Sahabat Sejati

Monday, 9 January 2012

Penyesalan selepas mati...


Petikan dari kitab BahrulMazi: "Menyesal itu berlaku ia dahulu dari mati dan kemudian dari mati. Tetapi menyesal dahulu dari mati itu boleh buatkan iktibar dan pengajaran apa-apa yang telah menjadikan menyesal itu, dan tidaklah diperbuat lagi barang yang menjadikan menyesal itu. 

Ada pun menyesal di akhirat itu ialah menyesal kemudian dari mati, tidaklah dapat dijadikan iktibar dan pengajaran bagi diri kerana negeri akhirat itu bukannya negeri beramal bahkan negeri tempat mengambil balasan baik dan jahat jua. Dan menyesal di sana itu ada bermacam-macam rupa sesalnya. Ada yang menyesalkan dirinya kurang dari amalan. Dan ada yang menyesal akan diri tidak beramal. Dan ada yang menyesalkan diri tidak masuk Islam. Dan lain-lainnya daripada sesalan itu." (juz 16/ ms:197-198)


وَلَوْ تَرَى إِذِ الْمُجْرِمُونَ نَاكِسُو رُؤُوسِهِمْ عِندَ رَبِّهِمْ رَبَّنَا أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَارْجِعْنَا نَعْمَلْ صَالِحاً إِنَّا مُوقِنُونَ
"Dan, jika sekiranya kamu melihat mereka ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata): "Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal saleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin. " (as-Sajdah:12)

Sunday, 8 January 2012

Tunjukkanlah jalan yang lurus...


Andaikan anda meminta seseorang menunjukkan jalan menuju ke suatu destinasi, lalu ditunjukkan kepada anda satu arah yang lurus tanpa ada bengkak-bengkok. Anda tidak perlu menghiraukan simpang yang banyak kedapatan di kiri dan kanan jalan. Anda hanya perlu menuju terus dan terus... Tidakkah anda merasakan jalan itu mudah?

Begitulah Allah menyebut jalan-Nya yang lurus. Ertinya Allah menghendaki kita mengikuti jalan yang bukan sahaja benar malahan mudah dan menyenangkan. Itulah antara kasih sayang Allah kepada hamba-Nya. Dia mahu menyenangkan bukan menyulitkan.

Jalan yang lurus adalah jalan yang satu, tiada dua tiada tiga. Jalan dirintis oleh para Nabi, siddiqin, syuhada’ dan juga solehin. Manusia fitrahnya mahu kepada yang baik-baik. Melalui jalan yang lurus bererti memilih jalan yang baik seterusnya menuju keredhaan Allah SWT.

Namun, ada juga yang melihat jalan menuju Allah amat payah. Mereka melihat jalan yang lurus ini penuh kesulitan. Mereka membayangkan di kotak pemikiran betapa sukarnya jalan Allah. Mengapa begitu sukar?

Tentu sukar jika kita mengambil dan mengagungkan sistem atau cara hidup yang bertentangan dengan Islam yang fitrah. Kita melihat jalan yang lurus itu bersimpang-siur, menakutkan dan membosankan. Yang bengkok dan menyusahkan adalah kita bukan jalan-Nya!

Umat Islam mesti menerima jalan lurus yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah saw. Jalan itu adalah Islam yang sebenarnya. Bukan Islam yang ditokok tambah, bukan Islam yang hanya menjadi tempelan kosmetik dan disesuaikan dengan jiwa dan kehendak kita. Rasulullah mewarisi agama Islam ini dalam keadaan terang benderang seumpama matahari yang galak menyinari semesta.

Setiap hari kita memohon jalan yang lurus, sekurang-kurangnya 17 kali sehari semalam. Kita meyakini jalan yang lurus itu benar dan menyelamatkan. Memohon jalan yang lurus terkandung di dalam surah al-Fatihah yang dibaca dalam solat.

Namun, setelah memohon jalan yang lurus, kemudian ditunjukkan inilah jalan yang lurus itu. Lalu mengapa kita memilih jalan yang bengkang-bengkok dan menyusahkan?

Tidakkah pelik, jika kita memohon sesuatu dari seseorang lalu diberikannya. Selepas itu kita tidak mengambil apa yang diberikannya itu. Kemudian kita meminta lagi, dan lagi, dan lagi, berkali-kali. Malahan setiap hari ataupun sehingga habis usia kita masih meminta.

Namun, setelah diberi kita tidak mengambilnya...

Apakah yang mahu dikatakan kepada orang ini?

Mari kita berfikir sejenak...

“Tunjukkanlah kami jalan yang lurus. Jalan orang-orang yang telah Engkau berikan nikmat, bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai dan bukan juga jalan orang-orang yang sesat.” (al-Fatihah: 6-7)

Friday, 6 January 2012

Kenangan yang sama

“Aduh, letihnya...” saya menyandarkan badan pada sofa di ruang tamu. Merehatkan diri di bawah putaran kipas, setelah kepenatan menguruskan kemasukan angah dan acik ke SAR at-Taqwa.

Suasana hiruk-pikuk ibu bapa yang berpusu-pusu untuk mendaftarkan anak masing-masing amat merimaskan. Tidak sangka ramai pula yang mendaftar pada sebelah petang, sedangkan sebelah pagi pun begitu juga.

Manakala sehari sebelumnya saya ke daerah Jerantut, menghantar anak sulong yang belajar di SMAPT untuk tahun kedua. Saya meminta adik ipar memandu kereta, saya sudah tidak mampu mencelikkan mata dek kerana pulang lewat pada malamnya, kerana bersama rakan-rakan berprogram amal di Cherating. Hampir 2 pagi saya pulang ke rumah. Sepanjang perjalanan Jerantut saya hanya melelapkan mata.

Seronok melihat ibu bapa yang datang menghantar anak-anak, sungguh-sungguh mengharapkan anaknya menjadi orang yang berilmu. Tidak hanya mereka, termasuk saya dan siapa sahaja mahukan begitu.


Kenangan yang sama

Sambil menunggu proses penempatan bilik untuk anak saya, perlahan-lahan memori lalu mengimbau di kotak fikiran. Berlegar-legar dan berputar-putar menggamit rasa.

Saya membayangkan situasi yang sama sewaktu dihantar oleh orang tua ke sekolah, saya dan adik beradik yang lain.(semoga Allah merahmati kedua ibu bapa saya) Sesungguhnya mereka adalah permulaan hidup di dunia.

Bermula dari sekolah rendah, mereka sabar dengan bermacam-macam karenah yang tercetus. Mengamuk, menangis serta tidak kurang tingkahlaku yang menjelekkan. Kemudian ke sekolah menengah dengan pembelanjaan yang semakin meningkat. Seterusnya menjejakkan kaki ke Maahad Islami, tanpa dikira berapa kesukaran untuk menampung perbelanjaan seterusnya. Namun tidak ada keluhan walaupun seribu kepayahan mengundang.

Kami bukan orang senang, ayah hanyalah bekerja kampung, membanting tulang memerah keringat mencari rezeki. Kerut-kerut garis di wajah serta selaput kasar di tapak tangan bukti pengorbanan yang bukan alang kepalang. Terlihat pula ketabahan menahan terik mentari dan menahan tadahan hujan yang mencengkam, semata-mata untuk menyuapi keluarga. Makan pakai serta kelengkapan pengajian, semata-mata tidak mahu anaknya tercicir dalam pelajaran. Agar anaknya duduk sama rendah, dan berdiri sama tinggi dengan orang lain. Tanpa ada sedikit kekurangan.

“Kamu jangan risau, taulah ayah macam mana nak cari duit. Yang penting kamu belajar bersungguh-sungguh.” Kata-kata ayah yang sentiasa memberi semangat bersama harapan yang menggunung.

Ibu pula mengandungkan selama 9 bulan, menanggung kesakitan loya dan mual. Kemudian berperang dengan ‘satu peperangan’ yang berbagi nyawa, antara hidup dan mati. Dan ianya tidak terhenti setakat itu, dijaga pula dengan belaian kasih sayang. Menyusu selama 2 tahun, terjaga di tengah malam dek tangisan yang entah mengapa, menyuap makan dan minum siang dan malam, memandikan dan membersihkan najis. Menyiapkan diriku setiap pagi untuk ke sekolah. Mengapa? Semata-mata mahu anaknya menjadi seorang yang sempurna.

“Wan belajar rajin-rajin ya. Jangan nakal-nakal, dengar cakap cikgu,” Itulah yang sering emak saya pesan setiap pagi sebelum ke sekolah. Dan ianya saya ingati sehingga kini.

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya. Ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).” (Luqman: 14)

Sesungguhnya kita menyayangi ibu bapa kerana pengorbanan dan kasih sayang mereka yang tidak bersyarat. Sebagaimana Allah SWT menebarkan rahmat-Nya tanpa syarat.

Terhenti lamunan

Petang yang damai di SMAPT

"Abi, cikgu dah panggil nama,” tiba-tiba anak saya memberitahu. Lantas mengejutkan saya dari lamunan.

“Oh ya..., Kamu tinggal di bilik mana? Saya bertanya kepadanya, sambil mengesat pelupuk mata, menjelaskan pandangan yang kabur.

“Bilik Zubair al-Awwam, di blok D,” jawabnya.

“Jom kita ke sana, bawa barang-barang kamu jangan sampai ada yang tertinggal.” Kami berdua beriringan menuju ke bilik Zubair al-Awwam yang terletak di blok D.

Saya hanya dapat membayangkan kesusahan ibu dan bapa tetapi tidak dapat merasainya. “Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah selama-lamanya...” sentiasa saya sematkan di dada.

“Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua-duanya dengan penuh belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Al-Israa’: 24)