Sahabat Sejati

Saturday 11 December 2010

Secebis ingatan bersama

Hari ini giliran saya menyampaikan tazkirah dalam pertemuan bulanan JAIM. Alhamdulillah saya memang selalu bersedia dengan satu tajuk dan apabila telah selesai tajuk tersebut saya akan bersedia dengan tajuk yang baru. Begitulah selalunya, saya akan bersedia pada bila-bila masa apabila diperlukan. Dan saya gembira melakukannya.

Saya menyedut nafas panjang sambil memandang satu persatu wajah sahabat sebelum mula bersuara. Sengaja mencari mood dan untuk menarik perhatian pendengar. Jelas wajah-wajah yang sentiasa melazimi majlis ilmu. Semoga semuanya dibawah naungan sayap-sayap para malaikat yang redha dengan apa yang dilakukan oleh penuntut-penuntut ilmu.

Saya memulakan tazkirah dengan satu kisah:

Satu ketika di zaman seorang khalifah berlaku kegawatan ekonomi yang meruncing. Keadaan menjadi semakin gawat apabila tumbuhan tidak menjadi. Hujan sudah tidak turun selama beberapa bulan. Pemerintah mencanangkan agar semua rakyat turun ke padang untuk solat istisqa' dan berdoa agar Allah menurunkan hujan. Namun hujan tidak turun juga. Khalifah menjemput ramai tuan guru, para abid dan ulama` yang berpengaruh serta mempunyai pengikut yang ramai, untuk bersama-sama berdoa kepada Allah, tetapi keadaan masih tidak berubah.

Khalifah menjadi semakin khuatir apabila kemarau kian berpanjangan. Baginda berusaha mencari orang yang mustajab doanya untuk tampil ke depan bagi mengimami solat minta hujan. Akhirnya tampil seorang lelaki yang kelihatan selekeh dengan pakaian yang comot dan rambut yang kusut berjumpa khalifah. "Ya khalifah! Saya datang untuk menyahut seruan tuanku." Khalifah seperti tidak begitu yakin melihat pemuda yang comot itu. "Benarkah kamu ini? Sedangkan ramai para ulama` dan abid yang terkenal tidak dimakbulkan Allah doanya, inikan pula kamu yang begini?" Pemuda itu menjawab, "Insya-Allah doa kita akan dikabulkan!"

Pemuda itu terus mengimami solat bersama rakyat dan berdoa. Belum pun habis doanya, dengan tidak diduga hujan turun mencurah-curah dengan lebat. Khalifah segera bertanya, "Wahai pemuda, cuba kamu ceritakan kepada beta apa amalan kamu sehingga doamu diperkenankan Allah." Pemuda itu menceritakan, "Pernah satu ketika dulu, saya begitu asyik melihat wajah seorang gadis ayu. Saya terpesona dengan kecantikannya sehingga saya terlalai dari mematuhi perintah Allah. Saya menyesal atas kejahatan saya itu dan merobek-robek muka saya hingga tanpa disedari biji mata saya terkeluar dari rongganya sebab itulah mata saya menjadi sepet. Saya bertaubat dari kejahatan itu dan terus mengabdikan diri kepada Allah."

Khalifah mengucapkan terima kasih dan terus sujud syukur kepada Allah.

Mari bertaubat

Sengaja saya membawa cerita ini sebagai mukaddimah.

Allah SWT mempunyai sifat ketinggian dan kemuliaan.

Allah SWT amat menyukai para hamba-Nya yang bertaubat dan memohon keampunan-Nya. Sesungguhnya manusia diciptakan dalam keadaan lemah, lalai dan lupa. Tidak sunyi dari melakukan kesilapan dan melakukan dosa. Oleh yang demikian bukan rahsia lagi, menjadi tanggungjawab seorang hamba untuk bertaubat dari segala dosa dan segera memohon keampunan-Nya. Rasulullah saw sendiri sebagai seorang yang maksum sentiasa bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah SWT.

Sabda baginda: "Demi Allah! Sesungguhnya aku memohon ampun dan bertaubat kepada Allah pada setiap hari lebih daripada 70 kali."

Ingatlah apabila seseorang telah melakukan dosa, lalu menangguh-nangguhkan taubatnya, pasti akan menghadapi kerugian yang amat besar. Di antaranya kegelapan yang akan berkumpul di dalam hatinya, iaitu kegelapan maksiat yang karatnya semakin menebal. Apabila ia semakin sebati, disaat itu hati menjadi beku dari menerima hidayah. Seumpama kegelapan yang tidak ditembusi cahaya. Dan jika di ketika itu ia menemui ajal maka ia akan beroleh kesengsaraan yang amat dahsyat. Ia akan menemui Allah SWT dalam keadaan tidak selamat dan menghadapi kemurkaan-Nya.

Cuba kita andaikan setiap hembusan nafas kita adalah seumpama sebutir permata yang berharga. Berapa banyak permata yang kita miliki setiap hari. Dan yang lebih malang lagi apabila kita mensia-siakan permata itu, kita membuangnya tanpa memanfaatkan nilainya. Mensia-siakannya adalah satu kerugian yang amat besar. Jika sudah nyata kerugian itu dan kita menyedarinya tanpa menangisinya, maka itu menunjukkan kebodohan kita. Bencana dengan sebab kebodohan adalah satu musibah kepada manusia. Apatah lagi kita hanya tertawa riang melihat musibah, maka itu menandakan ada sesuatu yang tidak kena pada akal kita. Lalai dari kebenaran adalah satu musibah yang besar.

Kata Abu Sulaiman Darani: "Jika seseorang yang berakal itu selama hidupnya menangis kerana tidak melakukan perkara-perkara yang berupa ketaatan dan pengabdian kepada Tuhan di masa hidupnya, nescaya kesedihan ini akan berterusan sehingga ia mati. Oleh kerana itu alangkah bodohnya seseorang yang menjalani hidup sepanjang baki usianya semata-mata untuk melakukan hal-hal yang sebagaimana dahulu oleh sebab kebodohannya sendiri, sehingga ia akan kerugian untuk selama-lamanya."

Oleh yang demikian sebaik-baiknya kita merenungi kembali akan betapa banyaknya kecuaian yang telah dilakukan dalam menjalani kehidupan ini.

(Tanah yang gersang dan tandus, tidak mungkin ada tumbuhan yang dapat hidup. begitulah perbandingan hati yang tandus, mungkinkah dapat menerima hidayah Allah?)

Satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: "Allah SWT mempunyai kegembiraan yang teramat sangat lantaran taubat yang dilakukan hamba-Nya dari kegembiraan seseorang dari kamu yang sedang bermusafir di padang pasir yang tandus di mana dalam perjalanannya itu tunggangannya telah berpaling dan lari darinya bersama-sama dengan bekalan makanan dan minumannya, maka dia merasa amat putus asa atas yang demikian itu. Dia telah menghampiri sebatang pokok lalu berbaring di bawah naungannya dengan perasaan hampa dan gundah gulana akibat kehilangan tunggangannya. Apabila dia di dalam keadaan yang sedemikian itu, tiba-tiba tunggangannya muncul di sisinya, dia segera memegang tali kekang tunggangan itu dan dengan perasaan yang amat gembira dia berkata: "Wahai Allah! Engkaulah hambaku dan akulah Tuhanmu." Dia telah membuat kesilapan di dalam penyataan ini akibat dari kegembiraan yang teramat sangat. Walau bagaimanapun kegembiraan Allah SWT lantaran taubat hamba-hamba-Nya adalah melebihi kegembiraan si musafir tersebut.

Demikianlah perbandingannya. Tidakkah anda mahu bertaubat?

Segeralah bertaubat. Bukankah rasa ingin bertaubat itu sifat seorang hamba?

5 comments:

immukmin said...

salam ya akhi...n3 yang mematangkan pemikiran ...tq=)

abuikhwan said...

sama-sama mengambil manfaat..

si para para said...

salam ukhwah.... tertarik dengan tazkirah saudara....
semoga kita sama2 beroleh cahaya.

Latifah said...

tazkirah yang menginsafkan.

abuikhwan said...

semoga kita sentiasa di dalam rahmat-Nya

Post a Comment