Hikmah Di Sebalik Israk Mikraj
Dalil paling ringkas sekaligus paling kuat yang berisikan alasan wujudnya Israk Mikraj adalah firman Allah Taala,
لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا
“Supaya Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda pemerintahan Kami,” (Al-Israk: 1).
Inilah sunatullah yang berlaku kepada para nabi, sebagaimana firman Allah,
وَكَذَلِكَ نُرِي إِبْرَاهِيمَ مَلَكُوتَ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَلِيَكُونَ مِنَ الْمُوقِنِينَ (٧٥)
“Dan seperti itulah kami memperlihatkan kepada Ibrahim tanda-tanda pemerintahan Kami di langit dan bumi supaya dia menjadi sebahagian daripada orang yang yakin.” (Al-An‘am: 75).
Kemudian, firman Allah kepada Nabi Musa,
لِنُرِيَكَ مِنْ آيَاتِنَا الْكُبْرَى (٢٣)
“Supaya Kami perlihatkan kepadamu sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran Kami.” ( Taha: 23)
Kehendak Allah untuk menerangkan tanda-tanda kebesaran-Nya kepada para nabi-Nya itu mempunyai sebuah maksud luhur, iaitu, “Supaya dia menjadi sebahagian daripada orang yang yakin.”
Setelah pengetahuan para nabi dihubungkan kepada penglihatan mereka terhadap tanda-tanda pemerintahan Allah, mereka dapat melihat dengan pandangan yang penuh yakin sesuatu yang tiada bandingannya, walaupun khabar-khabar yang disampaikan kepada mereka tidak terlihat langsung dengan mata.
Oleh itu, mereka mampu memikul suatu amanah di jalan Allah yang tidak mampu dipikul oleh manusia lain. Dengan itu juga, seluruh kekuatan duniawi serta-merta menjadi seperti sayap nyamuk bagi mereka, sehingga mereka sama sekali tidak berasa sakit ketika kekuatan-kekuatan itu mendera mereka dengan pelbagai ujian dan seksaan.
Pelbagai hikmah dan rahsia yang terdapat pada setiap bahagian perjalanan Israk Mikraj merupakan isi perbahasan buku-buku yang mengkaji tentang rahsia syariat. Ada hakikat-hakikat sederhana tetapi sarat dengan makna yang terpancar daripada perjalanan yang penuh berkat ini.
Dan kemudian hakikat-hakikat itu meluncur deras membasahi taman-taman sirah Nabi Muhammad (semoga selawat dan salam penghormatan yang layak dilimpahkan kepada baginda) di mana saya berasa perlu mencatatkan sebahagian daripadanya secara ringkas.
Pembaca dapat melihat dalam Surah al-Israk bahawa Allah menyebutkan peristiwa Israk hanya pada satu ayat. Selepas itu Allah lebih banyak menyatakan tentang kelancangan dan kejahatan Yahudi, yang disudahi dengan ayat bahawa al-Quran membimbing manusia ke jalan yang lebih lurus. Pembaca mungkin menyangka bahawa antara ayat pertama Surah al-Israk yang menyentuh tentang peristiwa Israk tidak ada hubungannya dengan ayat-ayat selepasnya.
Padahal sebenarnya, dengan urutan penuturan yang seperti itu, Allah memberi isyarat bahawa peristiwa Israk yang berlaku di Baitul Maqdis itu merupakan petanda bahawa Yahudi akan diturunkan kepimpinannya kepada umat manusia. Itu terjadi disebabkan oleh pelbagai tindakan kejahatan yang mereka lakukan yang tidak meninggalkan satu kesempatan pun bagi mereka untuk mempertahankan kedudukan tersebut.
Kemudian, secara jelas Allah akan memindahkan kedudukan kepimpinan tersebut kepada rasul-Nya. Itu bererti Allah menghimpunkan dua markas dakwah keturunan Nabi Ibrahim (Mekah dan Baitul Maqdis) sekaligus kepada Rasulullah saw.
Masa pergantian kepimpinan rohani daripada satu umat kepada umat lain itu akhirnya datang. Maka bergeserlah kepimpinan tersebut daripada suatu umat yang sejarah kehidupannya dipenuhi dengan pelanggaran, pengkhianatan, perbuatan dosa dan permusuhan kepada umat yang kehidupannya dipenuhi dengan kebajikan dan kebaikan. Rasul umat yang baik itu sentiasa menerima wahyu al-Quran yang memberi petunjuk kepada jalan yang lebih lurus.
Persoalannya, bagaimanakah proses pergantian kepimpinan ini berlaku, padahal Rasulullah saw hanya berpusing di pergunungan Mekah kerana diburu oleh manusia? Pertanyaan ini menyingkap penutup sebuah hakikat yang lain, iaitu bahawa peringkat dakwah Islam di Mekah hampir sampai pada titik akhir dan kesempurnaannya, lalu akan bermula peringkat lain yang perjalanannya berbeza dengan yang pertama.
Oleh itu, kita melihat beberapa ayat dalam Surah al-Israk berisikan peringatan yang tegas dan ancaman yang keras kepada orang Musyrik. Antaranya,
وَإِذَا أَرَدْنَا أَنْ نُهْلِكَ قَرْيَةً أَمَرْنَا مُتْرَفِيهَا فَفَسَقُوا فِيهَا فَحَقَّ عَلَيْهَا الْقَوْلُ فَدَمَّرْنَاهَا تَدْمِيرًا (١٦)
“Apabila Kami hendak membinasakan suatu negeri, Kami perintahkan orang yang hidup mewah di dalamnya supaya mentaati Kami. Tetapi, mereka berbuat kefasikan di dalamnya, sehingga telah selayaknya perkataan (ketetapan Kami) berlaku atas mereka. Maka Kami hancurkan negeri itu dengan sehancur-hancurnya.” (Al-Israk’: 16).
وَكَمْ أَهْلَكْنَا مِنَ الْقُرُونِ مِنْ بَعْدِ نُوحٍ وَكَفَى بِرَبِّكَ بِذُنُوبِ عِبَادِهِ خَبِيرًا بَصِيرًا (١٧
"Sudah berapa banyak kaum yang Kami binasakan semenjak zaman Nuh. Dan Tuhanmu telah cukup mengetahui dan melihat dosa-dosa yang dilakukan oleh hamba-hamba-Nya.” (Al-Israk’: 17)
Selain ayat-ayat tersebut, difirmankan juga ayat-ayat lain dalam Surah al-Israk yang menjelaskan asas sebuah kemodenan kepada umat Islam. Atas asas itulah umat Islam yang Islamik dibangunkan. Ayat-ayat itu bertutur seolah-olah umat Islam telah memijakkan kakinya di seluruh penjuru bumi, mengatur hajat hidup semua manusia di pelbagai tempat serta membentuk suatu ciri kesatuan yang dipegang oleh seluruh anggota masyarakat.
Oleh itu, peristiwa Israk mengandung isyarat bahawa Rasulullah saw akan menemui tempat berlindung dan tempat yang selamat untuk mengukuhkan urusannya (dakwahnya) di sana, di mana tempat itu akan menjadi markas untuk mengembangkan dakwah Islam ke seluruh penjuru dunia.
Itulah salah satu rahsia daripada perjalanan yang penuh berkat tersebut. Oleh sebab rahsia tersebut memiliki kaitan dengan kajian kita, maka saya sengaja menunjukkannya di sini.
Atas dasar hikmah tersebut dan hikmah-hikmah yang lain, saya berpendapat bahawa peristiwa Israk terjadi sebelum Baiat Aqabah yang pertama atau terjadi antara dua baiat Aqabah. Wallahu a’lam.
(Adaptasi daripada al-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)
4 comments:
ASSALAM..SEMOGA DILINDUNGI ALLAH USTAZ SEKELURGA DGN RAHMAT N KURNIANYA..SHT SJHTRA.
PERKONGSIAN YG MENARIK DIBACA..TKSH.
Salam kak paridah, terima kasih atas kunjungan...semoga bermanfaat
Bila baca entri kini kakak terpanggil banyak isu. Kepimpinan pemerintah dari dulu hingga kini. Isu Islam memang ada walau dimana jua amat jelas. Baiah Aqobah juga satu yg jelas di mata kita jua. Sama2 kita renungkan dgn keadaan skrg.
Bila baca entri kini kakak terpanggil banyak isu. Kepimpinan pemerintah dari dulu hingga kini. Isu Islam memang ada walau dimana jua amat jelas. Baiah Aqobah juga satu yg jelas di mata kita jua. Sama2 kita renungkan dgn keadaan skrg.
Post a Comment