Sahabat Sejati

Wednesday, 10 February 2016

Solatullah-wa-salamuhu-ala-Rasulillah (5)

Ghaqat al-Qalis, dipercayai binaan Abrahah untuk menandingi Kaabah di Mekah. (sumber)

Sementara ringkasan untuk kejadian yang kedua pula, tatkala Abrahah al-Shabbah al-Habasyi (gabenor yang ditugaskan oleh Najasyi di Yaman) melihat orang Arab berhaji ke Kaabah, maka dia membangunkan sebuah gereja besar di Shanaa`. Dia ingin memalingkan haji orang Arab ke gereja tersebut. Rancangan itu didengari oleh seorang lelaki daripada Bani Kinanah. Maka pada suatu malam, lelaki tersebut mencuri-curi masuk ke gereja itu dan melumur dindingnya dengan kotoran haiwan. Mengetahui hal itu, Abrahah menjadi marah. Dia menghimpunkan pasukan dalam jumlah besar, mencapai 60 ribu orang menuju ke Kaabah untuk menghancurkan.

Dia memilih gajah yang paling besar untuk dirinya sendiri. Dalam pasukannya terdapat 9 atau 13 ekor gajah. Pasukannya berjalan tanpa henti hingga tiba di sebuah tempat bernama Maghmas. Di situlah dia menggerakkan kekuatan pasukannya, mempersiapkan gajahnya dan bersiap-siap masuk ke kota Mekah. Namun begitu, tatkala sampai di Lembah Muhassar yang terletak di antara Muzdalifah dan Mina, tiba-tiba gajahnya duduk dan tidak mahu bangkit lagi menuju ke Kaabah. Setiap kali mereka mengarahkan gajah tersebut ke arah selatan, utara atau timur, gajah itu bergerak maju dengan cepat. Namun apabila dihadapkan ke arah Kaabah, gajah itu duduk.   

Dalam keadaan seperti itu, Allah mengirimkan sekawan burung ababil yang melempar batu-batu panas kepada mereka daripada tanah liat yang terbakar. Allah membuatkan mereka musnah bagaikan dedaunan hijau yang dimakan ulat. Burung ababil bentuknya hampir mirip dengan burung layang-layang atau burung pipt. Setiap ekor burung ababil membawa tiga biji batu sebesar biji kacang, satu biji diparuhnya dan dua biji dikakinya. Batu-batu itu menghujani Abrahah dan tentera mereka sehingga ramai daripada mereka yang mati.

Namun begitu, tidak semua pasukan Abrahah terkena hujan batu panas. Mereka yang kena lari bertempiaran dan saling memijak satu sama lain hingga akhirnya mereka semua mati di merata tempat. Akhirnya Allah mengirimkan wabak penyakit untuk Abrahah yang menyebabkan jari dan lengannya terputus. Setelah menginjakkan kaki di Shanaa` dia telah menjadi seperti mayat hidup, hanya tinggal kepala dan badan. Selang beberapa lama, dadanya terbelah sehingga hatinya keluar dan dia pun mati perlahan-lahan.

Ketika pasukan Abrahah menggempur Mekah, orang Quraisy telah lari bertempiaran menuju ke gunung, bahkan ada yang berlindung di puncak-puncak gunung. Setelah pasukan Abrahah ditimpa kejadian yang mereka alami, barulah orang Quraisy pulang ke rumah dalam keadaan aman.(1)

Rujukan:
(1) Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil.i, hal. 43-56 dan Sayyid Abu al-A`la al-Maududy, Tafhim al-Quran, jil. vi, hal. 462-469.

(Adaptasi daripada al-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

Bersambung..

3 comments:

paridah said...

Assalam...Astaghfirullah bahana kemurkaan Allah begitu menginsafkan walau dlm nota sejarah.

Kakzakie Purvit said...

Itulah sebabnya bila kakak membaca suroh ababil mesti teringat sejarah/kisah ini AI. Satu kisah yg sebenarnya sangat menginsafkan betapa jika Allah berkehendak jadi - maka jadilah. Macam burung membawa batu dan tentera bergajah itu cuba bandingkan.

iryantyismail said...

Betul kata kak zakie tu...kisah ababil juga sering diceritakan sejak zaman kanak2..

Post a Comment