Sahabat Sejati

Sunday, 11 August 2019

Salam 'Idul Adha 1440H


Assalamualaikum warahmatullah.

“Daging dan darah binatang korban itu tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah ketaqwaan kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang itu bagimu supaya kamu mengagungkan Allah atas petunjuk kepadamu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang berusaha supaya baik amalannya”. (Surah Al-Hajj: 37)

Marilah kita menghayati peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim as dan anaknya Nabi Ismail as serta isterinya Hajar. Bagaimana pengorbanan yang mereka tunjukan kerana patuhnya kepada perintah Allah SWT. Sifat ini wajib diikuti oleh seluruh umat Islam yang ingin mencapai darjat ketaqwaan disisi Allah SWT.

Justeru, Aidiladha yang diraikan bukan sekadar menyempurnakan sembelihan qurban, bahkan perlu diterjemahkan dari sudut ketaatan dan kepatuhan mutlak hamba terhadap Khaliknya. Kita mesti mengambil ibrah daripada sifat ketaatan dan keteguhan hati Nabi Ibrahim as dan Nabi Ismail as dalam memenuhi perintah Allah.

Kisah pengorbanan Nabi Ibrahim as dan keluarganya demi Islam merupakan contoh yang perlu diambil perhatian bagi orang Islam yang bertaqwa. Diperintahkan berhijrah dari Babylon ke Palestin, diperintahkan pula berpisah dengan anak isteri ditempat yang kering kontang tidak berpenghuni, diperintahkan pula untuk menyembelih anaknya sendiri, lalu diperintahkan pula untuk membangunkan Baitullah bersama anaknya Ismail as. 

Hanya dengan meletakkan perintah Allah di hadapan, setiap perintah yang zahirnya tidak dapat diterima akal akhirnya menampakkan kebijaksanaan & kekuasaan Allah. Di sinilah hikmah pengorbanan, tatkala dihujani godaan syaitan ingatlah, إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ sesungguhnya Allah hanya menerima korban orang-orang yang bertaqwa.

وَإِذِ ابْتَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ ۖ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا ۖ قَالَ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۖ قَالَ لَا يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ 

"Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia”. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: “(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)”. Allah berfirman: “(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim." (al-baqarah: 124)

Marilah kita menyambut Hari Raya Aidiladha dengan semangat Islam yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim as dan disambung oleh nabi akhir zaman, Muhammad SAW ke seluruh pelosok dunia. 

Akhirnya, pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha 1440H kepada seluruh umat Islam walau di mana jua berada, khususnya pengunjung pondok kecil abuikhwan ini. Mudah-mudahan Allah SWT memberkati dan merahmati kita semua.

Allahu akbar! Allahu akbar! Allahu akbar!
Walillahil hamd..

Friday, 28 June 2019

Rehat Minda: Pesan Murabbi 116

Salam Jumaat.


"Ketika fitnah itu dibuka hanya orang pintar yang tahu ketika awal pintu itu dibuka.
Sedangkang orang bodoh baru mengetahui setelah semuanya hancur"

Tuesday, 18 June 2019

AS SYAHID DR. MOHAMMAD MORSI... Bergembiralah kamu dengan jualan kamu yang diterima Allah

Telah pergi seorang pejuang menemui Rabb-nya.

Begitulah kisah panjang seorang insan bernama Dr. Mohamed Morsi al-Hafiz. Beliau dilantik secara sah oleh rakyat menjadi Presiden Mesir ke-5 antara tahun 2012-2013. Namun digulingkan pada 30 Jun 2013 oleh perampas kuasa dikepalai Ketua Tentera Mesir, Abdel Fattah al-Sisi (kini menjadi Presiden Mesir ke-6). Lalu beliau dituduh, difitnah, ditangkap, diseksa di dalam penjara. Semalam, ketika dalam perbicaraan kes tuduhannya beliau rebah pengsan dan meninggal dunia, pergi buat selama-lamanya. Allahu Rabbi. Semoga Allah SWT mengangkat darjat dan merahmati rohnya.


Perjuangan ini milik Allah SWT. Ia pasti dipelihara oleh Allah SWT. Setiap yang gugur Syahid adalah kekasih Allah SWT. Pasti akan ada pengganti yang akan terus memperjuangkan agama Allah ini, hingga ke hari yang dijanjikan oleh Allah SWT. Tetap teguhlah kita di jalan ini. Allahumma ameen. Al-fatihah buat As-Syahid Dr Muhammad Mursi al-Hafiz. 



RASMI DARI PARTI KEADILAN DAN SEJAHTERA (FJP) - PRESIDEN MORSI MENDAKWA PEMBUNUHAN TERANCANG TERHADAPNYA (Terjemahan)

Dalam ayat terakhir Presiden Morsi: Saya berhadapan kematian yang disengajakan

.. Saya dipengsankan lebih daripada sekali pada minggu lepas.

Terdapat mesej penting kepada rakyat yang saya ingin pertahankan, sedangkan hakim menjadi penghalang dan menutup suara.

Al-Syahid Dr Mohamed Morsi berkata yang beliau menghadapi kematian yang disengajakan oleh pihak berkuasa kudeta, dan keadaan kesihatannya semakin merosot.

Beliau menambah, semasa kes perbicaraan itu yang dikenali sebagai "serangan penjara", beliau telah dipengsankan sepanjang minggu lalu, tanpa rawatan atau bantuan kecemasan.

Presiden Morsi meminta ketika pembelaannya agar mahkamah membenarkannya bertemu dengan pasukan pembelaannya, kerana dia mahu menyampaikan amanat kepada rakyat Mesir mengenai hal-hal penting.

Namun, Mahkamah menutup suaranya dan menghalangnya daripada terus bercakap, sehingga beliau pengsan di dalam sangkar kaca yang kedap bunyi.