![]() |
'Senja di desaku nan permai' |
Senja turun perlahan di kampung. Langit di ufuk barat dilukis dengan warna jingga, merah, dan ungu, seperti lukisan yang Tuhan bentangkan setiap hari untuk mata yang mahu memandang serta hati yang mahu berfikir. Angin membawa bau tanah yang lembap, sementara unggas mulai memanggil pasangan di tepi semak menerung.
Di tangga rumah kayu, aku berlari kecil sambil ketawa, tak sedar kaki tersalah langkah. Tubuhku terhumban, lengan kiri menghentak anak tangga. Sakitnya menyentak nafas, air mata pun jatuh tanpa diundang. Perlahan-lahan lengan kecilku mula menerbit lebam. Rasa pedih memanjat ke hati.
Emak muncul, wajahnya tenang walau matanya resah. Dipeluknya aku, dikeluarkan sapu tangan dari saku baju lusuhnya, dituamkan pada lebam di lenganku. Hangat sapu tangan itu, bercampur dengan hangat kasihnya, menyedapkan rasa pedih yang baru sebentar tadi menikam. Seakan setiap sentuhan itu menenangkan lebih dari ubat dan kata-kata.
“Tu… tengok,” emak menunjuk ke pohon jambu air di tepi laman. Seekor burung merbah melompat dari satu ranting ke ranting lain, kemudian mengepak sayap, terbang di udara senja. “Burung tu Tuhan yang jadikan… burung boleh terbang.”
Aku yang masih tersedu kecil berkata, “Mak… saya pun mahu terbang macam burung tu.”
Emak ketawa kecil, ketawa yang bunyinya seperti lagu yang tak pernah jemu diulang. Dia memeluk aku rapat-rapat. Di situ, di dadanya, dunia terasa aman. Itulah syurga dunia yang tak mungkin aku lupa.
4 comments:
Ibu tiada gantinya, ada satu yang saya ingat masa umur 6 tahun, Etuza dimandikan ibu di sungai..itulah kali terakhir Etuza dimandikan ibu dan selepas itu sendiri dah mandi . Umur 78 ibu saya meninggal dunia..Hebat ibu ustaz, sangat menyayngi.
Umur ustaz masa tu dah berapa umur?
salam ustaz moga afiat sejahtera...indah sekali catatan kenangan malar segar tiasa
kasih ibu tiada tandingan..
Post a Comment