Ramadhan yang diberkati kian menghampiri. Bayu lembutnya kian terasa memukul jiwa-jiwa pencinta ibadat. Bagaikan tidak sabar menantikan ia bertamu untuk meniti titian sepanjang malam-malamnya yang punya pahala dan kelebihan yang tersendiri.
Ada sebilangan yang menyebut bahawa Ramadhan tahun ini tidak seperti sebelumnya. Suram. Sebabnya, semua sedia maklum. Benar Ramadhan berkurang kemeriahannya jika ia dilihat dari bazarnya, juadah berbukanya. Ya, di mana-mana tempat tiada bazar Ramadhan pada tahun ini.
Tetapi jika Ramadhan dilihat dari sudut ibadahnya, rahmatnya, fadhilatnya. Ternyata tidak berkurang sedikit pun pada Ramadhan. Bahkan ia sama sahaja seperti sebelumnya.
Sejujurnya, saya juga sedikit terkesan dengan apa yang berlaku. Sedih pun ada. Yalah, sudah menjadi kebiasaan tibanya Ramadhan berduyun-duyun mengunjungi surau dan masjid. Semangat untuk beribadah terasa lain kerana berkatnya bulan ini. Tiba-tiba tahun ini tiada terawih secara berjemaah di surau dan masjid, begitu juga tidak dapat bertadarus bersama-sama selepas menikmati moreh.
Tidak dapat duduk mendengar tazkirah di pertengahan atau selepas terawih. Tazkirah diadakan semata-mata mahu mengambil peluang atas kehadiran ramai yang memenuhi saf di dalam masjid. Pemandangan yang mungkin sulit di bulan-bulan lain.
Yakin dan percaya setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah dan kebaikan. Semuanya di dalam ilmu Allah SWT yang tidak terbatas. Justeru, walaupun tidak ada solat terawih di masjid dan surau, maka dirikanlah solat terawih di rumah masing-masing bersama keluarga, termasuk juga tadarus.
Hidupkan majlis ta`lim di dalam rumah dengan tazkirah-tazkirah ringkas. Membaca satu tajuk atau hadis setiap malam untuk diperdengarkan kepada kaum keluarga. Hidupkan malam-malam Ramadhan sepertimana biasa. Insya-Allah, suasana Ramadhan tidak sedikit pun suram dan berkurang.
Dalam masa yang sama saya turut berdoa semoga Allah SWT mengangkat wabak ini dan kita dapat menjalani kehidupan seperti biasa.
#StayAtHome
#StaySafeStayHealth
#MalaysiaCovid19
4 comments:
Assalam moga ustaz n famili sihat sjhtera...Ramadan jelangnya dinanti ibadah tetap bersungguh walau dalam suasana baru insyaaAllah
Salam ramadan 1441H
Sedih dalamm keadaan ada kemasalahatan dalam negara, negeri dan daerah. Semua stay at home
Semua yang terjadi atas takdirNya..Virus C adalah makhluknya, pasti ada tujuan sebenar kenapa satu Dunia wabak ini..Tengok seni halus hidupan itu..dalam keadaan tak nampak, mampu gegarkan Dunia. Ni lah bukti sesungguhnya Allah maha hebat melebihi dari segala-gala ciptaan manusia
Post a Comment