Sahabat Sejati

Tuesday 12 November 2019

Saya ada DIA

Pernahkah anda merasa tidak bermaya? Bukan kerana anda tidak sihat tetapi kerana satu perasaan yang tidak ketahuan punca. Resah dan gelisah, fikiran berkecamuk dan rasa tertekan. Sedangkan anda tidak tahu mengapa.

Saya pernah mengalaminya, lebih-lebih lagi ketika zaman belajar dahulu. Resah dan gelisah, rasa tertekan muncul tanpa sebab yang jelas. Fikiran jadi tak menentu, hinggakan saya tidak tahu apa yang hendak dilakukan. Saya rasa tidak mahu bertemu dengan sesiapa, lebih selesa menyendiri berkurung di dalam bilik melayan perasaan yang kosong ini. 

Saya hanya terbaring sambil mata memerhati jalur-jalur atap. Radio dipasang untuk meredakan perasaan, tetapi setiap patah perkataan yang keluar dari corong radio bagaikan selumbar yang mencucuk ke dalam jiwa. Saya terasa seperti kehilangan sesuatu.

Ada ketikanya terasa bagaikan ada satu kerinduan yang mendalam, tetapi entah pada siapa. Hilang semua itu muncul pula perasaan marah, sedih, bimbang dan benci. Apa yang dibuat semua tidak kena. Masa bergerak bagaikan terlalu perlahan. 

Adakah saya sudah tidak siuman? 

Ketika itu saya rasa keseorangan, tiada siapa yang mahu mendengar jeritan hati ini. Kadang-kadang terasa diri ini sedang melayang jatuh di dalam lubang gelap yang tiada dasarnya. Tiada siapa yang mahu menarik saya keluar dari kegelapan ini. Tiada siapa yang ingin menghulurkan tangan. Tiada... 

"Ahh...kenapa aku begini!" jeritan batin meronta-ronta sendirian, jauh ke dalam. 

Saya ada DIA

Saya cuba kembali ke alam nyata, bersikap siuman. Segera saya membelek artikel-artikel tazkirah yang banyak kedapatan di dalam komputer riba. Saya membaca satu persatu. Saya perlukan kekuatan, hinggalah anak mata saya singgah pada sebaris ayat: 

"Carilah satu dunia asing.. untuk kamu keluar dari diri kamu yang sudah rapuh dan kering itu. Basahkan kembali dengan bersunyi-sunyi diri dengan Allah, samada di tikar sejadah, atau hamparan bumi dan alam yang tekun dengan zikrullah."

Berulangkali saya membacanya. Terpaku seketika, rupanya saya tidak keseorangan. Saya ada Dia. Benar, Dia yang bersifat dengan lunak dan kasih sayang. Dia yang suka mendengar rintihan. Dia yang tidak jemu menghulur pertolongan. Dia yang amat dekat. Mengapa saya terleka hingga lupa kepada Dia sememangnya sentiasa dekat.  

"Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya." (Qaff: 16)

Saya mula mencari titik mula. Saya mencari rahmat dan belas ehsan-Nya. Saya mencari kasih-Nya yang sempurna. Dan saya merasakan hati dan jiwa saya mula bersatu dengan diri yang hilang tadi. 

Semuanya bercahaya kembali, kerana saya ada DIA. 

Ya! Saya ada DIA. 

"Ingatlah! Hanya dengan mengingati Allah sahajalah beroleh ketenteraman hati." (ar-Ra`du: 28)

4 comments:

norhidana said...

kadang tanpa sedar kita jadi macamtu, dana kalau rasa tak keruan, rasa berdebar selalu dana akan baca yassin alhamdulillah lepas dah baca rasa tenang...

Kak Feni said...

Alhamdulillah. Kita yang selalu jauhkan diri (termasuk diriku sendiri) dengan Allah.

Warisan Petani said...

Kita semua kepunyaan DIA

Normala Saad said...

Pernah rasa begitu satu waktu dulu. Tiba- tiba boleh rasa sunyi yang tak tahu apa puncanya.
Benar kita ada dia. Mengadulah.

Post a Comment