Sahabat Sejati

Sunday, 22 November 2015

Islam memuliakanmu duhai wanita

 foto hiasan (sumber)
 
Ada suara-suara yang berkata Islam merendahkan martabat wanita. Manakala pengamal media sekular sering menjadikan status wanita Islam sebagai sasaran serangan di dada media mereka. Mereka menjadikan isu hijab, poligami, harta warisan, kesamaan saksi dan sebagainya untuk menunjukkan bahawa Islam mengongkong dan merendahkan martabat wanita. Benarkah demikian? 

Dahulu, sebelum kedatangan Islam, wanita dipandang rendah dan hak mereka dinafikan serta dijadikan alat memuaskan nafsu. Betapa rendahnya martabat wanita ketika itu. Mari kita melihat beberapa contoh status wanita dalam masyarakat sebelum kedatangan Islam. 

Di bawah undang-undang tamadun Babylon, jika seseorang lelaki membunuh seorang lelaki atau wanita, bukan lelaki tersebut yang dihukum sebaliknya isterinya yang dihukum mati. 

Di bawah tamadun Yunani, hak wanita dinafikan. Kaum Yunani menganggap wanita seperti binatang dan lebih rendah martabatnya daripada lelaki. Walaupun kesucian wanita berharga dan disanjung tinggi, kaum Yunani ditenggelami keegoan dan sumbang laku seks. Pelacuran menjadi amalan biasa di kalangan semua golongan masyarakat Yunani. 

Tamadun Mesir (pra-Islam) menganggap wanita sebagai jahat dan petanda syaitan. Manakala, ketika tamadun Rom berada di kemuncak kegemilangannya, seorang lelaki berhak mengambil nyawa isterinya. Manakala pelacuran dan kebogelan menjadi kebiasaan di kalangan di kalangan kaum Rom. 

Sebelum Islam berkembang di tanah Arab, kaum Arab memandang rendah terhadap wanita dan seringkali apabila anak perempuan dilahirkan, ditanam hidup-hidup. Namun, penghinaan terhadap wanita di zaman jahiliyah Arab bukan hanya terbatas kepada penguburan bayi hidup-hidup, tetapi kehinaan itu meliputi seluruh segi kehidupan mereka, seperti wanita dijadikan hamba seks, hamba abdi yang boleh diperintahkan apa saja dan tidak mempunyai apa-apa hak. 

Islam memuliakan para wanita 

Nabi Muhammad saw diutuskan oleh Allah SWT sebagai Rasul terakhir yang membawa rahmat kepada seluruh alam. Di antara rahmat yang didatangkan melalui syariat yang dibawa oleh baginda ialah mengangkat darjat dan martabat wanita kepada satu kedudukan yang tinggi dan mulia di sisi Islam. 

Islam telah menetapkan hak-hak wanita dengan sempurna tanpa pengurangan sedikitpun. Al-Quran dan hadis membicarakan wanita sepanjang masa. Surah an-Nisa’, an-Nur, at-Talaq dan lain-lain menggambarkan keprihatinan Islam terhadap martabat wanita. 

Di dalam satu riwayat telah diceritakan: Seorang lelaki datang kepada Rasulullah s.a.w. lalu berkata, “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak untuk aku hormati?” Baginda menjawab, “Ibumu!” Lelaki itu terus bertanya, “Kemudian siapa?” Nabi saw menjawab, “Ibumu!” Lelaki itu bertanya lagi, “Kemudian siapa?” Nabi saw menjawab, “Ibumu!” Sekali lagi lelaki itu bertanya, “Kemudian siapa?” Nabi saw menjawab, “Bapamu!” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Di dalam hadis yang lain: “Barang siapa yang menanggung dua anak perempuan, lalu berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi tirai pencegah baginya dari api neraka.” (Riwayat Bukhari)   
Begitu juga bagi mereka yang mempunyai satu atau lebih anak perempuan. 

Termaktub di dalam Islam ini hukum-hakam yang begitu banyak berkaitan rumahtangga dan kekeluargaan seperti talaq, lian, ila, zihar, nafkah dan lain-lain. Kesemua hukum ini bermaksud menyusun dan membentuk sistem kekeluargaan dengan memberikan keadilan kepada suami dan isteri, lelaki dan wanita. Hak dan tanggungjawab dipertegaskan dalam kesemua hukum ini. Taqwa sentiasa disebut di dalam al-Quran mengiringi hukum talaq dan lain-lain, agar tindakan yang dibuat didasarkan kepada akal waras dan nilai pahala dosa, bukan emosi semata-mata yang kemudiannya menzalimi wanita. 

Alangkah cantiknya hukum Islam ini yang telah mengeluarkan wanita dari lembah kehinaan, alat dan hamba seks semata-mata dan menjadi bahan pemerdagangan manusia tidak bertamadun.  

Umar al-Khattab ra. Berkata: “Pada zaman jahiliah kami tidak menghargai wanita walau sedikitpun. Tetapi tatkala Islam datang dan Allah menyebut-nyebut tentang mereka, barulah kami sedar bahawa mereka mempunyai hak ke atas kami.”

Islam telah memuliakanmu duhai wanita!

5 comments:

iryanty ahamad said...

Assalamualaikum saudara...

:-)) wanita semakin dihormati..
Tapi wanita juga banyak disakiti

abuikhwan said...

Salam yan,
Terima kasih atas kunjungan,
"Wanita semakin dihormati, wanita juga disakiti..." itulah adalah fitrah kehidupan dunia. Allah SWT menciptakan sesuatu di dunia ini dengan berpasangan. Lelaki dan wanita, sakit dan sihat, suka dan duka, sedikit dan banyak, putih dan hitam, hidup dan mati dsbnya. Semuanya adalah ujian kepada kehidupan manusia. Jika tiada semua itu tidaklah dikatakan dunia. Sekiranya semuanya indah, baik-baik...syurga namanya.
"Lihat kepada Islam, bukan kepada penganut Islam..."

paridah said...

assalam...sedih membaca kisah penghinaan terhadap wanita suatu masa dahulu n Islam memertabat tinggi nilai maruah wanita tapi xternafikan wanita masih ditekan n dieksploitasi dlm segala hal ...Islam itu sempurna mudah indah namun yg xarif memahaminya.

Normala Saad said...

Islam tidak merendahkan martabat seorang wanita tapi manusia itu sendiri yang merosakkan segala hukum yang termaktub.

Bunda_nora said...

Disisi Islam wanita di pandang tinggi....tapi dalam masa yang sama ada pula suara2 yang merendahkan martabat wanita demi memperlekehkan agama islam itu sendiri dan mengelirukan masyarakat umumnya...

Post a Comment