Sahabat Sejati

Monday, 1 December 2025

Selesai bacaan 'Pelanduk Hutan Keningau'


Selesai saya menghadam sebuah novel nipis, hanya 122 halaman semuanya. Tak lama pun untuk dikhatam, tapi 'rasa' yang ditinggalkan.. panjang. 

Buku ini buku di antara buku lama yang saya miliki, cetakan pertama tahun 1989, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Judulnya Pelanduk Hutan Keningau karya Mahmud Eddie, sebuah judul yang kedengaran sederhana, tapi rupanya menyimpan dunia kecil yang tidak dijangka. 


Kisahnya tentang tiga remaja — Tumin, Salbin dan Justin, yang mengembara ke pedalaman Sabah. Niat asal hanya mahu melihat pelanduk, sambil menimba pengalaman di hutan Keningau. Namun hutan tak selalu sekadar hijau dan tenang; kadang-kadang ia menyembunyika n sisi manusia yang lebih gelap. 

Penipuan dan kerakusan, rupa-rupanya, bukan hanya milik kota. 

Di dalam hutan belantara pun ia tumbuh diam-diam. 

Tumin, Salbin dan Justin, ditemani Suin dan abangnya, Mijan, akhirnya terperangkap oleh satu kumpulan yang jalankan kegiatan tersembunyi di tengah hutan. Dalam kekalutan, Justin dan Salbin berjaya meloloskan diri.. meski tidak sepenuhnya selamat. 

Salbin pengsan di tepi anak sungai. Justin pula sesat dalam hutan yang luas dan sunyi. 

Mijan, anak muda keturunan Murut pengsan dipukul kerana cuba melawan. 

Apakah sebenarnya dilakukan oleh kumpulan yang menawan Tumin dan rakan-rakannya? 

Saat saya membaca helaian demi helaian, saya seperti ikut berjalan bersama mereka. Dingin embun di hujung dedaun, bunyi serangga, dan rasa cemas yang tak menentu.. semuanya macam hidup kembali dalam imaginasi. 


Dan yang paling mencuit hati, halaman-halaman yang disertakan ilustrasi. Ilustrasi yang ringkas, gaya buku cerita zaman sekolah rendah dulu-dulu. Sekali pandang saja, terus saya terimbas kembali saat duduk bersila di kerusi kayu perpustakaan sekolah, baca buku tanpa sedar hari dah lewat. 

Ada sesuatu pada buku lama: bau kertasnya, nadanya yang jujur, dan kenangan yang datang tanpa disuruh. 

Begitulah Pelanduk Hutan Keningau buat saya, tipis saja, tapi penuh rasa. 

Kadang-kadang, buku kecil pun mampu membuka pintu memori yang besar.