Sahabat Sejati

Thursday, 28 November 2019

Kala subuh..

"Tabuh berbunyi gemparkan alam sunyi 
Berkumandang suara azan 
Mendayu memecah sepi 
Selang seli sahutan ayam"

"Tabuh berbunyi gemparkan alam sunyi 
Berkumandang suara adzan
Mendayu memecah sepi 
Selang seli sahutan ayam"
(Peristiwa subuh ~ Raihan)

Alhamdulillah, kita masih lagi diberikan kesempatan untuk menyedut nikmat udara yang dikurniakan-Nya. Kita masih diberikan nikmat untuk melihat dan menikmati sinaran matahari. Semuanya percuma walaupun tidak pernah dipinta. Justeru, marilah kita mulakan nikmat kehidupan yang masih diberikan ini dengan doa dan syukur kepada-Nya. 

"Telah berpagi-pagi kami dan telah berpagi-pagi kerajaan milik Allah SWT dan segala puji bagi Allah SWT milik-Nya segala kerajaan. Tiada Tuhan melainkan Allah yang Esa, untuk-Nya segala pujian dan Dia amat berkuasa ke atas segala-galanya. Wahai Tuhan, kami memohon dari-Mu segala kebaikan hari ini dan kebaikan selepasnya. Dan kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan hari ini dan kejahatan selepasnya. Wahai Tuhai, kami berlindung dengan-Mu dari kemalasan dan kejahatan masa tua. Wahai Tuhan kami berlindung dengan-Mu daripada azab neraka dan azab kubur." (dikeluarkan oleh Muslim dalam bab zikir dan doa daripada Abdullah ra. dan juga at-Tirmidzi)

Amiinn..

Saturday, 23 November 2019

Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (47)

Sambungan daripada : Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (46) di bawah tajuk besar: DAKWAH TAHAP KEDUA: SERUAN SECARA TERBUKA 
 
 foto hiasan (sumber)

Menyampaikan Kebenaran Secara Terus Terang dan Menentang Perbuatan Orang Musyrik

Dengung suara yang lantang itu terus bergema di seluruh wilayah Mekah sehingga Allah menurunkan wahyu-Nya:

"Maka sampaikanlah secara terang-terangan apa yang diperintahkan kepadamu dan berpalinglah daripada orang musyrik." (al-Hijr: 94)

Sejak saat itu, Rasulullah saw mula melunturkan kepercayaan syirik yang penuh dengan khurafat dan kebohongan. Baginda menyingkap hakikat sebenarnya daripada berhala-berhala yang disembah oleh kaum musyrikin sekaligus membuktikan kerendahannya. Baginda memberikan contoh-contoh logik yang mengangkat kelemahan berhala-berhala itu. Dengan pelbagai penjelasan bijak, baginda menerangkan, siapa menyembah berhala-berhala itu atau menjadikannya sebagai perantara antara dia dengan Allah, maka orang itu berada dalam kesesatan yang sangat nyata.

Suasana kota Mekah diselubungi kekalutan kerana dipenuhi dengan berjuta-juta kemarahan. Rasa aneh yang berbaur penolakan dan kecaman bergelombang hebat ketika penduduk Mekah mendengar dengan begitu terus-terangnya suara yang menyatakan kesesatan orang musyrik dan penyembah berhala. Suara itu bagaikan petir yang memecahkan gumpalan awan, bergemuruh, berkelip-kelip dan kucar-kacir cuaca yang sebelumnya tenang. Maka, orang Quraisy mula melakukan usaha-usaha untuk menghentikan "revolusi" yang berkembang secara mengejut itu kerana dikhuatiri "revolusi" tersebut akan menghapuskan adat istiadat dan tradisi para nenek moyang mereka.

Mereka mengambil sikap demikian kerana mereka tahu makna iman adalah menafikan segala tuhan selain Allah. Mereka juga tahu makna iman kepada risalah Islam dan iman kepada hari akhirat adalah keterikatan yang sempurna dan penyerahan diri yang mutlak, mereka tidak lagi memiliki pemerintahan terhadap diri dan harta mereka, lebih-lebih lagi terhadap orang lain.

Maka, mereka perlu menafikan pemerintahan dan kesombongan mereka atas bangsa Arab yang selama ini dipergunakan dengan label agama, menundukkan kesenangan mereka agar sesuai dengan keredhaan Allah dan rasul-Nya serta menjauhkan mereka daripada perilaku zalim yang selama ini mereka lakukan terhadap orang yang berstatus rendah, juga daripada perilaku keji yang sentiasa mereka lakukan dari pagi hingga petang.   

Mereka menyedari makna ini sehingga nafsu mereka enggan untuk menerima ajaran Islam. Mereka lakukan perkara itu, bukan untuk mempertahankan kemuliaan atau meraih kebaikan tetapi semata-mata kerana, "Namun manusia ingin terus-menerus melakukan maksiat," sebagaimana tercantum dalam al-Quran, surah al-Qiyamah ayat ke- 5.

Mereka tahu semua makna itu dengan baik. Namun begitu, apa yang boleh mereka lakukan terhadap lelalki jujur dan dipercayai ini? Iaitu individu yang menjadi teladan tertinggi dalam menampilkan nilai kemanusiaan dan kemuliaan akhlak, yang tidak mereka dapati bandingannya ataupun orang yang seumpama dengannya sepanjang sejarah datuk moyang dan kaum mereka. Maka, apakah yang dapat mereka lakukan? Mereka betul-betul bingung untuk bertindak dan memang selayaknya mereka bingung.

(Petikan daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

Wednesday, 20 November 2019