Sahabat Sejati

Thursday, 4 February 2016

Lemang bakar, lemang rebus...hentam sajalah labu...

Deretan gerai lemang di Kijal - sumber foto
 
“Eh, nak ke mana ni?” Tanya isteri saya di sebelah, kehairanan apabila saya tidak membelokkan kenderaan memasuki simpang ke Bakau Tinggi. 

“Oh, nak jalan-jalan ke Kuala Terengganu.” Jawab saya bersahaja diselangi ketawa kecil. 

Tengahari tadi saya dan keluarga mengambil angah Irsalina di PPTI Kemaman sempena cuti tahun baru cina. Sebelum itu, setibanya di simpang menuju ke sekolahnya, saya terus melajakkan kereta tanpa masuk ke simpang tersebut. Hairan juga ummu Ikhwan, angin tidak hujan pun tidak, tiba-tiba nak ke Kuala Terengganu. Yalah tanpa apa-apa persiapan, tiba-tiba mahu makan angin ke sana. Hari biasa pula, bukan hujung minggu. 

Tatkala memasuki kawasan Kijal saya memberhentikan kereta di hadapan gerai lemang yang banyak berderetan di tepi jalan utama ke Kuala Terengganu. Bau asap membakar lemang menusuk deria bau. Kembang-kempis hidung saya menikmati baunya yang dibawa terbang angin. Kurang pasti, bilakah kali terakhir saya singgah membeli lemang di sini. Mungkin hampir sedekad lalu, ketika pulang daripada satu konvensyen di Kuala Terengganu. 

“Nak beli lemang rupanya..." Kata isteri saya, sewaktu saya sedang memasukkan lemang ke dalam but kereta. 

Daerah Kijal memang terkenal dengan pembuatan lemangnya. Bila sebut Kijal, automatik di dalam kepala teringat kepada lemang. Kiranya Kijal dan lemang cukup sinonim, tidak boleh dipisahkan. Alhamdulillah, setelah tawar menawar dapat juga 6 batang lemang dengan harga RM20. Murah dah tu! Nak bawa balik ke Kuantan, kata saya kepada si penjual lemang yang murah dengan senyuman itu. Tak perlu jumpa bomoh atau dukun meminta pelaris. Cukup dengan berbudi bahasa, murah dengan senyuman, masakan yang sedap dan harga yang berpatutan, insya-Allah larislah jualannya. 

Di sini juga ada menjual sata, tetapi tidaklah sebanyak sata di Kuala Kemaman. Selain itu serunding dan jeruk buah pun ada dijual. Bolehlah nak menghilang mengantuk ketika memandu dengan mengemam jeruk yang masam itu. Tetapi saya cuma membeli lemang sahaja.  

Kata orang, sekarang ini banyak lemang rebus. Maksudnya lemang yang direbus terlebih dahulu sebelum masukkan ke dalam buluh dan barulah dibakar. Bukan apa, untuk menjimatkan masa. Cara biasa orang menipu berniaga. Hendak buat macamana, takkan nak bertanya siasat bagai. Kalau ‘signboard’ tulis lemang bakar, kira percayalah ianya lemang bakar. Kalau tak betul, ‘menjawablah’ nanti di sana. 

Memang sekarang ini banyak yang tak berapa nak ‘cantik’ (baca: segelintir). Kalau madu lebah bercampur dengan air gula nira. Tempoyak pula dicampur dengan isi pisang. Bukan setakat makanan, boleh dikatakan banyak benda yang kurang asli. Ubat-ubatan, alat ganti kenderaan, pakaian dan macam-macam lagi. Sahabat-sahabat boleh fikir sendiri.  

#Insya-Allah, esok nak jemput acik Adawiyah di sekolahnya, manakala along Ikhwan balik sendiri.

2 comments:

Kakzakie Purvit said...

Seronok kalau jenjalan ke T'ganu kan AI. Selain lemang yg dijual tepi jalan kakak suka jagung bakar juga. Selalu kalau jenjalan sana kakak tak tinggal beli jagung bakar walhal kat kampung kakak jagung bapak bukan main banyak. Tapi jumpa jagung di sana mesti nak beli hihi...

# anak kakak balik sendiri naik bas utk cuti CNY ini. Kakak dgn abang kerja:(

abuikhwan said...

Salam kakzakie,
Memang seronok sangat kak. Betul tu, selain lemang jagung pun banyak dijual di tepi jalan..
#saya belum berani lagi biarkan anak balik sendiri...maklumlah anak perempuan. lagipun stesen bas jauh dari sekolahnya.

Post a Comment