Sahabat Sejati

Wednesday, 5 April 2023

Mencabut dan Mewarnakan Uban

foto hiasan (sumber)

 SOALAN 

Apakah hukum mencabut uban? 

JAWAPAN 

Menurut mazhab Syafie, makruh seseorang itu mencabut ubannya. Rasulullah S.A.W bersabda:

 لاَ تَنْتِفُوا الشَّيْبَ مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَشِيبُ شَيْبَةً فِي الإِسْلاَمِ إِلاَّ كَانَتْ لَهُ نُورًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ 

Maksudnya: “Janganlah kalian mencabut uban. Tidak ada seorang muslim yang mana tumbuh padanya sehelai uban di dalam islam melainkan uban tersebut akan menjadi cahaya buatnya pada hari kiamat.” 

Manakala dalam riwayat yang lain Rasulullah S.A.W menyatakan:

 لاَ تَنْتِفُوا الشَّيْبَ مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَشِيبُ شَيْبَةً فِي الإِسْلاَمِ إِلاَّ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ بِهَا حَسَنَةً وَحَطَّ عَنْهُ بِهَا خَطِيئَةً 

Maksudnya: “Tidak ada seorang muslim yang mana tumbuh padanya sehelai uban di dalam islam melainkan Allah akan menuliskan untuknya dengan uban tersebut satu kebaikan dan Allah akan memadamkan kesalahannya dengan uban tersebut.”[1] 

Imam al-Nawawi menyatakan kemakruhan mencabut uban sebagaimana yang dipegang oleh ulama’ Syafi’iyyah, dan ditegaskan oleh al-Ghazali al-Baghawi dan selainnya. Samada uban di janggut atau kepala, hukumnya tetap makruh.[2]  

Dalam sebuah riwayat daripada Saidina Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu bahawa beliau berkata:

 يُكْرَهُ أَنْ يَنْتِفَ الرَّجُلُ، الشَّعْرَةَ الْبَيْضَاءَ مِنْ رَأْسِهِ وَلِحْيَتِهِ 

Maksudnya: “Dimakruhkan bagi seorang lelaki itu mencabut rambut yang putih daripada kepalanya dan juga janggutnya.”[3] 

Imam Al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini berkata: “Kata para ashab kami (al-Syafi’iyyah) dan juga para ashab Malik, hukumnya adalah makruh dan ia tidaklah haram.”[4] 

Jika demikian hukumnya, adakah boleh mewarnakan uban? Ia dibolehkan berdasarkan sebuah riwayat daripada Jabir Bin Abdillah Al-Ansari radhiyallahu ‘anhuma bahawa ketika Abu Quhafah dibawa pada hari pembukaan kota Makkah, maka keadaan rambutnya sudah terlampau putih. Maka Nabi S.A.W bersabda:

 غَيِّرُوا هَذَا بِشَىْءٍ وَاجْتَنِبُوا السَّوَادَ 

Maksudnya: “Ubahlah ini (uban) dengan sesuatu dan jauhilah warna hitam.”[5] 

Hadis di atas jelas menunjukkan keharusan mengubah warna putih uban kepada warna selain hitam seperti dengan menggunakan inai dan perkara-perkara lain yang halal. Manakala hadis di atas juga jelas menunjukkan keharaman mengubah warna uban kepada warna hitam dan inilah pendapat yang terpilih di dalam mazhab kita, sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi. Wallahu a’lam.

[1] Riwayat Abu Daud, no. 4202 

[2] Al-Majmūʿ Sharḥ al-Muhadhdhab, 1/292 

[3] Riwayat Muslim, no. 2341 

[4] Sharḥ al-Nawawī ʿalā Muslim, 15/487 

[5] Riwayat Muslim, no. 2102)

1 comments:

paridah said...

assalam moga ustaz sht sjhtra bersama fmili tksh perkongsian ilmu

Post a Comment