foto hiasan ~ sumber
Perjalanan hidup manusia dari dahulu hingga kini menempuh berbagai-bagai peristiwa. Apa sahaja yang berlaku adalah sejarah yang melukiskan putaran roda kehidupan manusia yang dengannya tersimpan hikmah dan pelajaran.
Semua peristiwa yang berlalu itu harus kita mengerti dan kita pelajari sehingga kita memahami bahawa itulah didikan dari Allah SWT. Untuk itu, apa pun yang berlaku baik ditimpa sesuatu musibah atau menerima sesuatu nikmat, hendaklah ditanyakan pada diri sendiri, “apakah pelajaran yang di sebalik semua ini?”
Fikirkanlah, semua yang berlaku ke atas kita pasti ada tujuan yang tertentu, maka barulah hidup kita sentiasa bertujuan. Kata ahli-ahli sufi, setiap yang berlaku dalam hidup ialah ‘mehnah’ – maksudnya didikan terus dari Allah. Kuncinya adalah BERFIKIR.
Manusia perlu kepada Tuhan. Justeru, mereka perlu mengenal Tuhan. Kenal dengan merenung dan memerhati ayat-ayat Allah yang dibaca. Begitu juga kenal dengan memerhati dan berfikir akan kejadian alam ini. Semua ini akan memutikkan rasa kehebatan Allah SWT dan begitu kerdil dan lemahnya diri kita.
Firman Allah SWT:
"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.” (Aali-Imraan: 191)
Inilah yang cuba saya selami.
Pokok cili tumbuh disebelah pokok mempelam. Tegak di atas tanah yang sama, menyedut air dan galian yang sama tetapi berbeza rasa. Cili rasanya pedas manakala mempelam rasanya manis. Tidak pula cili menjadi manis kerana duduk di sebelah pokok mempelam.
Saya memerhati seekor ibu ayam memimpin anak-anaknya mencari makan. Mencakar-cakar tanah dan berketak memanggil anak-anaknya. Jika ada yang mengganggu, si ibu akan mengejarnya dengan kepak yang mengembang. Saya takjub melihat kasih sayang ini.
Demikianlah kebesaran Allah SWT.
Fitrah manusia, memerhati dan berfikir untuk memahami rahsia alam dan kehidupan. Seterusnya menghadirkan cinta, kasih dan taat pada-Nya. Justeru, renungilah hakikat kehidupan ini, andai kita punya mata hati pasti kita akan memahami.
"Tidakkah kamu berakal untuk memikirkannya?" (al-Baqarah:76)
3 comments:
Assalam, moga ustaz dan keluarga dlm rahmat, kasih sayang dan pengampunan Allah sentiasa.
Dengan merenung dan berfikir dgn mata hati yg celik, in shaa Allah kita mampu mencungkil hikmah setiap kejadian. Tidak ada sesuatu pun yg sia-sia setiap ciptaan Allah itu, semua ada hikmah dan kelebihannya yg tersendiri.
Assalam moga ustaz n dibawah perlindungan Allah...sama2 kita renung n fikirkan setiap pengalaman yg kita lalui penuh dgn hikmah-Nya.
Assalamualaikum Ustaz..
Betul tu..cili pedas...mangga manis..ada maksud yang terselindung di setiap hidup kita ni..
Siapa sangka setahun lalu saya bertugas di Perak... dan kini di Kedah...Sepanjang 2016 di Kedah...dah 2 tempat bekerja...
Post a Comment