Sahabat Sejati

Tuesday, 30 November 2010

Bicara sang ombak

Aku bertanya pada sang ombak,
Tidakkah jemu menghempas pantai,
Tidak kulihat dirimu berehat seketika,
Ku tunggu-tunggu jawapan sang ombak,
Bagai terngiang di telinga menyapa,
Deburanku ini zikir kepada-Nya.

Termanggu aku seketika,
Di redup petang hening nan damai,
Ku biarkan bayu lembut menerjah di pipi,
Ku biarkan deburanmu membingitkan telinga,
Kerna ku mengerti zikirmu pada-Nya.

Menyisihlah seketika dari kesibukan dunia,
Berehatlah sebentar dari kekalutan jiwa,
Cubalah mengerti bahasa sang ombak,
Wahai empunya diri dan pemilik mata hati,
Moga ianya menjadi setitis penawar,
Pengubat resah penghilang duka.

Tatkala azan berkumandang di senja sepi
Aku merenung menembusi diri,
Bersama langkah kuhayunkan kaki,
Meninggalkan pantai yang tak bertepi,
Aku bertanya mampukah bibirku jua berzikir,
Seperti ombak yang tidak jemu itu.

Sang kembara pun melangkah pulang,
Bersama secangkir hikmah dan pengajaran,
Moga esok masih ada senyuman,
Kerna aku ingin menyapa lagi sang ombak
Dan ku lihat ombak itu masih menghempas pantai...

abuikhwan
Kuantan, Pahang
29 November 2010
10:30 malam

Monday, 29 November 2010

Bagaimana nasib ibu bapa Nabi di akhirat nanti?

Soalan:

Ibu dan bapa kandung Nabi Muhammad saw iaitu Aminah dan Abdullah meninggal dunia sebelum baginda diangkat menjadi Rasul. Ini bermakna mereka berdua tidak sempat menerima dakwah dan tidak sempat bersyahadah. Ke mana mereka akhirnya nanti, syurga atau neraka atau bagaimana? Mohon penjelasan Dato`.

Jawapan:

Muhammad saw adalah insan terpilih. Dinobatkan sebagai Rasul akhir zaman dan diutuskan kepada sekelian manusia dan jin.

Kerasulannya kekal hingga ke hari kiamat. Ibu bapanya jelas tidak beriman dengannya kerana mereka meninggal dunia sebelum anak mereka dinobat sebagai Rasul. Benar kata anda. Yang penting bagi kita, kita beriman dengan Allah dan Rasul-Nya.

Ibu bapa Muhammad saw jelas meninggal dunia sebelum sempat menganut ajaran Islam. Meskipun bapa Nabi bernama Abdullah (hamba Allah), tetapi belum beriman. Kita serahkan persoalan ini kepada Allah. Persoalan syurga neraka adalah hak Allah sepenuhnya.

Allah boleh dengan Iradah-Nya, untuk memasukkan orang yang kufur ke dalam syurga jika Dia mengkehendakinya, dan Dia boleh memasukkan seorang mukmin ke dalam neraka, jika Dia mengkehendakinya.

Namun Allah sesekali tidak akan menzalimi hamba-Nya, walaupun kezaliman itu dengan pertimbangan sebesar zarrah.

Ada sahabat yang bertanya kepada Rasulullah saw, tentang ibu bapanya yang mati dalam keadaan kufur, bagaimana mereka di akhirat nanti. Nabi pernah menjelaskan kepada orang itu: "Bahawa ibu bapa kamu, sama dengan ibu bapa saya, mereka dalam neraka."

Namun demikian ada hadis lain yang diriwayatkan oleh para sahabat, bahawa Allah SWT memuliakan ibu bapa Nabi, dihidupkan seketika, bertemu dengan anaknya, mengucap syahadah serta beriman dengan Allah dan Rasul-Nya, kemudian dimatikan semula.

Walaupun wujud pelbagai tafsiran mengenai status hadis ini, apa yang mustahak kepada kita, ialah kita serahkan kepada kebijaksanaan Allah SWT. Kerana, banyak pandangan mengenai ibu bapa Rasulullah saw, mereka adalah insan-insan yang hidup pada zaman tiada Nabi dan Rasul.

Insan yang hidup pada zaman tiada Nabi dan Rasul, zaman di antara dua Rasul yang berselang adalah seperti yang hidup wafatnya Nabi Adam as. dan sebelum dinobat Nabi Idris as. sebagai Rasul.

Zaman itu hilang pengajaran daripada Adam dan sebelum muncul wahyu untuk diimani, maka itulah orang yang dikatakan hidup di zaman fatrah (tiada Nabi dan Rasul).

Sama seperti orang yang hidup selepas Nabi Isa as. diangkat ke langit dengan kelahiran Nabi Muhammad saw. Mereka hidup di tengah-tengah.

Insan-insan pada zaman seperti ini, pada zahirnya semuanya mati kufur. Kemanakah mereka akhirnya?

Jika mereka itu hendak diazab Allah SWT kerana tidak beriman sedangkan tiada orang yang diutus untuk mengajak mereka beriman.

Dalam hal ini Allah SWT memberi petunjuk sebagaimana firman-Nya (mafhumnya): "Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk, maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, sesiapa yang sesat, maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga. Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Dan tiadalah Kami mengazab sesiapa pun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah)." (Surah al-Israa`: 15).

Al-Qurtubhi dalam tafsirnya, ketika menjelaskan ayat ini, antara lain beliau menyebut: "Ayat ini memberikan pengertian tentang golongan manusia yang tidak sampai kepada mereka risalah Islam. Yang nyata mereka diistilahkan sebagai ahlul fataarat, yang diakui kewujudan mereka itu oleh sesetengah ulama`.

Ahlul fataarat adalah golongan yang diserahkan keadaan mereka kepada Allah SWT. Terpulang kepada keadilan Allah SWT untuk mengadili mereka.

Yang mudahnya kita dalam melihat, bahawa insan pada zaman fatrah, khususnya kedua-dua ibu bapa Nabi Muhammad saw adalah pilihan Allah.

Allah lebih mengetahui keadaan mereka. Kita serah sahaja urusan ini kepada Allah SWT dan kita tidak perlu bersusah payah memikirkan perihal mereka kerana mereka telah kembali ke rahmatullah. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato` Dr Haron Din
Harakah bil: 1592

Sunday, 28 November 2010

Carilah ilmu walau seribu kepayahan


Assalamualaikum warahmatullah,

Umum mengetahui tubuh badan amat memerlukan makanan untuk hidup, begitulah jiwa manusia yang juga memerlukan makanan. Sesungguhnya makanan bagi jiwa adalah ilmu pengetahuan yang dengannya ia akan hidup.

Seseorang yang jauh dari ilmu pengetahuan, maka jiwanya akan sakit dan jika ini berterusan lama-kelamaan ia akan mati. Apabila jiwa manusia telah mati, maka ia akan menjadi keras, gersang dan kering-kontang. Apabila cahaya yang menerangi jiwa terpadam, maka terbukalah pintu-pintu kejahatan ke dalam dirinya. Apalah yang boleh diharapkan pada jasad yang sebegini. Mati jiwa maka matilah jasad walaupun zahirnya tampak hidup bergerak ke sana ke mari.

Demikianlah apabila benteng pertahanan dan kekuatan manusia telah runtuh maka senanglah syaitan dan bala tenteranya menguasai empunya diri. Inilah yang paling ditakuti dan kita mohon perlindungan darinya.

Tuntutlah ilmu

Kita lihat sekarang peluang untuk menuntut ilmu amat mudah dan terbuka luas. Jika kita lihat di masjid dan musolla kini amat banyak majlis-majlis ilmu diadakan. Namun, apa yang kita lihat di sesetengah tempat sambutan amat menyedihkan. Sedangkan kita sekadar duduk mendengar dan tidak perlu mengeluarkan wang, tidak seperti kita menonton wayang atau konsert. Begitu juga kelebihan orang-orang yang duduk di dalam majlis ilmu amat banyak sebagaimana yang telah disabdakan oleh Nabi saw:

"Barangsiapa yang menempuh suatu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan, maka Allah akan menmpuhkan suatu jalan untuknya menuju ke syurga." (Riwayat Muslim).

Sabdanya lagi: "Andaikata engkau berjalan, kemudian engkau belajar satu bab dari ilmu pengetahuan, maka itu adalah lebih baik daripada kamu bersolat seratus rakaat (solat sunat)." (Riwayat Ibnu Abdul Barr). 

Marilah kita hayati peristiwa yang masyhur di dalam sirah, bagaimana seorang yang amat mementingkan ilmu sanggup bersusah payah bagi mendapatkan ilmu. Walaupun menempuh berbagai dugaan dan kesulitan namun dia sanggup menghadapinya. Apakah masih kedapatan keadaan yang sebegini mutakhir ini? Entahlah.

Begini kisahnya...

Abdullah bin Mas`ud ra. berkata: Ketika kami dalam majlis Rasulullah saw, tiba-tiba datang seorang turun dari kenderaannya dan mendekat kepada Nabi saw dan berkata: "Ya Rasulullah, saya telah melelahkan kenderaanku selama sembilan hari, maka saya jalankan terus menerus selama enam hari, tidak tidur di waktu malam dan puasa pada malam hari, hingga lelah benar kenderaanku ini, keperluannya hanya untuk menanyakan kepadamu dua masalah yang telah merisaukan hatiku hingga tidak dapat tidur."

Lalu ditanya oleh Nabi saw: "Siapakah engkau? Jawabnya: "Zaidul-khair." Berkata Nabi: "Engkau Zaidul-khair, tanyakanlah kemungkinan sesuatu yang sukar itu aku sudah pernah ditanyainya." Berkata Zaid: "Saya akan bertanya kepadamu tandanya orang yang disukai oleh Allah dan yang tidak disukai (yang dimurkai)?" Jawab Nabi saw: "Untung, untung, bagaimanakah keadaanmu kini hai Zaid." Jawab Zaid: "Saya kini suka kepada amal kebaikan dan orang-orang yang melakukan amal kebaikan, bahkan suka akan tersebarnya amal kebaikan itu, dan bila aku ketinggalan merasa menyesal dan rindu pada kebaikan itu, dan bila aku berbuat amal sedikit atau banyak, tetap aku yakin akan pahalanya."

Jawab Nabi saw: "Ya itu dia, andaikan Allah tidak suka kepadamu, tentu engkau disiapkan untuk melakukan yang lain dari itu, dan tidak peduli dijurang yang mana engkau akan binasa. Berkata Zaid: "Cukup-cukup." Lalu ia berangkat kembali di atas kenderaannya itu.

Mendengar kisah ini amat mengharukan kita. Walaupun sekadar ingin bertanya dua soalan namun beliau sanggup menempuh dugaan yang amat besar ini. Bagaimana dengan diri kita, justeru itu di zaman yang serba mudah ini marilah kita menginsafi diri, menghitung akan kelalaian kita mudah-mudahan kita turut diberikan oleh Allah SWT semangat dan keinginan seperti para sahabat terdahulu serta dipermudahkan dalam urusan menuntut ilmu.

Kata Ibnu Mas`ud: hendaklah kamu semua mencari ilmu pengetahuan sebelum ia dilenyapkan. Lenyapnya ilmu pengetahuan ialah dengan matinya orang-orang yang memberikan atau mengajarnya. Seseorang itu tidak akan dilahirkan dalam keadaan pandai, jadi ilmu pengetahuan itu mestilah di cari dengan belajar."

Anda mampu mengubahnya!

Friday, 26 November 2010

Bahagia dengan memberi...

"Kamu belum mendapat kebaikan (yang sempurna) sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu sukai. Apa sahaja yang kamu nafkahkan, sesungguhnya Allah mengetahuinya." (Ali-Imraan: 92).

Anas ra. berkata: Abu Talhah seorang yang terkaya dari sahabat Ansar di Kota Madinah. Beliau mempunyai sebuah kebun kurma yang paling disayangi yang terletak berhadapan dengan masjid, bernama Bairuha`. Di dalamnya mengalir satu sumber air yang jernih, dan Rasulullah saw selalu masuk meminum sumber airnya.

Berkata Anas ra. lagi: Tatkala turunnya ayat "Kamu belum mendapat kebaikan (yang sempurna) sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu sukai. Apa sahaja yang kamu nafkahkan, sesungguhnya Allah mengetahuinya." (Ali-Imraan: 92) maka datanglah Abu Talhah kepada Rasulullah saw lalu berkata, :Ya Rasulullah! Allah telah menurunkan ayat ini kepadamu, dan harta yang paling ku kasihi adalah kebun Bairuha` ini. Oleh itu aku mahu menafkahkannya kepada Allah, semoga ia menjadi tabungan disisi Allah nanti."

Maka berkata Rasulullah saw, "Itulah harta yang menguntungkan, itulah harta yang menguntungkan (berlaba). Dan aku telah mendengar semua yang telah engkau katakan, maka aku berpendapat lebih kamu jadikan ia sedekah kepada kerabatmu yang terdekat." Abu Talhah berkata, "Baik ya Rasulullah." Maka Abu Talhah segera membahagi-bahagikan di kalangan kerabatnya.

Sesungguhnya Islam agama yang mementingkan amalan sosial. Ia menyeru penganutnya agar sentiasa memikirkan kehidupan sesama mereka. Inilah yang dinamakan 'ehsan' iaitu berbuat kebaikan kepada orang lain. Kerana itulah Islam sangat menggalakkan umatnya membantu mereka yang berada di dalam kesempitan. Nas daripada al-Quran dan hadis Nabi saw jelas menganjurkan umat Islam menghidupkan amalan sedekah, kerana banyak manfaatnya. Seorang Muslim tidak akan mendapat kebaikan kecuali jika menafkahkan sebahagian hartanya untuk manfaat orang lain, inilah yang dimaksudkan oleh ayat di atas. Demikianlah betapa indahnya Islam dalam mengurus kasih sayang sesama mereka.

Mari memberi

Amalan sedekah merupakan perbuatan yang terpuji di sisi Islam. Semenjak awal kedatangan Islam, Rasulullah saw menunjuk contoh dengan bersedekah dan memotivasi para sahabat supaya menjadikan bersedekah sebagai amalan. Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq sebagai contohnya, telah menafkahkan seluruh harta kekayaannya untuk digunakan pada jalan Allah SWT. Apabila ditanya oleh Rasulullah saw apa yang ditinggalkan untuk ahli keluarganya, beliau menjawab; Allah dan Rasul-Nya. Begitu juga dengan sahabat-sahabatnya yang lain seperti Zubir bin Awwam, Abdul Rahman bin Auf, Talhah bin Ubaidillah dan ramai lagi. Mereka ini adalah ahli perniagaan yang berjaya dan memiliki harta kekayaan yang banyak tetapi mereka tidak pernah lupa menafkahkan hasil perniagaan mereka untuk kepentingan Islam. Jiwa dan keimanan mereka amat kental sehingga tidak mampu ditewaskan oleh harta kekayaan yang mengelilingi kehidupan mereka.

Rasulullah saw bersabda: "Daripada Abu Zar ra. bahawasanya segolongan manusia dari sahabat Rasulullah saw berkata kepada baginda: "Ya Rasulullah! Orang-orang yang mempunyai harta (kaya) telah mendapat pahala (lebih banyak daripada kami). Mereka solat sebagaimana kami solat dan mereka puasa sebagaimana kami puasa dan mereka bersedekah dengan kelebihan harta mereka. Berkata Rasulullah: Bukankah Allah telah menjadikan bagi kamu suatu untuk bersedekah? Sesungguhnya dengan setiap kali tasbih itu adalah sedekah, setiap kali takbir itu adalah sedekah, setiap kali tahmid itu adalah sedekah, setiap kali tahlil itu adalah sedekah, menyuruh amar ma'aruf itu sedekah, menegah mungkar itu sedekah dan pada kemaluan seseorang kamu pun adalah sedekah. Mereka bertanya: Ya Rasulullah! Adakah apabila salah seorang kami melepaskan syahwatnyapun dia beroleh pahala? Baginda bersabda: Bagaimana pandangan kamu kalau dia melepaskan syahwatnya pada tempat haram, adakah dia berdosa? Maka demikian jugalah apabila dia melepaskannya pada tempat yang halal, dia beroleh pahala." (Muslim).

Secara umumnya Rasulullah menyebut amalan bersedekah itu banyak cabangnya, tidak khusus hanya kepada harta sahaja. Tetapi yang paling penting ialah sikap kita apabila bersedekah. Bersedekah disertai dengan keikhlasan, bukan mengungkit, merungut, membidas dan menyakiti hati orang yang menerima sedekah kerana perbuatan ini haram dan merosakkan amalan bersedekah.

Firman Allah swt:

“Wahai orang yang beriman! Jangan rosakkan pahala sedekah kamu dengan perkataan mengungkit-ungkit dan kelakuan yang menyakiti (hati penerima) seperti rosaknya pahala amalan sedekah orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak) dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu seperti batu licin yang ada tanah di atasnya kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu batu itu menjadi licin kembali. Tidak suatu pun yang dapat mereka peroleh dari usahanya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.” (Al-Baqarah-264).

Marilah kita sama-sama merenungi peringatan ini. Kehidupan kita di dalam masyarakat memerlukan di antara satu sama lain. Kita tidak mungkin dapat hidup berseorangan, oleh itu janganlah kita terlalu bersifat ananiyah (mementingkan diri sendiri). Marilah kita singkirkan sifat kikir yang ada di dalam diri kerana ia adalah sifat mazmumah dan amat merugikan kita.

Berkata Yahya bin Muaz: "Tiada dalam hati orang-orang yang pemurah selain kasih walaupun mereka orang-orang yang fasik. Dan orang-orang kikir itu hanya mempunyai kemarahan, walaupun mereka orang-orang yang baik."

Nah! Mari kita berkasih sayang melalui sedekah, kita pasti bahagia. Mahukah anda bersama saya...

Thursday, 25 November 2010

Afdalkah solat sempurna ketika musafir?

Soalan:

Saya tidak banyak belajar fasal hukum-hukum agama, tetapi komited dalam melaksanakan suruhan Allah, terutama dalam soal solat. Dalam masa perjalanan (musafir), saya lebih selesa solat sempurna, tidak jamak tidak qasar kerana ada masa dan mudah disempurnakan. Lagipun perjalanan sekarang terdapat banyak kemudahan dan keadaan aman tidak diganggu. Ada ustaz kata kepada saya tidak boleh buat macam itu. Semasa musafir perlu qasar dan jamak. Saya celaru. Bolehkah Dato` jelaskan.

Jawapan:

Syabas kerana anda komited melaksanakan perintah Allah. Perkara asas yang perlu kita fahami, bahawa solat fardhu mesti dilaksanakan, walaupun dalam perjalanan (musafir).

Solat dalam perjalanan yang diharuskan syarak, tidak wajib atau tidak mesti dijamak dan diqasar. Hukumnya harus dijamak dan qasar, dan harus di qasar sahaja tanpa jamak. Dan harus dilakukan seperti biasa.

Persoalan cara manakah yang terbaik. Solat tamam (sempurna) tanpa qasar dan jamak boleh dilakukan, tetapi telah ada peruntukan di dalam al-Quran, sebagaimana firman Allah (mafhumnya): “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) solat, jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu.” (an-Nisa`: 101).

Meskipun ayat di atas menyatakan keharusan solat tersebut berdasarkan suasana yang tidak aman dan dibimbangi diserang oleh musuh, akan tetapi hukum sebenarnya bukan kerana itu diharuskan qasar.

Diharuskan qasar kerana perjalanan ataupun safar. Al-quran menyebut begitu kerana pada permulaan Islam dahulu, keadaannya begitulah, orang Islam sentiasa diganggu gugat oleh musuh.

Diriwayatkan dalam satu hadis: “Ya`ali bin Umayyah berkata kepada Umar al-Khattab, “Mengapa kita masih mengqasarkan solat sedangkan kita sudah aman daripada gangguan musuh?”

Umar menjawab, “Aku pun pernah bertanya kepada Rasulullah saw tentang hal itu, lalu Rasulullah saw menjawab kepadaku bahawa keharusan memendekkan solat ketika dalam perjalanan itu adalah suatu sadaqah atau hadiah Allah kepada hamba-Nya, maka terima sahajalah sadaqah itu. (Muslim).

Adapun jamak (menghimpunkan) solat daripada dua waktu menjadi satu waktu, adalah sabit dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik bahawa Rasulullah saw menjamakkan solatnya, pernah dilakukan jamak taqdim dan pernah dilakukan jamak takhir.

Persoalannya manakah yang lebih afdal solat orang yang musafir? Solat tamam afdal atau solat jamak yang afdal?

Mazhab as-Syafie dan Hambali berpendapat bahawa qasar dan jamak itulah yang afdal, kerana Rasulullah menyebut ia sebagai sadaqah atau hadiah daripada Allah SWT.

Elokkah hadiah daripada Allah SWT itu kita menolaknya? Rasulullah saw dan para sahabat dalam musafir mereka sentiasa mengqasarkan solat.

Sahabat-sahabat Rasulullah saw khususnya Khulafa ar-Rasyidin melakukan yang sedemikian itu.

Mengikut amalan Rasulullah saw sewaktu dalam perjalanan, adalah lebih baik dari menyalahinya.

Meskipun hukum amalan itu disemuafakati tidak wajib. Adalah menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita, seperti yang saudara persoalkan di atas, menjadi lebih selesa bersolat tamam dan tidak jamak dalam perjalanan.

Akan tetapi sesudah anda mengetahui bahawa Rasulullah saw sendiri pun tidak pernah bersolat sempurna ketika bermusafir, demikian juga para sahabat, maka adakah anda berasa lebih selesa untuk tidak mengikuti amalan Rasulullah?

Lebih-lebih lagi kita ketahui bahawa ia suatu hadiah daripada Allah SWT, maka elokkah hadiah itu ditolak? Siapalah kita hendak menolak hadiah daripada Allah? Maka renung-renunglah. Wallahu a`lam.

Sumber: Bersama DATO` DR HARUN DIN
(Harakah bil: 1581)

Saturday, 20 November 2010

Perjalanan kita..


Assalamualaikum warahmatullah,

Alhamdulillah. Ketika ini kita dihidupkan oleh Allah SWT, tinggal di bumi milik-Nya. Kita berjalan dengan bebasnya. Kita diberikan rezeki yang melimpah, makanan, minuman, udara dan sebagainya.

Tiba saat yang telah ditentukan. Kita akan dikembalikan semula kepada-Nya. Sama ada suka atau tidak, sedar atau lalai, ia pasti berlaku. Selepas itu kita akan menuju ke negeri abadi, syurga atau neraka. Kita memilihnya...

Membuat persiapan

Sesungguhnya perjalanan selepas ini amat jauh, maka banyak bekalan yang perlu dibawa. Kekurangan bekalan amat menyulitkan perjalanan kita. Mengingatkan hal demikian, maka wajiblah bagi kita menginsafi diri, menyiapkan diri bagi hari yang amat besar itu. Persiapan menghadapi kematian, persiapan bertemu dengan Tuhan.

Sememangnya dalam menjalani kehidupan ini, kita sering lupa matlamat hidup ini. Kita sangkakan bahawa dunia ini adalah tempat bersenang-lenang, tempat istirehat. Hakikatnya dunia tempat mencari bekal.

Justeru itu, Allah SWT dengan sifat kasih sayang telah menghantar peringatan kepada kita agar tidak melupakan saat-saat itu, agar kita tidak terpedaya dengan keduniaan, sehingga kita tidak bersiap untuk bertemu dengan-Nya.

Diceritakan bahawa Nabi Musa pernah memberitahu malaikat supaya memberitahu sebelum mengambil nyawanya. Tetapi tatkala akan diambil nyawanya, Nabi Musa bertanya kenapa malaikat itu tidak memberitahunya lebih awal. Malaikat segera menjawab, Allah telah menghantar peringatan demi peringatan...

Rambut yang hitam menjadi putih
Badan yang gagah beransur lemah
Selera yang terbuka mula menguncup

Gigi sudah banyak yang gugur
Mata yang terang mulai kabur
Kulit yang tegang semakin kendur

Allah SWT berfirman:

"Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya, dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya), tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang yang terpedaya." (Ali-Imraan: 185).

Oleh itu awaslah daripada dilalaikan dan diperdayakan oleh kesenangan dunia dan kemewahan, sebaliknya gunakanlah semuanya itu untuk amal kebajikan bagi mencapai kesenangan dan kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak.

Damba keampunan-Nya

Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang Yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah dengan "taubat Nasuha", mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): "Wahai Tuhan kami! sempurnakanlah bagi Kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu". (at-Tahrim: 8).

Segeralah bertaubat kepada Allah kerana pintu penerimaan-Nya sentiasa terbuka luas dan tanpa batasan. Allah SWT sentiasa membentangkan rahmat-Nya kepada orang-orang yang ingin kembali kepada-Nya. Ingatlah, manusia yang terbaik bukanlah manusia yang tidak pernah melakukan dosa sama sekali, akan tetapi manusia yang terbaik adalah manusia yang ketika dia berbuat kesalahan dia segera bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat.

Teringat satu cerita semasa bersekolah arab dahulu. Mari kita kongsikan bersama.

Diceritakan bahawa seorang pemotong kayu terpesona kepada anak tetangganya. Suatu hari, gadis itu berpergian ke desa lain kerana menyelesaikan urusan keluarganya. Si pemotong kayu lalu mengikutinya dari belakang sampai akhirnya berhasil menemukannya. Lalu beliau memanggil gadis tersebut dan mengajaknya menikmati kesempatan indah itu. Tetapi gadis itu menjawab, "Jangan lakukan. Meskipun aku juga mencintaimu, tetapi aku sangat takut kepada Allah Yang Maha Melihat." Mendengar jawapan itu, si pemotong kayu merasa dunia berputar. Kerana menyesal dan hatinya gementar, lalu dia berkata, "Kau takut kepada Allah sedangkan aku tidak."

Dia pulang dalam keadaan menyesal dan bertaubat kepada Allah. Dalam perjalanannya dia bertemu dengan seorang soleh. Mereka berjalan beriringan. Tiba-tiba mereka melihat gumpalan awan bergerak melindungi mereka berdua sehingga mereka masuk ke sebuah desa. Penduduk desa yang kehairanan merasakan bahawa awan itu mengikuti orang soleh tersebut. Kemudian mereka berpisah di satu simpang desa tersebut. Awan itu ternyata condong dan terus menaungi si pemotong kayu sehingga sampai dirumahnya. Orang soleh itu hairan melihat peristiwa tersebut, lalu mengikuti pemotong kayu dan bertanya. Lalu pemotong kayu tersebut menceritakan apa yang berlaku.

Maka orang soleh tersebut berkata, "Sesungguhnya orang yang bertaubat itu dekat dengan Allah dan dikasihi seluruh makhluk-Nya."

Nah! Adakah rugi jika bertaubat. Tidak! Bukankah bertaubat itu sifat seorang hamba. Mahukah anda bertaubat bersama saya?

Tuesday, 16 November 2010

Salam Aidil Adha



Assalamualaikum warahmatulLahi wabarakatuh,

Di kesempatan yang terluang ini. saya ingin mengucapkan Salam AidilAdha kepada semua muslimin dan muslimat khususnya kepada pengunjung pondok kecil abuikhwan.

Semoga kita semua dapat menghayati pahit jerih pengorbanan para nabi dan ulama` serta pejuang agama terdahulu yang ikhlas, istiqamah dan itqan dalam meninggikan agama Islam.

Marilah kita sama-sama menginsafi diri dan menilai kembali perjuangan kita dan pengorbanan yang telah kita curah untuk agama Allah.

Tentunya sebagai manusia biasa masih ada sekelumit sifat cinta dunia yang menyebabkan kita culas, keberatan untuk mengorbankan sedikit harta, masa, tenaga, buah fikiran serta diri. Tipisnya iman kita di akhir zaman.

Namun demikian kita harap dan yakin Allah SWT pasti akan mengganjari setiap pengorbanan walaupun sekecil mana.

"Barangsiapa yang melakukan kebaikan walaupun seberat zarah (atom), nescaya dia akan melihatnya (mendapatkan ganjarannya)." (al-Zalzalah: 7).

Walaupun pengorbanan kita tidak sehebat Nabi Ibrahim a.s dan anak kesayangannya Nabi Ismail a.s, percayalah balasannya pasti ada...
"TaqabbalalLah minna waminkum"

Monday, 15 November 2010

Izinkan aku...


Izinkan aku terbang ke langit lepas
Agar dapat ku lihat hijau nan terbentang
Menghayati ciptaan-Mu tiada bandingan
Biar terlimpah syukur dalam ucapan

Izinkan aku belayar ke tengah samudera
Agar dapat ku titipkan rindu deburan ombak
Menghempas pantai setia bertamu
Sebagai zikir pengingat kelalaian

Izinkan aku meneroka rimba raya
Agar dapat ku dengar kicauan mergastua
Betapa luas rahmat kasih sayang-Mu
Menumpah rezeki tanpa berkira-kira

Izinkan aku meredah padang pasir nan luas
Agar dapat ku rasa kekerdilan diri
Tiada harapan selain untuk-Mu
Demikian insan berjiwa hamba

Izinkan aku kembali ke dalam diri
Mencari cahaya sinar abadi
Kerana di situ cintaku berbunga
Buat Tuhan Rabbul `alameen

Izinkan aku kerana aku masih di sini...

abuikhwan
Kuantan, Pahang
15 November 2010
9.30 malam

Saturday, 13 November 2010

Bolehkah diberi daging korban kepada non-Muslim?

Soalan:

Saya ada kemusykilan mengenai daging korban yang diberi kepada bukan Islam (non-Muslim) untuk memakannya, sama ada diberi daging mentah atau yang sudah dimasak. Ini kerana ada yang mengatakan daging korban tidak boleh diberi kepada orang kafir sama ada mentah atau yang dimasak. Kita sedang mendekati masa berkorban, mohon penjelasan Dato`.

Jawapan:

Korban dan akikah adalah ibadah sunnah. Dalam Mazhab as-Syafie, ia adalah sunnah al-muakkadah.

Kadang-kadang ibadah itu menjadi wajib. Wajibnya kerana seseorang itu bernazar untuk melakukan korban atau akikah.

Apabila yang dinazarkan itu berhasil, maka wajiblah seseorang itu melaksanakannya. Akikah dan korban jenis inilah yang ia wajib diberikan daging-daging itu kepada semua orang yang hendak diberikan.

Hatta dirinya sendiri pun tidak boleh memakannya dan tidak boleh diberikan kepada orang kafir. Ia adalah kerana seseorang itu bernazar.

Adapun akikah atau korban yang tidak wajib ertinya sunat atau sunat muakkad, maka Allah SWT berfirman (mafhumnya): “Supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaan-Nya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu daripada (daging) binatang-binatang itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.” (al-Hajj: 28).

Dan firman Allah SWT (mafhumnya): “Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Kaabah (untuk membinanya, lalu Kami berfirman kepadanya): “Janganlah engkau sekutukan sesuatu pun dengan-Ku, dan bersihkanlah rumah-Ku (Kaabah ini) bagi orang-orang yang tawaf, dan orang-orang yang berdiri dan yang rukuk serta yang sujud (mengerjakan sembahyang).” (al-Hajj: 26).

Al-Quran secara umumnya, dengan tidak mengkhususkan kepada orang Islam sahaja, untuk diberikan daging korban itu.

Dengan demikian kita boleh faham bahawa daging korban dan akikah itu, boleh diberikan kepada sesiapa sahaja.

Oleh kerana itu maka ulama` mengharuskan daging tersebut diberi, hatta kepada orang kafir, sama ada yang masih mentah atau yang sudah dimasak.

Dalam Mazhab al-Maliki, disebut dengan jelas dalam kitab Kasyaful Qinak, pada juzuk 2 halaman 19, dengan menyebut: “Dan diharuskan dihadiahkan daging korban atau akikah yang sunat itu kepada orang kafir. Adapun yang wajib, maka tidak harus.”

Pernahkah anda terfikir bahawa, banyak daging-daging korban dan akikah, ada yang tidak dimanfaatkan manusia, seperti pada musim haji berpuluh-puluh tahun yang lalu.
Disembelih dan dibiarkan bergelimpangan di padang pasir di Mina. Dimakan oleh haiwan dan burung-burung sahaja. Akhirnya dikambus di dalam tanah. Puluhan ribu ekor, hanya untuk makanan haiwan atau ditanam sahaja.

Kalaulah haiwan boleh memakan daging korban, apakah orang kafir lebih teruk daripada haiwan?

Sehingga sekarang ini pun masih ada saki-baki daging-daging korban yang dicampak atau dibiarkan kerana terlalu banyak. Malah ada yang dimakan oleh anjing, kucing dan sebagainya.

Oleh kerana itu maka ulama`-ulama` mengharuskan daging korban itu dimanfaatkan oleh manusia, sama ada yang Islam atau tidak Islam . Wallahu a`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din
Harakah bil. 1587

Friday, 12 November 2010

Offline Dengan Syaitan


Kehidupan ini adalah satu pentas perjuangan, perjuangan antara haq dan bathil, putih dan hitam. Haq atau kebenaran adalah pembawa dan pendokongnya, ialah para Rasul. Demikian juga dengan yang bathil atau salah yang juga ada pembawa dan pendokongnya, iaitu iblis dan syaitan.

Sebahagian ulama bahasa Arab berpandangan, kalimah syaitan berasal daripada kalimah Arab syathana yang bermaksud ‘jauh daripada kebenaran dan rahmat Allah’. Mengikut sahabat, Abdullah bin Abbas, “Makhluk syaitan adalah daripada keturunan iblis dan mereka tidak mati melainkan bersama-sama dengan iblis (ketika berlaku hari kiamat).” Hal ini dijelaskan dalam Makaidu as-Syaitan oleh Taha Abdullah Afifi.

Syaitan dilaknat Allah justeru ia adalah musuh utama manusia. Syaitan tidak jemu dan bosan bagi menyesatkan manusia melalui pelbagai taktik dan strategi.

“Aku adalah lebih mulia dan lebih unggul daripada dia. Engkau ciptakan aku dari api dan menciptakannya daripada lumpur.”

Begitulah kata-kata syaitan dengan angkuh dan sombong di hadapan Allah apabila disuruh bersujud kepada Adam. Ini menunjukkan syaitan merasakan dirinya lebih bertaraf tinggi daripada Adam kerana dia diperbuat daripada api dan Adam diperbuat daripada tanah, yang dianggap tidak bersih dan rapuh.

Oleh sebab Allah menjatuhkan hukuman dicampakkan ke dunia, dia berjanji dan berkata di hadapan Tuhan, Nabi Adam dan para malaikat, dia akan membinasakan Adam dan seluruh keturunannya sampai hari Akhirat kelak. Syaitan diciptakan sebagai ujian tahap keimanan manusia kepada Allah.

Siapa yang terpedaya dengan ajakan syaitan, Allah membalasnya dengan azab sengsara yang pedih di dunia dan di akhirat. Manakala orang yang berjaya melawan dan menyekat kejahatan syaitan, Allah memberikannya penghargaan yang tidak terkira dan dibalas dengan syurga.

Tajuk : Offline Dengan Syaitan
Penulis : Zulkifli Khair
Penerbit : PTS Islamika Sdn Bhd
Harga : RM13.00 / RM15.00
M/S : 132

OFFLINE DENGAN SYAITAN adalah cebisan motivasi dalam mengenali syaitan dalam kalangan jin dan manusia, bagi menghindari tipu dayanya. Sememangnya tidak sempurna perjalanan menuju Tuhan sekiranya musuh tidak dikenal pasti dan rintangan tidak diatasi.

OFFLINE DENGAN SYAITAN membawa kita mengenali makhluk perosak terbesar di muka bumi dan bagaimana mereka merosakkan seluruh keturunan Adam di muka bumi secara halus.

OFFLINE DENGAN SYAITAN terbahagi kepada beberapa bahagian:

Bahagian 1 : Mengenali Iblis dan Syaitan

Bab 1: Siapa Kami?
Bab 2: Aku Jutawan!
Bab 3: Ketika Remang Senja
Bab 4: Allah Lebih Perkasa

Bahagian 2 : Teknologi Syaitan Menyesatkan Manusia

Bab 5: Obsessive-Compulsive Disorder (OCD)
Bab 6: Bahaya Virus P1A1
Bab 7: Bahaya Pihak Ketiga
Bab 8: Sihir dan ‘Bomohisme’
Bab 9: Filem Seram dan Mesra Magis
Bab 10: Zaman Gawat, Iman Tenat
Bab 11: Wanita Agen Syaitan?
Bab 12: Seksi yang Seksa
Bab 13: Lawrence of Arabia
Bab 14: Mustafa Kemal Ataturk
Bab 15: Mirza Ghulam Ahmad
Bab 16: Salman Rushdie
Bab 17: Mengapa Makan Guna Tangan Kiri?
Bab 18: Dunia Siber
Bab 19: Dajal

Bahagian 3 : Firewall daripada Syaitan

Bab 20: Kemas Kini ‘Perisian’ Anti Syaitan
Bab 21: Klik ‘Refresh’
Bab 22: Solat Di Mana-mana
Bab 23: Kuruskan Nafsu, Perkasakan Akal
Bab 24: Muat Turun Ayat Kursi
Bab 25: Klik Zikir Delete Sihir
Bab 26: Melontar Jamrah Secara Maya
Bab 27: IT untuk ‘Ilm Technology
Bab 28: Ouija Board Vs Istikharah
Bab 29: Membina ‘Blog’ Takwa
Bab 30: Dr. Yusuf Estes
Bab 31: Dr. Zakir Naik
Bab 32: Kemuncak Offline
Bab 33: Malunya Ber-Facebook di Padang Mahsyar

Dapatkan juga tip dan langkah kawalan bagi menghadapi dan menghalang bisikan dan hasutan mereka seterusnya menjalani hidup dalam keadaan aman dan menenangkan.

OFFLINE DENGAN SYAITAN adalah memotong talian yang menjauhkan diri daripada rahmat Allah.

Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu!

Tuesday, 9 November 2010

Syukur atas nikmat-mu..


Saya akur dengan ketentuan-Nya. Tidak sekelumit pun terlintas di hati saya untuk tidak mensyukuri nikmat-Nya. Tidak sekali-kali. Sesungguhnya Allah terlalu melimpah-ruah pemberian-Nya, tidak pernah habis, tidak pernah berkurang.

Saya merenung pada diri...mata yang dapat melihat, telinga yang boleh mendengar, mulut yang petah berkata-kata, sepasang tangan yang memudahkan melakukan kerja serta kaki yang menghayun langkah bergerak bebas ke sana ke mari. Bukankah semua itu anugerah yang sangat berharga, wahai empunya diri...

Saya memerhati...pada mereka yang tidak bernasib baik. Ada yang cacat penglihatan, ada yang cacat pendengaran, ada yang tempang tidak cukup kaki dan tangan. Ahh..betapa bahagianya diri ini dilahirkan dalam keadaan sempurna, cukup anggota dan pancaindera. Tidak seperti mereka yang cacat itu.

Tidak cukup dengan itu saya melihat Allah mengurniakan pula dunia yang sarat dengan isinya. Air, udara, sinar matahari, tumbuh-tumbuhan beraneka, haiwan yang berbagai jenis. Semuanya dilimpahkan oleh Allah kepada sesiapa sahaja, tanpa berkira dan tanpa perlu membayarnya. Bukankah semua ini perlu disyukuri, wahai pemilik mata hati...

Bagaimana jika setiap udara yang disedut perlu dibayar...
Bagaimana jika setiap sinar matahari yang dinikmati perlu dibayar...
Bagaimana jika setiap titis hujan yang turun ke bumi perlu dibayar...

Mampukah kita...
“Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?” (ar-Rahman: 13)

Monday, 8 November 2010

Bicara santai: bukan leteran

Ketika sedang membelek-belek helaian majalah Solusi, saya dikejutkan dengan SMS dari seorang rakan.

“Al-Fatihah buat sahabat kita, Ismail Nakiudin yang telah kembali ke rahmatullah maghrib tadi kerana terlibat dalam kemalangan yang melibatkan bas…”
Inna lillahi wa inna ilaihi raaji`un.

Terpempan saya seketika dengan berita ini, tidak disangka-sangka. Saya tidaklah mengenali beliau dengan rapat, dan apa yang saya tahu beliau merupakan seorang yang istiqamah dalam melakukan kerja-kerja dakwah dan kebajikan.

Kemalangan bas ekspres

Bagaikan menjadi ‘trend’ pula kebelakangan ini, kemalangan yang melibatkan bas ekspres. Boleh dikatakan sekarang ini, saban hari berita yang terpapar menghiasi dada-dada akhbar, bas ekspres terbalik di sana, bas ekspres terbabas di sini, lepas satu…satu. Saya sendiri turut khuatir untuk menggunakan perkhidmatan bas ekspres untuk perjalanan yang jauh. Tetapi jika tiada alternatif lain, terpaksa juga menggunakannya. Hanya berserah kepada Allah segala urusan.

Islam adalah penyelesaian

Saya amat tertarik dengan apa yang disebut oleh Ustaz Nasrudin Tantawi tatkala ditanya mengenai jalan penyelesaian kemalangan jalan raya. Katanya, kita mesti kembali kepada Islam kerana Islam adalah penyelesaian kepada semua masalah. Bukan hanya pada undang-undang jenayah seperti hudud dan qisas, tetapi pada penyelesaian kemalangan jalan raya pun perlu balik pada undang-undang Islam. Tentu pelikkan, bagaimana penyelesaian kemalangan jalan raya pun ada dalam undang-undang Islam. Bagaimana?

Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda :

”Setiap anggota tubuh manusia mempunyai kesempatan untuk bersedekah setiap hari.
Mendamaikan orang berselisih adalah sedekah. Menolong orang menaiki kenderaan, ataupun mengangkat barangnya ke atas kenderaan, adalah sedekah. Ucapan yang baik juga sedekah. Setiap langkah pergi solat ke masjid itu sedekah. Menyingkirkan benda merbahaya di jalanan juga sedekah.” (Sahih Muslim: Hadis ke 962).

Sebahagian ulama` menyebut bahawa hadis ini adalah satu hukum yang sunat muakkad iaitu hampir wajib, ini kerana Nabi saw menyebut kalimah sedekah, yang mana hukum sedekah adalah sunat. Manakala hanya sedikit sahaja dikalangan ulama` yang mengatakan wajib kerana benda-benda yang merbahaya itu boleh menyakiti, merosakkan dan membinasakan.

Sebagai contoh, jika di sebatang jalan ada satu lopak yang besar serta dalam dan kita melaluinya setiap hari, dalam masa yang sama kita hanya membiarkan serta tidak mengambil apa-apa tindakan kerana bagi kita ia bukan satu masalah, tetapi bagaimana jika ada orang yang tidak biasa melaluinya, mungkin akan menyebabkan kemalangan jika terjatuh. Jadi lopak itu adalah benda yang menyakiti dan membinasakan.

Saya ingin luaskan lagi skop benda-benda yang ‘menyakiti’ di jalanan iaitu papan tanda iklan yang menunjukkan gambar wanita separa lucah yang terdapat di tepi serta simpang-simpang jalan. Contohnya iklan telefon bimbit yang menunjukkan seorang perempuan sedang memegang telefon bimbit tersebut. Gambar perempuan tersebut besar tetapi gambar telefon kecil sahaja. Kemudian tertera tulisan “belilah telefon ini”. Jika dilihat pada gambar sepatutnya di tulis “belilah perempuan ini”, kerana yang di fokus adalah gambar perempuan tersebut.

Begitu juga ada satu iklan ‘lining brake’ yang terletak di persimpangan satu tempat. Besar papan iklannya, yang memaparkan sorang perempuan sedang berbaring dan ‘lining brake’ kecil sahaja terletak dihujung kepalanya. Kita berasa hairan hendak jual ‘lining brake atau perempuan tersebut. Itu yang menyebabkan terbabas agaknya.

Tetapi bukanlah semua kemalangan itu disebabkan oleh papan iklan, banyak lagi faktor-faktor lain yang perlu diperhalusi bersama. Mungkin faktor pemandu, kenderaan, jalan raya dan sebagainya yang menyumbang kepada masalah ini..

”Apabila kamu bermusafir dalam bilangan 3 orang maka hendaklah lantik seorang ketua.” (maksud hadis).

Jika kita menaiki kapal terbang, kita akan lihat ada pramugari yang bertindak sebagai ketua pramugari yang memperkenalkan dirinya serta memberi info tentang peraturan keselamatan dan langkah-langkah yang perlu diambil jika berlaku sebarang kecemasan. Kita diajar cara memakai tali pinggang keselamatan serta bila patut memakainya. Kita diajar bagaimana mengendalikan corong oksigen dan sebagainya.

Mengapa tidak boleh kita praktikkan peraturan sebegini di dalam bas. Contohnya rombongan seramai 40 orang, dilantik seorang ketua. Ketua akan memberi sedikit taklimat keselamatan, membaca doa safar sebelum bergerak. Ketua juga akan memantau pemandu iaitu memastikan pemandu sentiasa segar, jika mengantuk tukar pemandu kedua.

Penutup

Mungkin ada yang sinis bila diajukan idea ini. Mungkin ada yang ketawa mendengar idea ini, mungkin sampai berguling.

“Tidak relevan..tidak relevan, mengarut sahaja.”

Ini hanya sebagai salah satu cadangan penyelesaian di antara banyak penyelesaian yang lain. Sama-sama kita berfikir. Tepuk dada tanya iman.

Friday, 5 November 2010

Hakikat sabar


Hadith :

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Allah berfirman dalam hadis qudsi yang bermaksud,” Tiada balasan bagi seseorang hamba-Ku yang telah Aku ambil kembali kekasihnya, kemudian orang itu mengharapkan pahala daripada-Ku melainkan orang itu akan mendapat balasan syurga.” (Riwayat Bukhari)

Huraian

i) Sabar ialah mengawal diri daripada kegelisahan dan menerima segala dugaan, rintangan dan segala suruhan Allah dengan hati yang tenang iaitu tidak merasa jemu dan berputus asa dalam menghadapi kesulitan hidup.

ii) Kita hendaklah bersabar ketika menghadapi kematian suami, isteri, anak atau ibu bapa kerana semua makhluk adalah menjadi milik Allah. Malah kita dinasihatkan untuk berkata:” Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” (al-Baqarah :156)

iii) Sabar perlu dilakukan sejak mula-mula menghadapi bala kesusahan kerana seseorang yang menghadapi kesusahan dengan penuh kesabaran akan dihapuskan dosanya dan dimasukkan ke dalam syurga.

iv) Sesungguhnya setiap mukmin yang beriman kepada Allah, imannya belum dapat diperakui sebelum diuji keimanannya itu dan berjaya pula menghadapi dugaan tersebut di mana tiada balasan yang lebih besar di dunia dan akhirat daripada balasan bagi seseorang yang bersifat sabar dalam menghadapi bala ketika di dunia.

v) Setiap ujian yang diturunkan oleh Allah mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Oleh itu untuk menjadi hamba Allah yang dikasihi, hendaklah kita bersedia menghadapi setiap ujian yang menimpa dengan penuh kesabaran, sebaliknya bagi seseorang yang tidak redha menerima ujian Allah, maka ia akan menjadi hamba yang dibenci serta jauh daripada rahmat Allah.

Sumber: JAKIM