Sahabat Sejati

Thursday, 9 June 2011

Laksana pohon tanpa buah

Saya lontarkan satu analogi:

Bayangkan seorang lelaki yang gagah perkasa masuk ke dalam hutan, membawa bersama-sama berbagai senjata. Ada pedang, lembing, kapak, pistol dan senapang. Sedang ia berjalan, tiba-tiba menghambur seekor singa yang ganas, menyerang dan ingin memakannya. Dapatkah ia mempertahankan dirinya tanpa mengangkat dan menggunakan senjata tersebut? Selamatkah dirinya dari menjadi mangsa singa yang kelaparan itu?

Saya pasti semua akan menjawab, lelaki itu tidak akan selamat dan bakal menjadi habuan perut sang singa. Walaupun di badannya berselirat dengan senjata, tetapi semuanya tidak memberi apa-apa manfaat jika tidak digunakan.

Begitulah perbandingan, jika seseorang yang belajar, banyak membaca dan mengetahui banyak perkara, tetapi tidak langsung menggunakan pengetahuannya yang banyak itu. Ilmunya tidak akan memberi manfaat, tanpa dia beramal dengan ilmu-ilmu tersebut.

Banyak sekali peringatan mengenai kewajipan beramal yang disebutkan di dalam al-Quran serta hadis-hadis Nabi saw. Ini menggambarkan betapa pentingnya beramal dengan imu yang ada.

Walaupun kita mengetahui bahawa seseorang hamba itu dapat masuk ke dalam syurga dengan rahmat Allah serta syafaat Nabi saw, tetapi semua ini hanya akan diperolehi selepas hamba tersebut beramal. Iaitu dengan melakukan ketaatan dan beribadah kepada-Nya. Ketahuilah! Rahmat Allah hanya dikurniakan kepada mereka yang taat melaksanakan perintah-Nya. Jika tidak, jangan dimimpi rahmat yang bersangatan mahal itu.

Benar, selagi hamba itu tidak beramal, selagi itulah ia tidak akan memperolehi pahala.

Tanpa buah

Firman Allah SWT:

"Sesiapa yang berharap untuk bertemu dengan Tuhannya, hendaklah dia beramal dengan amal yang soleh." (al-Kahfi: 110)

Di sini terdapat kalimah 'berharap'. Harapan itulah yang menjadi sebab untuk kita beramal. Kita yakin dan percaya, tegasnya jiwa dan hati kita tidak kosong daripada harapan. Sesungguhnya apa yang kita amalkan tidak akan terbuang sia-sia seumpama air tercurah ke daun keladi. Tidak! Telah tercatat bahawa Allah telah menyediakan ganjaran kepada yang beramal iaitu pertemuan dengan-Nya. Pasti!

Beramallah dengan ilmu yang ada serta beristiqamah dengannya. Yakin dan sedar bahawa ilmu semata-mata tanpa amal tidak akan menyelamatkan seseorang di akhirat. Bahkan lebih berat lagi persoalan yang akan dihadapi berkaitan ilmunya itu.

Rasulullah saw bersabda, seperti yang diceritakan oleh Abi Barzah Nadhlah ‘Ubayd al-Aslamiy, yang bermaksud: “Tidak akan berganjak kaki anak Adam pada hari Kiamat sehingga dia ditanya tentang empat perkara:

- Usia, dimana dia perhabiskan?
- Masa muda remaja, dimananakah dia pergunakan?
- Harta, dari sumber manakah dia perolehi dan kemanakah dia belanjakan?
- Pada ilmunya, adakah dia amalkan? (walau sedikit atau banyak, iaitu ajaran-ajaran agama yang ada di dalam pengetahuannya adakah diamalkan atau tidak)
(Riwayat at-Tirmidzi - hadis ini bertaraf Hasan Sahih)

Maka pergunakanlah ilmu untuk mendidik, membimbing, menegur atau menasihati orang lain apabila melihat mereka berbuat kemungkaran? Mengapa kita tidak menyebarkan kepada orang lain sesuatu ilmu yang kita ketahui? Bukankah itu termasuk dalam sifat-sifat para Rasul yang perlu dicontohi iaitu menyampaikan pengajaran dan peringatan.

Sabda Rasulullah saw:

"Orang yang bijak ialah orang yang sentiasa merendah diri dan beramal sebagai bekalannya selepas mati. Manakala orang yang bodoh pula ialah orang yang mengikut hawa nafsu dan mengharap-harap kebaikan daripada Allah tanpa usaha."

Imam al-Ghazali pula mengatakan:

"Ilmu tanpa amal itu gila, amal tanpa ilmu itu sia-sia. Ketahuilah ilmu tidak akan memudahkan kamu melakukan kebaikan. Ilmu juga tidak akan menjauhkan dirimu dari neraka kelak. Sekiranya kamu tidak beramal hari ini, atau pada masa lampau yang idak akan kembali, maka di hari Kiamat kamu akan berkata, "Kembalikan kami ke dunia, kami ingin beramal soleh!"

Akan dikatakan kepadamu, "Wahai bodoh, sememangnya dari sana engkau kemari!"

Fikir-fikir dalam diri...

Sesungguhnya tiadalah bagi insan kecuali apa yang telah diperbuatnya." (al-Najm:39)

Beramallah ketika usia masih muda, ketika tenaga masih banyak terkumpul

3 comments:

Nazihah@Jiha said...

Assalamualaikum ustaz.

kalau seseorang muslim itu takut atau segan misalnya hendak beramal(dakwah) kerana merasakan dia kurang ilmu agama dan takut ilmu yg disampaikan itu salah atau silap, apa hukumnya ustaz? mungkin ada cara lain dia boleh lakukan untuk beramal.

abuikhwan said...

Sampaikan apa yang diketahui, mungkin perkara2 asas dalam agama.
Luaskan skop dakwah itu. Dakwah bukan hanya berceramah/bercakap tetapi termasuk menunjukkan akhlaq yang baik juga adalah dakwah.
Baca n3 ini:
http://abuikhwan.blogspot.com/2011/04/dakwah-usahakanlah-dirimu.html

Nazihah@Jiha said...

Terima kasih ya Ustaz Ikhwan.

Saya sdh bc link yg diberi.Apa yg sy setkn skrg..dakwah kpd diri sndri utk terus istiqamah djln kebaikan,pd ms yg sama..ilmu yg serba kekurangan ini perlu diamalkan dan cuba utk ditambah..kdg2 takut jg nak post sesuatu entri tu,rasa rendah diri sgt dan tak layak nak kongsikan tntg itu,sbb mrasakan diri sndiri pun blum tntu dpt bt perkara tu..

nak dakwah dgn keluarga pula,amat susah sekali,takut tersinggung atau marah..

terluah pula, huu..terima kasih,baru mengikuti blog ustaz ini..amat baik utk diri yg jrg sekali mendpt kesempatan mengikuti crmh agama kat luar,selalu tgok kat tv dan bc blog..rasa tak sempurna pula..

akan terus mengikuti blog ini,jika takda halangan yg mendatang :)

Post a Comment