Sahabat Sejati

Tuesday 21 June 2022

Syukurlah..

Assalamualaikum warahmatullah.

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Allah SWT kerana masih memberika ruang dan peluang untuk bertemu. Walaupun sekadar di alam maya, namun ia juga termasuk dalam nikmat yang seharusnya disyukuri, 

Allah SWT menganugerahkan manusia pelbagai nikmat yang sempurna sama ada zahir atau batin. Kemudian Allah SWT memerintahkan kita supaya bersyukur kepada-Nya. 

Sesungguhnya martabat syukur begitu tinggi sehinggakan Nabi Sulaiman berdoa kepada Allah SWT: “Wahai Tuhanku, ilhamkan aku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku.” (Surah An-Naml :19).

Syukur merupakan pengiktirafan terhadap kurniaan Tuhan dengan memujinya. Hakikatnya menzahirkan atas kesan nikmat pada lidah, hati dan anggota badan di mana lidah memuji, hati mengiktiraf dan anggota badan melakukan mengikut apa yang diredhai-Nya. (Lihat Madarij al-Salikin, 2/244) 

Syukur pada istilah ialah seorang hamba menggunakan semua nikmat kurniaan Allah kepadanya untuk mentaati-Nya. (Lihat Hasyiyah al-Syabramalisi, 1/22) 

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Dhuha: 

 وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ 

Maksudnya: Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya. 

Imam al-Qurtubi dalam mentafsirkan ayat ini berkata: “Sebarkanlah apa yang Allah SWt kurniakan kepada kamu dengan perasaan syukur dan pujian kepada Allah. Menyebut-nyebut pelbagai nikmat Allah dan mengiktiraf nikmat tersebut adalah satu bentuk kesyukuran.” (Lihat al-Jami' li Ahkam al-Quran, 20/102) 

Ibn Kathir berkata: Iaitu, Kami katakan kepada mereka: "Beramallah kamu sebagai tanda bersyukur atas segala nikmat yang diberikan kepada kamu dalam agama dan dunia. Perkataan " شُكْرًا" adalah masdar yang bukan dari fi'il (اعْمَلُوا) atau ia adalah dalam bentuk maf'ul lahu (مفعول له). Atas asas kedua-dua taqdir tersebut, menunjukkan bahawa syukur boleh dilakukan dengan perbuatan serta perkataan dan niat. 

Abu Abd al-Rahman al-Hubuli berkata: “Solat adalah syukur, puasa adalah syukur dan setiap kebaikan yang dikerjakan kerana Allah SWT adalah syukur. Seafdhal-afhal syukur adalah pujian.” 

Beliau dan Ibnu Abi Hatim meriwayatkan bahawa Muhammad bin Ka'ab al-Qurazhi berkata: “Syukur adalah takwa kepada Allah SWT dan beramal soleh.” Ini dikatakan bagi orang yang sedang berusaha melakukan perbuatan. Demikian juga keluarga Daud AS, mereka menunjukkan rasa syukur kepada Allah SWT dengan perkataan dan perbuatan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/500) 

Rasulullah SAW bersabda:

 أَحَبُّ الصَّلاَةِ إِلَى اللَّهِ صَلاَةُ دَاوُدَ عَلَيْهِ السَّلاَمُ ، وَأَحَبُّ الصِّيَامِ إِلَى اللَّهِ صِيَامُ دَاوُدَ، وَكَانَ يَنَامُ نِصْفَ اللَّيْلِ وَيَقُومُ ثُلُثَهُ وَيَنَامُ سُدُسَهُ ، وَيَصُومُ يَوْمًا وَيُفْطِرُ يَوْمًا 

Maksudnya: “Solat yang paling dicintai oleh Allah adalah solat Nabi Daud AS. Puasa yang paling dicintai oleh Allah ialah puasa Nabi Daud AS. Beliau tidur setengah malam, kemudian bangun (solat) sepertiga malam dan tidur lagi seperenam malam. Beliau berpuasa sehari dan tidak berpuasa sehari (secara berselang seli). Riwayat al-Bukhari (1131) dan Muslim (1159) 

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, Nabi SAW berdiri solat (malam) sehingga pecah kedua kaki Baginda. Lalu beliau bertanya kepada Baginda SAW: “Kenapa engkau lakukan ini, hai Rasulullah? Bukankah Allah SWT telah mengampunkan dosamu yang telah lalu dan akan datang? 

Lalu Baginda SAW menjawab:

 يَا عَائِشَةُ أَفَلاَ أَكُونُ عَبْدًا شَكُورًا 

Maksudnya: “Wahai Aisyah! Tidakkah engkau menyukai aku menjadi hamba yang bersyukur.” Riwayat al-Bukhari (4837)

Semoga Allah SWT menjadikan kita daripada kalangan hamba-hamba-Nya yang bersyukur. Amin

2 comments:

paridah said...

Assalam moga ustaz n famili afiah sjhtera Alhamdullillah perkongsian ilmu

Fida Z Ein said...

Alhamdulillah...

Post a Comment