Sahabat Sejati

Sunday, 26 June 2011

Sudah ditaqdirkan aku jadi begini?

Saya menyelak fail-fail tazkirah yang banyak kedapatan di dalam komputer riba. Saya mencari-cari apakah artikel yang boleh saya kongsikan bersama rakan-rakan.

Kadang-kadang. Ada harinya ketandusan idea. Walaupun telah diperah otak sehingga mengalir keringat, namun tidak mengalir juga idea yang di hajati. Komputer riba telah lama terpasang, jari-jemari sudah di butang huruf, tetapi masih lagi tandus.

Ada pula hari-harinya, idea datang mencurah-curah. Tetapi kesempatan masa pula yang mengekang. Sibuk dengan program-program kemasyarakatan, tidak mampu diungkap dengan kata-kata. Mudah-mudahan kesibukan ini ada nilai di sisi Allah SWT.

Demikian buat diri saya, idea dan masa yang sentiasa membantutkan hasrat dan mahu.

Akhirnya saya terjumpa dengan satu hadis.

“Akan ada di akhir zaman, satu kaum, mereka melakukan perbuatan-perbuatan kemaksiatan, kemudian mereka berkata, “Sudah ditaqdirkan Allah kami jadi begini.” Orang yang menentang orang-orang itu di saat begitu, sama pahalanya dengan orang yang menghunus dan mengacungkan pedangnya fisabilillah.” (Riwayat Ibnu Jarir)

Termenung saya seketika.

Membaca hadis di atas amat menginsafkan, kerana pernah berprasangka begitu. Dan saya percaya bukan saya sahaja, mungkin ramai yang pernah berprasangka demikian. Ya, kerana cetek dan dangkalnya ilmu, maka kita berkongsi emosi yang sama.

Pernah saya bertanya kepada seseorang mengapa tidak bersolat, lalu beliau menjawab:
“Allah belum buka pintu hati aku.”

Terpempan dengan jawapannya. Mudah, ringkas dan padat.
Menggaru-garu kepala yang tidak gatal.

Menunggu hidayah dari Allah.

Benar. Saya mengakui dengan yakinnya bahawa Allah SWT yang memberi hidayah ataupun petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki. Kerana yang menguasai hati manusia itu ialah Allah SWT, hatta Rasulullah saw pun tidak mampu memberikan hidayah kepada bapa saudaranya, Abu Thalib. Sebagaimana tersebut di dalam sirah yang amat masyhur di saat Abu Thalib hampir menemui ajalnya.

Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya kamu tidak dapat memberikan hidayah kepada sesiapa yang kamu cintai, tetapi Allahlah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki. Dan Dia lebih mengetahui siapakah yang dapat diberi petunjuk itu.” (al-Qashah: 56)

Namun, harus diingat bahawa hidayah mesti dicari dan dipinta dari pemiliknya iaitu Allah SWT. Maka, pernahkah kita meminta dari-Nya. Seterusnya kita mesti berusaha setiap masa dan doa itu sendiri adalah satu usaha.

Ingatlah, Allah tidak akan mempersia-siakan mereka yang berusaha dan mencarinya.

Dari Abu Hurairah ra, katanya: Bersabda Rasulullah saw: “Berfirman Allah SWT: Aku berada dalam sangkaan hamba-Ku tentang Aku, dan Aku bersamanya ketika ia menyebut Aku. Bila ia menyebut Aku dalam dirinya, Aku menyebut dia dalam Diri-Ku. Bila ia menyebut Aku dalam khalayak, Aku menyebut dia dalam khalayak yang lebih baik dari itu. Bila ia mendekat kepada-Ku satu jengkal, Aku mendekat kepadanya satu hasta. Bila ia mendekat kepada-Ku satu hasta, Aku mendekat kepadanya satu depa. Bila ia datang kepada-Ku berjalan kaki, Aku datang kepadanya berlari-lari.” (Riwayat Bukhari, Muslim, Ibn Majah, At-Tirmidzi, Ibn Hanbal)

Bersegeralah...

2 comments:

Nazihah@Jiha said...

Salam alaik ustaz.

pertanyaan:
kisah seorang anak,yg inginkan ayahnya menunaikan solat.tp,anaknya takut untuk menasihati ayahnya.hanya isterinya yg menasihatinya.yg dia mampu hanya berdoa dan terus berdoa tiap hari.apa pendapat ustaz?adakah hidayah itu akan dtg pd ayahnya?

abuikhwan said...

I.Allah, bersangka baik kepada Allah bahawa Dia akan menerima doa itu. Jangan sekali-kali berputus asa, terus berdoa dan letakkan pengharapan sepenuhnya kepada-Nya. Dlm masa yang sama cubalah berdakwah dengan kata-kata yang lembut dan penuh hikmah tanpa mengguriskan perasaan ayah.
"Ambillah kisah dakwah Nabi Ibrahim as. kepada ayahnya"

Post a Comment