Sahabat Sejati

Saturday 28 November 2020

HUKUM MENGUBAH FOTO WAJAH MENGGUNAKAN FACEAPP

SOALAN: 

Assalammualaikum, Saya ingin bertanya pandangan berkaitan aplikasi mengubah wajah (FaceApp). Aplikasi tersebut boleh mengubah wajah kepada tua mahupun muda dan menukar kepada berlainan jantina. Hal tersebut semakin tular di mesia sosial sejak akhir-akhir ini. Persoalannya, apakah hukum mengubah wajah melalui aplikasi (FaceApp). Mohon pencerahan, Terima Kasih. 

RINGKASAN JAWAPAN: 

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad saw, ahli keluarga baginda saw, sahabat baginda saw serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda saw. 

-Mengubah foto wajah menggunakan aplikasi wajah (FaceApp) dan menyebarkannya adalah dilarang. 

-Penggunaan aplikasi FaceApp seolah menggalakkan mengubah ciptaan Allah walaupun bukan secara hakikat fizikal. Justeru, larangan tersebut bagi membendung kecenderungan perbuatan mengubah ciptaan Allah secara hakikat berdasarkan kaedah sadd al-zariah (menutup pintu kerosakan). 

-Fungsi aplikasi tersebut yang mampu menukar foto wajah kepada berlainan jantina boleh mengelirukan identiti sebenar. Bahkan foto gambar tersebut mengaibkan diri sendiri sekaligus boleh menjatuhkan maruah. 

-Adapun, mengubah kepada wajah tua mahupun muda turut dilarang kerana mempunyai unsur penipuan terhadap fitrah kejadian asal serta memperdayakan manusia terhadap wajah yang tidak menunjukkan keaslian. Bahkan, meramal wajah tua adalah perkara yang tidak dapat dipastikan kebenarannya kerana manusia tidak dapat mengetahui kejadian pada masa akan datang. 

HURAIAN JAWAPAN:

FaceApp ialah penyuntingan foto dan video untuk iOs dan Android yang dibangunkan oleh Wireless Lab. Aplikasi ini menghasilkan transformasi wajah manusia yang sangat realistik dalam gambar dengan menggunakan rangkaian saraf berdasarkan kecerdasan buatan. Aplikasi tersebut dapat mengubah wajah untuk menjadikan tersenyum, kelihatan lebih muda, kelihatan lebih tua atau menukar jantina wajah. [1] Berdasarkan penelitian kami, aplikasi tersebut menukar foto wajah wanita kepada wajah lelaki yang bermisai mahupun berjanggut serta berambut pendek. Sementara, foto wajah lelaki berubah menjadi wanita yang seakan wanita asli yang berambut panjang. Situasi tersebut boleh mengelirukan identiti kerana wajah bertukar secara total kepada berlainan jantina dan kelihatan sangat realistik. Selain itu, pemilik aplikasi juga boleh menggunakan foto sesiapa sahaja yang disimpannya untuk diubahsuai dan disebarkan bagi tatapan umum. Hal tersebut turut mengundang bahaya kerana boleh menyalahguna foto wajah orang lain serta mendedahkannya tanpa kebenaran. 

Secara umumnya, merujuk kepada fungsi aplikasi wajah (FaceApp) yang bertujuan untuk mengubah foto wajah. Ianya dilihat seperti mempersendakan firman Allah ﷻ yang melarang hamba-Nya mengubah fitrah ciptaan asal. Mengubah ciptaan Allah SWT bermaksud mengubah fitrah yang telah Allah SWT tetapkan pada makhluknya; sama ada daripada sudut agama atau penciptaan-Nya. Ini berdasarkan dalil-dalil berikut:

 فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ 

Maksudnya : Tetaplah atas fitrah Allah yang telah menciptakan manusia atas fitrah itu,Tidaklah patut ada sebarang perubahan pada penciptaan (fitrah) Allah itu. Surah al-Rum ( 30) 

Mengubah ciptaan Allah turut termasuk dalam tipu daya syaitan. Ini berdasarkan dalil berikut:

 وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللَّهِ 

Maksudnya: Dan aku (syaitan) akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah". Surah an-Nisa’ (119) 

Menurut Abu Jaafar al-Thabari Rahimallullah makna yang paling tepat mengubah ciptaan Allah فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللَّه ialah mengubah pada agama (Islam) kerana ayat lain memberi makna agama daripada surah al-Rum ayat 30. لا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ . Jika makna ayat demikian, maka perbuatan yang dilarang oleh Allah termasuk dalam mengubah ciptaan Allah. (Lihat al-Jaami’ al-Bayan ‘An Ta’wil Aayi al-Quran, al-Thabari (9/222). 

Seterusnya, bagi memperincikan hukum penggunaan FaceApp tersebut, kami membahagikan kepada dua perbahasan iaitu hukum mengubah foto wajah kepada berlainan jantina (tasyabbuh) dan hukum mengubah foto kepada wajah tua mahupun muda. 

Hukum menukar foto wajah kepada berlainan jantina melalui aplikasi FaceApp 

Hukum lelaki menyerupai wanita dan sebaliknya adalah haram. 

Berbalik kepada soalan yang diajukan berkisar isu menukar foto wajah kepada berlainan jantina hanya melalui aplikasi FaceApp. Maka, kami berpandangan menukar foto wajah berlainan jantina walaupun hanya sekadar gambar tanpa melibatkan perubahan fizikal secara langsung adalah dilarang. Hal ini kerana penggunaan aplikasi tersebut hanya sia- sia selain mengaibkan diri sendiri kerana menzahirkan foto wajah yang berlainan jantina. 

Allah ﷻ melarang mencela diri (mengaibkan) sebagaimana Firman-Nya:

 وَلا تَلمِزوا أَنفُسَكُم 

 Maksudnya: dan janganlah setengah kamu menyatakan celaan (keaiban) setengahnya yang lain. Surah al-Hujurat ( 11) 

Celaan pada ayat tersebut turut membawa maksud keaiban. Imam al-Thabari Rahimahullah menyatakan celaan (keaiban) boleh berlaku melalui tangan, mata, lisan dan isyarat. Sementara maksud “أَنفُسَكُم” merupakan peringatan bagi orang berakal supaya tidak akan mengaibkan dirinya sendiri, Begitu juga mengaibkan orang lain seperti mengaibkan diri sendiri. (Rujuk al-Jaami’ li-Ahkam al-Quran, al-Qurtubi ( 16/327). 

Seterusnya, menyebarluas foto wajah yang telah ditukar jantina untuk tatapan umum telah mengelirukan hakikat identiti sebenar mereka. Bahkan,ia turut memberi kesan kepada mereka yang melihat kerana dikhuatiri mengundang tohmahan daripada masyarakat. Umat Islam perlu sedaya upaya mengelakkan diri daripada menimbulkan sebarang fitnah terhadap dirinya. Ini juga berdasarkan satu kaedah:

 اتَّقُوا مَواضِع التُّهَمِ 

Maksudnya: “Berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan”. 

Seterusnya, implikasi menyebarluas foto yang diubahsuai untuk tatapan umum dibimbangi akan mempengaruhi masyarakat sekaligus menjadi trend ikutan terhadap perkara yang sia-sia. 

Selain itu, penggunaan aplikasi menukar foto wajah berlainan jantina secara tidak langsung menunjukkan seolah tindakan tersebut menyokong dan menggalakkan perbuatan tasyabbuh (menyerupai berlainan jantina) seperti golongan “ mak nyah” mahupun “ tomboy” tanpa kita menyedarinya. Sewajarnya, masyarakat Islam perlu memainkan peranan untuk memberi kesedaran membentuk semula keperibadian identiti golongan tersebut agar kembali kearah fitrah kejadian asal, bukannya berjinak-jinak terhadap mukadimah untuk menggalakkan perbuatan tasyabbuh walaupun bukan secara hakikat fizikal. 

Firman Allah SWT:

 وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ 

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Surah al-Ma’idah (2) 

Seterusnya, larangan penggunaan aplikasi tersebut kerana dibimbangi ianya sebagai mukadimah untuk terjerumus kekancah tasyabbuh secara fizikal walaupun pada awalnya hanya sekadar permainan suka-suka. Maka penggunaan aplikasi tersebut dilarang bagi menyekat kecenderungan naluri individu kearah penyerupaan (tasyabbuh) mengubah jantina yang sebenar. Hal tersebut berdasarkan kaedah sadd al-zarai’ untuk mencegah perkara-perkara yang boleh membawa kepada yang haram. Hal ini turut bertepatan kaedah fiqh berikut  

ما أدى إلى الحرام فهو حرام M

Maksudnya: Apa sahaja yang membawa kepada yang haram, maka ia haram. 

Hukum mengubah foto kepada wajah tua mahupun muda. 

Aplikasi wajah (FaceApp) juga boleh berfungsi untuk mengubah foto wajah menjadikan tersenyum, kelihatan lebih muda atau lebih tua. Sekiranya, foto wajah tersebut tersebar luas, maka perbuatan tersebut menyebabkan manusia terperdaya terhadap wajah yang bukan menunjukkan keaslian selain terdapat unsur penipuan. Amaran yang keras terhadap penipuan melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra, bahawa Nabi bersabda:

 وَمَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا 

Maksudnya: “Dan barangsiapa yang menipu kami maka bukanlah dia daripada kalangan kami.” Riwayat Muslim (101) 

Selain itu, aplikasi yang mengubah wajah tua seperti meramal kejadian penciptaan wajah manusia pada masa akan datang yang pastinya tidak mungkin dapat diketahui oleh semua manusia. Firman Allah SWT: 

  قُلْ لاَّ يَعْلَمُ مَنْ فِى السَّمَٰوَٰتِ وَالأَرْضِ الْغَيْبَ إِلاَّ اللهُ 

Maksudnya: Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara ghaib melainkan Allah! Surah al-Naml (65) 

Sehubungan itu, mengubah wajah kepada kepada berlainan jantina mahupun kepada wajah tua dan muda dengan penyuntingan daripada aplikasi tersebut telah menafikan fitrah penciptaan asal berdasarkan kehendak-Nya. Setiap penciptaan-Nya pasti mempunyai hikmah yang tersendiri. Firman Allah SWT

 لَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ فِیۤ أَحۡسَنِ تَقۡوِیم 

Maksudnya: "Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya." Surah At-Tin: (4) 

Penutup 

Konklusinya, setelah meneliti dalil dan hujah yang dibentangkan, penggunaan aplikasi menukar foto wajah (FaceApp) adalah dilarang. Larangan tersebut kerana terdapat unsur penipuan terhadap wajah yang bukan asli, mengelirukan identiti sebenar dan mengaibkan individu tersebut sekaligus boleh menjatuhkan maruah dan ancaman fitnah. Kami akhiri dengan menyatakan pesanan terhadap masyarakat agar bijak memilih sebarang aplikasi teknologi untuk perkara-perkara yang bermanfaat. Namun, penggunaan aplikasi FaceApp ternyata hanya sia-sia dan lebih mengundang mudarat kepada agama. Justeru, kami menegaskan agar umat Islam tidak menggunakan aplikasi tersebut apatah lagi menyebarluas foto wajah yang telah diubahsuai mahupun menukar gambar wajah kepada berlainan jantina. 

Semoga kita dapat menjalani kehidupan mengikut neraca syariah yang sebenar. Ameen

3 comments:

paridah said...

Assalam moga ustaz n famili sihat sejahtera pencerahan ustaz ditil n jelas tksh. godaan syaitan pelbagai cara moga xterpengaruh

PeRdU cINta said...

MasyaAllah. Terima kasih ustaz perkongsian. Sekadar suka-suka atau sementara apatah lagi lakukan perubahan tetap hukumnya tidak boleh. Jelas. Yang tidak tahu tak mengapa. Yang sudah tahu berhenti dan berubah.

Etuza said...

Infor sangat bermanfaat..terima kasih nasihat berguna

Post a Comment