'si kecil Haikal yang istimewa' bergaya dengan pakaian sekolahnya
Beberapa pasang anak mata melirik ke arah saya dan ummu Ikhwan yang sedang memilih dan mencuba kelengkapan sekolah untuk 'si kecil haikal yang istimewa'. Memang wajarlah jika ada bibit-bibit kehairanan di fikiran mereka, memandangkan sesi persekolahan telah pun sebulan bermula. Manakala kami baru hari ini 'sibuk bershopping' kelengkapan sekolah anak. Ditambah pula dengan bising mulut si Haikal berceloteh semakin menarik perhatian mereka.
Malahan pekerja pasaraya pakaian yang melayani karena kami juga tampak sedikit-sedikit kehairanan. Yalah, kami mahu membeli pakaian sekolah untuk anak yang keadaannya seperti tidak sesuai untuk bersekolah.
Pekerja tersebut bertanya: "Nak beli baju untuk anak yang umur berapa?"
"Yang ini.." saya merujuk kepada si kecil Haikal yang berada di sebelah.
"Umur berapa?" Tanyanya lagi.
"Tak payah tengok umurlah dik, sebab umur dia tak kena dengan badannya." Saya menjelaskan sambil tersenyum.
"Tengoklah saiznya yang sesuai," saya menyambung lagi.
Memanglah umur si Haikal tidak 'match' dengan saiz badannya. Jika dilihat fizikalnya seperti kanak-kanak berusia 9 tahun walaupun usianya sekarang sudah masuk 12 tahun. Lucu juga, 12 tahun baru nak masuk sekolah. Kalau berjalan-jalan makan angin ke mana-mana, lampin pakai buang memang tidak boleh tinggal. Jadi, bila bersekolah nanti mesti kena pakai lampin pakai buang. Kalau tidak masalah nanti. Siapa pula yang nak menguruskan jika mahu buang air kecil atau air besar. Jika di rumah adalah kami, samada saya atau ummu Ikhwan.
Moga dipermudahkan
Runtun hati saya bercampur sayu melihat kegembiraan yang terpancar diwajah 'si kecil Haikal yang istimewa' tatkala dipakaikan pakaian sekolah yang baru dibeli tadi. Bising sekali mulutnya dengan bahasa yang dia dan Allah SWT sahaja yang mengetahui akan maksudnya. Mungkin mahu menyatakan kegembiraannya. Setelah itu dia menggayakan mahu tidur dan menunjukkan tangan ke arah luar rumah. Maksudnya, mahu masuk tidur dan pergi ke sekolah keesokannya. Tidak sabar-sabar lagaknya!
Sebelum ini saya cuma menghantar si Haikal bersekolah di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di tempat saya. PDK ini dalam erti kata yang sebenar bukanlah sebuah sekolah secara formal. Ia adalah sebuah pusat pemulihan kepada kanak-kanak istimewa dan sepenuhnya di bawah seliaan JKM. PDK ini sekadar memberikan latihan berdikari, berkawan dan sedikit belajar seperti menulis dan mewarna.
Sebenarnya bukan saya tidak mahu menghantar si kecil Haikal ke sekolah seperti sekolah pendidikan khas pada usia sepatutnya. Tetapi keadaannya yang tidak sesuai. Bayangkan umur 7 tahun baru boleh bertatih perlahan-lahan. Sementelah itu pula, fizikalnya yang kecil tidak sepadan dengan usianya. Jadi, macamana mahu menghantarnya ke sekolah pada masa itu. Kasihan pula kepada cikgunya mahu melayani keadaannya nanti.
Hasrat mahu menyediakan pelajaran kepada semua anak-anak tidak pernah terpadam. Tidak kira anak yang normal maupun anak istimewa. Anak normal dengan kaedahnya, manakala anak istimewa dengan kaedahnya yang tersendiri juga. Tetapi cabaran menguruskan anak istimewa lebih berganda lagi.
Mereka dipilih oleh Tuhan untuk hadir ke dunia ini. Mereka adalah ujian kepada ibu bapa, malah ujian kepada guru, jiran dan masyarakat sekeliling. Mereka juga mahkluk Tuhan yang memerlukan kasih sayang, perhatian dan pendidikan sama seperti yang lain.
Allahu al-Musta`an.
2 comments:
Assalam ustaz moga sht sjhtera sekeluarga...terharu kak baca n3 ustaz tentang Haiqal ni. anak syurga yg lahirnya istimewa. tidak mengapa walau Haiqal lmbat ke sekolah kerana keupayaannya yg terbatas namun Haiqal pasti mampu menyesuaikan dirinya dgn suasana baru alam persekolahannya. InsyaAllah kelak Haiqal akan muncul menjadi seseorang yg tidak pernah diduga selama ini. jangan tidak mempercayai kebolehannya yg istimewa.
Salam kak Paridah,
Terima kasih atas kunjungan. Betul kata akak, setiap orang pasti ada bakat dan potensi yang tersendiri. Tidak kitalah individu normal atau pun istimewa. Cuma kita yang mungkin tidak sedar...
Post a Comment