Sahabat Sejati

Tuesday, 18 April 2017

Fikir-fikir: Pesanan Hujjatul Islam Imam al-Ghazali rahimahullah...

Saya teringat kepada pesanan Imam al-Ghazali di dalam satu tulisannya. Beliau menyatakan bahawa kita perlu ingat 2 perkara dan lupakan 2 perkara. Setelah saya amati, pesanannya itu memberi hikmah yang amat besar dalam menjalani kehidupan ini. 

Ingat 1 

Ingatlah kebaikan orang kepada kita. Apa sahaja kebaikan yang orang lakukan kepada kita hendaklah kita ingat. Ini akan menerbitkan rasa menghargai dan terima kasih setelah menerima kebaikan itu. Jika kebaikan daripada manusia kita mesti ingat dan hargai apatah lagi kebaikan pihak yang paling banyak memberikan kebaikan, iaitu ALLAH SWT. Ingatlah kebaikan ALLAH terlalu banyak. Hitunglah betapa baiknya ALLAH kepada kita. 

Jika setiap hari kita balik bekerja, ada sejambak bunga di muka pintu, tidak teringinkah kita untuk kenal siapa pengirimnya? Tidak mahukah kita mengucapkan terima kasih kepadanya? Jika kita bertuah memiliki ibu bapa yang penyayang, isteri yang baik hati, suami yang luhur budi, anak-anak penyejuk mata dan hati, tidak teringinkah kita untuk mengetahui siapa Pengirim semua itu kepada kehidupan ini? 

Lupa 1 

Lupakan kebaikan kita kepada orang. 

Lupa. Jangan diungkit-ungkit, jangan disebut-sebut. Apatah lagi dengan tujuan mahu menyakiti. Kita bimbang dengan mengungkit itu akan ada hati yang terguris, akan ada perasaan yang terhiris. Lalu dengan mengungkit itu akan meruntuhkan pula pahala yang telah dibina. Maka sia-sia apa yang diusahakan. 

“Hmm, kalau tidak kerana aku, tak berkubah masjid ini!” kata si sombong. 

“Huh..! Dasar tak mengenang budi, masa dia susah siapa yang tolong. Sudah senang......” cebik si dia. 

Jangan begitu. Ingatlah amaran ALLAH SWT di dalam al-Quran: 
"Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan Hari Akhirat." (Al-Baqarah: 264) 

Dan yang paling penting jangan sekali-kali diungkit ibadah kita kepada-Nya. Berapalah sangat ibadah kita jika dibandingkan dengan mana-mana nikmat yang pernah dikurniakan-Nya. Kita lalai, kita leka, kita alpa. Namun, tidak pernah berkurang sedikit pun nikmat-Nya kepada kita. 

Mahu menghitung nikmat-Nya? Tidak perlu, kerana telah habis air di lautan sebagai dakwat untuk menulisnya. Belum habis lagi habis nikmat-Nya yang mahu dicoret. Apa yang penting adalah sentiasa bersyukur dengan melakukan semua perintah-Nya dan meninggalkan segala tegahan-Nya. Laba kebaikan pastinya untuk kita jua.  

Ingat 2 

Ingat keburukan kita kepada orang 

Ingatlah keburukan dan kesalahan yang pernah kita lakukan kepada orang lain. Kita memang banyak melakukan kesilapan dan kesalahan baik pada tutur kata dan tingkah laku. Kadang-kadang tanpa kita sedari kata-kata atau perbuatan kita menyakiti orang lain. 

Kenangkan ia, ingatkan selalu. Bukan untuk menyeksa diri, tetapi agar berhati-hati. Kita tidak mahu menjadi hamba yang muflis tatkala mendatangi Allah SWT di hari akhirat. Lantaran kebajikan yang di bawa terpaksa diserahkan kepada orang lain dan tidak kurang pula keburukan orang lain pula terpaksa kita pikul. Segera memohon kemaafan agar segalanya jernih semula. 

Dalam banyak-banyak keburukan yang pernah kita lakukan sesama manusia, dosa dan kejahatan kita terhadap ALLAH itulah yang paling melata, setiap masa, setiap ketika. Mohon keampunan daripada-Nya, istighfar selalu… kenang-kenangkan salah kita kepada Dia. 

Sesungguhnya dosa yang paling merbahaya ialah apabila tiada rasa berdosa. Lupa pada segala jahat kita kepada-Nya. Ingatlah kekurangan diri kita, kesilapan dan kesalahan yang pernah dilakukan selama ini, bukan untuk menyeksa diri, tetapi agar berhati-hati. 

Lupa 2 

Lupa keburukan orang kepada kita. 

Manakala keburukan dan kesalahan orang kepada kita, lupakanlah. Ia akan menghindarkan kita menjadi seorang pendendam. Sifat pendendam amat bahaya kerana ia akan merosakkan hubungan kemanusiaan. Orang yang pendendam hidupnya sentiasa tidak tenteram, resah dan gelisah selagi dendamnya tidak terbalas. Benarlah ungkapan yang menyatakan “Manusia yang paling tidak bahagia ialah manusia yang gagal memaafkan kesalahan orang terhadapnya.” Berdendam siang dan malam, memikul beban sepanjang masa. 

Jika kita yang gagal memaafkan atau melupakan kesalahan orang kepada kita, maka ia akan terus menyeksa hidup serta mengheret diri ke dalam konflik diri sendiri. Atau makna yang lebih mudah kita berperang dengan perasaan sendiri. Demikianlah deritanya hidup jika gagal memberi maaf, gagal melupakan salah orang kepada kita. 

MAAFKANLAH SEADANYA 

Kita hamba yang tak memiliki apa-apa, saban masa dan ketika kita melakukan dosa. Kita banyak melanggar perintah-Nya. Justeru, kita amat mendambakan keampunan dari-Nya. Maafkanlah manusia, agar Dia maafkan kita. 

Benar, maafkanlah semua kesalahan orang kepada kita setiap hari sebelum melelapkan mata. Jika kita memaafkan orang lain maka ALLAH SWT akan membuka pintu hati orang lain untuk memaafkan kita. Kepada Allah jua dikembalikan semua urusan.

 ...Wahai Tuhan ku tak layak ke syurga-Mu 
Namun tak pula aku sanggup ke neraka-Mu 
Ampunkan dosaku terimalah taubatku 
Sesungguhnya Engkaulah pengampun dosa-dosa besar...

2 comments:

Normala Saad said...

Assalamualaikum Abu. Moga sihat sentiasa.
Kak sangat terkesan dengan entry Abu kali ini. Macam terkena kat diri sendiri. Bahagian melupakan keburukkan orang kepada kita. Part tu memang susah nak dikikis dalam diri walau kak sangat pemaaf orangnya. Kak memang tak boleh lupa apalagi yang menyentuh maruah diri dan keluarga. Hubby pula sangatlah direct cakapnya dan kedengaran biadap kalau orang dengar. Namun hatinya sangat lembut. Dia boleh melupakan segala dan duduk bersembang baik semeja dengan orang tersebut. Bila saya tegur dia cakap...benda sudah lama berlalu.Lupakanlah...how come kata saya...saya tak mampu buat gitu...walaupun saya dah berpuluh tahun maafkan dia. Saya tak ikhlas kah..

paridah said...

Assalam ustaz moga sht sjhtra sekeluarga ..moga kita ikhlasdgn setiap budi yg dberi..sdg Allah melimpahkan kita dg anugerah-Nya yg luas tapi tidak mminta apa2hnya beriman kpd-Nya

Post a Comment