orang berkata: “Wahai Ibrahim, tunaikanlah nazarmu!”

Kisah Qurban

Menurut Imam Qurtubi di dalam tafsirnya: Sesungguhnya Ibrahim bermimpi pada malam Tarwiyah (8 Zulhijjah) bahawa seseorang berkata: “Sesungguhnya Allah memerintahkan untuk menyembelih anakmu.” Ketika subuh tiba Ibrahim berfikir, apakah ia mimpi dari Allah atau dari syaitan. Maka dinamakan hari itu hari Tarwaiyah. Pada malam kedua ia bermimpi lagi dengan mimpi yang sama, lalu diingatkan kepada janji yang pernah dilafazkan. Ketika subuh sudah tiba, sedarlah ia bahawa mimpi itu dari Allah. Maka dinamakan hari itu hari `Arafah. Kemudian Ibrahim bermimpi lagi pada malam ketiga. Maka ia tekad untuk menyembelih anaknya. Hari tersebut dinamakan hari Nahar (hari menyembelih). Ketika Ibrahim melakukan penyembelihan, Jibril as. mengucapkan: Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar. Manakala Ismail mengucapkan: Laa ilaaha illallaahu, wallaahu akbar. Sedang Ibrahim mengucapkan: Allahu akbar, walillahilhamd. (Tafsir al-Qurtubi XV: 102)

Disebutkan juga didalam tafsir al-Qurtubi: Ketika syaitan mengetahui bahawa Ibrahim telah mendapat perintah untuk menyembelih anaknya, ia mendatangi Hajar dan bertanya: “Apakah kamu tahu ke mana Ibrahim membawa anaknya Ismail?” Hajar menjawab: “Tidak tahu.”

Lalu syaitan menjelaskan: “Ia pergi untuk menyembelih anaknya.” Hajar menjawab: “Tidak mungkin, ia sangat sayang epada anaknya itu.” Syaitan menyatakan: “Ia menyangka bahawa Tuhannya menyuruh untuk menyembelih anaknya itu.” Hajar menjawab lagi: “Jika benar Tuhan menyuruhnya, maka ia telah berbuat baik dengan mentaati perintah Tuhannya.”

Syaitan pergi lalu menemui Ismail, katanya: “Tahukah kemana ayahmu hendak membawa kamu?” Ismail menjawab: “Saya tidak tahu.” Kata syaitan: ”Ayahmu membawa engkau untuk disembelih, kerana ia menyangka bahawa Tuhan menyuruhnya.” Jawab Ismail: “Kalau begitu biarlah ia melaksanakan perintah Allah. Saya juga patuh dan taat pada perintah Allah.”

Kemudian syaitan mendatangi pula Ibrahim dan berkata: “Hendak ke mana engkau, Ibrahim? Wallaahi, aku fikir syaitan telah mendatangi dalam mimpimu dan menyuruh untuk menyembelih anakmu.” Ibrahim mengetahui yang berkata itu adalah syaitan, lantas ia menjawab: “Pergilah engkau wahai musuh Allah. Demi Allah, saya akan melaksanakan perintah Tuhanku.” Maka syaitan berlalu kerana tidak berhasil menggoda Ibrahim, Ismail dan Hajar. (Tafsir al-Qurtubi XV: 105 – 106)

Seterusnya dinyatakan: Ketika Ismail akan disembelih oleh ayahnya (Ibrahim) berkata: “Wahai ayahku, ikatlah aku kuat-kuat supaya tidak goncang. Dan sinsinglah kainmu supaya darahku tidak memercik padanya, lantas nanti ternampak oleh ibuku, ia akan menjadi sedih kerananya. Dan percepatkan melalukan pisau ke atas leherku, agar kematianku lebih mudah terasa olehku. Tutuplah wajahku, agar engkau tidak melihatku sehingga menimbulkan kasihan kepadaku. Dan supaya aku tidak melihat pisau, agar tidak terkejut kerananya. Dan bila ayah kembali kepada ibuku, sampaikanlah salamku kepadanya.” (Tafsir al-Qurtubi XV: 104)

Allah SWT berfirman:

“Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku (seorang anak yang) yang tergolong dari orang-orang yang soleh. Lalu Kami berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang amat sabar. Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya-Allah, engkau akan mendapati daku termasuk dari orang-orang yang sabar.” Setelah keduanya berserah diri (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipisnya (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami), dan Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim, sesungguhnya kamu telah membenarkan maksud mimpi yang engkau lihat itu”. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar. Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) di kalangan orang-orang yang datang kemudian.” (as-Saffat: 100 – 108)

Sesungguhnya ujian ini adalah ujian yang nyata, iaitu ujian yang nyata di antara ihklas dan tidak ikhlas. Ternyata ujian amat sulit sekali. Akhirnya, Allah SWT menukarkan dengan seekor sembelihan yang besar yang dibawa oleh Jibril as.

Ada riwayat mengatakan ‘sembelihan yang besar’ itu adalah domba yang dahulu dikorbankan oleh Habil kepada Allah SWT dan domba tersebut tetap hidup di syurga, sehinggalah ia ditebus dengan Nabi Ismail as.

Demikianlah kerelaan dua hamba Allah yang taat melaksanakan perintah Tuhannya, lalu peristiwa korban ini diabadikan menjadi sunnah sehingga ke akhir zaman.

Inilah yang disabdakan oleh Rasulullah saw ketika ditanya oleh para sahabat: “Apakah qurban itu, ya Rasulullah?” Baginda menjawab: “Sunnah bapa kamu Nabi Ibrahim.” (Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

Ibrahim adalah khalil

Ibrahim adalah seorang Rasul yang tergolong Ulul `Azmi yang digelar Khalilullah, yang terkenal sangat cinta kepada Allah.

Khalil bukan kekasih biasa. Khalil dengan cintanya yang disebut khullah, adalah cinta pada kesempurnaan Esa dan Cinta. Dalam cinta yang bernama Khullah itu tiada yang dua.

Cinta biasa adalah cinta antara al-habib dan al-mahbub, dengan cinta yang bernama al-hubb. Tetapi khullah antara khalil adalah cinta tinggi yang tidak boleh dikongsi.

Nabi SAW telah bersabda: “Kalaulah aku ingin mengambil dari kalangan manusia itu seorang khalil, nescaya akan kuambil Abu Bakar sebagai khalilku. Akan tetapi sahabatmu ini (yakni Rasulullah SAW) adalah khalil kepada Allah SWT”

Di sinilah titik besar pada cinta dan pengorbanan.

Maka, berkorbanlah andai itu mampu meraih cinta-Nya...

Saturday, 5 November 2011

Syukur, lenyapkanlah kesombongan


Alhamdulillah, sebaik-baik kalam.

Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana masih diberikan kesempatan untuk menyedut udara, makan dan minum dari rezeki-Nya, dianugerahi segala macam nikmat yang lain, dan dengan nikmat tersebut kita semua dapat menjalani kehidupan dengan selesa. Kita dihidupkan dengan dipinjamkan jasad dan nyawa sehingga tempoh yang dijanjikan.

Selepas itu kita akan dibangkitkan, ditanya mengenai nikmat-nikmat yang telah diberi. Jika syukur yang terisi, maka berbahagialah, namun jika kufur akan nikmat tersebut maka rugilah selamanya.

Al-Junaid berkata: “Ketika saya berusia 7 tahun hadir dalam majlis Assariyussaqathi, tiba-tiba saya ditanya: “Apakah erti syukur?” Jawabku: “Syukur ialah tidak menggunakan suatu nikmat yang diberi Allah untuk perbuatan maksiat.” Assariy berkata: “Saya khuatir kalau bahagianmu dari kurnia Allah hanya dalam lidahmu belaka.” Berkata al-Junaid: “Maka kerana kalimat yang dikeluarkan oleh Assariy itu maka saya menangis, khuatir kalau benar apa yang dikatakan oleh Assariy itu.”

Bersyukur adalah apabila segala nikmat yang diperolehi itu digunakan untuk sesuatu yang disenangi-Nya, bukan yang disenangi untuk manfaat-Nya, tetapi manfaat yang akan terpulang kepada para hamba-Nya belaka. Andai nikmat yang diperolehi digunakan untuk sesuatu yang dibenci atau tidak disenangi-Nya, ini bererti telah mengkufuri atau menutup nikmat tersebut. Apakah balasan bagi mereka yang kufur akan nikmat Allah melainkan azab yang tidak terhingga pedihnya.

Allah SWT berfirman: “Dan (ingatlah) sewaktu Tuhan kamu memperingatkan, “Jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepadamu, tetapi jika kamu kufur, maka azab-Ku amat pedih sekali.” (Ibrahim: 7)

Namun, mengapa sulit benar hati ini mahu mengakuinya. Sukar untuk tunduk dan patuh. Sedangkan telah banyak ingatan demi ingatan yang disampaikan.

Hati.....

Syukur, lenyapkanlah kesombongan

Kata Syeikh Ibnu Atho`illah: “Tanamlah dirimu di dalam tanah kerendahan, sebab tiap sesuatu yang tumbuh tetapi tidak ditanam, maka tidak sempurna hasil buahnya.”

Patutkah aku menyombongkan diri...

Layakkah aku untuk merasa megah dan meninggi diri...

Fikirkanlah...

Kembali kepada asal kejadianmu sendiri...

Bukankah pertama kali diri manusia diciptakan dari tanah? Bukankah itu lambang kerendahan? Tanah yang setiap hari dipijak-pijak oleh kaki. Apakah yang ada sesuatu yang lebih rendah dari benda yang menjadi sasaran pijakan kaki itu?

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya (menghidupkan kamu semula), bahawa Dia menciptakan kamu dari tanah setelah sempurna sahaja peringkat-peringkat kejadian kamu, kamu menjadi manusia yang hidup bertebaran di muka bumi.” (ar-Rum: 20)

Seterusnya diciptakan manusia melalui perantaraan kedua ibu bapanya dari setitis air mani yang hina dan kotor, yang asalnya tidak ada pula. Ya, marilah kita menginsafi diri bahawa diri yang diagungkan ini berasal dari sesuatu yang tampak hina sekali. Kemudian Allah SWT menjadikan ianya sempurna sekali, sedikit demi sedikit. Semakin hari semakin membesar menjadi manusia yang kacak dan cantik, semakin pandai dan cerdik, menjadi kaya, berpengaruh, berkedudukan tinggi dan sebagainya. Semuanya adalah nikmat yang amat besar, tetapi janganlah sekali-kali mengkufurinya.

Allah SWT berfirman: ”Dari apakah ia diciptakan oleh Allah? Dari air mani yang diciptakan, serta dilengkapkan keadaannya dengan persediaan untuk bertanggungjawab.” (Abasa: 18-19)

Kita hidup tidak sekadar di dunia sahaja. Selepas ini kita akan mendiami satu alam yang kekal abadi. Apa sahaja yang dilakukan di dunia ini akan dihitung, apakah kebaikan melebihi keburukan atau sebaliknya.

Syukur, lenyapkanlah kesombongan

Di saat masih diberi peluang dan kesempatan untuk mendekati-Nya, maka rendahkanlah diri, adulah kelemahan dan kekurangan diri dengan penuh pengharapan. Laksanakan perintah-Nya dan jauhkanlah larangan dan tegahan-Nya. Hulurkanlah tangan memohon keampunan-Nya dengan penuh keikhlasan, nescaya Dia akan menyambutnya dengan penuh belas kasihan. Semoga kita dipandang dan dilayan dengan rahmat dan kasih sayang-Nya.

Thursday, 3 November 2011

أبو الدخان

Mungkin ada yang kata: "Bila kena sebatang, datang ilham dan inspirasi, tenteram hati tenang jiwa, hilang kebosanan akal fikiran, kurang tekanan perasaan dan....."

Entahlah...

Kena tanya mereka yang 'ahli'...



"Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan." (al-Baqarah: 195)