Sahabat Sejati

Monday 26 September 2011

Benarkah manusia pra-sejarah tiada ilmu?

Soalan:

Saya hendak kemukakan soalan berkenaan manusia pada zaman pra-sejarah. Saya pernah mendengar teori pada zaman pra-sejarah, atau zaman batu, di mana manusia tidak mempunyai apa-apa ilmu, benarkah begitu? Tidakkah ia bertentangan dengan penciptaan Nabi Allah Adam as. yang seterusnya melahirkan umat manusia yang mempunyai akal fikiran sempurna. Bukan seperti manusia pada zaman pra-sejarah sebagaimana yang dikatakan sejarawan Barat. Mohon huraikan persoalan ini, terima kasih.

Jawapan:

APA yang anda sebut dalam persoalan di atas adalah penemuan-penemuan dalam disiplin sosiologi yang nature ilmu itu mengkaji berkenaan kehidupan manusia zaman-berzaman.

Pertumbuhan dan perkembangan manusia dikaji dari masa ke semasa. Dari zaman pra-sejarah seperti dalam soalan anda hingga ke zaman kini.

Ilmu itu adalah disiplinnya, yang berasaskan kepada penemuan-penemuan bahan sejarah arkeologi dan di analisis bahan-bahan itu berdasarkan ilmu tersebut.

Saya bukannya ahli sosiologi. Cuma mengetahui sedikit sebanyak tentang manusia di dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Di dalam al-Quranulkarim Allah SWT memaparkan berkenaan kisah kejadian Nabi Adam as. sebagai insan pertama yang wujud daripada kalangan seluruh manusia hari ini.

Adam as. diciptakan Allah dengan sempurna sifatnya sebagaimana manusia dan diajar kepadanya ilmu pengetahuan, khusus baginya. Dengan nama-nama benda dalam alam ini dan kegunaan benda-benda tersebut untuk faedah manusia.

Dalam Tafsir al-Qurtubi, juzuk 1, halaman 282 disebut dengan jelas bahawa: “Ibnu Abbas berkata, dengan perantaraan malaikat, Allah mengajar Adam, ilmu pengetahuan yang perlu baginya untuk hidup sebagai khalifah Allah di muka bumi. Nama-nama makhluk, nama-nama benda, tumbuhan dan sebagainya, diajar dengan jelas kegunaan yang ada pada benda-benda tersebut.”

Oleh kerana itu jelas, bahawa Adam insan ulung, yang mempunyai akal yang sempurna. Boleh menerima dan cepat mempelajari apa yang diajarkan kepadanya dengan mudah.

Adam mempelajarinya sehingga menjadi seorang yang terpelajar. Justeru ilmu sedemikian itu, sudah pasti akan diajar kepada anak-anaknya.

Anak-anak Adam, iaitu Qabil terkenal dalam sejarah sebagai petani yang menanam gandum dan keperluan manusia untuk menyara kehidupannya. Habil pula terkenal sebagai penternak.

Hal sedemikian tercatat dalam al-Quran di mana Allah meminta mereka berkorban dengan apa yang mereka miliki sebagai menentukan siapakah yang Allah terima korbannya.

Qabil membawa tangkai-tangkai gandumnya sebagai korban. Manakala Habil membawa kambingnya sebagai korban. Akhirnya Allah menerima korban Habil dan menolak korban Qabil

Tanpa pengetahuan yang cukup tentang perihal pertanian dan tanaman, bagaimana mungkin mereka boleh survive pada zaman awal manusia. Zaman mereka jauh lebih awal dari zaman pra-sejarah.

Oleh itu, saya berpendapat bahawa manusia, sejak dari awal kejadiannya sudah mendapat anugerah ilmu pengetahuan yang Allah berikan, sesuai dengan zaman mereka untuk survival mereka.

Ada pun insan-insan yang ditemui oleh sosiologis, terutama manusia pada zaman pra-sejarah, besar kemungkinan wujudnya kelompok-kelompok tertentu yang tersisih daripada arus kehidupan manusia lain. Mereka menghuni gua-gua tertentu dengan penghidupan ala-gua., tanpa mempunyai ilmu pengetahuan.

Ilmu yang ada pada mereka, mungkin sekadar untuk survival asas sahaja.

Dari sudut sejarah Islam yang bermula sejak Adam as., Allah tidak pernah lupa untuk menghantar Rasul-Nya kepada mereka. Sudah tentu Rasul tersebut membawa ajaran-ajaran dari Allah untuk kebahagiaan manusia dunia dan akhirat.

Sebagaimana Allah berfirman (mafhumnya): “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) daripada dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.” (al-Qasas: 77)

Ayat di atas memberi panduan untuk mengenali manusia di sepanjang sejarahnya. Mereka mempunyai akal sempurna di sepanjang sejarahnya. Walahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

2 comments:

morsmode said...

:)

tentunya mereka punya ilmu tersendiri,
mana sanggup sehari-harian tak punya apa-apa untuk dicari.

syukran atas posting ini ya.

abuikhwan said...

ya, sesuai dgn zaman mereka untuk survival mereka...

Post a Comment