Sahabat Sejati

Sunday, 5 July 2020

Tafsir ayat Surah al-An’am ayat 44

Firman Allah SWT:

فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُوا بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّى إِذَا فَرِحُوا بِمَا أُوتُوا أَخَذْنَاهُمْ بَغْتَةً فَإِذَا هُمْ مُبْلِسُونَ 

Maksudnya: Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersuka-ria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan kepada mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan). (Surah al-An’am: 44) 

Al-Maraghi berkata: “Semua pintu kesenangan itu dibuka sebagai cubaan dan ujian bagi mereka, yang menyebabkan sebahagian daripada mereka ada yang lupa daratan dan semakin zalim, bukannya mereka bertambah bersyukur kepada Allah SWT. Kesenangan itu kemudiannya bertukar menjadi bala bencana dan menjadi fitnah.”

Hal ini sebaliknya kepada orang yang beriman. Bagi mereka, pintu kesenangan dibuka oleh Allah SWT supaya mereka bersyukur kepada-Nya dan berterima kasih di atas anugerah-Nya. Lalu mereka menggunakan kesemua itu dengan amalan-amalan kebaikan dan bukannya amalan-amalan yang mendapat balasan yang berupa pertambahan nikmat di dunia dan pahala yang baik di akhirat kelak.

Firman Allah SWT:

فَأَعْرَضُوا فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ سَيْلَ الْعَرِمِ وَبَدَّلْنَاهُمْ بِجَنَّتَيْهِمْ جَنَّتَيْنِ ذَوَاتَى أُكُلٍ خَمْطٍ وَأَثْلٍ وَشَيْءٍ مِنْ سِدْرٍ قَلِيلٍ 

Maksudnya: Maka mereka berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan, dan kami gantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kumpulan kebun yang berisi pohon-pohon yang pahit buahnya, dan pohon-pohon yang jarang berbuah, serta sedikit pohon-pohon bidara. (Surah Saba’: 16) 

Al-Tabari mengatakan bahawa sesudah mereka mengambil sikap tidak mahu percaya kepada para rasul Allah SWT, maka datanglah banjir besar yang menyebabkan runtuhan empangan yang membendung takungan air banjir yang telah digunakan untuk menyiram pokok dan tanaman yang subur itu dan menenggelamkan kebun buah-buahan mereka, lalu bumi tempat tumbuhnya kebun itu menjadi rosak binasa (Al-Qurtubi, 14:286). Setelah itu bumi hanya menghasilkan buah-buahan yang tidak berguna dan tidak sedap dimakan.

Al-Razi mengatakan bahawa Allah SWT telah melepaskan air banjir yang membinasakan tanaman mereka, harta benda dan meruntuhkan kediaman mereka dan sebagai ganti kebun buah-buahan yang subur itu maka tumbuhlah pokok berduri yang menghasilkan buah yang tidak berguna.

Ibn al-Jauzi berkata, perkataan 'Arim memberi maksud:

  • Dahsyat, iaitu bah yang besar. Inilah pendapat Ali Ibn Abi Talib dan Ibn Abbas. 
  • Nama lembah, seperti pendapat Ibn Abbas, Qatadah, al-Dahak dan Muqatil. 
  • Iaitu Dem atau ampangan. Inilah pendapat Mujahid, Abu Maisarah, al-Farraq dan Ibn Qutaibah.    
Sedangkan maksud perkataan Khamtin sebagai:

  • Pohon Aarak. Inilah pendapat Ibn Abbas, Mujahid, al-Hasan dan jumhur. 
  • Setiap pohon kayu yang berduri seperti kata Abu Ubaidah. 
  • Setiap timbuhan yang rasanya pahit, tak mungkin untuk dimakan seperti pendapat Mubarrad dan al-Zallaj. 

Sayid Qutub berkata: “Mereka enggan bersyukur kepada Allah SWT dan enggan melakukan amalan-amalan kebaikan serta enggan menggunakan nikmat-nikmat yang dikurniakan Allah itu dengan pengendalian yang baik. Lalu Allah SWT merampas kembali kemewahan dan kemakmuran hidup mereka dengan menimpakan banjir dahsyat yang menghanyutkan batu-batuan yang ada di tengah jalannya lalu memecahkan empangan mereka yang menyebabkan banjir besar yang menenggelamkan negeri itu. Setelah itu tidak ada lagi air yang dapat disimpan mereka kerana kesemuanya menjadi kering. Kebun-kebun mereka yang dahulunya segar dan tumbuh buah yang amat banyak sekali menjadi padang belantara yang di tumbuhi pokok –pokok yang liat dan kasar.

2 comments:

Warisan Petani said...

Bersyukurlah di atas limpah rezeki yang melimpah ruah
atau sedikit sekali pun

paridah said...

assalam moga ustaz n keluarga sht sjhtera..mudahah2an kita tergolong dlm kalangan mrk yg beriman n bertakwa

Post a Comment