Sahabat Sejati

Saturday, 5 May 2012

Seorang hamba


Tuhan...

Dalam letih aku merintih 
Dalam gundah aku menadah 
Dalam sendu aku merayu 
Selautan kelalaianku 
Segunung dosaku 

Betapa jeleknya seraut amalku 
Bersama serpihan ego kesombonganku 
Betapa dhaifnya munajat sembahanku 
Seringkali pula tercalar keikhlasanku 

Tuhan... 

Engkau yang berfirman dengan ar-Rahman dan ar-Rahim 
Tidak terhitung limpahan kasih yang dicurah 
Tidak terjangkau luasnya keampunan yang dianugerah 
Dalam suram dan kelam masih jua terselit hidayah 
Berapa pula nilai syukurku mahu ditadah 

Tuhan... 

Akan kuterus mendaki kasih-Mu nan tinggi 
Mengemis simpati cinta-Mu yang hakiki 
Merengkuh kasih sayang-Mu yang sejati 
Biarpun ukiran taubat seringkali kuruntuhkan 
Biarpun janji-Mu sering kupinggirkan 
Tidak pernah pula ku berputus asa 
Tidak pernah pula aku berbisik kecewa 
Gelombang mujahadah yang membadai kulayari 
Lautan rahmat-Mu luas tiada bertepi 

Tuhan...
Syukur, Alhamdulillah 

Seorang hamba, 
abuikhwan
05 Mei 2012/6.45ptg

Al-Fatihah, kematian itu pasti


Semalam kita dikejutkan dengan pemergian pelakon dan pelawak iaitu Husni bin Mohd Rawi atau lebih dikenali dengan Bob Kuman. Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 4.38 petang semalam.

Kematian artis komedi ini yang berusia 40 tahun disahkan jururawat yang menjaganya sejak 15 April lalu, Mohd Farid Hamzah.

Bob dilaporkan pernah berkata tahap kesihatannya menurun sejak terjatuh di set penggambaran drama “Jangan Pandang Belakang Congkak” di Hulu Langat tahun lalu.

Jenazah beliau dimandi dan disembahyangkan di Masjid Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor sebelum dibawa ke rumah keluarga arwah di 1763 Kampung Sega Tengah, 71200 Rantau Negeri Sembilan untuk dikebumikan di sana.


Hari ini pula saya dikejutkan dengan berita kedua, pemergian sahabat sekampung yang juga teman sepermainan semasa kecil. Difahamkan beliau mati lemas kerana terjatuh ke dalam sungai semasa memancing. Benar-benar terkejut, semacam sukar untuk mempercayai berita ini tatkala ia singgah di telinga.

Saya tidak banyak kenangan dengannya kerana hanya sempat bersekolah di peringkat rendah. Selepas itu kami terputus hubungan setelah saya berhijrah ke tempat lain. Namun begitu persahabatan kami tidak terputus, seringkali saya berbual dengannya tatkala bertemu sewaktu pulang ke kampung.

Al-Fatihah buat Bob dan sahabat saya...

Saya bermuhasabah diri, yakin dan percaya semua ini mengingatkan saya bahawa kita boleh mati bila-bila masa sahaja. Esok? Lusa? Beberapa minit lagi? Mati tidak mengenal usia tua atau muda, miskin atau kaya. Yang sihat atau sakit. Yang bekerja atau sedang belajar. Bila tiba masa kita, Malaikat Maut pasti menjelma dan merentap nyawa kita. Tatkala itu, tiada apa yang berguna. Mahu menjerit minta ditangguhkah saat kematian kita?

Sahabat-sahabatku, sementara masih diberikan masa, sementara badan masih bernyawa, marilah kita sama-sama menyemai seberapa banyak amalan yang akan dibawa. Taat dan patuh pada perintah-Nya dan meninggalkan segala tegahan-Nya.

Insya-Allah, mudah-mudahan kita semua menjadi insan yang terpilih untuk menerima rahmat-Nya di akhirat nanti, di saat tiada sebarang pertolongan melainkan dengan izin-Nya.

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada Hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari Neraka dan di masukkan ke Syurga, maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (Ali-Imran: 185)

Thursday, 3 May 2012

Malasnya...

Pesan guruku: “Bisikan syaitan yang paling mudarat pada seseorang itu ialah perasaan malas. Apabila terasa malas pada waktu ketika kita sepatutnya mengerjakan sesuatu, sedarlah kita sedang melayan bisikan syaitan. Apabila kita melayan bisikan syaitan, pelbagai khayalan akan bermain di minda. Tangguh dahulu, tidur sebentar, bancuh kopi dulu, layar internet dulu, tunggu rancangan televisyen tamat dahulu, rasa nak ke tandas, telefon berbunyi dan sebagainya. Petua mengatasinya mudah, SENYUM dan kuncikan minda dan teruskan dengan kerja yang sepatutnya dilakukan. Selepas 5 minit, insya-Allah bisikan syaitan akan menghilang, dan kita akan mendapat momentum untuk menghabiskan tugas yang ada di tangan.”

Malas sebenarnya berpunca dari syaitan. Syaitan melatih nafsu manusia agar menjadi malas sama ada malas beribadat atau malas menunaikan tanggungjawab dan amanah yang dipikul.

يعقد الشيطان على قافية رأس أحدكم إذا هو نام ثلاث عقد يضرب مكان كل عقدة عليك ليل طويل فارقد فإن استيقظ فذكر الله انحلت عقدة فإن توضأ انحلت عقدة فإن صلى انحلت عقدة فأصبح نشيطا طيب النفس وإلا أصبح خبيث النفس كسلان 
“Syaitan mengikat atas belakang kepala seseorang kamu ketika ia tidur sebanyak tiga ikatan. Sambil syaitan berkata pada setiap ikatan, ‘malam masih panjang maka tidurlah’. Apabila seseorang kamu terjaga dari tidur, lalu menyebut nama Allah nescaya akan terlerai satu ikatan. Jika ia mengambil wuduk nescaya terlerai satu ikatan lagi dan sekiranya ia solat nescaya terlerailah semua ikatan. Maka ia bangun waktu pagi dalam keadaan rajin cergas serta baik hatinya. Jika ia tidak (melakukan begitu), nescaya ia bangun pagi dalam keadaan buruk jiwanya sambil rasa malas.”

Marilah kita saling-mengingatkan orang di sekeliling kita yang kelihatan malas, berkata malas untuk mengerjakan sesuatu, terlalu santai sehingga lalai bahawa mereka sedang melayan bisikan syaitan yang dahsyat.

“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada perasaan risau dan sedih, aku berlindung kepada-Mu dari sifat lemah dan malas, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat takut dan lokek, aku berlindung kepada-Mu daripada tekanan hutang dan kezaliman manusia.” (HR Abu Dawud)

“Malasnya nak menulis kebelakangan ini. Mungkin saya juga sedang melayan bisikan syaitan, nad`uzubillah...”