Sahabat Sejati

Saturday, 31 March 2018

Moga beroleh kejayaan..(31 Mac 2018)

'Along Ikhwan bersama team nasyid negeri Pahang"

Tiga minggu lepas..

"Along baru balik dari `Ashir (Hayyu), test suara," pesanan whatsapp daripada anak sulung di Ardhul Kinanah.

Jam di skrin telefon bimbit tertera angka 3.30 am. Maknanya di Mesir sekarang ini dalam pukul 10 lebih malam. Saya yang baru tiba di rumah kerana menyelesaikan beberapa urusan di pusat tarbiyah terkuap-kuap menatap skrin telefon bimbit.

"Test suara, untuk apa?" Saya menyoalnya kembali, sedikit kehairanan. Padahal jika disebut uji suara, tidak lain mesti berkenaan nasyid kerana anak sulung saya ini memang komited bernasyid sejak di SMA lagi. Namun, dek bercampur mengantuk dan penat menyebabkan saya sedikit terpinga-pinga. Jadi lambat memproses maklumat yang masuk ke dalam kepala. Aduhh..!

"Abang-abang senior yang suruh datang test suara untuk join nasyid antara negeri-negeri nanti. Tiap-tiap tahun festival nasyid ni.." terang along Ikhwan memahamkan saya.

"Oh, begitu. Habis macamana?"

Alhamdulillah lulus. Kena start berlatih dah esok. Berlatih di `Ashir, kena pergi ke sana lepas habis kelas." Tapi dah jadi percussionist dah, sekarang kena nyanyi pulak.?

"Wah, dah naik pangkat dah. Dulu duduk belakang sambil ketuk-ketuk tabla.. bongo.. yenki.." saya berseloroh. Terasa hilang sedikit rasa mengantuk.

"Minta abi dan ummi doakan along berjaya, 31 Mac hari pertandingan."

"Tak lama dah. Insya-Allah, moga sukses, tapi jangan lupa hadaf (matlamat) datang ke Mesir ye.." sengaja mengingatkannya.

Insya-Allah, yang tu nombor satu," balas anak saya sebelum kami menamatkan perbualan pada dinihari itu.

Moga anakandaku dan pasukan nasyid negeri Pahang beroleh kejayaan yang gemilang, Allahu al-Musta`an.

Friday, 30 March 2018

Hampir setahun di sana..

 'Along Ikhwan dan rakan-rakan bersama sohibul mutajar'

Hampir setahun along Ikhwan bermukim di bumi Mesir. Alhamdulillah, dalam tempoh tersebut rasanya dia  sudah dapat menyesuaikan diri sepenuhnya dengan suasana di sana. Samada dari segi iklim, makanan, persekitaran, termasuk juga kelelahan melayani karenah pak arab.

Mengapa saya katakan begitu? Hmm, sesiapa yang pernah berurusan dengan pak arab, tentu tahu bagaimana kondisinya. Dengan perangai kasarnya, acuh tak acuhnya dan lain-lain yang memerlukan kesabaran dan kecekalan yang tinggi.

Cerita sahabat

Teringat cerita seorang sahabat di kaunter Queen Alia International Airport Amman, Jordan, pada hari pertama beliau mendarat di sana. Itulah pengalaman pertama beliau kenal perangai pak arab. Petugas kaunter di situ, bila cop pasport bagaikan mahu runtuh meja. Bamm!! Bamm!! Seorang demi seorang berurusan untuk mendapatkan visa. Bamm! Bamm! Pak arab terus mengecop.

Sampai gilirannya, bammm!! Dia hempaskan pasport di hadapan petugas tersebut. Terus pak arab pandangnya tidak berkelip. Lantas pasport sahabat saya itu dicop dengan perlahan. Mungkin pak arab itu terfikir, "rupanya ada lagi yang lebih garang dari aku." Ha.. ha..haa..

Gelihati saya mendengar kisah sahabat saya ini. Malahan banyak lagi kisah yang berkaitan perangai pak arab yang menjengkelkan. Kadang-kadang saya terfikir "Patutlah Nabi Muhammad diutuskan dikalangan orang arab, sebabnya untuk memperbaiki perangai orang-orang arab yang kasar itu." Tetapi akhirnya berkat tarbiah Rasulullah saw, para sahabat menjadi sebaik-baik umat yang dikeluarkan dari kalangan manusia. Allahumma solli `ala Muhammad.

Namun begitu, tidaklah semua orang arab berperwatakan kasar dan menjengkelkan. Ramai yang baik-baik. Saya sendiri mempunyai sahabat di kalangan arab. Sangat bagus akhlaq dan perilaku mereka. Selesa dan merasa sangat dihargai ketika bermuamalat dengan mereka. Termasuk juga sahabat-sahabat dikalangan bangsa cina dan india.

Setiap bangsa ada 'dakinya.' Ada yang baik dan ada yang kurang baik. Samada bangsa melayu, cina, india, orang arab atau bukan arab. Baik atau buruk perangai bukanlah terletak pada bangsa, tetapi terletak pada hati. 

Thursday, 29 March 2018

Masa...

 

Sesungguhnya masa akan terus bergerak dan ia tidak akan pulang kembali setelah ia berlalu. Apabila masa mengucapkan selamat tinggal, maka ia benar-benar memaksudkannya. Kerugian masa ialah kerugian mutlak. Kerugian yang tidak mungkin digantirugi dan tidak mungkin dituntut kembali. 

Masa tidak dapat diputarkan kembali, semakin hari semakin jauh kita meninggalkan masa lalu. Seumpama kita mencelupkan kaki ke dalam arus sungai yang mengalir, tatkala kita mengangkatnya dan mencelupkannya kembali, pastinya ia adalah arus sungai yang lain. Kita tidak dapat memijak arus yang sama, kerana ia telah pun mengalir jauh semakin menjauh. Itulah perbandingan masa lalu.

Masa mengalir terlalu laju, usia pula semakin dimamah perjalanan hidup. Sedar atau tidak kematian juga semakin menghampiri. Setiap derap langkah hanyalah bermakna memendekkan jarak menghampiri liang lahad. Itu juga tanpa kita sedari.

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran." (Al-'Asr 103:3)