foto hiasan ~ sumber
Riya` ialah beramal untuk dilihat orang, dipuji dilihat orang. Abul Laits berkata: "Dikatakan kepada mereka sedemikian itu, kerana amal perbuatan mereka ketika di dunia secara tipuan, maka dibalas demikian."
Firman Allah SWT:
Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya. (al-Baqarah: 9)
Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abu Hurairah ra. berkata, daripada Nabi saw bersabda: Allah SWT telah berfirman: "Akulah yang terkaya dari semua sekutu, Aku tidak berhajat kepada amal yang dipersekutukan yang lain-lain, maka siapa yang beramal lalu mempersekutukan kepada lain-lain-Ku, maka Aku lepas bebas dari amal itu."
Hadis ini sebagai dalil bahawa Allah SWT tidak menerima amal, kecuali yang ikhlas kepada-Nya. Maka jika tidak ikhlas, tidak diterima, dan tidak ada pahalanya. Bahkan tempatnya tetap dalam neraka, sebagaimana dalam surah al-Israa`:
"Sesiapa yang menghendaki (kesenangan hidup) dunia, Kami akan segerakan kepadanya dalam dunia apa yang Kami kehendaki, bagi sesiapa yang Kami kehendaki; kemudian Kami sediakan baginya neraka Jahannam (di akhirat kelak), untuk membakarnya dalam keadaan yang hina lagi tersingkir dari rahmat Allah. Dan sesiapa yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal-amal yang baik untuk akhirat dengan usaha yang layak baginya, sedang ia beriman, maka mereka yang demikian keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya." (al-Israa`: 18-19)
Daripada ayat ini nyatalah bahawa yang beramal kerana Allah maka akan diterima, sedang yang beramal tidak kerana Allah tidak akan diterima dan hanya mendapat lelah dan susah semata-mata. Sebagaimana dinyatakan dalam hadis, Abu Hurairah ra. berkata, nabi saw bersabda: "Adakalanya orang puasa dan tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan haus. Dan adakalanya orang bangun malam dan tidak mendapat apa-apa daripada bangunnya kecuali tidak tidur semata-mata, (yakni tidak mendapat pahala daripada amalnya)."
Firman Allah SWT:
Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan. (al-Furqan: 23)
Waqi` meriwayatkan daripada Sufyan ath-Thauri daripada orang yang mendengar Mujahid berkata: "Seorang datang kepada Nabi saw dan berkata: Ya Rasulullah, saya bersedekah mengharap keredhaan Allah dan ingin juga disebut dengan baik.Maka turunlah ayat 110 surah al-Kahfi:
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya".
(Adaptasi daripada Tanbihul Ghafiliin)
2 comments:
Duduknya hati kita di dalam diri kecil sangat berbanding pancaindera kita yg lain seperti tangan/kaki tapi hati inilah yg paling susah utk dididik. Godaan syaitan keliling sering membuat kita tak sedar riak itu ujud dlm diri. Bukan kita tak tahu tapi ada kalanya ia lahir diluar kawalan.
Itulah pentingnya selalu dibawa telinga/mata kakak ini utk ditazkirahkan.
Salam kakzakie,
Betul tu, susahnya mendidik hati utk selari dgn kehendak iman. Disebutkan cepatnya hati berubah-ubah lebih cepat drp masakan di atas dapur. Mudah-mudahan hati kita sentiasa terpelihara drp sifat mazmumah termasuk sifat riya'...Allahu al-Musta'an
Post a Comment