Sahabat Sejati

Monday 11 January 2021

Selamat berehat sahabat baikku..

Almarhum Ustaz Yusof Kemboja

Basahnya bumi pagi ini bersama basahnya perasaan saya. 

Saat mahu keluar bertugas pagi tadi, saya dikejutkan dengan berita pemergian sahabat baik, Ustaz Yusof Kemboja. Entahlah, antara percaya dan tidak saya membaca susunan aksara yang dihantar melalui aplikasi whatsapp. 

Menurut Ustaz Ghazali, sahabat almarhum yang juga dari Kemboja, Ustaz Yusof meninggal di dalam tidur di rumahnya. Memang almarhum ada menghidap sakit jantung. Mungkin itulah menjadi penyebab kematiannya, wallahu a`lam. 

Almarhum sangat rapat dengan jemaah masjid di tempat saya. Menjadi imam jemputan solat tarawih sejak sekian lama. Seingat saya lebih dari 10 tahun. Mengapa saya katakan rapat? Selain telah lama menjadi imam tarawih, perbelanjaannya ke Mesir juga ditampung oleh jemaah masjid kami. Bahkan salah satu akaun banknya juga atas nama salah seorang jemaah di sini. Begitulah rapatnya. 

Ustaz Yusof Kemboja, seorang sahabat yang sangat baik. Sungguh lembut, suaranya, perwatakannya. Saya percaya setiap orang disekeliling merasa sangat selesa apabila bersamanya. Almarhum memiliki suara yang merdu. Seringkali almarhum mengalunkan surah Yusuf di saat mengimami solat isyak. Selepas ini tiada lagi kedengaran suara merdunya mengalunkan bacaan di dalam solat tarawih. 

Kali terakhir kami bertemu pada tahun 2019, ketika almarhum bertugas sebagai imam tarawih di masjid kami. Saya juga mempelawa almarhum untuk berkuliah di surau taman perumahan saya sekaligus membuat kutipan derma untuk madrasahnya di Kemboja. Tahun 2020, Covid-19 melanda, menyebabkan almarhum tidak dapat datang ke sini.  Namun, seringkali almarhum bertanya khabar melalui group whatsapp masjid kami.

Siapakah pula yang akan menyambung usahanya? Madrasah, kebun gajus yang menjadi penyumbang dana buat madrasahnya, ibadah korban dan aqiqah di Kemboja, bantuan untuk faqir miskin. Moga ada adik-beradiknya atau sahabatnya menyambung usaha tersebut. 

Benarlah, perpisahan disebabkan kematian adalah sesuatu yang perit untuk diterima. Apatah lagi kematian yang tidak disangka-sangka, akan berbekas kesedihan mendalam dan berpanjangan. 

Berehatlah sahabat sehingga waktu yang ditentukan. Kami pasti menyusul jua.. 



Solat jenazah dibanjiri jemaah

4 comments:

Nor Azimah Ali said...

Innalillahh...orang baik Allah sayang.
Semoga Allah hantar org yg terbaik utk meneruskan perjuangannya.

Warisan Petani said...

Al- Fatihah
Semoga rohnya dicucuri rahmat.

paridah said...

Assalam moga ustaz n famili sihat sejahtera...bertemu riang gembira...berpisah amat sakit dirasakan..al fatihah

norhidana said...

inalillah , mudahnya dia pergi ya ustaz...
alfatihah buat arwah, betapa ramai yang sayang penuh masjid ramai mengiringi solat jenazahnya

Post a Comment