Sahabat Sejati

Wednesday, 3 May 2017

Solatullah wa salamuhu 'ala Rasulillah (28)

Sambungan daripada : Solatullah wa salamuhu 'ala Rasulillah (27) di bawah tajuk besar (PERINGKAT KELAHIRAN HINGGA USIA 40 TAHUN, SEBELUM MENJADI NABI)

Foto hiasan: Kaabah di zaman arab jahiliah ~ sumber

Keperibadian Menakjubkan Sebelum Kenabian

Sepanjang meningkat dewasa, Nabi Muhammad telah menghimpunkan sifat yang paling baik yang pernah ada pada seluruh generasi manusia. Baginda menampilkan sebuah model luhur dalam berfikir dan menganalisis keadaan secara tepat. Baginda dikagumi manusia lantaran kecerdasannya, pemikirannya yang asli dan sifat istiqamah baginda menempuh pelbagai ujian yang sesuai dengan fitrah.

Berkat kesabaran, baginda mengambil sikap berdiam diri untuk waktu yang lama, baginda sanggup berfikir panjang sehingga sibuk dengan kegiatan berfikir itu dan tidak kenal letih menggali kebenaran. Berbekalkan akalnya yang pintar dan fitrah dirinya yang bersih, baginda menelaah lembaran demi lembaran fenomena hidup, perilaku dan karekter manusia dalam pelbagai situasi di tengah-tengah masyarakat.

Hingga akhirnya baginda muak menyaksikan segala bentuk khurafat yang mencemari kehidupan manusia sehingga baginda sentiasa berusaha untuk menjauhinya. Baginda hidup di tengah-tengah manusia dengan menjaga kemaslahatan dirinya. Jika ada kebaikan yang boleh diperolehi, maka baginda akan ikut serta dalamnya. Jika tidak ada, maka baginda lebih suka menyendiri.

Baginda tidak minum arak, tidak makan daging sembelihan yang dikorbankan untuk berhala serta tidak pernah menghadiri amalan dan perayaan untuk berhala. Bahkan, semenjak kecil baginda selalu menjauhkan diri daripada berhala-berhala batil itu sehinggalah tidak ada hal yang lebih baginda benci selain berhala-berhala itu. Baginda marah setiap kali mendengar orang bersumpah atas nama Latta dan Uzza.(1)

Tidak diragukan bahawa Allah melindungi baginda dengan penjagaan-Nya. Ketika kecenderungan jiwa baginda tergerak untuk menikmati sedikit sahaja kesenangan duniawi atau redha untuk mengikuti tradisi yang tidak terpuji, perlindungan Allah terus turun untuk menjadi penghalang antara baginda dengan keburukan-keburukan tersebut.

Ibnu Atsir meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda: "Tidak pernah aku berkeinginan untuk melakukan keburukan yang sering dilakukan oleh kaum jahiliah, kecuali dua kali. Pada kedua-dua kali itu Allah menjadikan penghalang antara diriku dengan keburukan tersebut sehingga aku (tidak jadi melakukannya dan) tidak lagi berkeinginan untuk melakukannya hingga Allah memuliakanku dengan risalah-Nya."

"Suatu malam aku berkata pada seorang remaja yang sedang menggembala kambing bersamaku di atas bukit di pinggir kota Mekah, "Bagaimana kalau malam ini kau menjaga kambingku? Aku mahu masuk ke kota Mekah menikmati suasana malamnya seperti yang sering dilakukan oleh pemuda-pemuda di sana." Temanku itu menjawab, "Ya, aku akan melakukannya."

"Maka aku segera bergerak. Tatkala sampai di rumah pertama di kota Mekah, aku mendengar muzik. Aku bertanya pada orang ramai, "Apa yang berlaku sekarang ini?" Mereka menjawab, "Pesta penikahan polan dengan si polan."

"Aku pun cuba duduk untuk menikmatinya. Namun begitu, Allah menutup telingaku dan membuatku tertidur."

"Ketika aku bangun, rupa-rupanya hari telah siang. Aku pulang menemui temanku tadi . Dia bertanya kepadaku bagaimana suasana semalam, maka kuceritakan saja apa yang kualami padanya."

Pada malam yang lain, aku cuba melakukan hal yang sama. Aku berkata kepada temanku seperti yang kukatakan sebelum itu. Aku masuk ke kota Mekah dan mengalami kejadian yang sama seperti malam sebelum itu. Sejak itu, aku tidak pernah berkeinginan untuk melakukan keburukan."(2)

Al-Bukhari meriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah yang menyatakan, "Ketika Kaabah dibangunkan semula, Nabi Muhammad dan Abbas bekerja memindahkan batu. Abbas berkata kepada baginda, "Angkatlah hujung bawah pakaianmu hingga ke atas lutut. Ini akan mengelakkan batu daripada melukaimu." Disebabkan itu, baginda jatuh tersembam ke tanah. Kedua-dua mata baginda terbeliak tajam ke langit. Beberapa saat kemudian baginda sedar dan berkata dengan penuh sesal, "Ini terjadi kerana pakaian bawah tadi." Lantas baginda melabuhkan kembali pakaian bawahnya, lalu mengemaskan kedudukannya."(3)

Dalam riwayat lain disebutkan, "Sejak itu, aurat baginda tidak pernah kelihatan walaupun sekali."(4)

Nabi Muhammad menjadi manusia istimewa dalam kaumnya lantaran perilaku baginda yang menyenangkan, akhlak yang baik dan keperibadian yang mulia. Baginda ialah seorang yang paling unggul daripada kalangan kaumnya dalam hal kewibawaan, paling indah perilakunya, paling terhormat cara hidup berjirannya, paling menonjol lemah-lembutnya, paling jujur perkataannya, paling terjaga jiwanya, paling unggul kebaikannya, paling baik amalnya, paling menepati janji dan paling istiqamah dalam menjalankan amanah.

Kaumnya menggelarkan baginda dengan gelaran al-Amin (yang dipercayai) lantaran dalam diri baginda terhimpun seluruh bentuk kesolehan dan ciri-ciri yang mengundang keredhaan Allah. Sebahagian kesolehan baginda disebutkan oleh Ummul Mukminin Khadijah, "Baginda memikul sendiri semua bebannya, memberi kepada yang tidak berpunya, menjamu tetamu dengan baik dan menolong sesiapa yang berusaha menegakkan kebenaran."(5)

Rujukan:

(1) Hal itu jelas daripada perbincangan baginda dengan Buhaira. Lihat Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. I, hal. 128 

(2) Ulama berbeza pendapat tentang kesahihan hadis ini. Hakim dan Dzahaby mensahihkannya sedangkan Ibnu Katsir mendhaifkannya dalam al-Bidayah wa al-Nihayah, jil. II, hal. 287

(3) Sahih al-Bukhari, bab tentang pembangunan Kaabah, jil. I, hal. 540

(4) Sahih al-Bukhari, bab tentang pembangunan Kaabah, jil. I, hal. 540, dengan syarah daripada Ibnu Hajar al-Asqalani

(5) Sahih al-Bukhari, jil. I, hal. 3

(Adaptasi daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

Bersambung...

0 comments:

Post a Comment