Sepatutnya entri ini dicatat pada hari Sabtu lepas, sejurus berakhirnya program, ataupun pada Ahad keesokkannya, barulah kena dan sesuai kerana masih terasa hangatnya. Tetapi setelah berakhir program pada siangnya, saya ‘melepek’ pada malamnya. Tidak mampu mencelikkan mata kerana kepenatan yang sudah hampir ke tahap maksimum.
Mengendalikan program yang melibatkan hadirin yang ramai bukanlah sesuatu yang mudah. Komitmen dan kerjasama daripada setiap petugas amat-amatlah ditagih demi memastikan ianya berjaya dilaksanakan. Bayangkan jika majlis perkahwinan yang melibatkan satu pasangan pun sudah terasa penatnya, inikan pula pengantin seramai 16 pasangan.
Gerakerja telah bermula sejurus berakhirnya aidilfitri. Mesyuarat demi mesyuarat dihadiri, kemudian gerakerja mencari dana yang bukan sedikit juga bermula. Saya sendiri telah dilantik menjawat jawatan setiausaha program. Setelah puas ‘bersilat’ lidah menolaknya, memandangkan saya mempunyai banyak lagi komitmen yang lain. Tetapi akhirnya saya terpaksa akur juga dengan desakan sahabat-sahabat. Mudah-mudahan ia menjadi asbab Allah SWT memudahkan urusan saya, kerana memudahkan urusan orang lain, itulah doa yang saya panjatkan sebaik menerima jawatan setiausaha program walimah ini.
Program Walimah Perdana 3.0 adalah satu program majlis perkahwinan beramai-ramai yang dianjurkan oleh Pas Kawasan Indera Mahkota, Kuantan dan Paya Besar. Ia diadakan di tepi pantai Kampung Sungai Ular, Kuantan. Seramai 16 pasangan diijabqabul dan diraikan dalam satu majlis yang meriah. Bayaran yang dikenakansangatlah murah iaitu sebanyak RM1500 bagi setiap pasangan. Manakala lain-lain kos ditanggung oleh pihak penganjur melalui infaq, sumbangan dan derma orang ramai.
Contohnya daging lembu, kami membuka ruang bagi sesiapa yang mahu menderma melalui pelaksanaan aqiqah. Alhamdulillah, sebanyak 12 ekor lembu ditumbangkan atas nama aqiqah, manakala daging import sebanyak 1800kg sebagai tambahan untuk tetamu yang dianggarkan seramai 20K. Begitu juga dengan promosi, penyediaan bahan masakan, kain untuk pakaian pengantin, pasukan kompang, silat, persembahan dikir barat, konvoi motosikal berkuasa tinggi serta pacuan 4 roda untuk membawa pengantin disediakan oleh pihak penganjur. Pendekata, sangat mudah dan murah bagi mereka yang menyertai walimah perdana ini.
Memang pun tujuan asal walimah perdana ini diadakan untuk memudahkan pasangan mendirikan rumah tangga. Dalam keadaan kos yang sangat tinggi dewasa ini, walimah perdana menjadi satu alternatif yang tepat bagi anak muda atau sesiapa sahaja yang layak untuk mendirikan rumah tangga. Alhamdulillah, program ini juga turut disokong (dibantu) oleh pihak pejabat agama daerah.
Apa pun, program walimah perdana 3.0 sudah selesai. Tinggal lagi kami yang menjadi petugas program, melayan kepenatan yang di tahap ‘gaban’ ini. Namun, kegembiraan dan kepuasan tetap ada. Semoga kepenatan ini ada nilai pahala di sisi Allah SWT. Oh ya, semalam sahabat saya yang menjadi pengarah program memaklumkan sudah ada yang menghubunginya untuk menyertai walimah perdana 4.0 nanti. Tersenyum saya mendengarnya. Penat pun belum hilang lagi..
Beberapa foto untuk tatapan..
1 comments:
Subhanallah... suka pulak kakak tengok program ini. Mesti ramai pasangan yg diraikan puas hati sebab yg meraikan bukan sedikit tapi ramai.
Anjuran yg patut dicontohi.
Post a Comment