Sahabat Sejati

Tuesday, 18 October 2016

(Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul) kita memang layak diuji

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sesuatu: perasaan takut, kelaparan, kekurangan harta benda, dengan kematian, dan kekurangan hasil tanam-tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang bersabar (menghadapi ujian itu). (Orang-orang yang sabar) iaitu apabila di timpakan kesusahan (musibah), lalu mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada-Nyalah jua kami akan dikembalikan.” (Al-Baqarah: 155-156).

Tidak mudah melihat 1001 ujian terkumpul di depan mata. Juga tidak sama dengan yang merasai dan memikulnya. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Demikianlah aksara melayu zaman berzaman.

Itulah yang cuba saya selami tatkala melihat mereka yang ditimpakan ujian.

Saya merenung.... keharuan tatkala kesabaran dan harapan mereka menggunung tinggi. Apakah saya mampu bertahan sekiranya saya berada di tempat mereka. Apakah mampu bibir saya melafazkan kalimah keinsafan jika saya berganti nasib dengan mereka. Apakah dapat saya fikirkan ujian itu satu nikmat yang terkandung hikmah di dalamnya tatkala saya pula yang menerima ujian. Sungguh berat untuk saya ungkapkan. Mungkin saya berjaya menghadapinya, atau mungkin saya jua terlena tewas dek ketipisan iman di dada.

Kita memang layak diuji

Sesungguhnya setiap ujian yang ditimpakan itu pasti ada hikmah disebaliknya. Tidak mungkin Allah SWT menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia, walaupun diciptakan seekor nyamuk pasti di situ ada tujuan dan manfaatnya. Mungkin kita tidak menyedari atau mengetahuinya. Namun percayalah hikmah disebalik ujian itu adalah semata-mata dari sifat kasih sayang-Nya.

Dengan adanya ujian, kita akan sentiasa berifikir dan muhasabah diri. Ingat kepada Allah. Di situ kita akan merasai manisnya kasih sayang Allah SWT yang menyedarkan kita dari kelalaian dan keasyikan hidup.

Sesungguhnya apa sahaja masalah yang membelenggu dan menghimpit kehidupan, merupakan salah satu dari kaedah tarbiah Allah Yang Maha Pemurah kepada para hamba-Nya. Mungkin dalam keadaan sihat, kaya ataupun sempurna, kita mampu untuk mengucapkan kalimah syukur. Ataupun mengakui keimanan kita (iidak kurang juga yang hanyut). Akan tetapi tatkala ditimpa musibah atau ujian, barulah kita dapat melihat gambaran atau keadaan sebenar hakikat keimanan yang kita lafazkan itu. Adakah boleh bersabar dan redha atau meratap kerunsingan kerana putus asa, kecewa dan sebagainya.

Benarlah ungkapan penuh hikmah, jika tidak diuji dengan lapar kita tidak akan tahu nikmatnya kenyang. Jika tidak diuji dengan sakit kita tidak akan tahu nikmatnya sihat. Jika tidak diuji dengan sibuk kita tidak akan tahu betapa besarnya nikmat lapang. Jika tidak di uji dengan cubaan hidup, kita tidak akan tahu setebal mana keimanan kita terhadap ketentuan Allah SWT. Tepuk dada tanya iman.

Janganlah kita beranggapan bahawa apabila Allah SWT menurunkan musibah atau ujian maka itu tandanya Allah tidak menyayangi kita dan jangan sekali-kali menyatakan Allah telah menzalimi kita. Jangan. Jangan begitu. Sematkan di dalam jiwa kita bahawa setiap ujian itu terkandung hikmah kebaikan. Walaupun tampak zahirnya amat pahit. Seumpama ubat yang pahit tetapi pahitnya itulah yang menjadi penawar penyembuh penyakit.

Bersabarlah menerima ujian

“Demi sesungguhnya Kami akan menguji kamu, sehingga Kami mengetahui orang-orang yang berjuang diantara kamu dan orang-orang yang sabar dan Kami siarkan perkhabaranmu.” (Muhammad: 31).

Apa yang kita lihat ramai di kalangan manusia yang mensyukuri nikmat kesenangan, tetapi apabila di timpa ujian mereka mula resah bergoncang jiwa. Lalu disalah anggap sebagai satu bala yang tak sepatutnya dihadapi. Dan yang lebih buruk lagi apabila mula mempersoalkan dan menyalahkan Allah atas musibah tersebut. Na`uzubillah.

“Mengapa aku yang ditimpa musibah, apa salahku.”

“Apa dosaku sehingga aku diuji sedemikian rupa.”

Jangan begitu. Mari kita melihat dari sisi yang lain. Agar terpercik sekelumit ketenangan.

Tingkatkanlah kesabaran, menerima ketentuan Allah SWT dan redha dan apa yang paling penting, yakin bahawa Allah SWT pasti akan menolong kita. Ingatlah Dia yang menciptakan keresahan, Dia juga yang menurunkan ketenangan. Dia yang menurunkan penyakit, jangan lupa Dia juga yang membekalkannya dengan penawar. 

Allah yang memberikan ujian, maka sudah pastiah Dia juga yang membuka jalan penyelesaian. Justeru, tugas ita adalah berikhtiar bersungguh-sungguh dan tidak lupa berdoa dengan sepenuh hati. Janganlah hanya berserah diri menghitung hari dan berpeluk tubuh tanpa melakukan apa-apa. Umpama tewas sebelum berjuang.

Kata Asy`as bin Qais: “Jika engkau menghadapi musibah itu dengan penuh kesabaran dan keimanan serta mengharapkan keredhaan Allah, itu lebih baik bagimu. Jika tidak demikian, maka dirimu seperti haiwan.”

Diantara tujuan dan faedah-faedah musibah atau ujian adalah:

-Sebagai pembeza di antara mukmin yang kuat dan mukmin yang lemah jiwanya. Cukup sukar untuk mengetahui sikap mukmin yang kuat dan mukmin yang lemah kerana ianya tertanam dan tersembunyi di dalam hati pemiliknya. Namun apabila di timpakan ujian, maka dapatlah kita melihat siapakah yang mukmin dan sebaliknya. Ia jelas dapat di lihat melalui sikap dan keadaan mereka tatkala ditimpa ujian. Ada yang masih tersenyum dan tidak kurang juga yang tersepuk tenggelam dalam airmata keresahan.

-Ujian juga berfungsi sebagai kifarah atau penebus dosanya. Ini berdasarkan sabda Rsulullah saw: “Apa pun yang menimpa diri seseorang mukmin dari kepayahan, kesakitan, kesusahan dan apa sahajakeresahan yang dirasakan. Melainkan Allah SWT akan menghapuskan sebahagian dari keburukannya.”

-Sebagai proses mendidik dan membentuk peribadi. Dengan ujian atau musibah maka seseorang itu akan lebih bersedia menghadapi hari-hari yang mendatang. Serta menjadikan jiwanya kuat dan tahan lasak dan mematangkan fikirannya.

-Menguji tahap kesabaran dan ketaatan kepada Allah SWT. Yakni walaupun ditimpa musibah dan kesusahan, tetapi itu semua tidak menjadikannya malas dalam beribadat. Ada manusia yang apabila ditimpa musibah, lalu dia menjadikan musibah itu sebagai penghalang untuk melakukan ketaatan kepada Allah SWT.

Memetik tulisan Ustaz Hasrizal yang saya kira amat baik untuk kita fikirkan serta kita renungkan jauh ke dalam lubuk hati yang tulus:

“Perkara pertama yang perlu kita penuhi, adalah dengan membetulkan sangka dan kepercayaan kita kepada-Nya. Jangan sekali-kali kita menganggap bahawa sakit ini merupakan suatu musibah, nasib buruk atau hukuman. Tidak… Dalam hidup kita, sihat dan sakit kedua-duanya adalah ujian. Kita diberikan kesihatan untuk menguji adakah kita syukur dan berterima kasih kepada-Nya. Kita diuji dengan kesakitan untuk menguji adakah kita sabar dan ingat kepada-Nya. Jadi, sakit dan sihat, dua-dua adalah ujian, dan dua-dua boleh jadi baik atau buruk. Baik jika kita positif terhadapnya, dan buruk jika kita memilih untuk berfikiran negatif terhadapnya."

Sesungguhnya “disebalik ujian itu” ada sinar bahagia, ada cahaya yang menerangi, ada syurga yang menanti. Justeru itu bersabarlah dalam menghadapi ujian kerana “kita memang layak di uji”....

4 comments:

Kakzakie Purvit said...

Sebaik baca N3 ini kakak terus teringat pesanan buat kita semua ingat yg 5 sebelum datang yg 5. Benarlah selagi kita bernyawa tak banyak sedikit pasti ada ujian Allah berikan pada kita. Hanya dimana kita didik/baja iman kita utk menerima ujian tersebut.

paridah said...

Assalam moga ustaz n famili sht sjhtera. Membaca n3 ni sgt menenangkan jiwa. ujian hidup kita berbeza-beza n harus tabah n reda melaluinya.

saniah ibrahim said...

Assalamualaikum ustaz...
Kebetulan ketika ini keluarga akak diuji ,Alhamdullilah akak hayati baris demi baris coretan ustaz ni.
Barisan ayat terakhir dapat menceriakan hati disaat diri diuji kini.

saniah ibrahim said...

Assalamualaikum ustaz...
Kebetulan ketika ini keluarga akak diuji ,Alhamdullilah akak hayati baris demi baris coretan ustaz ni.
Barisan ayat terakhir dapat menceriakan hati disaat diri diuji kini.

Post a Comment