Sahabat Sejati

Tuesday, 30 March 2010

Harga sebuah ketenangan

“Dulu saya pernah di sanjung ramai tapi kini saya terus berbangga walaupun tidak lagi sehebat dulu.”

“Saya pula walaupun tidak menjadi penyanyi utama kumpulan dan hanya pemain gitar utama, turut terasa bahang kemasyhuran apabila gambar sering terpampang di dada akhbar.
Namun itu hanya sementara dan sekarang jiwa saya benar-benar tenang.”

(Kata-kata dua orang bekas artis yang pernah mengecapi zaman popular )

“Maka tetaplah kamu di atas jalan yang benar sebagaimana yang diperintahkan kepada kamu dan (juga) kepada orang yang telah bertaubat bersamamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” (Hud:112)

Antara kesenangan dan ketenangan ternyata ketara perbezaannya. Mungkin dengan beberapa lembar ringgit tidak sulit untuk memperolehi kesenangan. Namun belum tentu beroleh ketenangan dan ketenteraman, kerana bukan senang syarat tenang. Manakala jika tenang insya-Allah pasti melahirkan kesenangan. Itulah hakikat yang menjadi dambaan setiap manusia.

Sebahagian manusia beranggapan bahawa ketenangan itu hanya diperolehi dengan kesenangan, maka berlumba-lumbalah mencari kesenangan, menumpukkan kekayaan, rumah besar, kereta besar, kerjaya yang hebat dan sebagainya. Namun tercapaikah ketenangan.

Cerita ustaz

Disebut dalam sebuah kitab, seorang raja dihadiahkan orang sebuah piala minuman bertatahkan permata fairuz. Piala itu sangat cantik dan amat berharga. Raja sangat gembira menerima hadiah itu. Apabila seorang hukama datang berjumpa dengannya, raja itu bertanyakan kepadanya mengenai piala tersebut. Hukama itu berkata, “aku tidak lihat apa-apa dari piala itu kecuali bala dan fakir.”

Raja tercengang dan berkata, “mengapa kamu berkata begitu?” Hukama itu menerangkan, “kalau piala itu pecah, sudah tentu ia tidak boleh dibaiki lagi dan hati tuanku akan menjadi susah atas bala yang menimpa. Kalau dicuri orang pula, tuanku akan bersedih atas kehilangan itu dan berasa seperti seorang fakir. Bahkan sebelum tuanku mendapat piala ini, tuanku tidak ada rasa apa-apa bahkan senang dengan keadaan begini, tentu tuanku berasa amat sedih.”

Takdir Tuhan, selang beberapa bulan, piala yang disayangi raja itu pecah berkecai. Raja itu sangat sedih dan hampa atas kehilangan piala itu. Dia kembali berjumpa hukama itu dan mengaku atas kebenaran kata-katanya.

Kisah ini jelas membuktikan bahawa harta dunia yang kita sayangi tidak memberi apa-apa makna jika ia tidak dipandu atas dasar iman. Dan apa yang kita takuti ia pula menjadi satu musibah kepada kita.
Harga ketenangan 
Ketenangan...ketenteraman...amat mahal harganya. Belum tentu diperolehi walaupun berharta dan memiliki segalanya. Oleh itu carilah formula ketenangan yang telah disediakan oleh agama. Pasti mujarab, pasti tidak kecewa.

Tiada kekuatan apa pun yang mampu menggoyahkan jiwa seseorang yang mendapat curahan rahmat Allah.

Tiada kegelapan apa pun yang dapat menyesatkan jiwa yang di dalam lindungan-Nya.

Tiada keresahan yang mampu merobek jiwa seseorang yang mendapat kasih sayang Allah.

Sebaliknya hati yang ‘terputus’ dengan tali ikatan Allah amat sulit untuk mengecap tenteramannya kehidupan. Demikianlah jiwa yang gelap tanpa sinar petunjuk-Nya, jalannya berliku dan bergelombang tanpa cahaya kebenaran-Nya.

“Wahai manusia, kamulah yang faqir dan berkehendak kepada Allah, dan Dialah Allah Yang Maha Kaya (tidak bergantung kepada apa jua pun) lagi Maha Terpuji.” (Al-Fathir: 15).

Monday, 29 March 2010

Belajar hikmah cara Socrates


Suatu hari, seorang pemuda datang kepada Socrates dan berkata, “saya mahu belajar dan tahu semua yang kamu tahu!”

“Kalau itu yang kamu mahukan, mari ikut aku ke sungai”, jawab Socrates.

Dengan perasaan penuh ghairah, pemuda tersebut mengekori Socrates berjalan menuju ke sungai yang dimaksudkan. Apabila tiba di tebing sungai, Socrates memanggil pemuda tersebut, menyuruhnya merenung ke air.

“Tengok betul-betul dalam air tu, apa yang kamu nampak?”, katanya.

“Saya tak nampak apa-apa pun”, jawab pemuda tersebut.

“Tengok betul-betul. Dekatkan lagi kepala kamu itu ke air”, tegas Socrates.

Apabila pemuda itu meniarap dan mendekatkan mukanya ke air, Socrates segera memegang kepalanya dan membenamkan ia ke dalam air! Pemuda tersebut meronta-ronta dan tangannya terkapai-kapai kelemasan. Terdesak!Bila mana pemuda tersebut kelihatan sudah seperti mahu lemas, Socrates menarik keluar kepalanya dan menyandarkan beliau ke tebing.

“Hoi orang tua. Engkau gila ke apa?”, tanya lelaki itu sambil terbatuk-batuk mencuba nafas.

“Engkau nak bunuh akukah?”, geram benar bunyinya.

“Semasa aku benamkan kepala engkau ke dalam air, apakah benda yang paling engkau hajatkan pada detik itu?”, tanya Socrates.“Aku nak bernafas, aku mahukan udara!”, jawabnya tegas.

“Jangan sekali-kali kamu tersilap fikir bahawa HIKMAH itu boleh diperolehi dengan mudah, wahai anak muda”, kata Socrates.

“Apabila kamu mahu belajar, seperti kamu mahu dan berhajat kepada udara sebentar tadi, barulah datang kepadaku”, tegas Socrates, menyimpulkan pelajaran pertamanya petang itu.

[petikan The 7 Habits of Highly Effective Teens - Sean Covey]

Sumber: Saifulislam.com

Sunday, 28 March 2010

Perjalanan hidup


Sunnah kejadian manusia. Diciptakan dari tanah, kemudian menjadi setitis air mani yang tampak hina. Kemudian menjadi segumpal darah beku dan beransur-ansur menjadi seketul daging.

Berganti purnama, maka sempurnalah kejadian dan tetaplah di dalam rahim ibu, alam kasih sayang. Lalu lahir ke dunia menjadi bayi yang tidak mengerti apa-apa. Kemudian menjadi kanak-kanak seterusnya remaja. Meniti usia menuju dewasa. Silih berganti masa kelemahan dan kekuatan. Sebahagiannya dimatikan oleh Allah SWT dan ada yang dilanjutkan usia sehingga setua-tuanya. Lalu kembali tidak mengerti apa-apa.

Hal itu menjadi ketentuan yang pasti, tidak terkecuali. Sesiapa yang memerhatikan akan hal ini dengan pandangan hati yang bersih, maka cukuplah ia menjadi pengajaran. Sumber keinsafan diri.

Dapatlah dimengertikan aturan, kekuasaan dan kebijaksanaan Allah SWT dalam mentadbir alam ini.
“Dialah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian menjadi setitis air mani, kemudian menjadi segumpal darah, kemudian kamu dilahirkan sebagai bayi, kemudian kamu menjadi dewasa sampai tua. Diantara kamu ada yang dimatikan sebelum tua supaya kamu sampai kepada waktu yang ditentukan (hari kiamat) dan mudah-mudahan kamu memikirkannya.” (Al-Mukmin: 67).

Siapalah aku...