Sahabat Sejati

Wednesday, 5 October 2016

Solatullah-wa-salamuhu-ala-Rasulillah (12)

Menawarkan Islam Kepada Kabilah Dan Perseorangan

Pada bulan Zulkaedah tahun kesepuluh kenabian (bertepatan dengan akhir Jun atau awal Julai tahun 619M), Rasulullah saw pulang ke Mekah untuk menawarkan Islam kepada kabilah dan perseorangan. Ketika itu, memang mendekati musim haji, manusia akan berbondong-bondong datang ke Mekah. Mereka datang daripada segala penjuru untuk menunaikan kewajipan haji, mencari manfaat bagi diri mereka serta mengingati Allah pada hari-hari yang telah dikenali.

Rasulullah saw tidak mensia-siakan kesempatan ini. Baginda menghampiri kabilah demi kabilah lalu menawarkan dan mendakwahkan kepada mereka sama seperti dakwah yang baginda dilakukan sejak tahun keempat kenabian.

Kabilah-kabilah yang Didakwahkan

Imam al-Zuhri mengatakan: "Kabilah-kabilah yang disebutkan kepada kami bahawa Rasulullah saw datang dan mendakwah mereka serta menawarkan diri baginda (untuk minta perlindungan) kepada mereka ialah Bani Amir bin Sha'shaah, Muharib bin Khasafah, Fuzarah, Ghassan, Murrah, Hanifah, Salim, Abs, Bani Nasr, Bani Bakka', Kindah, Kalb, Haris bin Kaab, Udzrah dan Hudharimah. Tidak  seorang pun daripada mereka menyambut seruan Rasulullah saw.(1)

Penawaran Islam kepada kabilah-kabilah yang disebutkan al-Zuhri ini tidak terjadi pada satu tahun dan tidak pula pada satu musim haji sahaja. Namun begitu, penawaran tersebut berlaku dari tahun keempat kenabian sampai musim haji terakhir sebelum Rasulullah saw berhijrah ke Yathrib.

Tidak mungkin Islam hanya ditawarkan mengikut tahun-tahun tertentu. Al-'Allamah al-Mansyurfuri berjaya mengungkap nama kabilah-kabilah yang ditawarkan Islam pada musim haji tahun kesepuluh kenabian.(2) Bahkan, Ibnu Ishaq menyebutkan proses penawaran kepada mereka dan bagaimana wujud penolakan mereka.

Secara ringkas kabilah-kabilah tersebut dapat diterangkan seperti berikut:

1. Bani Kalb. Nabi Muhammad mendatangi salah satu sukunya yang dikenali dengan nama Bani Abdullah. Nabi mendakwah mereka untuk beriman kepada Allah, sekaligus menawarkan diri baginda (untuk minta perlindungan) kepada mereka. Baginda berkata: "Hai Bani Abdullah, sesungguhnya Allah telah menjadikan indah nama ayah kamu." Namun begitu, mereka tidak menerima apa yang baginda tawarkan kepada mereka. 

2. Bani Hanifah. Rasulullah saw mendatangi mereka di rumah-rumah mereka. Baginda mendakwah mereka untuk beriman kepada Allah dan menawarkan diri baginda (untuk minta perlindungan) kepada mereka. Namum begitu, tidak ada bangsa arab yang melebihi keburukan mereka dalam menolak tawaran Rasulullah saw.

3. Bani Amir Sha`shaah. Rasulullah saw mendakwahi mereka untuk beriman kepada Allah dan menawarkan diri baginda (untuk minta perlindungan) kepada mereka.

Berkata Buhairah bin Faras (salah seorang daripada mereka) kepada kaumnya, "Demi Allah, jika aku mengambil alih anak muda ini daripada tangan orang Quraisy, disebabkannya pasti aku akan menguasai bangsa Arab."
  
Kemudian Buhairah bertanya kepada Rasulullah saw, "Bagaimana pendapatmu kami berbaiat kepadamu dalam urusanmu ini, kemudian Allah memenangkanmu atas mereka yang menyelisihimu, apakah kami dapat mempunyai pemerintahan sepeninggalanmu?"

Rasulullah saw menjawab, "Urusan memerintah adalah hak Allah. Dia menempatkannya menurut kehendak-Nya."

Menerima jawapan seperti itu, Buhairah berkata, "Kenapa kami perlu menyerahkan batang leher kami kepada bangsa Arab untuk membelamu, jika ternyata nanti Allah memenangkanmu, pemerintahan bukan menjadi milik kami? Kami tidak perlu terhadap urusanmu itu!"

Akhirnya, Bani Amir enggan menerima tawaran Rasulullah.

Selepas pulang dari Mekah, Bani Amir melaporkan apa yang mereka alami kepada seorang tua yang tidak dapat melaksanakan haji tahun itu disebabkan usianya yang sudah tua. Mereka berkata kepadanya, "Di sana kami didatangi oleh seorang pemuda Quraisy daripada Bani Abdul Muthalib. Dia mengakui diri sebagai nabi. Dia meminta kami untuk melindungi dan membelanya serta membawanya keluar ke negeri kita."

Orang tua tersebut meletakkan kedua-dua tangannya di kepala lalu berkata, "Hai Bani Amir, tidakkah ada orang yang cuba berfikir baik-baik tentangnya? Tidak adakah yang sudi mendengarnya dengan baik? Demi Zat yang jiwa anak itu berada di tangan-Nya, anak-anak keturunan Ismail tidak pernah mencipta ajaran agama. Sesungguhnya, apa yang dikatakan oleh anak muda itu adalah benar. Kemanakah hilangnya pendirian yang dahulu ada pada kamu?"(3)

Rujukan:
(1) Diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi. Lihat Abdullah bin Muhammad an-Najdy, Mukhtashar Sirah al-Rasul, hal. 149

(2) Muhamad Sulaiman Salman al-Mansyurfuri, Rahmah li al-'Alamin, jil. 1 hal. 43. Hal ini disokong oleh Syah Akbar Khan Najib Abady dalam Tarikh Islam, jil. 1, hal. 125   

(3) Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jilid 1, hal. 424 

(Adaptasi daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

Bersambung...

4 comments:

saniahibrahim said...

Assalamualaikum ustaz
Alhamdullilah bertambah ilmu saya harini dengan membaca entry ini.

saniahibrahim said...

Assalamualaikum ustaz
Alhamdullilah bertambah ilmu saya harini dengan membaca entry ini.

Kakzakie Purvit said...

Membaca sirah baginda di awal dakwah mahu dibuat berbagai ujian melanda tetapi bila semakin lama semakin mudah Islam diterima. Dakwah tak henti itu yg mengagumkan kita. Dunia hari ini kita pun nampak semakin ramai yg menganut agama fitrah ini di lingkungan yg ramai bukan Islam. Sedihnya yg sedari lahir sudah Islam dan di negara Islam bagaikan ianya jadi terpencil dan diabaikan.

paridah said...

ASSALAM..MOGA USTAZ N FAMILI SHT SJHTRA...RASULULLAH BERDAKWAH SETULUS HATI BAGINDA N PERJUANGAN YG DIRINTANGI GALANGAN SUKAR UTK KESEJAHTERAAN KPD UMAT YG DIKASIHI BAGINDA...SUBHANALLAH

Post a Comment