Perjalanan hidup manusia dari dahulu hingga kini menempuh berbagai-bagai peristiwa. Apa sahaja yang berlaku adalah sejarah yang melukiskan putaran roda kehidupan manusia yang dengannya tersimpan hikmah dan pelajaran.
Semua peristiwa yang berlalu itu harus kita mengerti dan kita pelajari sehingga kita memahami bahawa itulah didikan dari Allah SWT. Untuk itu, apapun yang berlaku baik ditimpa sesuatu musibah atau menerima sesuatu nikmat, hendaklah ditanyakan pada diri sendiri, “apakah pelajaran yang di sebalik semua ini?”
Fikirkanlah, semua yang berlaku ke atas kita pasti ada tujuan yang tertentu, maka barulah hidup kita sentiasa bertujuan. Kata ahli-ahli sufi, setiap yang berlaku dalam hidup ialah ‘mehnah’ – maksudnya didikan terus dari Allah. Kuncinya adalah BERFIKIR.
Manusia perlu kepada Tuhan. Justeru itu mereka perlu mengenal Tuhan. Kenal dengan merenung dan memerhati ayat-ayat Allah yang dibaca. Begitu juga kenal dengan memerhati dan berfikir akan kejadian alam ini. Semua ini akan memutikkan rasa kehebatan Allah SWT dan begitu kerdil dan lemahnya diri kita.
Manusia perlu kepada Tuhan. Justeru itu mereka perlu mengenal Tuhan. Kenal dengan merenung dan memerhati ayat-ayat Allah yang dibaca. Begitu juga kenal dengan memerhati dan berfikir akan kejadian alam ini. Semua ini akan memutikkan rasa kehebatan Allah SWT dan begitu kerdil dan lemahnya diri kita.
Firman Allah SWT:
"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.” (Aali-Imraan: 191)
Inilah yang cuba saya selami.
Pokok cili tumbuh disebelah pokok mempelam. Tegak di atas tanah yang sama, menyedut air dan galian yang sama tetapi berbeza rasa. Cili rasanya pedas manakala mempelam rasanya manis. Tidak pula cili menjadi manis kerana duduk di sebelah pokok mempelam.
Saya memerhati seekor ibu ayam memimpin anak-anaknya mencari makan. Mencakar-cakar tanah dan berketak memanggil anak-anaknya. Jika ada yang mengganggu, si ibu akan mengejarnya dengan kepak yang mengembang. Saya takjub melihat kasih sayang ini.
Demikianlah kebesaran Allah SWT.
Fitrah manusia, memerhati dan berfikir untuk memahami rahsia alam dan kehidupan. Seterusnya menghadirkan cinta, kasih dan taat pada-Nya. Justeru itu, renungilah hakikat kehidupan ini, andai kita punya mata hati pasti kita akan memahami.
"Tidakkah kamu berakal untuk memikirkannya?" (al-Baqarah:76)
2 comments:
Kadang kadang kita terlampu sibuk dengan urusan duniawi sehingga tidak sempat meluangkan masa untuk berfikir =(
Betul tu...setiap kejadian yang berlaku ni bukan hanya untuk dilihat saja tapi menuntut kita untuk berfikir. Bila berfikir dan mencari jawapan baru kita sedar betapa besar dan hebatnya kuasa Allah Taala.
Post a Comment