Sahabat Sejati

Tuesday, 17 January 2012

Bagaikan hilang sebahagian nikmat kehidupan

“Aduh...aduh...”

Saya memejamkan mata sambil menekup telapak tangan pada pipi sebelah kanan. Air mata kesakitan bagai tidak tertahan-tahan. Sakitnya hingga ke gusi atas dan bawah, bahkan berdenyut-denyut hingga mencucuk-cucuk ke dalam telinga kanan.

Apa yang dilakukan serba tidak kena. Berdiri salah, duduk pun salah, berbaring juga sama. Akhirnya saya hanya berjalan mundar-mandir semata-mata untuk melupakan kesakitan.

Sakit gigi!

Semua petua sudah dicuba. Berkumur dengan air garam, sumbatkan cengkih di celah gigi. Memang berkesan tetapi hanya sebentar.

Saat-saat sakit begini apa sahaja cara mahu diguna. Akhirnya setelah memakan 2 biji panadol serta menampal plaster berubat, alhamdulillah kurang sedikit sakit yang menggigit. Bolehlah melelapkan mata seketika. Sambil melayan kesakitan saya menggosok-gosok pipi dengan harapan denyut-denyut kesakitan segera pergi.

Teringat ketika bergaduh dengan sepupu semasa kecil dahulu, saya pernah menggigit lengannya sehingga berbekas gigitan. Dia menangis semahunya kerana kesakitan. Terasa menyesal kerana menyalahguna nikmat yang diberi, sedangkan saya telah berjanji untuk menjaganya di alam roh dahulu.

Jam di dinding sudah pun menghampiri pukul 3 pagi.

“Ya Allah...sembuhkanlah sakit gigiku ini, sudah tidak tertahan rasanya. Ya Allah...hamba-Mu memohon dengan penuh pengharapan kerana di tangan-Mu kunci segala kesembuhan”

Di dalam gelap saya berdoa tidak henti-henti. Terdetik sedikit perasaan marah kerana doa tidak bersambut. Astaghfirullah...

Bagaikan hilang sebahagian nikmat kehidupan

Pagi hari saya bangun dengan sedikit kelegaan. Syukur kerana sakit gigi telah pun tidak terasa. Tekad mahu berjumpa doktor gigi segera hilang begitu sahaja. Doa yang dipanjatkan pada malam tadi juga lantas kian terlupa. Benarlah sifat manusia ini, tatkala merasakan dirinya cukup sempurna, hilang harapan dan munajat...

Menjelang tengahari sakit gigi datang kembali. Dalam keadaan demikian saya segera ke klinik gigi untuk mendapatkan rawatan. Alhamdulillah, Dia yang mendatangkan kesakitan Dia jua yang menyembuhkan. Sesungguhnya nikmat kesembuhan amat bermakna bagi diri saya setelah melalui malam yang bagaikan ‘hilang sebahagian nikmat kehidupan’. Saya merasakannya.

Mensyukuri nikmat kesihatan

Benar-benar kesihatan adalah nikmat yang tidak terperi. Ia bagai kehidupan itu sendiri. Kita tidak akan dapat menikmati kehidupan tanpa kesihatan yang baik.

Hampir seluruh kebahagiaan dan nikmat hidup bergantung kepada kesihatan. Ada benarnya, makanan yang lazat menjadi sebaliknya ketika sakit. Suara anak-anak yang biasanya keletah menghiburkan, terasa amat mengganggu dan membosankan. Tilam yang empuk sudah tidak terasa enaknya. Semuanya lenyap apabila tiada kesihatan.

Rasulullah saw pernah mengingatkan agar tidak mensia-siakan “masa sihat sebelum datangnya waktu sakit.”

Sesungguhnya kesihatan adalah kurniaan Allah SWT. Sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan kesihatan seumpama mencampakkan diri ke dalam kebinasaan. Ada sebahagian manusia yang tidak menghargai anugerah kesihatan kepadanya. Justeru, lihatlah ada kalangan yang membinasakan diri dengan penggunaan dadah, arak dan sebagainya.

Selalunya kita akan tersedar nikmat kesihatan setelah terlantar sakit. Demikianlah seadanya, saya menginsafi hakikat itu.

Saya cuma sakit gigi, tetapi terasa hilang sebahagian nikmat kehidupan. Maka, pergunakanlah kesihatan dengan sebaiknya. Isilah dengan kemanfaatan untuk duniawi dan ukhrawi, kerana semuanya amat mudah ketika sihat.

Cukuplah kesihatan itu sebagai pengajaran buat mereka yang mahu berfikir!

Monday, 16 January 2012

Samakah pajak gadai Islam, bukan Islam?


Soalan:

Bergolok-gadai adalah amalan lumrah dalam masyarakat di kalangan mereka yang sering menghadapi masalah perbelanjaan kehidupan yang mendesak. Sekarang diperkenalkan pajak gadai Islam. Saya pernah melakukan pemajakan barang isteri (emas) di pajak gadai Islam. Tetapi saya rasa, sama sahaja dengan pajak gadai bukan Islam. Apakah pokok perbezaan ketara antara yang Islam dengan tidak Islam? Mohon penjelasan.

Jawapan:

POKOK perbezaan antara kedua-duanya, amat jelas.

Antaranya, Pertama; Pajak gadai Islam diharuskan Allah untuk diamalkan. Bermuamalah dengannya diberi pahala. Sedangkan pajak gadai konvensional, tidak syarie dan tidak diharuskan bermuamalah dengannya. Bukan sahaja tidak diberi pahala, malah mendapat dosa.

Kedua; Ar-Rahnu berbarakah. Rasulullah saw bermuamalah dengannya. Ia adalah sunnah. Mencontohi Rasulullah saw dengan beramal mengikut sunnahnya adalah amalan yang berbarakah.

Ketiga; Keperluan umat Islam kepada amalan ar-Rahnu, adalah suatu tuntutan syarak bagi memenuhi kehendak ummah. Kerana itu, orang yang turut serta menghidupkan amalan ini memberi ruang berta`awun, bagi mengatasi masalah yang timbul.

Gadaian di dalam Islam disebut ar-Rahnu. Ianya istilah al-Quran dan as-Sunnah.

Firman Allah SWT (mafhumnya): “Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu berhutang atau memberi hutang yang bertempoh), sedang kamu tidak mendapati jurutulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang (orang yang memberi hutang). Kemudian kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang (dengan tidak payah bersurat, saksi dan barang gadaian), maka hendaklah orang (yang berhutang) yang dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya, dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah, Tuhannya. Dan janganlah kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu. Dan sesiapa yang menyembunyikan, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (al-Baqarah: 283)

Dalam sunnah sendiri amat jelas. Rasulullah saw beramal dengan gadaian. Seperti yang diceritakan dalam sebuah hadis (mafhumnya): “Aishah r.ha menceritakan bahawa baginda pernah menggadaikan baju besinya kepada seorang Yahudi setelah mengambil 30 gantang gandum daripadanya.” (Riwayat al-Bukhari)

Ulama Islam telah berijmak bahawa gadaian adalah salah satu instrumen muamalah Islam yang diharuskan. Sistem gadaian Islam adalah sistem yang menjamin keadilan.

Pemegang pajak tidak mengenakan faedah (riba) kepada pemberi pajak. Malah mengenakan upah menyimpan barang yang dipajak, termasuk menjamin keselamatan barangan tersebut.

Sekiranya pemberi pajak tidak dapat menebus barangnya dalam masa yang dijanjikan, pemegang pajak terpaksa melupuskan barangan tersebut, kerana hendak mendapat wangnya yang sudah diberikan kepada pemberi pajak.

Jika dengan penjualan barangan tersebut wangnya itu lebihan harganya daripada yang patut diambil pemegang pajak, maka wang bakinya hendaklah diberikan kepada pemberi pajakan.

Barangan yang disimpan oleh pemegang pajakan, jika hendak dilelong, hendaklah diberitahu kepada pemberi gadaian dan dia boleh hadir untuk mendapat maklum berapakah harga lelongannya bagi tujuan perkiraan, berapa jumlah yang akan dipulangkan kepadanya.

Segala-galanya telus dan berlaku redha-meredhai tanpa sebarang penipuan seperti yang pernah berlaku kepada sistem yang lain. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Ngomelan diri

Saya pernah menulis begini:

“Sesungguhnya semalam telah pun berlalu, hari ini untuk kita corakkan bahagia atau sengsara dan esok belum tentu kepunyaan kita. Mungkin telah tersurat untuk kita tidak sempat menjengah sinar matahari esok.”

Esok adalah perjalanan yang masih panjang. Seminit dari saat ini pun kita tidak mampu meneka, semuanya tidak jelas dan nyata. Apatah lagi mahu memikirkan hari esok.

Perasaan itulah yang sering bertandang, lalu berpintal-pintal mencuit fikiran, apakah saya sempat menjengah sinar mentari esok? Sedangkan kebimbangan sentiasa menyelimuti diri, kerana merasakan masih belum mencukupi bekalan persiapannya.

Seringkali manusia melihat kematian adalah akhir kepada lakonan kehidupan, kerana itu kita melihat ada yang sewenangnya menghabisi anugerah umurnya. Mereka terlupa bahawa kematian adalah awal kehidupan yang sebenarnya, persiapan untuk menerima hukuman Allah Yang Maha Adil. Dimanakah akhirnya, syurga atau neraka? Diri sendiri yang mengetahui jawapannya..

Kehidupan di dunia ini tidak sentiasa dipenuhi warna-warni, tidak kurang perjalanan hidup yang dirundung suram, kelam dan hitam, yang kerapkali menagih perjuangan moral yang tidak pernah selesai. Kesabaran, ketulusan, keberanian, kejujuran adalah kubu pertahanan yang perlu dimiliki untuk menghadapi kepahitan dan keperitan hidup.

Kehidupan terus berjalan...sehingga akhirnya.

Menanti hari esok bukan sekadar berlalu dengan pejam dan celik, ia bukan hanya kerlipan mata, tetapi lebih daripada itu. Masa adalah usia, ia adalah nikmat yang tidak terperi.

Hargailah...