Sahabat Sejati

Monday 24 August 2020

KUCING JILAT TANGAN KETIKA SOLAT

 SOALAN:

Saya ada satu kemusykilan yaitu masa kita sedang mengerjakan solat lalu datang kucing menjilat tangan kita atau kaki kita adakah batal solat kita?
Adakah air liur kucing itu najis?
JAWAPAN:
Hukum air liur kucing adalah suci dan begitu juga suci air liur sekelian haiwan yang lain kecuali anjing dan babi.
Berkata Imam Nawawi :
واعلم انه لا فرق في العرق واللعاب والمخاط والدمع بين الجنب والحائض والطاهر والمسلم والكافر والبغل والحمار والفرس والفار وجميع السباع والحشرات بل هي طاهرة من جميعها ومن كل حيوان طاهر وهو ما سوى الكلب والخنزير وفرع أحدهما
Ertinya: “Ketahui olehmu sungguhnya tiada beza pada peluh dan air liur dan kahak dan air mata antara orang yang junub dan haidh dan yang suci dan muslim dan kafir dan baghal dan keldai dan kuda dan tikus dan sekelian haiwan buas dan sekelian haiwan yang melata bahkan ialah suci dari kesemuanya dan dari seklian haiwan itu suci melainkan anjing dan babi dan anak dari keduanya.” (Kitab Al-Majmu’)
Dan tersebut pada Kitab Al-Musu’atul Fiqhiyah:
وﻳﻘﻮل اﻟﺸﺎﻓﻌﻴﺔ إن ﻣﺎ اﻧﻔﺼﻞ ﻋﻦ ﺑﺎﻃﻦ اﻟﺤﻴﻮان ،. وﻟﻴﺲ ﻟﻪ اﺟﺘﻤﺎع واﺳﺘﺤﺎﻟﺔ ﻓﻲ اﻟﺒﺎﻃﻦ ، وإﻧﻤﺎ ﻳﺮﺷﺢ. رﺷﺤﺎ ﻛﺎﻟﻠﻌﺎب واﻟﺪﻣﻊ واﻟﻌﺮق واﻟﻤﺨﺎط ، ﻓﻠﻪ ﺣﻜﻢ. اﻟﺤﻴﻮان اﻟﻤﺘﺮﺷﺢ ﻣﻨﻪ ، إن ﻛﺎن ﻧﺠﺴﺎ ﻓﻨﺠﺲ ، وإﻻ. ﻓﻄﺎﻫﺮ.
Ertinya: “Dan berkata oleh ulamak-ulamak mazhab Syafie sungguhnya apa yang terpisah dari batin haiwan dan tidak berkumpul dan bersekali di dalam batin. Hanyalah ia air yang terbit sahaja seperti air liur dan air mata dan peluh dan kahak. Maka baginya mengikut hukum haiwan itu yang jika haiwan itu najis maka ia najis dan jika haiwan itu suci maka ia suci.”
Maka berbalik kepada soalan apabila seorang yang sedang solat lalu datang kucing menjilat anggota badannya atau pakaiannya nescaya tidaklah batal solatnya dari kerana air liur kucing itu adalah suci bukannya najis.
wallahua’lam

3 comments:

Galaksi Viral said...

Kucing haiwan kesayangan Rasullullah kan. huhu

paridah said...

Assalam moga ustaz n fmili sihat sejahtera Alhamdulillah penjelesan berilmu

sophea ◇ said...

terima kasih atas perkongsian ini , sebab saya pun bela banyak kucing kecik , time solat lah mereka nak berkerumun main

Post a Comment