Sahabat Sejati

Wednesday, 19 August 2020

Kembali bersiaran..


Assalamualaikum warahmatullah.

Setelah sekian lama tidak berkunjung ke pondok kecil abuikhwan ini, juga menyepi daripada mencoret sesuatu, akhinya pada malam tahun baru hijrah yang amat berkah ini Allah SWT memberikan keizinan untuk saya bersiaran kembali di blog kesayangan ini. Dengan kudrat dan iradat-Nya kita dapat lagi bersua di alam maya. Alhamdulillah.

Justeru, pertama-tamanya saya ingin mengucapkan selamat menyambut tahun baru hijrah 1442/2020 kepada semua sahabat-sahabat pengunjung pondok kecil abuikhwan ini. Mudah-mudahan hari-hari yang mendatang di tahun baru ini menjadi lebih baik daripada hari-hari yang ditinggalkan. 

Sememangnya, seorang insan yang berfikiran waras menginginkan hari-hari yang dilalui semakin bertambah baik pada kualiti hidupnya. Apa sahaja, baik dari sudut iman, amal, kelakuan, pergaulan dan sebagainya, semakin bertambah baik dan bertambah baik.

Kesibukan

Bermula Syawal yang lalu saya dan sahabat-sahabat Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang menghadapi kesibukan yang teramat. Seperti lazimnya, setiap tahun kami menguruskan pelaksanaan ibadah qurban dan aqiqah, waqaf al-Quran dan waqaf buku iqra'. 

Namun tahun ini keadaan menjadi sangat berbeza pengurusannya. Sebabnya, seperti yang sudah sedia maklum iaitu akibat musibah penularan pendemik covid-19. Banyak SOP dan norma baru yang terpaksa dipatuhi. Ekoran itu juga, pelaksanaan badal haji terpaksa dibatalkan.

Sepatutnya pada tahun ini saya dan beberapa sahabat dijadualkan ke India untuk menjayakan isi kebajikan ini. Sedang sahabat-sahabat yang lain ada yang akan ke Indonesia, Sudan, Chad, Sri Lanka, Uganda dan sebagainya. Tetapi semuanya terpaksa dibatalkan. Mujurlah tiket penerbangan belum ditempah lagi.

Walau demikian, semua misi tersebut perlu dilaksanakan juga walau apa cara sekalipun. Beberapa wakil kami di luar negara merayu agar dikirimkan juga haiwan korban (wang). Benar, lokasi yang dipilih adalah wilayah yang teramat dhaif. Ibaratnya tiada ibadah korban, maka tidak merasalah daging pada tahun tersebut. Ditambah lagi beberapa wilayah di India telah ditimpa musibah banjir yang teruk. 

Terlalu banyak kesulitan yang dihadapi. Jika kami tidak ke sana bagaimana wang mahu disampaikan. Kebiasaannya kami membawa sendiri wang tersebut. Mahu 'transfer' ke dalam akaun wakil di sana, oh amat dilarang. sangat merbahaya. Silap-silap boleh dicop dana pengganas!  

Akhirnya terpaksalah diusahakan dengan berbagai-bagai cara. Tidak dapat saya menceritakan dengan terperinci. Atas sebab-sebab kesibukan yang demikian, maka saya tiada kesempatan untuk berkunjung ke blog kesayangan ini dan juga menjenguk ke blog sahabat-sahabat.

Alhamdulillah, semuanya telah selesai dengan baik, biarpun menghadapi kesukaran ditahap yang tepu. Moga Allah SWT memberkati apa yang telah dilakukan. Terima kasih kepada para penyumbang semua.  

1 comments:

Warisan Petani said...

Salam maal hijrah 1442 H

Post a Comment