foto hiasan (sumber: telegram)
Kemerdekaan adalah suatu nikmat yang didambakan oleh setiap insan di dunia ini. Perhambaan pula adalah azab yang sangat menyakitkan. Justeru, Islam mengarahkan agar setiap manusia hidup dalam keadaan merdeka.
Di dalam Kamus Dewan Kemerdekaan bermaksud bebas daripada penjajahan. Jika ia dimaksudkan dengan bebas daripada penjajahan fizikal, maka ia telah dinikmati oleh semua rakyat sejak laungan merdeka sebanyak 7 kali di Stadium Merdeka 59 tahun yang lalu. Pengalaman dijajah selama lebih 400 tahun oleh pelbagai kuasa penjajah adalah pengajaran yang sangat berharga dalam membangunkan negara yang tercinta ini.
Nikmat kemerdekaan hanya dapat dirasai oleh mereka yang pernah dijajah, atau di kalangan yang cuba merasai keperitan tanpa kemerdekaan. Justeru, kemerdekaan yang diperolehi ini sewajarnya dipelihara sebaik-baiknya. Namun, kemerdekaan fizikal sahaja tidak memadai. Sebaliknya kemerdekaan mental atau fikrah iaitu membebaskan diri sendiri daripada belenggu kesesatan yang mendiami diri. Manusia yang bebas ialah yang menyerahkan semua urusannya kepada Tuhan dalam segala hal dan sentiasa menjadikan kebaikan serta keadilan agenda utama kehidupan mereka. Inilah kemerdekaan yang hakiki.
Islam hadir di tengah masyarakat jahiliah untuk memerdekakan umat manusia daripada pengabdian sesama manusia kepada pengabdian hanya kepada Penciptanya. Allah SWT yang mencipta makhluk-Nya lebih mengetahui sejauhmana batas kebebasan seorang insan. Semuanya berlandaskan syariat.
Rub`ie bin Amir tatkala ditanya oleh panglima tentera Parsi, Rustum mengapa tentera Islam datang ke negaranya, ia berkata:
“Allah SWT telah menghantar kami untuk membebaskan manusia dari perhambaan sesama manusia kepada perhambaan hanya kepada Allah, dari kesempitan dunia kepada keluasan akhirat dan dari kezaliman agama kepada keadilan Islam.”
Yakinlah, Islam sahajalah yang dapat memerdekakan seluruh umat manusia kepada kemerdekaan hakiki. Islam yang merdeka ini bukan sahaja akan dinikmati oleh Islam, tetapi akan juga melimpahi rahmatnya kepada penganut penganut agama lain.
Lihat sahaja ketika pembukaan Kota Mesir dan Palestin Di zaman Saiyidina Umar, orang-orang bukan Islam menerima keamanan dan kemerdekaan di bawah Islam dengan nilai kebebasan yang tak pernah mereka kecapi ketika berada di bawah Rom Timur atau Rom Barat. Kebaikan yang dapat daripada futuhat Islam akan membawa segala kebaikan dan keadilan kepada semua masyarakat dan kaum.
Salam Kemerdekaan buat jiwa yang merdeka!
2 comments:
ASSALAM USTAZ MOGA SHT SJHTERA SEIISI FAMILI...MOGA JIWA RAGA KITA BEBAS MERDEKA SEPENUHNYA DRPD PENJAJAHAN N PERHAMBAAN
Salam kak paridah..
Salam kemerdekaan kembali..selamat mrnyambut hari kebangsaan ke 59..
Post a Comment