Sahabat Sejati

Tuesday 8 December 2020

Dahsyatnya goncangan

foto hiasan ~ sumber

Allah SWT berfirman: “Hai manusia, bertaqwalah kepada Tuhanmu; sesungguhnya goncangan hari kiamat adalah suatu kejadian yang sangat besar (dahsyat). Pada hari (ketika) kamu melihat goncangan itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya dan gugurlah kandungan segala wanita yang hamil, dan kamu lihat manusia dalam keadaan mabuk, padahal sebenarnya mereka tidak mabuk, akan tetapi azab Allah itu sangat keras.” (al-Hajj: 1-2) 

Tidakkah menimbulkan kegerunan di hati tatkala mendengar firmah Allah ini. Menerusi ayat 1-2 dari surah al-Hajj ini Allah SWT menceritakan tentang peristiwa besar iaitu kiamat. Allah SWT menyeru kepada semua manusia agar bertaqwa kepada-Nya, diikuti dengan penegasan dengan kalimah: Sesungguhnya (Inna) peristiwa kiamat sangat dahsyat.

Goncangan pada hari tersebut (Kiamat) itu amatlah dahsyat sehinggakan manusia tidak dapat berdiri tegak. Dan goncangan itu akan berterusan tidak berhenti. (Dalam satu hadis riwayat Abu Hurairah disebut selama 40 - Wallahua`lam samada ia bermaksud hari, bulan atau tahun) 

Tentunya ini tidak sama seperti gempa bumi kerana gempa bumi hanya berlaku sekejap sahaja (beberapa saat) tetapi pada hari Kiamat nanti gempa bumi itu akan berterusan sampailah bumi ini hancur. Bayangkan beberapa saat sahaja bumi ini dilanda dengan gempa bumi berapa banyak kerosakan yang dilakukannya? Tetapi kalau goncangan itu tidak berhenti, bagaimana? Tentu akan hancur sehancurnya bumi ini dan memang itulah yang akan terjadi.  

Buya Hamka menyebut di dalam Tafsir al-Azhar: “Demikianlah Allah menggambarkan kedahsyatan pada hari tersebut. Perhatikan bagaimana kasih sayang yang tergambar pada wajah seorang ibu ketika menyusukan bayinya. Seluruh kasih sayangnya tertumpah kepada anak yang sedang disusukan. Begitulah seluruh perasaan setiap ibu di muka bumi ini. Namun tatkala datangnya goncangan kiamat yang dahsyat itu, anak yang sedang enak menyusu boleh sahaja terlepas dari tangannya. Kerana ketakutan menghadapi goncangan hari kiamat tersebut melebihi dari kecintaan kepada anaknya. Begitu juga dengan wanita yang hamil yang gugur kandungannya kerana amat terkejut. Bagaimana tidak terkejut, jika rumah tempat tinggal berantakan runtuh. Pohon-pohon kayu yang besar gagah terhayun-hayun. Termasuk bumi yang memuntahkan isinya. Bagaimana tidak terkejut?” 

Disebabkan gegaran yang sangat dahsyat itu juga, seluruh makhluk yang berada di atas muka bumi bertempiaran ke sana-ke mari. Mereka terhoyong-hayang bagaikan orang mabuk, sedangkan mereka tidak mabuk. Sebaliknya peristiwa yang berlaku dengan gegaran yang kuat dan dahsyat itu amat mengejutkan, laku mereka tidak dapat berfikir dengan sempurna dan kebingungan persis orang yang sedang mabuk. 

Demikianlah gambaran kiamat. Meskipun gambarannya itu tidak mungkin dilihat dengan mata kepala, tetapi melalui firman-firman Allah SWT di dalam kitab-Nya akan membuka mata hati agar beriman kepada hari kiamat dengan sebenar-benarnya. Kepada Allah jua kami memohon perlindungan. 

“Sesungguhnya hari kiamat pasti akan datang, tidak ada keraguan tentangnya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak beriman (terhadap hari akhirat).” (al-Ghafir: 59)

4 comments:

Intan Sudibjo said...

semoga hari kiamat masih jauh, saya belum menikah soalnya hehe

Nor Azimah Ali said...

Bersedia dengan iman dan taqwa.

Warisan Petani said...

Kita kena percaya, kiamat pasti berlaku.

TukangKebun said...

Percaya kepada hari kiamat.

Menarik bila terfikir zaman tamadun purba dahulu macam di benua Selatan America dan lain2, ada natives tribe yang percaya kepada end of the world.

Post a Comment