Dua hari lepas kami mendapat berita daripada pihak Yayasan Amal Pusat, qurban di Sudan dan Uganda terpaksa dibatalkan. Ini berikutan berlakunya pergolakan di kedua negara tersebut. Tentunya keadaan ini akan membahayakan keselamatan para petugas. Justeru, penempatan pelarian Rohingya di kem Coxbazar Bangladesh menjadi pilihan kedua sebagai ganti.
Teringat apa yang telah berlaku beberapa tahun yang lalu sewaktu melaksanakan misi qurban dan aqiqah di sebuah negara benua Afrika. Peristiwa lori yang membawa lembu-lembu dirompak di pertengahan jalan ketika dalam perjalanan menuju ke lokasi penyembelihan.
Allahu, hanya Dia yang Maha Tahu bagaimana perasaan ketika itu. Walau bagaimanapun semuanya berakhir dengan baik. Mahu tak mahu kenalah menggantikan semula lembu-lembu yang telah dibawa lari. Hari kedua terpaksalah menggunakan khidmat anggota tentera sebagai pengiring dalam perjalanan.
Demikianlah di antara asam garam dalam melaksanakan misi ini. Walaupun berhadapan dengan beberapa peristiwa seperti dirompak, karenah birokrasi, kepenatan yang ditahap 'gaban' dan bermacam-macam lagi, sesungguhnya manis dan indahnya tetap ada. Yang manis dan indah inilah sentiasa menambah rasa untuk melakukan kerja-kerja sukarelawan ini. Alhamdulillah.
Tahun ini kami mensasarkan sebanyak 200 ekor haiwan korban. Satu cabaran yang perlu disahut. Masing-masing sudah pun pun menggerakkan 'gear 5'. Walaupun ia tampak seakan agak sukar juga, namun dengan usaha yang maksima mungkin dan berkat doa daripada sahabat-sahabat, mudah-mudahan ia berjaya dicapai. Amiinn ya Allah.
Alhamdulillah, tahun ini, program waqaf al-Quran di masukkan sekali dalam misi qurban ini. Biasanya ia digerakkan di luar musim qurban. Tetapi mesyuarat baru-baru ini telah memutuskan untuk dimasukkan sekali.
Program waqaf al-Quran legih tertumpu di negara-negara sebelah Afrika. Jika melihat keadaan al-Quran yang mereka gunakan benar-benar menerbitkan rasa sebak. Bayangkan al-Quran yang mereka gunakan sangat uzur dan ada pula hanyalah lembaran yang ditulis pada kepingan papan. Namun, sangat teruja dengan semangat dan kesungguhan mereka untuk mempelajari dan menghafal al-Quran.
Moga Allah SWT memudahkan urusan dan merahmati usaha kami dalam membantu saudara seagama. Amiinn.
#sumber foto: Yayasan Amal Malaysia Wilayah
1 comments:
Semoga Allah selalu memberikan rezeki pada orang yang sering beramal.., Amin..
Kursi Taman Besi Tempa
Post a Comment