Sahabat Sejati

Sunday, 2 June 2019

Indahnya zaman itu

'Rindunya zaman itu'

Nostalgia dan amat mengesankan, Ramadhan di zaman bocah, zaman anak-anak desa. 

Ramadhan pada zaman kita masih kecil, adalah kenangan yang terindah. Apa yang telah kita lalui pasti menjadi kenang-kenangan. Lalu kita sajikan kembali buat perbandingan dengan anak-anak kita hari ini. Perbezaan semestinya ada, yang telah melaluinya sahaja dapat memberikan jawapan. 

Ada masanya, saat bersantai-santai damai saya paksa memori kelam untuk mengingati satu-persatu bongkah-bongkah memori yang dilalui. Suka, gembira, sedih, sebak dan bermacam-macam perasaan yang berdetak tergaul sebati, tetapi sentiasa mengundang bahagia. 

Bukanlah Ramadhan dahulu lebih canggih sambutannya berbanding hari ini. Tetapi Ramadhan zaman dahulu adalah zaman kami masih bocah di desa nan permai. Saat desa yang masih pekat dengan adat kejiranannya, zaman ‘anak aku anak kamu’. Tiada istilah jaga anak masing-masing. Sesiapa bebas menegur anak-anak sekampung. 

Demikianlah wajah dan citra desa yang pernah saya nikmati kemanisannya suatu ketika dahulu. Jika hari ini, awas, jangan sesuka hati menegur atau menasihati anak-anak jiran. Nanti kita pula disinis atau disergah. Jika tidak kena gaya orang tua pula yang berbalah. 

Kembali ke zaman bocah 

Dahulu, masih saya ingati keseronokan bersolat tarawih di surau kampung, bertiang kayu serta berdinding dan berlantai papan yang disusun berlapis-lapis. Saat turun sujud bergerutup bunyi lantai berlaga dengan lutut-lutut para jemaah. Sekarang ini amat sulit untuk bertemu dengan surau atau masjid kayu, kebanyakannya telah dibina dengan batu dan rekabentuk yang sangat menarik.

Manakala imamnya pula hanyalah imam kampung yang membacakan surah-surah lazim. Tiada lagi imam tahfiz seperti hari ini. Jauh sekali imam yang di bawa khas dari tanah arab. Tidak seperti sekarang, bertuahnya anak-anak zaman ini. 

Masih juga menjadi ingatan setiap kali Ramadhan tiba, kami (saya dan rakan-rakan) secara automatik menjadi pembantu yang setia di surau. Menolong pakcik-pakcik memasak juadah berbuka, membancuh air minuman, memotong buah tembikai, membasuh pinggan mangkuk selepas berbuka dan moreh serta apa sahaja tugasan yang diarahkan tanpa berbasa-basi. 

Teringat juga kerajinan membantu menyediakan juadah moreh, kemudian ‘mencuri’ dua tiga ketul juadah moreh yang terhidang di atas meja saat atuk-atuk dan pakcik-pakcik bersolat terawih. Kemudian pergi bermain mercun dan bunga api, bermain kejar-kejar atau apa sahaja permainan dan kembali menyertai solat terawih yang hampir selesai sebagai ‘lakonan’. Begitulah nakalnya zaman bocah di usia 9 atau 10 tahun. 

Hakikatnya atuk-atuk dan pakcik-pakcik tersebut tahu kami tidak ikut sembahyang tarawih melainkan ke surau untuk bermain-main bersama rakan sebaya. Itulah, budak-budak. Bulan Ramadhan adalah saat yang paling seronok bermain dan berkejaran di saat sembahyang tarawih didirikan. Sementelah pula orang tua memberikan ‘lesen’ untuk keluar malam. 

Namun apa yang saya perhatikan, atuk-atuk dan pakcik-pakcik ini tidak pula memarahi walaupun tahu kami tidak sembahyang dan membuat bising. Ah, jauh sekali mahu menengking maupun mengherdik keras. Ada masa-masa mereka menasihati dengan tutur kata yang lembut. Sambil menasihati mereka mengusap bahu kami penuh mesra. 

Demikianlah, kata-kata yang lembut dan nasihat yang baik melenturkan hati kami. Walaupun selepas itu kami masih lagi bermain, bermain dan terus bermain, manakala mereka pula tidak jemu-jemu menasihati kami. 

Namun, kata-kata yang lembut ibarat penawar yang berkesan. Walaupun pada masa itu ia tidak diendahkan, namun sebenarnya nasihat tersebut sampai ke hati. Mungkin kerana itulah menyebabkan hati kami masih melekat pada surau dan masjid sehingga sekarang. 

Teringan pesanan sang murabbi: 
“Jangan berputus asa, jangan kecewa dan berasa lemah tidak berupaya. Setiap kali kita bercakap seruan dakwah, cakap itu sebenarnya sampai. Biar pun ia disambut dengan ejekan dan caci makian, ia sudah pun tembus ke telinga, mata, otak dan hatinya. Dia mungkin meremehkannya di depan dirimu. Namun akan sampai harinya, mutiara pemberianmu dikutipnya sebagai bekal menuju perubahan. Berlapang dadalah kalian wahai adik-adik di medan dakwah. Jalan itu memang begitu. Tugasmu bukan memaksa perubahan, tetapi sebagai penyampai pesan”. 

Tradisi desa

Oh, mana mungkin saya boleh melupakan amalan tradisi bertukar juadah berbuka puasa. Satu amalan yang sangat sinonim dan mewarnai citra desa. Amalan yang cukup berkesan untuk memutikkan jalinan kemesraan sesama jiran sekampung. 

Lazimnya setiap kali hampir waktu berbuka, maka bermulalah tugas saya menghantar juadah berbuka ke rumah jiran-jiran. Rumah makngah Liyah, rumah makcik Wok, rumah makngah Senah dan beberapa lagi jiran yang menjadi sasaran. Dan kemudian mereka semua membalas semula ‘pinggan’ yang dihantar. Ada yang membalas dengan mihun, buah melaka, lompat tikam, bubur lambuk dan sebagainya. 

Tidak hairanlah jika emak hanya menyediakan satu dua juadah, tetapi tatkala tiba waktu berbuka berjenis-jenis juadah pula yang terhidang di atas meja. Tetapi lain pula yang berlaku di zaman ini. Mereka bertukar-tukar pula juadah melalui aplikasi whatsapp. 

Masih saya ingati juga setiap kali hampirnya masuk waktu berbuka, akan berkumandang alunan muzik ghazal dari corong radio transistor. Dentingan tali-temali gambus yang sungguh melankolik itu bagaikan membawa terbang perasaan ke dunia yang lain. Kini, suasana itu telah diganti dengan alunan nasyid yang lebih moden. 

Saat menanti masuknya waktu berbuka adalah saat yang paling menyeronokkan. Berkumpul bersama seisi keluarga, pada masa itu mana ada lagi budaya selfie Duduk berhadapan dengan juadah yang enak-enak, terutama air sirap selasih yang menggiurkan. Air sirap itu juga berbau pandan kerana air gulanya dimasak dengan daun pandan. 

Tatkala di campur dengan biji selasih yang telah kembang kemudian dimasukkan dua tiga ketul ais, hanya Tuhan sahaja yang tahu nikmat meneguknya. Terasa dingin menguasai anak tekak lantas menerjah hingga ke dasar perut. Saat itu tiadalah air yang paling sedap melainkan air sirap selasih berbau pandan. 

Saat berkumandang laungan "Allahu akbar, Allahu akbar" dari surau berhampiran, itulah kemuncak kegembiraan bagi kami, anak-anak desa.. 

Demikianlah, setiap orang pasti punya pengalaman tersendiri mengenai Ramadhan ini. Apa yang saya coretkan hanyalah secebis memori silam yang masih bersarang di minda tua. Tiap kali mengingatinya saya merasakan seperti kembali ‘muda’.

2 comments:

Warisan Petani said...

Semuanaya tinggal kenangan yang takkan berulang

Nor Azimah Ali said...

Salam akhir ramadhan, mudah2an ada umur kita bersua ramadhan lagi..

Kenangan tetap kekal dalam ingatan..

Post a Comment