Sahabat Sejati

Wednesday, 4 May 2016

Hari Terbuka TLDM di Mawilla 1 Tanjung Gelang Kuantan, sempena sambutan Hari TLDM ke-82


Hari terbuka TLDM pada 30 April - 1 Mei 2016, sempena dengan Sambutan Hari TLDM ke-82.  Lokasinya di Pangkalan TLDM Tanjung Gelang, Kuantan. Ia adalah sambutan rutin pada setiap tahun. Berbagai aktiviti menarik yang disediakan untuk para pengunjung.

Biasanya saya tidak melepaskan peluang untuk ke sana bersama keluarga. Tetapi pada tahun lepas saya terlepas untuk memeriahkannya kerana bertindan dengan program lain. Jadi, dua minggu sebelum itu saya telah 'setting' awal-awal jadual program agar tidak berulang 'tragedi' yang sama. Lagipun, anak-anak semuanya akan pulang dari asrama. (Tanpa mengetahui along Ikhwan akan masuk wad selama 4 hari). Dalam hati, "hmm..tak jadi juga agaknya nak ke sana. Tak apalah, nak buat macamana, sudah taqdir." 

Tetapi disebabkan anak-anak mahu pergi juga, termasuk along Ikhwan yang masih terhencot-hencot, lalu petang itu saya menghidupkan enjin kereta untuk ke sana. Ini juga taqdir Allah yang mengizinkan kami pergi... 



 
'Parking' sahaja kereta, wah, terujanya melihat kapal-kapal yang berlabuh.  Saya tertarik dengan persiapan pihak penganjur yang amat sistematik. Bermula dengan promosi, 'guide' penunjuk jalan, susun atur meletak kenderaan, tentatif program dan sebagainya.

Teringat semasa kecil dahulu ketika di sekolah rendah apabila cikgu bertanya mengenai cita-cita. Dengan bersemangat saya menjawab mahu menjadi tentera laut. Masa itu minat sangat dengan kapal. Lagipun ada beberapa orang 'navy' yang menyewa berhampiran rumah ayahanda. Makin bercambah minat apabila melihat mereka gagah dan segak dengan uniformnya. Taqdirnya, naik sekolah menengah minat beralih arah. Cenderung pula kepada pengajian agama. Akhirnya cita-cita mahu menjadi tentera laut terus berkubur. Taqdir Allah, pasti ada kebaikan!   




Saya bersama 'si kecil haikal yang istimewa di atas kapal KD Ganyang. Meninjau-ninjau senjata meriam di bahagian hadapan kapal. Setiap kapal mempunyai meriam di bahagian hadapan dan belakang. Saiz meriam bergantung kepada saiz kapal. Jika besar kapalnya maka besarlah saiz meriamnya.Manakala di sebelah KD Ganyang adalah kapal KD Pendekar. Bentuk dan saiznya sama dan merupakan kapal peronda yang telah lama usianya.

Jika diikutkan kami sekeluarga mahu membatalkan rancangan ke hari terbuka TLDM ini, memandangkan along Ikhwan masih lagi di dalam wad. Tetapi apabila along Ikhwan dibenarkan pulang pada hari Sabtu (30/04), rancangan tersebut diteruskan semula. Jadi, petang keesokannya (01/05) kami bertolak ke sana dalam keadaan along Ikhwan masih berjalan terhencot-hencot. Tak apalah, sebenarnya dia yang beria-beria sangat mahu pergi ke sana.  Teruja sampai terlupa pada kakinya yang sakit.




Pemandangan dari atas kapal KD Ganyang. Di hadapan ada dua buah lagi kapal, tetapi saya tidak ingat namanya. Jika tidak silap ia milik Agensi MARITIM. 




Menapak ke kapal KD SELANGOR yang merupakan satu di antara dua buah kapal yang paling besar di sini. Tak sabar-sabar mahu meneroka apa yang ada di dalamnya. Kapal KD Selangor telah ditauliahkan dalam perkhidmatan TLDM pada tahun 2010 di Pangkalan TLDM Lumut, untuk menggantikan kapal peronda KD Sri Selangor yang dilucutkan tauliah pada tahun 1995.  
        



Di atas kapal KD Selangor, bersama seorang anak kapalnya sangat bermurah hati mengiringi kami sekeluarga dan melayani setiap pertanyaan yang dikemukakan. Alhamdulillah, penerangan yang diberikan sangat membantu. Menurutnya, KD Selangor sepanjang 91.1 meter dan lebar 12.8 meter menggunakan sistem persenjataan STN Atlas Cosys 110-M1 dan senjata utamanya ialah meriam 76 milimeter (mm) OTO Melara dan meriam 30 mm OTO Breda.
  



Di dalam bilik kawalan. Bilik ini umpama otak kepada kapal, kerana di sinilah terletaknya semua sistem kawalan. Jika hari biasa memang tidak boleh masuk ke kawasan ini. Tetapi pada hari ini mahu bergambar pun dibenarkan.




Ini pula kapal KD LEKIR. Saiznya pun lebih kurang dengan KD Selangor. KD Lekir telah ditauliahkan pada tahun Ogos 1984 dan kini berkhidmat dalam Skuadron Korvet ke-22. Ia juga merupakan kapal termoden dan paling berupaya dalam perkhidmatan Tentera Laut Diraja Malaysia. Ketika pertikaian kepulauan Spratly, kapal ini terlibat secara aktif dalam rondaan-rondaan dan pengawasan, terutama pemantauan aktiviti kapal selam.




Pemandangan waktu petang dari atas kapal KD Lekir. Subhanallah! 

"Tidakkah engkau memerhatikan bahawa Allah memasukkan malam pada siang dan memasukkan siang pada malam (silih berganti), dan Ia memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)? Tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan." (Luqman: 29)




Sebelum pulang, ambil gambar 'sign' nama kapal. Terlupa mahu mengambil gambarnya sewaktu mula-mula sampai tadi.  Obses sangat mahu menjejak kaki di atas deknya. 

KD PENDEKAR sebuah kapal daripada empat kapal yang terdapat dalam Skuadron Kapal Pembinasa Laju (Misil) Ke-2 ‘Spica M’. Kapal ini telah dibina di Limbungan Karlskronadi Sweden pada tahun 1976 dan siap sepenuhnya pada tahun 1979. KD PENDEKAR telah ditauliahkan pada 21 Ogos 79, seterusnya dilancarkan pada 26 Okt 79 di Karskkronavarvet AB, Sweden. Skuadron Kapal Pembinasa Laju (Misil) Ke-2 atau dikenali sebagai FAC (M) II terdiri daripada empat buah kapal kelas Handalan (Spica M) iaitu KD HANDALAN, KD PERKASA, KD PENDEKAR dan KD GEMPITA. Pegawai Memerintah Pertama KD Pendekar ialah Maj (Laut) Ng Chin Phing.

KD GANYANG pula merupakan salah sebuah kapal dari skuadron pertama Kapal Pembinasa Laju (Misil) disamping KD PERDANA, KD SERANG dan KD GANAS. KD Ganyang telah ditauliahkan pada 20 Mac 1973 di Limbungan Cherboug, Perancis. Maknanya sudah 'tua' kapal ini. Pegawai Memerintah KD Ganyang yang pertama ialah Lt Kdr Aminuddin bin Abdullah.




Masa untuk berangkat pulang dengan seribu kenangan dan pengetahuan. Katanya malam ini ada acara pertunjukan cahaya. Tapi saya tak datang sebab tak larat dah!




Cuma sempat mengambil gambar, tak dapat naik kerana hari sudah lewat petang. Jika panjang umur, punyai masa dan upaya, insya-Allah kami datang lagi. 

2 comments:

Kakzakie Purvit said...

Lawatan yg penuh bermakna. Kakak tak pernah lagi berkunjung ke Hari Terbuka begini. Kesian juga dgn anakanda Ikhwan tu - tapi itulah kalau exited rasa sakit berkurang sebab dah di operate berbanding sebelumnya lagi sakit berdenyut. Ini sakit menanti sembuh tak sama..

paridah said...

Assallam semoga ustaz n famili sht sjhtra semuanya n anakanda semakin pulih sakit kakinya. Pengalaman menarik dpt melawat kapal TLDM yg berlabuh di Tanjung Gelang. Tapi kalau dpt blyr bersama ke laut lepas tentu best sgt...

Post a Comment