Sahabat Sejati

Thursday, 30 October 2025

Pengembaraan Masa (Part 5): Rahsia Yang Dititipkan Masa

 Baca di sini Part 4

foto hiasan ~ sumber

Pagi di desa ini.. tidak pernah bising dengan enjin, tidak pernah sesak dengan berita yang meresahkan jiwa. 

Yang ada hanya kokokan ayam jantan bersahut-sahutan, daun kelapa bergesel lembut, dan unggas dari belukar memuji Tuhan dalam bahasa yang hanya alam mengerti. 

Embun pagi menyentuh pipi seperti kasih ibu yang merindui anaknya pulang. Dan aku menurut langkah Pak Andak dan Busu ke sawah, lewat lorong tanah padat yang dipijak generasi demi generasi, diapit buluh yang melengkung dan senduduk ungu yang tumbuh tanpa dipinta. 

Di sini, hidup bersandar pada alam. Rumah kayu beratap nipah dan ijok, dapur berasap kayu, bunyi alu dan lesung bernyanyi dari serambi rumah, dan anak-anak ketawa mandi sungai, membina rakit dari batang pisang. 

Tiada siapa mengejar masa. Di sini, masa yang mengalir perlahan.. menenangkan jiwa. 

Dan entah sejak bila, aku sendiri sudah mula selesa, selesa hidup tanpa telefon, tanpa skrin, tanpa berita yang menghakis iman perlahan-lahan. 

Seolah aku kembali kepada fitrah. Hidup untuk Tuhan, untuk tanah, untuk sesama manusia. Bukan untuk dunia yang menggantikan rasa dengan angka, dan menggantikan hati dengan mesin.

Seri Seroja 

Seri Seroja. Nama itu sendiri seperti kelopak doa yang gugur ke tasik senja. 

Dia tidak banyak bicara, tetapi wajahnya membawa satu teduhan yang jarang ditemui di zaman aku datang. Lembut, sopan, dan setiap tunduk matanya adalah maruah dan budi yang tidak perlu dipromosikan. 

Dia membantu di dapur, menjahit di serambi, dan kadang-kadang bersenandung gurindam lama dengan suara serendah angin petang. Aku cuba menjaga jarak, tetapi mata sering tewas, bukan kerana parasnya.. tetapi kerana dia adalah jelmaan ketenangan zaman ini. 

Namun aku tahu, aku tidak boleh. Aku bukan dari sini. Dan takdir di zaman ini bukan milikku untuk disentuh sesuka hati

"Jika aku menyentuh satu helaian pun dari takdir zaman ini, mungkinkah sejarah juga akan bergeser, akan berubah?" 

Lalu aku simpan rasa itu, dalam diam, dalam doa, dan dalam setiap tarikan nafas yang aku sembunyikan dari mata dunia.

Rahsia Masa Yang Dibawa 

foto hiasan ~ sumber

Mereka tidak akan mengerti jika aku katakan bahawa aku datang dari masa yang belum wujud bagi mereka. Mereka tidak akan faham tentang kereta yang meluncur tanpa kuda, tentang lampu yang menelan gelap hanya dengan satu sentuhan, atau tentang suara manusia yang terbang melalui udara. 

Sekali aku tersasul menyebut “kereta”, dahi Pak Andak berkerut kecil. Mujur aku cepat menukar kisah, menukar nada, menukar jalan cerita. 

Di sini, lidah bukan sekadar alat bercakap, ia benteng masa. Aku belajar menapis kata, merendahkan bicara, memelihara adab, mengatur bahasa agar dinding zaman tidak pecah oleh kelalaianku sendiri.

"Jika aku gagal menyesuaikan diri, masa akan menelan aku." 

Maka aku belajar. Belajar menerima takdir tanpa menyoal terlalu banyak. Belajar membungkus rindu pada keluarga dan dunia lampu neon. Belajar menjadi insan baru di bumi lama yang suci dan mulia ini. 

Petang itu, ketika aku mengangkat memenuhkan air di dalam tempayan, aku terdengar suara Pak Andak melalui celah papan:  

“Aku rasa.. dia bukan orang sini. Tapi tak apa. Kalau Allah kirimkan dia, tentu ada hikmah-Nya.” 

Tanganku kaku. Tali timba basah dan dingin, dan hatiku pecah perlahan seperti air yang menitis dari hujung timba ke tanah. 

Sudahkah mereka meneka? Atau aku sedang menunggu suatu ujian, ujian untuk memilih antara kembali ke dunia aku, atau kekal di zaman yang mula menghidupkan jiwaku semula? 

Angin petang menyisir wajahku lembut. Aku pejamkan mata, perlahan.

“Jika benar Kau kirimkan aku ke sini, Ya Allah.. tuntunlah aku dalam hikmah yang belum aku nampak.” 

Dan malam itu, buat pertama kalinya, aku tidak lagi bertanya bila aku akan pulang. Sebaliknya, aku bertanya dengan hati yang berat dan jujur: 

"Adakah aku mahu kembali?"

Bersambung Part 6.. 

Pengembaraan Masa (Part 4): Tersangkut Antara Langit Dan Waktu

Baca di sini Part 3 

foto hiasan ~ sumber 

Sudah dua hari aku di sini. Langit di tanah ini.. seakan-akan lebih luas daripada langit yang pernah memayungi kehidupanku di masa yang kutinggalkan. Birunya dalam, jernih tanpa hiruk pikuk asap kota; seolah-olah setiap hela nafasku menyingkap tirai baru yang selama ini tidak pernah aku sedari wujud dalam hidup. 

Subuhnya pekat. Bukan sekadar gelap, tetapi gelap yang bersujud. Unggas masih belum lena, desah malam masih mencari tempat berteduh sementara embun menggigil di hujung daun. Udara yang singgah ke dadaku terasa seperti zikir alam, membasuh resah masa yang kubawa dari dunia lain. 

Di rumah bertiang empat belas itu.. beratap nipah yang luas memayungi rasa aman, dan lantainya dari papan jati tua yang kukuh. Rumah itu tidak tercatat di mana-mana peta sejarah yang pernah aku baca.  Namun hatiku tahu, inilah persinggahan yang DIA pilihkan untuk roh dan jasadku menghela nafas kembali. 

Pak Andak Musa, lelaki pertengahan usia, berwajah garang pada mata yang pertama, tetapi senyumnya bening seperti air telaga selepas hujan. 

Mak Andak Rukiah, halus tutur kata, halus hatinya. Tidak pernah bertanya dari mana aku datang, tidak juga hairan mengapa aku datang tanpa bekal, tanpa saudara, tanpa sekeping masa yang jelas. 

Mereka menyambutku bukan dengan syak, tetapi dengan redha. Dan dalam diam, aku malu pada kelembutan itu. 

foto hiasan ~ sumber

Setiap pagi aku turun ke bendang bersama Pak Andak. Kaki meredah tanah lembut, lumpur melekat di betis, burung bangau bertenggek di badan kerbau sambil mengintai rezeki. Pak Andak tenang, diam lebih banyak daripada berkata-kata. Sesekali beliau menoleh, mengajar dengan bahasa mudah:

“Jangan lawan sawah.. ikut nafas tanah.” 

Aku hanya mengangguk, meskipun dalam hatiku bertanya.. berapa lama lagi aku akan mengikut nafas tanah orang lain? 

Tengah hari, matahari memaku bayang ke bumi. Aku membantu Busu membawa gugusan daun tembesu ke kandang kambing, membetulkan titi kecil dari buluh di belakang rumah, atau membelah kayu hingga bahu terasa seperti disiat. Tetapi letih itu.. letih yang membahagiakan. Letih yang mendidik hati supaya tunduk pada kehidupan alam. 

Petang datang dengan angin dari hujung sawah. Kanak-kanak kampung ketawa berkejaran, gasing berputar, layang-layang bernafas di langit. Aku memandang mereka, terasa masa seolah-olah memegang bahuku dan berbisik: 

“Beginilah dunia sebelum kau belajar berlari mengejar masa.” 

Dan malamnya, aku bersama Pak Andak ke surau kecil di tengah kampung. Lampu minyak bergoyang, bacaan imam meresap damai, lantai tikar mengkuang sejuk di dahi. Seusai solat, aku hanya duduk di anjung rumah, memandang langit yang penuh bintang-bintang yang di zaman aku sudah lama mati ditelan cahaya lampu jalan dan gedung tinggi. 

Namun yang paling sukar.. bukan kerja sawah, bukan sunyi malam, bukan bahasa lama yang perlu aku kunyah lembut di lidah. Yang paling sukar adalah menyembunyikan siapa aku sebenarnya.

Bersambung Part 5.. 

Wednesday, 29 October 2025

Perjalanan ke Raub – Menyusuri Jejak Ziarah Mahabbah

sumber foto

Jam menunjukkan 8.30 pagi. Tayar kenderaan mula bergolek perlahan, melanyak aspal jalan yang keras dan berkilau di bawah cahaya matahari yang baru memanjat kaki langit. Angin pagi masih segar, menyapa lembut wajah kami bertiga yang dalam rangka perjalanan ke daerah Raub, sebuah daerah yang sarat dengan nostalgia dan damai kehijauan bukit-bukau. 

Di kiri kanan jalan, kabus pagi masih bersisa di celah pepohonan, menebar suasana tenang dan syahdu yang sukar digambarkan dengan kata-kata. 

Destinasi pertama kami ialah pejabat MUIP, bagi menghadiri mesyuarat berkenaan program Ziarah Mahabbah di Kampung Orang Asli (KOA) Sungai Yol. Mesyuarat yang dijadualkan bersama Pengurus Majlis Ugama Islam Islam Pahang MUIP, Jabatan Agama Islam Pahang, JAKOA, PERKIM Raub dan PMOA JAKIM berlangsung dalam suasana ceria dan harmoni. 

Mesyuarat di MUIP

Masing-masing membawa semangat yang sama, untuk menjalin kasih, mengukuh ukhuwah dan memperluas dakwah kasih sayang dalam kalangan masyarakat Orang Asli. Di meja mesyuarat yang sederhana itu, kami bukan sekadar bertukar pandangan, tetapi menyatukan niat dan doa agar perjalanan misi ini diberkati Tuhan. 

 Ke KOA Sungai Yol

Selesai mesyuarat, kami meneruskan perjalanan ke KOA Sungai Yol. Jalan menuju ke kampung itu berlekok dan sempit, dikelilingi kehijauan rimba yang sesekali menyingkap pemandangan aliran kecil di tepi jalan. Airnya jernih, mengalir tenang seolah-olah menyambut kedatangan kami. 

Di celah dedaun hutan, suara burung bersahutan, irama alam yang menenangkan jiwa dalam perjalanan yang sederhana namun bermakna. Sesekali kelihatan anak-anak kecil berlari di tepi jalan tanah merah, melambai sambil tersenyum malu, wajah polos yang membawa damai ke dalam hati. 

Timbalan tok batin Medang menyambut kami, tok batin tiada kerana pergi berubat 

Di penghujung jalan, kami disambut mesra oleh Timbalan Tok Batin, iaitu Medang, sosok berwajah teduh dengan senyum yang mengundang hormat. Langkahnya perlahan namun penuh wibawa, mencerminkan seorang pemimpin yang dekat dengan masyarakatnya. 

Tujuan kami jelas, mendapatkan beberapa maklumat tentang penduduk kampung, sebagai persiapan awal untuk menjayakan program yang mendekatkan hati antara masyarakat Islam dan saudara-saudara kita di pedalaman. 

Sambil berbual di serambi rumahnya yang sederhana, angin hutan meniup lembut kain langsir lusuh yang menutupi jendela. Aroma suasana kampung menginjak petang menambah kedamaian. Sesekali mata saya memandang ke arah bukit yang biru di kejauhan, lalu terlintas dalam hati, betapa luasnya kasih Tuhan yang mempertemukan insan-insan dari dua dunia yang berbeza di bawah satu payung rahmah. 

Di tengah kehijauan dan kesederhanaan itu, saya belajar sesuatu yang besar, bahawa dakwah bukan hanya tentang bicara di pentas atau pena di kertas, tetapi tentang hadir dan menghulur tangan dengan kasih. 

Perjalanan ini mungkin sekadar urusan kerja di atas kertas, namun jauh di dasar hati, saya tahu, setiap langkah ke perkampungan ini adalah langkah menuju kasih, menuju pengertian, menuju mahabbah yang sejati.

Monday, 27 October 2025

Makan aiskrim malam di Mixue

Setiap hari bila pulang dari kerja, saya akan melalui deretan kedai moden yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan, Mixue, Momoyo, dan macam-macam lagi. Tak jauh pun dari rumah, berjalan kaki pun belum sempat berpeluh. 

Tapi entah kenapa, tak pernah lagi terlintas nak singgah. Mungkin sebab jiwa masih pekat dengan cara hidup generasi X — minum teh panas lebih nikmat daripada makan aiskrim malam-malam. 

Tapi malam ini lain ceritanya. Anak-anak bersungguh-sungguh mengajak saya dan Ummu Ikhwan ke Mixue. “Makan aiskrim malam-malam?” saya separuh bergurau. Terus teringat zaman kecil dulu, pantang arwah mak nampak kami makan aiskrim waktu malam, katanya “nanti batuk!” Nak makan, tunggu siang esok. 

Aiskrim dulu pun bukanlah sehebat sekarang; cuma ais batu dalam plastik panjang, berperisa sirap, oren, atau jagung, atau perisa bubur kacang. Orang kampung panggil “aiskrim Malaysia.” Tapi nikmatnya, aduh.. tak ada tandingan. 

Akhirnya malam ini saya dan Ummu Ikhwan akur juga dengan ajakan anak-anak. Lagipun, bukan selalu dapat duduk bersama sambil bergelak kecil, menikmati manisnya aiskrim dan lebih manis lagi, masa bersama keluarga. 

“Oh ya, kamu tolong order ya.. Abi dan Ummi ikut aje.” 

Di meja itu, sambil menyedut aiskrim perisa mangga lembut, saya sempat tersenyum sendiri. Zaman berubah, citarasa berubah, tapi kasih dalam keluarga tetap manis, tak pernah cair ditelan waktu.

Perisa mangga

Sunday, 26 October 2025

Secebis Penat, Selaut Pahala.. Mudah-mudahan

Pagi ini saya ke Megamall, menyertai kempen Derma Darah anjuran Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang. Sebagai urusetia, tugasan kami bermula seawal pagi, memastikan segalanya berjalan lancar dari awal hingga akhir.

Penat? Memang penat. Semalam baru pulang ke rumah, hari ini sudah merempit semula — merempit manja katanya. Tapi dalam setiap langkah, saya teringat pesan seorang murabbi yang selalu menenangkan jiwa: 

“Jika kamu penat berbuat kebaikan, ingatlah penat itu hanya satu perasaan. Ia akan hilang.. tetapi pahalanya akan terus berpanjangan.” 


Hari ini, biarpun tubuh terasa letih, hati terasa lapang. Gembira melihat wajah-wajah penderma yang datang dengan senyum dan keikhlasan. Bahagia juga bertemu rakan-rakan relawan yang sama-sama berjuang dalam diam, memberi tanpa mengharap balasan. 

Terima kasih kepada semua yang terlibat, pihak Unit Tabung Darah HTAA, para penderma, dan para relawan yang sentiasa ada di barisan hadapan kebaikan. 


Moga setiap titis darah yang disumbangkan menjadi titis kasih yang menyelamatkan nyawa, dan setiap langkah yang kita ayunkan hari ini, menjadi langkah menuju redha-Nya.

Petang, zzz.. zzz.. 

Saturday, 25 October 2025

Kiriman dari Keningau, rezeki petang Jumaat

Petang Jumaat sampai, kebetulan saya di luar kawasan

Petang semalam, waktu sedang sibuk di luar kawasan, masuk mesej daripada Ummu Ikhwan, katanya ada parcel sampai dari Keningau. Dalam hati dah terdetik, “Mesti kiriman daripada cikgu Etuza..” 

Hari ini barulah sempat saya buka bungkusan yang tersusun elok dengan pelekat “FRAGILE” di luar kotaknya. Perlahan-lahan saya koyak pembalut, dan... jeng jeng jeng! 

Mangkuk tingkat merah tu bolehlah Ummu Ikhwan guna

Benar, kiriman istimewa daripada cikgu Etuza — Elcafe Kopi Pracampuran dengan Ginseng dan Moringa, siap dengan satu set mangkuk dua tingkat serta sudu sup. Wah, memang comel dan sungguh bermakna! 

Terima kasih banyak, cikgu Etuza. Moga sentiasa diberkati rezeki dan bahagia bersama keluarga tercinta. 

Oh ya, kengkawan boleh singgah ke blog beliau juga, sentiasa ada entri baharu yang menarik untuk dibaca. Baca blog cikgu Etuza di sini

Friday, 17 October 2025

Thank you Allah..

Malam datang dengan tenangnya. Selepas seharian berbasikal pagi dan petang, badan terasa ringan, peluh yang keluar bagaikan mencuci segala lelah. 

Kini saya duduk di beranda rumah. Angin malam menyapa perlahan, membawa bunyi cengkerik dan sesekali burung tukang bersahut. 

Lampu jalan jauh kelihatan suram. Suasana hening, hanya ditemani bunyi alam. Dalam hati terasa syukur, kerana masih diberi kesihatan untuk bergerak, masih ada peluang menikmati kehidupan begini, sederhana tetapi cukup membahagiakan.

Malam ini saya pejam mata dengan rasa tenang, berharap esok pagi masih berpeluang kayuh lagi.

Wednesday, 15 October 2025

Pengembaraan Masa (Part 3): Keramahan Penghuni Rumah ini

Baca di sini Part 2

foto hiasan ~ sumber

Angin petang berhembus lembut, membawa bersama bunyi cengkerik yang mula bersahut-sahutan. Cahaya matahari semakin condong arah ke barat. 

“Cantik sungguh kampung ini ye, Pak Andak” aku bersuara perlahan. Dia mengangguk, senyum nipis terukir di bibirnya. 

“Dari dulu, begitulah adanya Kampung Permatang ni Zahran. Tanahnya subur, air sungainya jernih, orangnya baik-baik..” dia berhenti sejenak, menyedut rokok daun ditangannya. 

"Andai kamu lihat pemandangan Kota Melaka pula, pasti.." 

Tiba-tiba kedengaran suara lembut memberi salam dari luar rumah. Suara itu bening, seolah-olah datang bersama hembusan angin petang yang menyapa lembut di beranda. 

 “Assalamualaikum..” 

Kami menoleh hampir serentak. Seorang gadis melangkah perlahan melewati tangga rumah, menundukkan wajah dengan sopan. Kain sarung yang diselimpangkan di kepala menutupi hampir separuh wajahnya, namun dari gerak langkahnya yang tertib dan suaranya yang halus, tergambar keperibadian yang santun. 

“Kamu dari mana, Seri?” tegur Pak Andak dengan nada lembut seorang ayah yang penuh kasih. 

“Dari rumah Mak Ngah, ayah. Tolong Mak Ngah menumbuk padi." 

"Mana adik kamu?" Pak Andak bertanya lagi. 

"Busu ada di bawah, menghalau ayam masuk reban. Seri masuk dulu ya, ayah..” Suaranya jernih dan teratur, bagai alunan dari zaman lain. 

Pak Andak tersenyum sambil memandangku sekilas. “Itulah anakku, Seri Seroja namanya.” 

Aku mengangguk perlahan, namun dalam hati terasa sesuatu yang aneh, nama itu bergema indah, Seri Seroja - berputar lembut di dalam fikiranku. 

Seri Seroja melangkah masuk ke dalam, dan sesaat kemudian hanya tinggal bayang kain sarungnya yang beralun di pintu. Namun entah mengapa, kehadirannya meninggalkan kesan yang sukar kuungkap, seperti sehelai kenangan yang baru tersentuh oleh waktu. 

Seri Seroja, seorang gadis dalam lingkungan sembilan belas tahun, berwajah ayu dan manis, persis wanita-wanita Melayu lama yang hanya wujud dalam lukisan dan sejarah. Wajahnya lembut, penuh sopan, dan tenangnya bagai bunga tanjung yang gugur perlahan. Siapa pun yang memandang, pasti jatuh hati tanpa sedar. 

Dan seorang lagi bernama Busu Ariffin, adik lelaki kecil dalam lingkungan sepuluh tahun, ceria dan banyak bertanya. 

“Ayah, siapa ni?” tanya Busu sambil berlari ke sisi Pak Andak. 

“Orang singgah, nak. Kita layan sebagai tetamu.” 

Busu segera menyua tanggannya kepadaku untuk bersalam, dengan senyum dan seribu soalan, membuatkan aku hampir terlupa akan kerisauan yang bersarang dalam benak. 

Kopi panas dan lepat pisang Mak Andak Rukiah

foto hiasan ~ sumber

Tidak lama selepas itu, Mak Andak Rukiah muncul dari dapur membawa dulang yang ditutup tudung saji anyaman daun mengkuang pandan. 

Dua cawan kopi panas berasap dan sepinggan kuih lepat pisang yang masih hangat berbalut daun. Aroma kopi kampung itu menampar lembut deria, berpadu dengan bau daun pisang yang lembab. harum dan mengasyikkan, sebagai hidangan petang. 

“Makanlah, Zahran. Jangan malu-malu,” ujar Mak Andak dengan senyum yang tulus. “Lepat pisang ni Mak Andak buat sendiri, baru kukus tadi.” 

Aku mencapai sepotong lepat itu. Daun pisangnya masih lembap dan panas. Bila dibuka, harumnya seolah memanggil ingatan lama, pada zaman kecil, pada tangan seorang ibu yang juga pandai membungkus kasih dalam sehelai daun. 

Seri Seroja melintasi kami untuk ke dapur, sempat menunduk sopan. Sekilas, aku terpandang matanya, teduh, tapi ada sesuatu di situ, sesuatu yang membuat aku tertanya-tanya sama ada aku sedang melihat masa lalu.. atau masa depan. 

“Berehatlah dulu, Zahran,” ujar Pak Andak memcah lamunan pendekku. “Kau rehat, malam ni tidur di sini. Esok kita fikir nak ke mana.” 

Aku angguk perlahan. Jiwaku masih dilanda goncangan halus, antara percaya dan tidak aku terperangkap di negeri Melaka pada abad ke 15. Tetapi keramahan penghuni rumah ini.. bagai menenangkan badai yang belum bernama. 

Bersambung Part 4 

Tuesday, 14 October 2025

Pengembaraan Masa (Part 2): Hujung Desa, Tempat Aku Belajar Menjadi Siapa

Baca di sini Part 1

foto hiasan ~ sumber

Aku mengekori Pak Andak menuju ke rumahnya. Langkahnya tenang, sesekali disulami senda gurau tentang hal kampung. Aku lebih banyak mendengar, membiarkan suaranya yang parau lembut itu mengisi ruang sore yang nyaman. 

Mataku melingas kiri dan kanan, rumah beratap nipah, anak-anak bermain di batas sawah, sekawan itik beriringan menuju paya dan aku perasan kebanyakan lelaki di sini menyisip keris di pinggang. Semuanya terasa asing, seolah-olah aku sedang menapak di dalam lembaran sejarah yang hidup kembali.

Aku tahu orang di sini juga melihat aku dengan perasaan yang asing. Maklumlah cara berpakaian dan perwatakanku cukup berbeza dengan mereka.   

“Singgah dulu, Andak!” jerit satu suara dari sebuah warung beratapkan daun rumbia. Di hadapannya beberapa orang tua sedang menghirup kopi panas, asapnya menari-nari di udara. 

Pak Andak menoleh sambil tersenyum, “Lain kalilah, Awang.. aku ada tetamu dari jauh hari ni.” 

“Dari jauh ya?” sahut Awang, separuh teruja. “Jauh mana tu, Andak? Dari hulu sungai ke, atau dari pulau seberang?” 

Pak Andak ketawa kecil, menepuk bahuku. “Ha.. yang tu rumahku.” Pak Andak menudingkan jarinya ke sebuah rumah yang berbumbung panjang tebar layar.

Dalam kepalaku ligat berfikir, “Kampung bunian mana pula aku sampai ni..” 

Rumah Pak Andak yang damai

foto hiasan ~ sumber

Rumah Pak Andak Musa terletak di hujung jalan tanah merah, hampir mencecah kaki hutan yang rimbun. Rumah kayunya berdiri megah di atas tiang tinggi, berdinding papan tebal berwarna kelabu tua, beranda luasnya dihiasi ukiran awan larat yang halus, seolah-olah tangan tukang zaman silam menitipkan doa di setiap lengkung ukiran itu. 

Dari situ, mataku memandang jauh ke belakang rumah, sawah menghijau terbentang seperti hamparan sutera, dan di kejauhan, bukit-bukau berbalam dalam kabus petang. Cantik. Ya, terlalu cantik hingga aku terpaku seketika, seolah sedang memandang lukisan yang hidup. 

Sebaik melangkah naik ke rumah, seorang perempuan separuh usia menyambutku dengan senyum lembut yang terasa benar keikhlasannya. 

“Ini isteriku, Mak Andak Rukiah,” ujar Pak Andak perlahan. “Kita ada tetamu hari ini.” 

Mak Andak mengangguk, lalu berlalu ke dalam rumah. Tidak lama kemudian, beliau muncul kembali dengan sebuah tepak sirih tembaga yang berkilau disinari cahaya petang. Ukirannya halus, bunga timbul dan kerawang berpintal rapi, seakan menyimpan cerita lama yang tidak terucap. 

“Makanlah sirih, tanda selamat datang,” katanya lembut sambil menyua tepak sirih berisi cembul ke arahku. 

Aku mencapai sehelai daun sirih, secalit kapur, dua piak pinang dan secubit gambir, tangan ini bergerak seolah-olah sudah biasa melakukannya. Semua ramuan itu dilipat-lipat lalu kumasukkan ke dalam mulut. Saat kunyahan pertama, tiba-tiba terlintas wajah arwah nenek, dengan tepak sirihnya yang hampir serupa, yang dulu aku hanya pandang tanpa mengerti maknanya. 

Kini, dalam rumah kayu yang asing ini, aku seperti kembali ke pangkuan masa lalu yang tak pernah aku alami, namun entah mengapa terasa sangat dekat di hati. 

Bersambung part 3.. 

Monday, 13 October 2025

Pengembaraan Masa (Part 1): Lintasan Asar di Jalan Lama

foto hiasan ~ sumber

Petang itu aku dalam perjalanan pulang ke kampung kerana urusan keluarga. Lebuhraya penuh sesak, deretan kenderaan seolah-olah tidak berkesudahan. Maklumlah cuti sekolah dah pun bermula. 

Aku mengambil keputusan untuk meninggalkan hiruk-pikuk itu, lalu membelok memasuki susur keluar ke jalan lama. Jalan yang sunyi dan berliku, menyusuri pinggir hutan dan desa yang seakan dilupakan masa. 

Roda kenderaan terus berputar tenang membelah aspal jalan. Di kiri dan kanan terbentang kehijauan hutan. Sesekali aku terlihat rumah kayu yang uzur di tepi jalan, dindingnya condong, namun diserambinya masih tergantung pasu bunga orkid yang mekar. 

Cuaca panas terik, dan perut terasa kosong. Di tepi jalan, aku terlihat sebuah surau kecil berusia, beratap zink dan berdinding papan lusuh. Terselit di celah pokok cengal dan senduduk yang merimbun, seolah-olah menyambut sesiapa yang singgah. 

Aku berhenti, mengambil wuduk dan menunaikan solat Zohor. Usai solat, aku baring sebentar di saf belakang, hanya mahu melepaskan lenguh dan memejam mata sejenak. 

Hanya sejenak, fikirku. Tetapi.. aku terlelap. 

Pemandangan asing 

foto hiasan ~ sumber

Tiba-tiba bahuku terasa digoncang perlahan. Dan saat mata ini terbuka semula, satu pemandangan yang asing. Suasana dalam surau itu telah berubah, tidak seperti surau yang kusinggah tadi. 

Aku menggosok pelupuk mata beberapa kali untuk menjelaskan pandangan. Ah.. surau ini, atapnya bertumpang tiga dan dibuat daripada ijuk. Berdinding kelarai bertam dianyam cantik. Unik. Menjadikan suasana dalam surau ini damai dan sejuk. 

“Aku bermimpi..?” hati tertanya-tanya. 

Langit di luar kelihatan sedikit kelam, seperti sudah menghampiri waktu Asar. Di sekelilingku ada beberapa orang jemaah.. tetapi mereka tidak seperti orang biasa. Pakaian mereka seakan baju Melayu lama, berkain pelikat yang dililit tinggi, berbaju tanpa kolar, dan kepala dililit kemas destar. Wajah mereka tampak tenang, tapi asing. 

Aku bingung. Mencari telefon.. tiada. Beg sandangku pun tiada di sisi. 

Tiba-tiba seorang pakcik tua berjanggut nipis putih mendekatiku, dengan senyum mesra dan pandangan yang dalam. 

“Anak, bangunlah… Asar hampir masuk. Kita solat berjemaah, ya?” tuturnya, lembut. 

Dalam keadaan terpisat-pisat, aku bangun perlahan, tubuh terasa ringan tapi minda berkabut. Aku hanya mengangguk. 

Seorang anak muda melaungkan azan. Suaranya merdu, bergema dalam ruang papan itu. Suara itu bukan dari zaman ini, getus hatiku.. 

Usai solat, pakcik tadi menghampiriku semula. “Namaku Musa, orang kampung memanggilku Pak Andak Musa. Aku lihat anak ini bukan orang sini, ya?” 

Aku menggaru kepala. “Er… saya… sebenarnya saya…” Sulit untuk aku menjelaskan. 

“Tak mengapa. Jangan gelisah. Allah tentukan segalanya.” 

Beberapa orang jemaah yang berjalan keluar, seraya melemparkan senyuman kepadaku. Lalu kubalas senyuman mereka walaupun dengan perisa yang agak kebingungan. 

"Siapa namamu anak muda?" sambungnya lagi. 

"Err.. Zah.. Zahran.." 

Dia merenungku lama, lalu tersenyum lagi. 

foto hiasan ~ sumber

“Marilah Zahran ikut aku pulang. Rumahku tidak jauh dari sini. Tak elok dibiarkan orang asing bersendiri. Kalau lapar, makan. Kalau penat, berehat. Kampung ini.. terbuka untuk sesiapa yang jujur langkahnya.” Tuturnya lembut, tersusun. Lenggok bahasa orang lama yang pernah aku dengar dalam filem-filem klasik di kaca televisyen. 

Aku termangu. Dunia ini terasa kabur, seakan mimpi. Tapi tangan Pak Andak yang menyentuh bahuku terasa benar. Hangat. Manusia. Ya, manusia.. 

“Baiklah, Pak Andak…” kataku perlahan. 

Aku melangkah keluar dari surau lalu mengikuti langkahnya. Dan tanpa aku sedar, aku telah melangkah masuk ke dalam sejarah. 

Bersambung part 2..

Saturday, 11 October 2025

Duduk di Jeti Menghadap Sungai

 

Aku duduk di hujung jeti kayu yang dah sedikit lusuh, tapi masih kukuh menampung badan. Angin petang berhembus perlahan, bawa sekali bau air sungai yang sejuk dan nyaman. Sungai di hadapan mengalir tenang, macam ada cerita rahsia yang dibisikkan bersama riak-riak kecil di permukaan. 

Burung-burung sesekali melintas, suaranya jadi latar, seolah-olah irama untuk suasana yang damai. Aku pandang jauh ke hujung sungai, di mana cahaya matahari jatuh berkilauan, macam taburan emas atas permukaan air. Indah sungguh. 

Di jeti ni, masa terasa lambat. Fikiran pun jadi ringan, macam hanyut ikut arus sungai. Tak ada beban, tak ada hiruk-pikuk, cuma aku, angin, dan air yang setia mengalir tanpa henti. Duduk di jeti sambil termenung begini, rasa macam dunia luar tak penting,  yang ada cuma detik ini, penuh ketenangan.

Alhamdulillah.. 

Friday, 10 October 2025

Salam Jumaat: Sibuk, Tetapi Biarlah Ada Nilai di Sisi-Nya

'foto hiasan ~ sumber FB'

Dalam hidup ini, kita memang tidak pernah sunyi daripada kesibukan. Hari-hari kita dikejar masa, ditarik tanggungjawab, dipikul amanah. 

Namun, sibuk itu bukan alasan untuk kosong jiwa. Sibuk kita biarlah bererti. Sibuk kita biarlah membawa pahala. Sibuk kita biarlah mendekatkan diri kepada-Nya. 

Kerana apa guna sibuk yang hanya menambah resah, jika tidak menambah dekat dengan Allah? 

Biarlah tangan penat bekerja, asalkan hati tetap ingat kepada Pencipta. Biarlah langkah kita jauh mencari rezeki, asalkan arah tetap menuju redha Ilahi. 

Sibuk itu indah.. jika setiap lelah ditukar menjadi ibadah.

Thursday, 9 October 2025

Air yang mengalir ke hilir tidak mungkin kembali ke hulu..

Apabila usia semakin meniti senja, kita mula sedar bahawa peluang untuk duduk semeja bersama rakan-rakan lama kian menyusut. Dahulu, setiap hari diisi dengan gelak tawa kawan sekolah, gurau senda di kantin, atau cerita panjang sewaktu menunggu loceng berbunyi. Kemudian, ketika dewasa, kita sama-sama bergelumang di tempat kerja, berkongsi penat lelah mencari rezeki. 

Namun, masa bergerak tanpa kompromi. Seorang demi seorang membawa haluan sendiri. Ada yang jauh diperantauan, ada yang disibukkan keluarga, ada juga yang telah pergi mendahului kita. Lalu pertemuan semakin jarang, hanya sesekali jika ada undangan kenduri atau pertemuan kecil yang sukar diatur. 

Kerana itulah, apabila ada peluang untuk bersua kembali, rebutlah ia. Duduklah walau seketika, biar kopi sejuk di meja, asalkan hati kembali hangat dengan kenangan yang tidak pernah pudar. 

Air yang mengalir ke hilir tidak mungkin kembali ke hulu. Begitulah juga kehidupan, waktu yang pergi tidak akan berpatah semula. Yang ada hanyalah ruang kecil yang Tuhan pinjamkan untuk kita saling mengikat kembali silaturahim sebelum tirai kehidupan ditutup. 

Dan pada saat itu, kita akan tersenyum, kerana pernah menghargai kawan-kawan lama yang pernah berjalan seiring di sisi kita, walau hanya sekejap dalam perjalanan panjang bernama kehidupan.

Wednesday, 8 October 2025

Malam yang damai, jiwa yang rindu

'malam yang damai di Kuala Sat'

Malam di kampung turun perlahan. Bulan separa penuh memantul di permukaan parit kecil, airnya berkilau bagaikan perak. Suara cengkerik jadi muzik latar, bertingkah dengan bunyi katak di bendang. Dari dapur rumah kayu, tercium bau kayu api dan kopi panas yang sedang direneh. 

Dari surau berhampiran, kedengaran suara anak-anak mengaji, sayup tapi menusuk hati. Alunan mereka terhenti-henti, kadang salah, lalu ditegur lembut oleh guru tua yang sabar. Suara itu bergema di malam sunyi, seakan zikir yang membalut desa dengan ketenangan. 

Orang tua duduk di pangkin, berbual hal dunia, ada juga yang hanya diam menikmati damai malam. Sesekali bunyi motor buruk lalu di jalan tanah merah, hilang ditelan gelap. 

Di langit, bintang bertaburan, seolah menulis rahsia yang hanya difahami jiwa yang rindu. Malam kampung begini, membuat hati terasa dekat dengan kenangan, dan lebih dekat dengan Tuhan.

Berdamai Dengan Takdir, Bersahabat Dengan Ujian

foto hiasan (sumber)

Ada waktunya kita merancang seindah pelangi, namun hujan tetap turun tanpa henti. Ada ketika kita menggenggam harapan sekuat tenaga, namun takdir memilih jalan yang berbeza. Di situlah kita belajar, bahawa hidup bukan tentang memaksa segalanya berlaku mengikut kehendak kita, tetapi tentang berdamai dengan apa yang telah Allah aturkan. 

Berdamai dengan takdir bukan bererti menyerah kalah, tetapi menerima dengan hati yang redha. Kerana setiap yang tersurat, pasti ada hikmah yang tersirat. Air mata yang menitis hari ini mungkin benih ketabahan esok hari. Kehilangan yang merobek jiwa, mungkin membuka pintu bahagia yang lebih bermakna. 

Dan ujian.. ia bukan musuh yang harus dibenci. Ujian adalah sahabat yang menguatkan. Ia datang bukan untuk menghancurkan, tetapi untuk mendidik hati agar lebih tabah, lebih sabar, lebih bergantung kepada Tuhan. Seperti besi yang ditempa api, jiwa juga ditempa derita agar menjadi lebih bernilai. 

Maka jangan gentar dengan takdir, jangan lari dari ujian. Peluklah keduanya dengan jiwa yang percaya. Kerana di hujung segala luka, ada penawar. Di balik setiap kepayahan, ada janji kemudahan. Dan di setiap perjalanan yang penuh duri, ada 'tangan' Tuhan yang sentiasa memimpin kita menuju jalan kembali. 

Berdamai dengan takdir, bersahabat dengan ujian, itulah seni hidup seorang hamba. Dan di situlah kita temui, bahawa bahagia sejati bukan pada hidup tanpa derita, tetapi pada hati yang mampu redha.

Saturday, 4 October 2025

Hidup Ini Perjalanan, Bukan Persinggahan Semata

foto hiasan ~ sumber

Kita sering berlari mengejar masa, hingga lupa bahawa dunia ini bukanlah destinasi, tetapi hanya persinggahan sementara. 

Jangan biarkan langkah kita kosong. Setiap kerja, setiap kata, setiap gerak, biarlah ada makna, biarlah ada bekas di sisi Tuhan. 

Kalau hidup hanya untuk dunia, kita akan letih tanpa arah. Tetapi jika hidup untuk akhirat, setiap penat menjadi hadiah, setiap lelah menjadi pahala, setiap titisan air mata menjadi doa. 

Ingatlah, jalan ini panjang.. tetapi penghujungnya indah bagi yang melangkah dengan hati yang benar.

Friday, 3 October 2025

Jangan Gundah, Jangan Menyerah… Saya Ada DIA

(foto hiasan) konvoi Global Sumud Flotilla

Hidup ini ibarat lautan yang luas. Kadang tenang mempesona, kadang bergelora tanpa diduga. Ada waktu kita berdiri tegak di puncak kejayaan, ada masa pula kita tersungkur dalam lembah ujian. Hati menjadi gundah, jiwa terasa lelah, dan seakan tiada lagi cahaya untuk menerangi langkah. 

Namun, dalam setiap kelam itu.. jangan sekali-kali menyerah. Kerana kita tidak pernah benar-benar sendiri. Saat manusia berpaling, saat dunia seakan menutup pintu, ada Dia, Tuhan yang sentiasa mendengar, sentiasa dekat, sentiasa bersama. Dialah tempat segala keluhan ditumpahkan. Dialah yang menguatkan ketika kita hampir rebah. Dialah yang menyalakan harapan walau secubit, sehingga hati kembali yakin bahawa esok masih ada sinar. 

Jangan gundah, kerana duka bukan untuk selamanya. Jangan menyerah, kerana kekuatan tidak datang dari diri kita semata-mata, tetapi dari pergantungan pada Yang Maha Esa. Saat tangan terangkat dalam doa, saat lidah menyebut nama-Nya dengan penuh pengharapan, di situlah lahir kekuatan yang tidak mampu dibeli oleh dunia. 

Hidup ini bukan sekadar perjalanan mencari bahagia, tetapi perjalanan mengenal siapa yang mencipta bahagia. Maka, biarlah badai datang menguji, biarlah luka singgah di hati. Selagi kita yakin bahawa “saya ada DIA”, selagi itu kita akan terus mampu melangkah, setapak demi setapak, menuju cahaya yang abadi.

Thursday, 2 October 2025

Erti Hidup Dengan Memberi

'Relawan kami di bumi Gaza ~ foto hiasan'

Hidup ini bukan tentang berapa banyak yang kita kumpul, tetapi tentang berapa banyak yang kita kongsi. 

Ketika tangan menadah, kita menjadi penerima. Tetapi ketika tangan menghulur, kita menjadi insan yang hidup. Kerana pada memberi, hati dibasuh dari sifat tamak, jiwa ditinggikan dengan rasa ikhlas. 

Memberi tidak semestinya harta. Kadang ia senyuman yang menghapus duka, kata-kata yang menyalakan semangat, atau doa yang terbit dalam sunyi malam. 

Hidup terasa sempit bila segalanya tentang diri sendiri, namun lapang dan indah bila kita belajar berkongsi. Seperti matahari yang tidak pernah meminta balasan, namun tetap memancarkan cahaya setiap hari. 

Maka, hiduplah dengan memberi. Kerana di situlah rahsia bahagia, dan di situlah sebenar-benar erti sebuah kehidupan.