Sahabat Sejati

Tuesday, 11 April 2017

Semoga Allah SWT memberikan curahan rahmat dan kerehatan buatmu teman..

 
Azhan Atan (1973 - 2017) ~ sumber foto

Innalillah… 

Terkejut, tetapi segera mengucap panjang antara perasaan sedih dan berlapang dada. 

Pagi semalam saya dikejutkan dengan berita yang agak memilukan. Seorang teman telah menghantar pesanan, memaklumkan bahawa salah seorang sahabat kami telah kembali ke rahmatullah. Sahabat yang dimaksudkan ialah Allahyarham Azhan Atan. Dikhabarkan Allahyarham telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di rumahnya di pada jam 12.05 pagi. Jenazahnya telah dikebumikan di Pekan Nanas Pontian. 

Mungkin ada yang mengenali Allahyarham Azhan Atan, atau mungkin juga hanya pernah mendengar namanya sahaja. Atau boleh juga tidak pernah kenal langsung siapakah dia. Sahabat saya ini seorang yang berstatus orang kelainan upaya (OKU) dengan cacat separuh penglihatan. Namun begitu, Allahyarham dikurniakan suara yang merdu. Tidak hairanlah Allahyarham pernah dinobatkan sebagai Juara Akademi Nasyid TV9 musim 1 pada 2008 yang lalu. 

Selain itu, Allahyarham banyak terbabit dalam gerak kerja sukarelawan MAPIM dan unit Amal Dewan Pemuda PAS, gigih bergerak ke seluruh negara menyantuni masyarakat walaupun beliau sendiri seorang yang cacat separuh penglihatan. 

Kegigihannya bertungkus-lumus dalam operasi bantuan banjir Pantai Timur beberapa tahun lalu amat diingati sukarelawan dari seluruh negara. Malahan di dalam Metro Ahad pada 2 Ogos 2015 melaporkan kecekalan Azhan yang menyertai lebih 100 misi di dalam dan luar negara sejak 1994 semata-mata menunaikan tanggungjawabnya sebagai Muslim. 

Teringat-ingat

' Bersama Allahyarham dalam Jambori Amal Kebangsaan di Melaka pada 2010'

Masih segar diingatan setiap kali bertemu dengannya di dalam beberapa program. Dalam upaya dirinya yang agak terbatas dia sentiasa melemparkan senyuman rakan-rakan. Kelibat Allahyarham sentiasa ada dalam setiap program di samping membawa barangan untuk diniagakan. Lazimnya, isterinya yang menjaga gerai ketika Allahyarham bertugas di dalam program-program.

Kali terakhir Allahyarham datang ke Kuantan iaitu pada tahun lalu untuk menyampaikan tazkirah Ramadhan di beberapa surau dan masjid. Selepas itu saya mendapat berita melalui whatsapp, dikhabarkan Allahyarham menghidap penyakit strok dan kesihatannya semakin menurun. Semalam saya menerima berita pemergiannya.

Semoga Allah SWT memberikan curahan rahmat dan kerehatan buat Allahyarham yang sejak sekian lama terus bertarung dengan semangatnya yang tinggi selepas disahkan menghidap penyakit tersebut.

4 comments:

Nor Azimah Ali said...

Innaalillahiwainaailahirajiun...
Tersentuh hati membaca kisahnya.
Moga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan hambaNya yang diredhai.

Anonymous said...

Assalaamu'alaikum wr.wb, Abu Ikhwan....

iya saya mengenali Allahyarham menerusi program realiti Akademi Nasyid tersebut. Suaranya memang merdu dan menyentuh hati.

Semoga roh beliau dirahmati Allah, dimuliakan di sisi-NYA dan diganjari segala amal bakti yang pernah dicurahkan di dunia. Allah Akbar, alangkah beruntungnya apabila amal kita selama ini menjadi bekal di akhirat.

Salam sejahtera dari Sarikei, Sarawak.

saniahibrahim said...

Assalamualaikum ustaz
Semoga sahabat ustaz ditempatkan dikalangan para solihen.
Pekan Nenas tak jauh dari tempat akak .

Bunda_nora said...

AsSalam Ustaz..

semoga sahabat Ustaz dilimpahi rahmat dunia dan akhirat..

Innalillah..

Post a Comment