Sahabat Sejati

Monday, 28 February 2011

Memperingati 100 TAHUN Hassan Al-Banna


Tajuk : Memperingati 100 TAHUN Hassan Al-Banna
Penyusun : Riduan Mohd Nor
Penerbit : JUNDI RESOURCES (1706325-W)
Harga : RM8.00
M/S : 84

Buku kecil ini menemui pembaca sempena memperingati seratus tahun Imam Hassan Al-Banna (1906 - 2006), sosok manusia yang telah berjasa besar dalam mengasaskan perjuangan untuk menegakkan kembali khilafah Islam yang telah ditumbangkan pada tahun 1924.

Haasan al-Banna berjaya meredah belantara kecelaruan berfikir umat Islam di awal abad 20, menyatukan pelbagai aliran pemikiran di Mesir, merencanakan kembali manhaj perjuangan Islam dalam usaha menegakkan kembali kemuiaan Islam.

Hassan al-Banna telah menorah sejarah dengan jalur emas malah membenarkan janjinya kepada Allah SWT. Almarhum berkelana ke alam abadi selepas satu konspirasi membunuhnya pada 12 Februari 1949, beliau ditembak dalam keadaan yang cukup menyentuh perasaan, darah yang bergenang tumpah tidak dibenarkan dirawat oleh pihak berkuasa. Darah yang harum mewangi ini telah menjadi baja kepada sebuah kebangkitan Islam yang karya dan fikrah perjuangan Islam yang dicetuskan telah menjadi teks wajib generasi kebangkitan Islam pada dekad-dekad 1970-an dan dekad 1980-an, malah sehingga kini.

Tidak ada penjuru dunia yang tidak tersentuh dengan pemikiran almarhum kerana sejarah perjuangannya telah dipahat dengan seribu keteladanan seperti sabar, amanah, berani bersuara, menyantuni pengikut, kuat beribadat, pengarahan yang jelas serta semenjak kecil diasuh dengan lingkungan agama yang mengesankan kehidupan peribadinya.

Buku kecil ini disusun bukanlah untuk mengkultuskan dan mendewakan Hassan al-Banna seolah manusia tanpa palitan dosa dan kesalahan, namun secara jujur kita harus terbuka dan mengakui peranan almarhum dalam mengasaskan perjuangan Islam dalam dunia kontemporari, menubuhkan Ikhwanul Muslimin yang akhirnya menjadi ikon kepada gerakan Islam lain yang muncul di kemudian hari di pelbagai tempat peta umat Islam.

Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu!

Najmuddin Erbakan: Menelusuri Khilafah Yang Hilang Di Turki

Prof Dr Najmuddin (Necmetting) Erbakan adalah merupakan seorang pemimpin ulung gerakan Islam di Turki pada zaman moden. Beliau yang pernah menjadi Perdana Menteri Turki pada tahun 1996 hingga tahun 1997 dan dianggap sebagai Al-Mursyid Al-Ruhiy kepada gerakan Islam Turki. Pada tanggal 27 Feb 2011 yang lalu beliau telah kembali ke rahmatullah pada usia 85 tahun selepas ditimpa penyakit dalam tempoh yang agak lama.


Latar belakang kehidupan

Prof Dr Najmuddin (Necmettin) Erbakan dilahirkan pada 29 Oktober 1926 bersamaan 22 Rabi`ul Awwal 1345H di bandar Sinop berdekatan dengan Laut Hitam, berasal dari keluarga yang cintakan Islam.

Pada tahun 1948 beliau belajar di peringkat pengajian tinggi di Universiti Istanbul di Fakulti Kejuruteraan sebelum meneruskan pengajian di peringkat Sarjana dan doktor falsafah di Aachen, Fachhochschule Aachen (University of Applied Sciences Aachen, Germany)dalam bidang Termodynamic dan Atom.

Pada peringkat remaja, beliau cenderung kepada aspek keagamaan. Beliau membabitkan diri dalam aliran 'Tareqat Naqsyabandiah' pimpinan Syeikh Muhammad Zaheed Kotko yang menyokong Gerakan an-Nursiah (nisbah kepada Badi`uzzaman Sa`id an -Nursi) membantu Perti 'Nizam al-Watani' iaitu sebuah parti politik pertama di Turki yang berhaluan Islam secara menyeluruh.

Setelah menamatkan pengajian dalam Fakulti Kejuruteraan, beliau menceburi bidang politik. Beliau bertanding dan menang dalam piihanraya di Bandar Quwineh atas tiket Parti 'Nizam al-Watani' dan menjadi ahli parlimen termuda ketika itu. Namun, beliau terpaksa menubuhkan parti baru berteraskan Islam setelah dihalang berpolitik menerusi kerajaan campuran kerana menentang keras konsep sekularisme.

Tahun 1971, Parti 'Nizam al-Watani' telah diharamkan. Sembilan bulan selepas itu Dr Necmettin menubuhkan Parti as-Salamat dan bergabung dengan Parti Rakyat Turki, menang pilihanraya tahun 1973 sekaligus membentuk kerajaan campuran. Beliau menjawat jawatan Naib Perdana Menteri dan memegang jawatan Menteri di tujuh kementerian iaitu Kementerian Dalam Negeri, Keadilan, Perdagangan, Kastam, Pertanian, Perindustrian dan Pemakanan.

Tetapi ianya hanya bertahan selama tujuh bulan kerana digulingkan oleh pihak tentera yang kuat berpegang dengan amalan sekularisme.

Pada tahun 1977, Dr Necmettin yang mendapat sokongan anggota pimpinannya bergabung dengan Parti Gerakan dan Parti Keadilan yang menang pilihanraya serta membentuk kerajaan campuran buat kali ketiga. Tetapi beliau diarahkan meninggalkan parti dan penglibatan politik oleh pihak tentera yang dapat menghidu kecenderungan beliau kepada Islam. Beliau telah dipenjarakan bersama 33 yang lain pada tahun 1981 selama 4 tahun. Pada tahun 1986 beliau menubuhkan Parti Refah setelah pulang dari ibadat umrah.

Parti Refah bergerak di tengah medan masyarakat sekular Turki dengan mewajahkan sebagai gerakan cakna rakyat dan kebajikan. Ini adalah kerana perlembagaan Turki yang melarang sebarang bentuk aktiviti politik Islam dan politik langsung tidak boleh dikaitkan dengan Islam. Parti Refah sentiasa dintip dan diawasi oleh pihak tentera, ditekan dengan mehnah dan tribulasi. Namun Refah tetap menunjukkan akhlaq yang baik dalam berpolitik, menyantuhi anak-anak yatim, ibu tunggal, mengadakan kelas-kelas al-Quran, perkhidmatan kesihatan percuma dan sebagainya. Ini dengan pantas menarik minat anak-anak muda yang cintakan Islam setelah melihat sistem sekular gagal dalam memberi kebahagiaan dan memusnahkan sendi-sendi aqidah umat Islam.

Selama 10 tahun dalam parti ini, sekali lagi beliau bertanding dalam pilihanraya umum pada tahun 1996, Parti Refah menang besar dan beliau dilantik menjadi Perdana Menteri tetapi hanya bertahan selama 9 bulan iaitu pada tahun 1997 kerana digulingkan oleh tentera yang memang membenci terhadap Islam.

Pada tahun 1998, Parti Refah telah diharamkan dengan berbagai-bagai pertuduhan, manakala Dr Necmettin tidak dibenarkan aktif dalam arena politik Turki. Beliau dianggap pesalah yang harus dikenakan hukuman penjara selama 2 tahun. Tetapi beliau dibebaskan memandangkan usianya yang telah tua dan dipantau segala aktivitinya oleh pihak tentera.

Walau bagaimanapun, beliau mendapat pengampunan Presiden Abdullah Gul dari Parti Keadilam dan Pembangunan (AKP) yang sedikit sebanyak mempunyai hubungan dari sudut kecenderungan kepada Islam.

Kini, beliau telah pergi. Semoga Allah mengampuni segala dosanya, menerima segala amal kebaikannya dan beroleh syurga bersama mereka yang diredhai-Nya. Al-Fatihah.

(Adaptasi dari buku Tokoh-Tokoh Gerakan ISLAM Abad Moden oleh Zainudin Hashim dan Riduan Mohd Nor)

Sunday, 27 February 2011

Bolehkah dilakukan amalan memanggil roh?

Soalan:

Amalan memanggil roh atau memuja roh orang yang telah mati agar datang berinteraksi, masih diamalkan dan berlaku dalam masyarakat. Saya sendiri diajak oleh rakan menghadiri sesi memanggil roh melalui spirit of the coin. Digunakan satu cermin besar yang diletakkan di atas meja dengan sekeping duit syiling di atasnya. Lalu dipanggil roh melalui syiling tersebut. Setelah menyeru beberapa kali , syiling itu bergerak dan jari-jari kami pun bergerak sama. tiba-tiba seorang daripada kami tidak sedarkan diri dan mula berinteraksi dengan kami atas nama dia roh polan bin polan. Dia memberitahu kami perkara-perkara ghaib dan yang menakjubkan. Apakah itu yang benar datang dan bolehkah amalan ini diteruskan. Mohon penjelasan agar kekeliruan ini dapat ditangani.

Jawapan:

AMALAN sedemikian bukan perkara baru, sudah lama wujud. Setahu saya, amalan ini adalah mainan orang-orang barat yang ditiru oleh orang-orang kita. Amalan ini memang wujud sehingga ke hari ini. Persoalan memanggil roh atau pemujaan roh, berasal daripada amalan masyarakat manusia purba zaman berzaman dengan keyakinan mereka sendiri bahawa roh orang yang telah mati, boleh balik dan boleh dipanggil balik.

Malah ada roh-roh itu yang dijadikan pemujaan. Mereka menyembah roh dan meminta pertolongan daripada roh tersebut, termasuk menolong mengubat penyakit orang yang masih hidup.

Malah ada agama ciptaan manusia, yang menyembah roh, khususnya roh datuk nenek mereka.
Islam melarang perbuatan sedemikian. Hanya Allah sahaja yang disembah dan diminta pertolongan daripada-Nya.

Dalam Islam, bagi persoalan roh, hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Tidak ada yang mengetahui perkara ghaib melainkan pada Rasul yang diredhai sahaja yang mengetahui perkara ghaib.

Hal ini jelas pada firman-Nya (mafhumnya): "Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia sahaja; dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata." (al-An`aam: 59)

Adapun manusia yang meninggal dunia, rohnya ditempatkan di alam roh atau alam al-barzakh. Terkurunglah roh itu di alam roh yang amat luas hingga ke hari dibangkitkan semula semua manusia di akhirat nanti.

Firman Allah (mafhumnya): "Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan." Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat." (al-Mukminuun: 100)

Perjalanan hidup manusia adalah perjalanan yang boleh dikatakan jalan sehala.

Roh kita tidak boleh berpatah balik ke belakang. Daripada alam roh sebelum jasad manusia dijadikan, mereka tinggal di alam roh. Apabila saatnya roh dihantar ke alam dunia, roh berada di alam dunia dan tidak oleh balik ke alam sebelumnya.

Dan apabila mereka masuk ke kubur, roh berada di alam kubur dan tidak boleh balik di dunia. Di alam barzakh mereka tinggal sampai hari kiamat dan tidak boleh berpatah balik.

Istilah barzakh di dalam al-Quran bermaksud 'tembok penghalang' ataupun 'penghadang' daripada ditembusi.

Jika dipercayai bahawa roh manusia yang telah mati boleh balik dengan begitu mudah ke alam dunia dan yang dipanggil balik itu pula kadang-kadang roh orang Islam, kadang-kadang ada yang bukan Islam, semuanya boleh balik, maka seolah-olahnya tembok penghalang itu tidak wujud.

Dan dengannya juga apakah boleh dikaitkan tidak ada seksa kubur sementara dalam kubur, sesiapa pun boleh balik dengan mudah.

Pada kita, jika dipanggil balik itu orang kafir, maka bolehkah dia melepaskan diri daripada seksa kubur, atau keseksaan di alam barzakh? Jika boleh balik, mengapa mereka balik semula ke alam akhirat selepas pemujaan?

Maka jika ini sudah jadi amalan dan keyakinan, semua agama seolah-olahnya tidak betul. Seolah-olahnya Islam tidak betul kerana Islam mengatakan ada seksa kubur dan roh tidak boleh balik berdasarkan firman Allah dalam al-Quran.

Maka jika fahaman ini dipegang, maka akan rosak semua agama.

Oleh yang demikian, saya ingin menegaskan bahawa amalan pemujaan roh tidak harus dilakukan. Amalan memanggil roh adalah karut.

Besar kemungkinan yang datang berinteraksi dengan kumpulan pemujaan tersebut, adalah makhluk-makhluk jahat dan kotor, makhluk halus yang terdiri daripada iblis, ifrit atau syaitan yang akan menyesatkan manusia.

Saya mendapat maklumat, bahawa ada sebuah sekolah di negara jiran, telah berlaku kegemparan kerana berlaku histeria yang amat dahsyat. Diketahui umum histeria itu berlaku setelah ada amalan atau praktis memanggil roh melalui spirit of the coin kerana mereka ingin bertanya roh itu, apakah soalan-soalan dalam peperiksaan yang mereka ingin memasukinya.

Hasil daripada pemujaan itu, berlaku histeria kepada salah seorang yang berada di situ akhirnya merebak dan berlaku kegemparan yang begitu dahsyat.

Oleh itu, seperti yang saya sebutkan bahawa yang datang dalam majlis pemujaan tersebut hanyalah terdiri daripada makhluk-makhluk jahat. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din