Sahabat Sejati

Monday, 7 February 2011

Meninggalkan solat dosa besar


Soalan:

Saya mendengar beberapa kali dalam ceramah agama di masjid kami, ada penceramah yang dengan tegasnya menyatakan, bahawa orang-orang yang meninggalkan solat dengan sengaja bahawa dia adalah kafir dengan jelas dan terang. Saya musykil, betulkah kafir sungguh-sungguh, sedangkan ramai orang Islam, terutama pelajar sekolah yang meninggalkan solat. Mohon rungkaikan persoalan ini dengan sebaik-baiknya.

Jawapan:

TERDAPAT banyak hadis sahih yang menyebut perihal orang yang meninggalkan solat itu dengan sengaja adalah kafir.

Antaranya hadis diriwayat oleh Jabir bin Abdullah ra menyatakan, Rasulullah saw bersabda (mafhumnya): "Antara seorang lelaki Muslim dengan syirik dengan kufur kepada Allah, ialah solatnya yang ditinggalkan." (Riwayat Muslim)

Muhammad Nasiruddin al-Albani dalam kitab sahihnya menyebut hadis Rasulullah saw (mafhumnya): "Perjanjian antara kami dengan mereka itu adalah solat, maka sesiapa yang meninggalkannya, maka kufurlah dia."

Terdapat hadis lain Nabi saw bersabda (mafhumnya): "Antara kufur dengan iman, adalah meninggalkan solat."

Penceramah yang anda maksudkan dalam soalan di atas; besar kemungkinan merujuk kepada hadis-hadis yang saya paparkan, dan hadis-hadis lain yang senada dengannya.

Ulama` muktabar mengulas dan membahaskan apa sebenarnya makna kufur atau kafir yang disebut dalam hadis-hadis sedemikian. Adakah ia merosakkan aqidah dan terkeluar daripada jemaah Muslimin, sehingga jika seseorang itu meninggal dunia sedang ia meninggalkan solat, maka tidak boleh dikebumikan sebagai seorang Islam? Apakah sampai begitu?

Tidaklah begitu dan kita tidak pernah mendengar kisah sedemikian berlaku, dimana orang-orang yang diketahui tidak menunaikan solat, ataupun solatnya dibuat secara kadang-kadang, maka matinya tidak diselenggara sebagaimana mayat seorang Islam. Tidak pernah berlaku sedemikian.

AL-Imam an-Nawawi dalam kitabnya Syarah Sahih Muslim mengulas hadis-hadis di atas, dengan menyatakan, antara lainnya: "Adapun orang-orang yang meninggalkan solat, jika sekiranya dia mengingkarkan kewajipan solat itu dengan mengatakan ianya tidak wajib kepadanya, maka orang itu menjadi kafir hakiki dengan ijma` Muslimin. Terkeluarlah dia dari agama Islam. Kecualilah ada sebab-sebab yang munasabah terhadap keingkarannya, seperti dia baru memeluk Islam, yang benar-benar tidak mengetahui hukum solat.

"Adapun mereka yang meninggalkan solat, tetapi tetap berpegang bahawa solat itu wajib ke atasnya, cuma atas kemalasannya sahaja dia tidak solat, hukumnya tidaklah menjadi hukum hakiki tetapi tetaplah dia kufur. Kufur disini, ada yang menyatakan kufur nikmat Allah, tidak bersolat, tidak bersyukur ke hadrat Allah SWT."

As-Syeikh Muhammad Mutawwali Sya`raawi (al-marhum), dalam kitabnya al-Fatawa, mengulas perkara ini dengan menyebut: "Yang jelas mengingkari wajibnya solat adalah jelas kufurnya. Adapun yang meninggalkannya hanya kerana malas dan sebagainya, perlu diajak dan galakkannya bersolat, dengan mengqada`kan solat yang tertinggal (tidak kufur hakiki)."

Walau apapun, tetaplah perkara yang meninggalkan solat, adalah tetap menjadi dosa besar kepada Allah SWT.

Tidak berlaku disepanjang hidup Rasululah saw, baginda meninggalkan solat demikian penghidupan para sahabat dan seluruh ulama`-ulama` yang muktabar, mereka tidak pernah meninggalkan solat.

Ini menunjukkan betapa pentingnya solat, dan hampirnya kepada kemurkaan Allah SWT ke atas orang yang meninggalkan solat.

Istilah kafir atau kufur, banyak terdapat dalam hadis-hadis sahih, yang merujuk kepada dosa besar dan tidak membawa kepada kufur hakiki.

Antaranya, hadis dalam Sahih Muslim, Rasulullah saw bersabda (mafhumnya): "Tahukah anda apa yang Tuhan kamu berfirman ke atas kamu? Jawab sahabat, "Allah dan Rasul sahaja yang mengetahuinya."

Maka Rasulullah saw menjawab, "Ada dua jenis manusia, kedua-duanya kufur, mempertikaikan keturunan seseorang dan meratap ke atas si mati."

Dalam hadis lain dalam Sahih Muslim juga menyebut Nabi saw bersabda (mafhumnya): "Mana-mana hamba yang lari daripada tuannya, maka sesungguhnya di kufur sehingga dia balik semula kepada tuannya."

Hadis dalam Sahihul Jami` oleh al-Albani menyebut: "Apabila seseorang Muslim mengkafirkan saudaranya, maka salah seorang daripada mereka menjadi kafir."

Banyak lagi hadis-hadis yang seumpama dengannya. Meskipun ada ungkapan kufur atau kafir dalam hadis-hadis yang dipaparkan, namun ulama` menyatakan, bahawa itu adalah yang bermakna dosa besar dan tidak membawa kepada kufur aqidah, sehingga mayatnya tidak boleh diselenggarakan sebagai seorang Islam.

Meninggalkan solat termasuk dalam dosa-dosa besar yang tidak sepatutnya umat Islam meninggalkannya. Solat bukannya kewajipan yang terlalu berat untuk ditunaikan, ia bukan kewajipan yang tidak mampu seorang melaksanakannya.

Namun demikian, solat menjadi batu menguji kepada umat Islam. Apakah kewajipan yang seringan ini mereka tidak mampu tunaikan.

Jika sekiranya kewajipan seringan ini tidak mampu ditunaikan, bagaimana pula dengan tuntutan-tuntutan Allah kepada umat Islam, untuk mengorbankan harta, malah mengorbankan jiwa mereka untuk mendaulatkan agama Allah SWT?
Sekian, wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Sunday, 6 February 2011

Bicara santai: Musafir di hari minggu

Sulit sekali untuk bersiap pagi ini. Cuti 4 hari bagaikan tidak cukup. Terasa mahu lebih lama lagi berada di kampung.

Hari ini, ramai yang berpusu-pusu untuk pulang semula ke rumah setelah menghabiskan cuti Tahun Baru Cina. Ada yang pulang ke kampung, ada yang membawa keluarga makan angin dan bermacam-macam lagi. Hari ini semuanya menuju pulang ke kota. Mudah-mudahan membawa seribu kepuasan dan seribu kenangan.

Saya pula berpagi-pagi sudah membelah Lebuhraya Pantai Timur menuju ke Pulau Tawar, Jerantut. Malas...memang malas, namun tanggungjawab yang terpikul saya gagahi jua.

Banyak benar kenderaan yang bersimpang-siur hari ini. Semasa berhenti minum di R&R, puas saya mencari meja kosong, akhirnya berkongsi meja dengan seorang guru yang mahu pulang ke Selangor. Alhamdulillah, dapat juga berbual-bual sebelum meneruskan perjalanan. Di stesen minyak juga situasi yang sama berbaris panjang kenderaan untuk mengisi minyak, ramainya umat manusia.

Alhamdulillah, selamat sampai di Pulau Tawar dan menyelesaikan kerja-kerja yang dipertanggungjawabkan. Kemudian terus bertolak pulang, sampai dirumah jam 8.00 malam. Penatnya...tetapi membahagiakan.


Berpagi-pagi membelah Lebuhraya Pantai Timur menuju destinasi, di saat orang lain berbondong-bondong pulang ke rumah masing-masing setelah menghabiskan cuti Tahun baru Cina.



Sungai Pahang keruh mengalir lesu, menyimpan seribu satu sejarah perjuangan anak bangsa menentang penjajahan



Simpang keluar ke Jerantut melalui jalan lama pula. Kalau teruskan lagi sampai ke Karak


Singgah bersolat di Masjid Kg Gajah Mati, Kuala Tekal Jerantut


Jalan Jerantut - Pulau Tawar.


Alhamdulillah, sudah sampai. Pulau Tawar bumi penuh sejarah,di sinilah lahirnya pahlawan Pahang, Mat Kilau yang menentang penjajahan Inggeris pada 1890-an (baca sini).


Perjalanan pulang, ketika hari merangkak senja. Semoga semuanya ada nilaian di sisi-Nya

Saturday, 5 February 2011

Damai yang hilang

Ingin rasanya saya membawa anak-anak meranduk anak sungai dan menyusuri belukar damai, agar mereka dapat merasai apa yang pernah saya kecapi ketika dulu.

Ingin rasanya saya mengulangi semua detik-detik kehidupan yang pernah saya lalui dulu, agar anak-anak tidak kehilangan semua itu. Tanpa PSP, iPod, facebook, mp4 maupun Astro, kami masih mampu mencipta dunia kami, dunia yang suka dan gembira. Apa yang tidak kedapatan pada hari ini. Sebahagiannya telah pupus ditelan arus masa.

Damai desa

Petang yang mendamaikan, tatkala pulang ke desa tercinta. Saya meminjam motosikal sepupu yang tinggal bersebelahan dengan rumah bonda. Hajat hati mahu membawa anak-anak menjengah ke pelusuk kampung, mudah-mudahan ada sesuatu yang dapat saya tunjukkan kepada mereka. Persekitaran yang pernah mewarnai kehidupan bapa mereka satu ketika dahulu.

Seekor burung bangau putih terbang lalu hinggap di pohon kelat berhampiran tatkala saya memberhentikan motosikal di tepi paya yang sudah berkurang airnya. Kalau dulu seronok melihat burung-burung bangau terbang sambil melayang hinggap di belakang kerbau yang sedang berkubang. Sekarang yang tinggal boleh dibilang dengan jari. Anehnya, entah ke mana pergi burung bangau putih yang sudah bergenerasi menghuni paya tersebut. Entah...

Saya tersenyum sendirian terkenangkan kisah lama semasa meranduk bersama rakan menangkap ikan laga atau lebih kami dikenali dengan panggilan ikan ‘sekilau’. Seronoknya, tanpa mempedulikan lintah ‘si penghisap darah’ yang juga banyak kedapatan di paya itu.

Selagi matahari belum terbenam, selagi itulah kami menjelajah di sekitar paya dan semak samun. Walaupun tahu risiko balik lewat dengan badan dan pakaian yang comot. Kadang-kadang merasa juga sedas dua ‘roti panjang’ di betis hadiah dari emak. Hadiah dari sifat kasih sayang yang tidak pernah berkurang.

Saya meneruskan perjalanan, mencari secebis damai.

Terdetik juga hiba di hati tatkala merenung deretan rumah usang berhampiran paya tersebut, kosong tanpa penghuni. Saya merenung dari tebing seberang sini, fikiran ligat berputar memikirkan sesuatu. Ohh..rupa-rupanya dulu ada jambatan kecil yang merintangi paya yang menjadi laluan utama penduduk kampung untuk ke ladang getah dan kebun sayur. Jambatan yang dibina hasil muafakat gotong-royong penduduk kampung. Saya masih ingat, tua muda sama-sama membinanya. Yang perempuan pula menyediakan makanan untuk mereka yang berkerja. Kami, budak-budak pun menyibuk sama. Kini, jambatan itu hanya tinggal tunggul reput yang masih terpacak sebatang dua.

“Kat situ dulu ada satu alur sungai, jernih airnya. Kat hujungnya ada satu air terjun kecil. Abi selalu mandi dengan kawan-kawan,” saya cuba menggambarkan kepada anak-anak.

Anak-anak mengangguk.

“Dulu kawasan ini tempat abi bermain dengan kawan-kawan, dulu semuanya semak samun. Sekarang dah jadi taman perumahan,” saya menerangkan kepada anak-anak. “Kat tepi pagar sebelah kedai tu, ada tiga batang pokok sentul. Besar dan tinggi, kalau tiba musim ia berbuah, penuh dengan buah.” Saya menerangkan satu persatu.

'Dulu tempat bermain, sekarang dah jadi taman perumahan'

Entah mengapa sejak kebelakangan ini saya sering rindukan kenangan semalam, kenangan yang semakin jauh ditinggalkan. Kadang-kadang mengenangkannya menghadirkan hiba di hati.

Pakcik yang masih diingati

“Assalamualaikum” saya memberi salam tatkala menongkat motosikal di bawah pohon ceri yang rendang itu. Seorang pakcik tua duduk di atas pangkin di bawah pohon ceri tersebut, tangan kanannya menupang tongkat. Menandakan dirinya yang sudah uzur.

Angin petang di bawah pohon ceri itu terasa nyaman sekali.

“Pak Samad, kan?” Saya bertanya sambil menghulurkan tangan untuk bersalam. Anak-anak juga menghulur tangan.

“Anak ni siapa?” Beliau bertanya sambil membetulkan cermin mata tebalnya, mungkin mahu menjelaskan pandangan. Saya kira usianya sudah lebih tujuh puluh tahun.

“Saya Wan, anak Abdul Rahman.” Saya terpaksa meninggikan suara agar jelas didengari olehnya.

“Abdul Rahman mana?” tanyanya lagi.

“Abdul Rahman yang dulu kerja di hospital Kuantan (sekarang HTAA). Masa budak-budak dulu saya mengaji di rumah Pak Samad. Dulu rumah kami di sebelah baruh sana, selepas ayah meninggal kami pindah di Jalan Tengah ni,” panjang lebar saya menerangkan agar beliau dapat mengingatinya.

'Jalan Tengah, laluan ke rumah bonda'

Lama juga Pak Samad berfikir, sambil merenung muka saya.

“Ohh..anak Rahman, dah besar kamu ye..!” terukir senyuman kemesraan dibibirnya sambil menepuk-nepuk belakang saya.

“Berapa lama dah ayah kamu meninggal, pakcik dah tak ingat? Pakcik Samad bertanya lagi.

“Ayah meninggal tahun 1979,” jawab saya.

“Ayah kamu tu dulu kawan baik pakcik, sejak dari zaman budak-budak kami berkawan, sekolah bersama, mengaji, bermain pun bersama. Sama-sama merantau dulu mencari kerja. Balik semula ke kampung ni pun sama-sama.” Cerita pakcik Samad, sambil meraut tangannya ke muka.

Saya lihat matanya berkaca.

Banyak yang kami bualkan, kebanyakannya berkisar tentang peristiwa lampau. Saya pula banyak bertanya tentang ayah yang telah ‘pergi’ ketika saya sedang bertatih mengenal kehidupan. Ayah ‘pergi’ ketika saya berusia tiga tahun. Apalah umur saya ketika itu untuk memahami erti kesedihan apalagi untuk memahami erti sebuah perpisahan yang hakiki. Hanya kalungan doa yang mampu saya panjatkan tiap masa dan ketika sebagai ‘cahaya yang menerangi’ buatnya disana. Demikianlah sedikit bakti yang dapat saya curahkan namun saya tahu ia tidak mampu mengatasi kasih sayang ibu dan bapa walaupun setengah nafas mereka.

Matahari telah condong, menyimbahkan sinarnya yang berwarna merah. Indahnya ciptaan Tuhan bagi mereka yang mempunyai akal dan mahu memikirkannya.

Saya segera meminta diri. Insya-Allah kepulangan saya di masa akan datang akan saya gunakan untuk menziarahi rakan-rakan bapa yang lain agar perhubungan itu tidak terputus begitu sahaja.

Diriwayatkan di dalam hadis sahih daripada Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma beliau berkata yang maksudnya: “Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya termasuk perbuatan paling baik ialah seseorang yang meneruskan silaturrahim (hubungan baik) dengan sahabat baik ayahnya sesudah ayahnya meninggal dunia” (Riwayat Muslim).
Semoga silaturrahim ini tetap terjalin walaupun direntasi masa dan ketika...