Ketika Nabi Muhammad sedang berada pada peringkat di mana dakwah baginda mulai merentas sebuah jalan antara seksaan dan kemenangan serta mula lahir menjadi bintang-bintang kecil yang berkelip-kelip di ufuk nan jauh, maka terjadilah peristiwa Israk dan Mikraj.
Waktu terjadinya Israk Mikraj
Berkaitan pemastian waktu terjadinya Israk Mikraj, para ulama memiliki pendapat yang berbeza, antaranya:
1. Ada yang mengatakan bahawa peristiwa Israk Mikraj terjadi pada tahun ketika Allah memuliakan Rasulullah saw dengan kenabian. Pendapat ini dipilih oleh Imam at-Tobari.
2. Ada yang mengatakan bahawa peristiwa Israk Mikraj terjadi setelah lima tahun Rasulullah saw diangkat menjadi nabi. Pendapat ini dirajihkan oleh Imam Nawawi dan Imam al-Qurthubi.
3. Ada yang mengatakan bahawa peristiwa Israk Mikraj terjadi pada malam 27 pada bulan Rejab tahun kesepuluh kenabian. Pendapat ini dipilih oleh al-`Allamah al-Mansyurfuri.
4. Ada yang mengatakan bahawa peristiwa Israk Mikraj terjadi pada 16 bulan sebelum hijrah, tepatnya pada bulan Ramadhan tahun kedua belas kenabian.
5. Ada yang mengatakan bahawa peristiwa Israk Mikraj terjadi pada satu tahun dua bulan sebelum hijrah, tepatnya pada bulan Muharam tahun ke 13 kenabian.
6. Ada pula yang mengatakan bahawa peristiwa Israk Mikraj terjadi pada 1 tahun sebelum hijrah, tepatnya pada bulan Rabiul Awal tahun ke 13 kenabian.
Tiga pendapat yang teratas dibantah oleh fakta bahawa Khadijah meninggal dunia pada bulan Ramadhan tahun kesepuluh kenabian, iaitu sebelum solat lima waktu diwajibkan. Di sini tidak ada perselisihan bahawa solat lima waktu diwajibkan pada malam Israk Mikraj.(1)
Manakala, tiga pendapat yang lain, saya belum menemui suatu bukti yang kuat untuk merajihkan salah satunya. Jika dilihat pada konteks Surah al-Israk, maka ia menunjukkan bahawa peristiwa Israk Mikraj terjadi pada masa yang sangat akhir.
Penjelasan Peristiwa Israk Mikraj
Para imam hadis meriwayatkan keterangan tentang peristiwa Israk Mikraj. Berikut kami sajikan riwayat tersebut secara ringkas.
Ibnu al-Qayyim berkata, “Rasulullah saw diisrakkan dengan jasad baginda, menurut pendapat yang sahih, bermula dari Masjidil Haram hingga Baitul Maqdis, dengan menunggang buraq dan ditemani oleh Jibril. Di sana baginda singgah sejenak dan baginda bersolat bersama para nabi dengan menjadi imam, sementara buraq diikat pada tali pintu masjid.
“Kemudian pada malam itu juga baginda dimikrajkan dari Baitul Maqdis sampai di langit dunia. Jibril meminta agar pintu langit dibukakan untuk Rasulullah saw, maka pintu itu pun dibukakan untuk baginda. Di sana Rasulullah saw melihat Nabi Adam, ayah seluruh manusia. Rasulullah saw mengucapkan salam kepada Nabi Adam, lantas Nabi Adam pun menyambut baginda, membalas ucapan salam baginda serta membenarkan kenabian baginda. Di sana Allah memperlihatkan roh para syuhada kepada Nabi Muhammad dari sisi kanan baginda dan roh orang yang sengsara dari sisi kiri baginda.
“Seterusnya Rasulullah saw dimikrajkan lagi hingga sampai di langit kedua. Jibril meminta pintu langit dibukakan untuk Rasulullah saw seperti tadi. Di sana Rasulullah s.a.w. melihat Nabi Yahya bin Zakaria dan Nabi Isa bin Maryam. Baginda bertemu dengan kedua-duanya lalu mengucapkan salam kepada mereka berdua. Nabi Yahya dan Nabi Isa pun menyambut kedatangan baginda, membalas salam baginda dan membenarkan kenabian baginda
“Selepas itu Rasulullah saw dimikrajkan sampai di langit ketiga. Di sana baginda melihat Nabi Yusuf. Sama seperti yang lainnya, Nabi Yusuf membalas ucapan salam Rasulullah saw, menyambut baginda dan membenarkan kenabian baginda.
“Rasulullah saw dimikrajkan sampai di langit keempat. Di sana baginda melihat Nabi Idris. Sama seperti yang lainnya, Nabi Idris membalas ucapan salam Rasulullah saw, menyambut baginda dan membenarkan kenabian baginda.
“Seterusnya Rasulullah saw dimikrajkan sampai di langit kelima. Di sana baginda melihat Nabi Harun bin Imran. Sama seperti yang lainnya, Nabi Harun membalas ucapan salam Rasulullah saw, menyambut baginda dan membenarkan kenabian baginda.
“Selepas itu Rasulullah saw dimikrajkan sampai di langit keenam. Di sana baginda berjumpa dengan Nabi Musa bin Imran. Sama seperti yang lainnya, Nabi Musa membalas ucapan salam Rasulullah saw, menyambut baginda dan membenarkan kenabian baginda. Ketika Rasulullah saw telah berlalu pergi, Nabi Musa menangis. Maka ada yang bertanya kepada Nabi Musa, ‘Apakah yang membuatmu menangis?’ Nabi Musa menjawab,
أَبْكِي لِأَنَّ غُلاَمًا بُعِثَ بَعْدِي يَدْخُلُ الجَنَّةَ مِنْ أُمَّتِهِ أَكْثَرُ مِمَّنْ يَدْخُلُهَا مِنْ أُمَّتِي
"Aku menangis kerana anak muda yang diutus selepasku itu jumlah umatnya yang masuk syurga lebih banyak berbanding jumlah umatku yang masuk syurga."
“Selepas itu Rasulullah saw dimikrajkan hingga ke langit ketujuh. Di sana baginda berjumpa dengan Nabi Ibrahim. Sama seperti yang lainnya, Nabi Ibrahim membalas ucapan salam Rasulullah saw, menyambut baginda dan membenarkan kenabian baginda.
“Setelahnya Rasulullah saw diangkat hingga sampai di Sidratul Muntaha lalu Baitul Makmur ditinggikan untuk baginda. Seterusnya baginda dimikrajkan lagi sehingga sampai di hadapan al-Jabbar Jalla Jalaluhu (Allah ). Baginda terus didekatkan kepada Allah sehingga jaraknya hanya tinggal sepanjang dua busur panah atau lebih dekat lagi. Kemudian Allah mewahyukan kepada hamba-Nya apa yang telah diwahyukan-Nya serta mewajibkan 50 kali solat kepadanya.
“Rasulullah saw pulang sehingga bertemu dengan Nabi Musa. Nabi Musa bertanya, "Apakah perintah Allah untukmu?" Rasulullah saw menjawab, "Untuk melakukan solat 50 kali." Nabi Musa berkata, "Sesungguhnya umatmu tidak akan sanggup melakukannya. Kembalilah kepada Tuhanmu dan mintalah keringanan daripada-Nya untuk umatmu." Rasulullah saw menoleh kepada Jibril, seolah-olah baginda meminta pendapat Jibril tentang hal itu. Jibril pun memberi isyarat seakan-akan dia berkata, "Ya, jika kamu mahu."
“Maka Jibril naik semula bersama Rasulullah saw hingga sampai di hadapan al-Jabbar Tabaraka wa Taala (Allah) dan Dia masih di tempat-Nya (ini adalah lafaz yang dibawakan oleh Imam al-Bukhari pada beberapa riwayat). Jumlah solat itu dikurangkan sebanyak sepuluh kali.
“Kemudian Rasulullah saw turun sampai baginda bertemu lagi dengan Nabi Musa. Kepada Nabi Musa, baginda menyatakan apa yang terjadi. Nabi Musa pun berkata, "Kembalilah lagi kepada Tuhanmu. Mintalah lagi keringanan daripada-Nya." Kejadian Rasulullah saw bertemu Nabi Musa dan berhadapan dengan Allah ini terjadi berulang kali, sehingga Allah menetapkan bahawa solat yang diwajibkan hanya lima kali sehari.
“Sebenarnya Nabi Musa masih menyuruh Rasulullah saw untuk kembali meminta keringanan. Namun begitu, Rasulullah saw berkata,
قَدْ اسْتَحْيَيْتُ مِنْ رَبِّي وَلَكِنِّي أَرْضَى وَأُسَلِّمُ
"Aku malu terhadap Tuhanku. Aku telah redha dan menerimanya."
“Setelah beberapa saat ada seruan yang kedengaran,
أَمْضَيْتُ فَرِيضَتِي، وَخَفَّفْتُ عَنْ عِبَادِي
"Telah Ku-tetapkan kewajipan daripada-Ku dan telah Ku-ringankan untuk hamba-Ku."(2)
Rujukan:
(1) Lihat pendapat-pendapat tersebut dalam Ibnu Qayyim al-Jauziyah, Zad al-Ma’ad, jil II, hlm. 49; Abdullah bin Muhammad al-Najdy, Mukhtashar Sirah al-Rasul, hlm. 148-149; Muhammad Sulaiman Salman al-Mansyurfuri, Rahmah li al-‘Alamin, jil I, hlm. 76 dan Syah Akbar Khan Najib Abady, Tarikh Islam, jil I, hlm. 124.
(2)Ibnu Qayyim al-Jauziyah, Zad al-Ma’ad, jil II, hlm. 47-48.
(Adaptasi daripada al-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)
Bersambung...
(2)Ibnu Qayyim al-Jauziyah, Zad al-Ma’ad, jil II, hlm. 47-48.
(Adaptasi daripada al-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)
Bersambung...
1 comments:
ASSALAM...MOGA SHT SEISI KELIRGA DLM KEBERKATANNYA...
ULANG MEMBACA KISAH ISRAQ MIKRAJ JUNJUNGAN NABI SAW YG MULIA..TKSH
Post a Comment