Sahabat Sejati

Monday 20 June 2011

Apakah ada qada bagi solat sunat?

Soalan:

Masalah solat sunat; kita sering tertinggal melakukan ibadat solat sunat, seperti solat sunat sebelum subuh dan sebagainya. Adakah solat sunat tersebut harus diqada sebab saya rasa pelik apabila mendengar ada orang berkata, solat sunat yang tertinggal pun harus diqada balik. Betulkah begitu?

Jawapan:

SOLAT wajib yang tertinggal, wajib diqadakan semuanya. Adalah menjadi suatu tuntutan syarak yang diketahui secara dharurah.

Ini berdasarkan hadis Sahih Muslim (mafhumnya): "Jika seseorang daripada kamu tertidur sehingga tertinggal solatnya, atau terlalai daripadanya, maka hendaklah dia mendirikannya solat tersebut, apabila dia teringat padanya. Sesungguhnya Allah SWT berfirman: "Dirikanlah solat untuk mengingati-Ku."

Adapun qada solat sunat, yang anda ajukan persoalan di atas, memang menjadi tanda tanya kepada sebahagian masyarakat Islam.

Solat sunat, khususnya yang rawatib seperti solat sunat sebelum subuh, sunat sebelum zohor dan sebagainya, jika tertinggal dengan apa sebab sekalipun, ia sunat diqadakannya semula.

Hujah ini berdasarkan peristiwa berikut: "Pada suatu ketika, Rasulullah saw terlihat seorang lelaki menunaikan solat dua rakaat selepas solat subuh. Lalu Rasulullah saw berkata kepada lelaki itu; "Solat subuh hanya dua rakaat sahaja (mengapa kamu menambah lagi dua rakaat)." Jawab sahabat tersebut, "Saya belum menunaikan solat sunat dua rakaat sebelum subuh." Maka baginda Rasulullah saw apabila mendengar jawapan itu berdiam (tanda setuju)." (Riwayat Abu Daud)

Hadis ini menunjukkan bahawa lelaki yang menunaikan solat sunat dua rakaat selepas subuh itu, dia mengqadakan solat sunat tersebut.

Nabi saw berdiam diri kerana baginda bersetuju dengan tindakan tersebut.

Lebih jelas daripada itu al-Imam al-Bukhari meriwayatkan hadis (mafhumnya): "Baginda Rasulullah saw telah mengqadakan solat sunat ba`diyyah (solat sunat sesudah solat wajib) zuhur selepas bersolat asar."

Ertinya Rasulullah saw pernah tertinggal solat sunat rawatib ba`diyyah zohor. Lalu baginda mengqadakan solat sunat tersebut selepas solat asar.

Berdasarkan kepada hadis-hadis tersebut, banyak lagi hadis-hadis lainnya, maka dapat diambil kesimpulan bahawa solat-solat sunat rawatib, harus diqadakan semula, meskipun pada waktu-waktu yang pada dasarnya dilarang seperti larangan solat sunat selepas solat subuh dan asar.

Namun apabila sebab yang nyata untuk mengqadakan solat sunat yang tertinggal, maka rasulullah saw sendiri dan para sahabat melakukannya.

Oleh yang demikian jelaslah bahawa mengqadakan solat sunat yang tertinggal itu, adalah termasuk dalam perkara-perkara harus yang dibolehkan kita melakukannya.

Sebaik-baiknya solat wajib dan solat-solat sunat rawatib seperti ini tidak ditinggalkan dan digalakkan dilakukan secara konsisten. Sekian, wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

1 comments:

titian said...

MANA YANG PATUT DIDAHULUKAN,ANTARA SOLAT SUNAT SEBELUM ZOHOR ATAU SOLAT FARDHU ZOHOR,ANDAIKATA BILA WAKTU MASUK ZOHOR,TERUS SAJA BILAL IQAMAT UNTUK SOLAT ZOHOR BERJEMAAH,SEDANGKAN SAYA ATAU YG LAIN BELUM LAGI SOLAT SUNAT SEBELUM ZOHOR,BOLEH TAK KALAU DI KERJAKAN SOLAT SUNAT SEBELUM ZOHOR DILAKUKAN SELEPAS SELESAI SOLAT FARDHU ZOHOR DAN SETERUSNYA SOLAT SUNAT SELEPAS ZOHOR.

Post a Comment